Selasa, 16 Desember 2008

Perginya Seorang Kawan

Malam tadi lebih kurang jam 10.30 mendapat khabar melalui telefon menyatakan Othman Dahlan sudah pulang ke rahmatullah. Isterinya yang kami panggil sebagai ‘Kak Kiah’ sendiri yang menelefon. Minggu lepas kami ada menziarahi Allahyarham. Beliau sudah kelihatan kurus benar dan tidak mampu bangun lagi. Walau bagaimanapun masih boleh berbicara. Semasa kami minta diri beliau sempat mengucapkan terima kasih kerana melawat, dan berharap akan selalu menjenguknya. Tuptup malam tadi menerima berita sedih itu. Kami pun berusaha menghubungi beberapa teman baik beliau, menghabarkan berita kematian kawan lama saya itu.

Othman Dahlan saya kenal semasa di maktab perguruan lagi, iaitu Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim (kini UPSI) pada tahun 1970. Setelah mengajar di Sungai Sayong, Othman Dahlan juga berpindah menjagar di sekolah yang sama. Malah semasa bujang kami tinggal di kuaters guru. Sama-sama bermain catur, hinggalah beliau berkahwin. Semasa saya berpindah mengajar di Sekolah Menengah Sultan Ibrahim Kulai, Otrhman Dahlan berpindah mengajar di Sek. Keb. Felda Bukit Besar. Bila saya menjadi pensyarah di Maktab Perguruan Mohd. Khalid beliau berpindah mengajar di Batu Pahat, iaitu Bandar kelahiran beliau sendiri.

Semasa saya melanjutkan pelajaran di UPM, rupanya Othman Dahlan juga sudah berada di UPM, mengambil pengajian Bahasa Inggeris.

Kami berjumpa kembali di Maktab Perguruan Batu Pahat, setelah saya bertukar ke Batu Pahat. (Kini Institut Perguruan Tun Husein Onn). Sehinggalah beliau bersara sebagai pensyarah Institut Perguruan. Selepas dua tahun saya pula bersara. Sememangnya saya dan Allahyaraham ada kawan baik. Bahkan isteri saya dan isteri beliau juga pernah mengajar satu sekolah semasa di Sekolah Kebangsaan Bukit Soga, Batu Pahat.
Selepas bersara Allahyarham berpindah ke Kelantan, kerana beliau mendapat tawaran mengajar Bahasa Ingegris di sebuah kolej swasta di sana. Walau bagaimanapun beliau sering balik ke Batu Pahat, kerana dua anak beliau yang sudah berkahwin masih bertugas di Batu Pahat.

Kali terakhir saya bertemu beliau adalah semasa beliau mengadakan majlis walimatul urus perkahawinan anak perempuan beliau di Batu Pahat. Ketika itu beliau masih menyewa di rumah di Tongkang Pecah. Selepas itu beliau terus berpindah ke Kelantan.

Tahu-tahu saya mendapat berita menyatakan beliau sakit. Kami pun sempat melawat beliau di rumah baru beliau di Taman Putra, Tongkang Pecah.

Semoga roh beliau dirahmatai Allah.

Selasa, 18 November 2008

Kisah Seorang Teman Penulis

Razuki Isa tiba-tiba menghubungi saya untuk berjumpa. Dia baru saja balik dari Pejabat Pelajaran Daerah (PPD). Memang lama benar tidak bertemu dengan Razuki Isa. Pada tahun 80-an, kami sama-sama bergiat dalam Persatuan Penulis Johor (PPJ). Beliau yang berasal dari Kedah banyak menghasilkan sajak. Beliau bekerja sebagai Pegawai Imegresen. Kami sama- sama berusaha menerbitkan kembali tabloid PITA yang telah begitu lama dilupakan. Sebenarnya PITA diperkenalkan oleh Pak Matlob pada awal tahun 70-an. Berupa terbitan berkala yang memuatkan berita, rencana dan hasil karya ahli-ahli PPJ. Bersama beliau juga kami sempat menganjurkan beberapa kali kursus penulis untuk penulis-penulis remaja. Setelah beliau berpindah tugas ke Pasir Gudang, hubungan kami mula putus. Khabarnya beliau di Pasir Gudang sibuk pula berniaga.

Memanglah, masa berlalu dengan cepat. Kini wajahnya pun semakin berusia. Rambut sudah beruban. Cuma belum bersara seperti saya. Katanya akan bersara pada tahun 2012. Kini beliau mengusahakan sebuah restoran di Batu 17 Jalan Mersing Kota Tinggi. Diusahakan sepenuhnya oleh Isteri dan anak-anaknya. Anaknya empat orang. Yang sulung- perempuan sudah bekerja di Bahagian Teknek JKR, manakala yang kedua masih di Polyteknik di Pasir Gudang. Yang ketiga membantu ibunya di restoran dan yang keempat baru selesai UPSR, akan melangkah kaki ke Tingkatan satu tahun depan.

Saya menyatakan hasrat untuk melihat dia kembali menulis. Tapi nampaknya dia sudah macam tidak berminat. Begitulah perginya seorang teman dari dunia penulisan.

Senin, 17 November 2008

Pemergian Seorang Teman

Pada mulanya saya menerima SMS dari seseorang yang memaklumkan bahawa YM Ungku Zaman telah meninggal dunia. Tak lama kemudian telefon berdering. Kali ini daripada balu Allahyarham, Pn. Hasimah sendiri memaklumkan bahawa suaminya telah menghembuskan nafas hari ini di IJN Kuala Lumpur. Saya meminta dia banyak-banyak bersabar atas kehilangan suaminya itu. Saya sendiri memang rapat dengan Allahyarham. Beliau adalah rakan seperjuangan dalam Persatuan Penulis Johor (PPJ) dan juga penulisan. Ungku Zaman seorang yang begitu komited dengan dunia penulisan. Hingga di saat akhir masih sempat menyiapkan sebuah buku biografi Dato’ Othman Saat. Beliau ketika itu sangat uzur, tetapi semangatnya kuat. Badannya kelihat susut dan pergerakannya sudah mula terhad. Saya masih sempat menghadiri majlis nikah anak bungsunya di Masjid Abu Bakar dan juga kemudiannya menghadiri majlis sambutan perkahwinan anaknya itu yang diadakan di Hotel Seri Malaysia. Selepas itu dia khabarnya telah berangkat ke IJN untuk pembedahan jantung. Selepas itu saya tidak mendengar khabarnya lagi, hinggalah semalam apabila isterinya sendiri memaklumkan bahawa Ungku Zaman telah pulang ke rahmatullah.

Pagi tadi saya sempat sembahyang jenazahnya di Masjid Abu Bakar. Jenazah dikebumikan selepas solat zohor. Saya dan beberapa orang kaki tangan Yayasan Warisan menunggu di masjid sejak jam 11 lagi. Kami sempat baca surah Yasin dan baca tahlil.
Hujan mula turun. Ketika jenazah dibawa ke perkuburan pun hujan masih turun dengan lebat. Saya sempat berjumpa dengan YM Ungku Maimunah, adik kepada aruah. Katanya dia masih di UKM, dulu pernah bertuags di New Zealand. Saya sempat perkenalkan dengan Datok Ishak.

Kamis, 13 November 2008

Oh Bahasa Melayu!

Semalam dalam TV arus perdana Pengarah Pelajaran dan juga Menteri Pelajaran dengan penuh yakinnya menyatakan bahasa penggunaan bahasa Inggeris dalam mata pelajaran matematik dan Sains tidak gagal. Bermakna kementerian dan kerajaan merasakan bahawa berdasarkan keputusan peperiksaan UPSR tersebut, mungkin kerajaan akan meneruskan penggunaan Bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Sains dan Matematik..

Soalnya isu pencapaian pelajaran bila dikaitkan dengan penggunaan bahasa tidak timbul. Mungkin ada sebahagian pelajar akan mengalami masaalah penguasaan bahasa, menyebabkan gagal dalam peperiksaan, tetapi ini bukan faktor utama kepada rungutan dan penentangan ahli bahasa terhadap dasar tersebut. Menurut ahli psikologi kanak-kanak akan menguasai apa juga bahasa kalau diajar secara betul. Maksudnya kalau kementerian Pelajaran kita berpendapat bahawa kita patut belajar bahasa Mandarin sejak di sekolah rendah lagi, mungkin selepas enam tahun kemudian di sambung 5 tahun lagi di Sekolah Menengah, saya percaya anak-anak kita akan dapat menguasai bahasa Mandarin. Tidak ada masaalah kepada mereka untuk menjawab soalan peperiksaan bagi mata pelajaran apa pun hatta mata pelajaran Sains dan Matematik. Inilah yang berlaku kepada pelajar Cina dan India. Selepas mereka mengikuti system pembelajaran di Sekolah Menengah selama 6 tahun (Termasuk setahu di peralihan), akhirnya kebenyakan mereka adalah menjadi pelajar yang berajaya dalam peperiksaan SPM ataupun STPM. Sedangkan mereka sebelum ini selama 6 tahun belajar semua subjek dalam bahasa ibunda mereka.

Soalnya di sini ialah ‘Bahasa Melayu’ itu sendiri. Kita ingin melihat bahasa Melayu bukan sahaja menjadi bahasa komunikasi, tetapi juga sebagai bahasa ilmu. Dengan penggunaan bahasa Melayu dalam Sains dan Matematik sebenarnya kita telah mengangangkat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, sama taraf dengan bahasa Inggeris. Sejak kita menggunakan bahasa Melayu hingga ke peringkat Universiti, kita dapati banyak buku-buku Sains, matematik dan teknologi telah diterbitkan. Selian itu ada juga buku-buku ilmu yang berkaitan sains dan teknologi telah diterjemahkan ke bahasa Melayu. Sudah tentu hal ini akan memperkayakan lagi bahasa Melayu kita. Saya khuatir jika kita terus menggunakan bahasa Inggeris dalam mata pelajaran yang berorentasikan ilmu ini, akhirnya yang ada dalam bahasa Melayu cuma buku-buku cerita yang dangkal seeprti yang berlaku dalam tahun enam puluhan dulu.

Selasa, 11 November 2008

Obama dan Osama

Obama telah memenangi hati rakyat Amerika untuk menjadi Presiden ke-44. Orang kulit hitam yang pertama menduduki ‘White House’. Siapa sangka, malah tidak siapa dapat menduga bahawa Obama akhirnya akan menduduki takhta kuasa di Negara terkenal itu. Itu lah Obama, perjuangan bangsa kulit hitam yang mula dirintis oleh pejuang hak asasi Dr. Martin Luther King. Itulah juga kuasa demokrasi.

Osama pula bukan Obama. Osama seorang Islam yang berjuang menentang kezaliman Amerika. Hingga Osama dilebel sebagai ‘pengganas’. Sampai kini masih menjadi duri dalam daging Amerika. Di mana Osama? Apakah selepas ini Osama akan terus menggegar kerusi kuasa Obama?

Apakah Obama sama seperti Bush yang mempunyai persepsi negetif terhadap Osama? Memang obama bukan Osama, begitu juga Osama buka Obama.

Rabu, 15 Oktober 2008

Mendambakan kejayaan si anak.

Aku sempat berbual-bual dengan Zam Ismail tentang anak-anak. Razak yang baru mempunyai seorang anak (Kini sudah darjah enam) hanya menjadi pendengar sahaja. Kata Zam anak-anaknya berjaya dalam pelajaran kerana dia membebaskan cara mereka belajar. Kadang-kadang dia sendiri amat takut bila melihat anak-anaknya itu seperti mengambil mudah terhadap pelajaran. Misalnya anak bongsunya Hawa, semasa SPM hampir, dia masih sibuk dengan kumpulan Ghazal sekolahnya. Buat persembahan sana-sini. Ketika ditawarkan belajar di sekolah Asrama penuh dia sendiri menolaknya kerana menganggap belajar di mana pun sama. Kini anaknya sudah menamatkan pengajian di Universiti dengan mendapat kepujian kelas pertama. Begitu juga anak pertamanya yang berjaya meraih kepujian kelas pertama di sebuah Universiti di England dalam bidang guaman . Kini berkerja dengan gaji RM24,000 sebulan.

Tugas kita sebagai bapa hanya memberi dorongan. Seboleh-bolehnya jangan berikan tekanan kepada mereka. Itu sahaja tips yang diberikan oleh Haji Ismail Zamzam yang terkenal dengan nama Zam Ismail itu..

Dia sendiri menceritakan bagaimana seorang temannya yang pernah menjadi seorang pegawai tertentu di sebuah jabatan (Katanya semua orang mengenalinya terutama dalam bidang pendidikan). Dia begitu menaruh harapan terhadap anaknya supaya menjadi seorang doktor. Memang anaknya seorang yang cerdek dan akhirnya berjaya dalam pengajian kedoktorannya di luar Negara. Apabila pulang terus menyerahkan ijazah yang diterimanya kepada si ayah sambil berkata, ‘ Ini ijazah yang ayah perlukan. Saya sudah melaksanakan hajat ayah. Saya tidak perlukannya lagi.’

Si bapa bertanya hairan,’ Kenapa serahkan sijil ini kepada ayah?’

‘Sebab ayah yang memerlukannya. Saya akan ke Kuala Lumpur kerana saya sudah mendapat tawaran kerja sebagai wartawan di sebuah syarikat akhbar terkenal. Saya tidak akan menjadi doktor.’

Ada lagi kisah seorang anak dari seorang tokoh budaya yang terkenal pernah menceritakan kepadanya, bagaimana dia tidak ada perasaan sayang keapda bapanya, kalau adapun cuma rasa hormat sahaja. Kenapa? Anak itu yang kini juga sudah berjaya dalam pelajaran dan kerjaya menyatakan bahawa sepanjang hidup bersama bapanya, dia tidak pernah menerima perasaan kasih saying seorang bapa. Ayahnya seorang diktator dalam sebuah kerajaan rumah tangga. Mujurlah mereka mempunyai seorang ibu yang cukup penyayang seperti malaikat.

Untuk menentukan masa depan anak-anak perlulah memahami diri mereka, bukan meminta mereka memahmi hasrat kita sebagai bapa.

Minggu, 12 Oktober 2008

Siapakah Pendatang?

Datuk Tan Lian Hoe, Ketua Wanita Gerakan menyatakan bahawa semua penduduk Negara ini baik Melayu, Cina dan India adalah pendatang belaka. Cina datang dari Cina, India datang dari India dan Melayu dari Kepulauan Melayu. Daripada kenyataannya itu Tanah Melayu hanya pada mulanya didiami oleh orang Asli. Saya hairan bagaiman Tanah Melayu mendapat namanya sebagai ‘Tanah Melayu’. Beliau sendiri menyatakan orang Melayu dari kepulau Melayu. Habis Tanah Melayu (Kini Malaysia) bukan berada di Kepulauan Melayulah? Mungkin di kawasan negeri Cina atau India. Sudahlah namanya Tanah Melayu, dari segi lojiknya pun kita sudah faham bahawa di sini tentu penduduknya Melayu.

Isteri saya berasal dari Segamat, Johor. Dari segi salasilahnya beliau memang tidak ada kaitan dengan mana-mana kawasan lain, baik dari Indonesia atau mana-mana negeri di kepulauan Melayu. Keluarga isteri saya memang benar-benar Melayu. Salah benarlah kalau keluarga mereka dikaitkan dengan golongan pendatang.

Kamis, 09 Oktober 2008

Pemimpin

Semalam Perdana Meteri Datuk Abdullah Badawi mengumumkan sesuatu yang penting, yang akan mengubah warna politik Malaysia. Sudah tentu dalam kepala kita tidak ada orang lain yang layak menggantikannya, aiitu Datuk Seri Najib Tun Razak.

Untuk menjadi pemimpin sebenarnya semua orang boleh jadi pemimpin, tetapi tidak semua yang benar-benar pemimpin.

Kita tidak mahu pemimpin yang hanya tahu untuk merasmikan pameran-pameran, pelancaran buku, perasmian kongres dan seminar sahaja. Jawatankuasa yang menyediakan pameran sudah tentu akan mempamerkan sesuatu yang menggambarkan kejayaan sahaja. Kalau pameran pertanian sudah tentu akan mempamerakan hasil-hasil pertanian yang terhebat usaha petani. Kongres dan seminar pula biasanya akan menghasilkan rumusan yang akhirnya terpendam di bawah meja sahaja.

Semoga kita dapat pemimpin yang benar-benar pemimpin.

Senin, 06 Oktober 2008

Selamat Hari Raya Aidil Fitri

Sudah tujuh hari Aidil Fitril berlalu. Kita kembali kepada kehidupan biasa. Yang bekerja telah mula bertugas. Meski bahang perayaan masih terasa. Tetapi apa yang mendukacitakan ialah masih banyak kedai-kedai yang diusahakan oleh Bumiputera masih tutup. Misalnya bengkel kereta, kedai cermin mata, kedai buku dan kedai makan. Ini yang kelihatan di pusat perniagaan Larkin Perdana sahaja. Mungkin ada semangat untuk merebut pahala puasa enam. Memang sesuatu yang baik, jika ini tujuan utama kita menyambut hari raya aidil fitri, seterusnya menghidupkan puasa enam secara berterusan sepanjang bulan syawal ini.

Tahun ini hari raya disambut dengan begitu sederhana, berikutan dengan keadaan ekonomi yang tidak berapa menggalakkan. Dengan harga ayam mencecah RM7 sekilo, dan beberapa keperluan lain lagi termasuk harga kueh raya yang melambung naik. Alasannya tidak lain dan tidak bukan kerana harga barang terutama keperluan utama seperti tepung dan lain-laian keperluan naik mendadak.

Hinggakan untuk makan di restoran pun, dengan nasi dan lauk tiga ketul ayam yang kecil-kecil (tak ada isi pun), sehiris kecil ikan (sebesar dua jari) sudah mencecah RM6.50. itu tidak termasuk sayur dan minuman. Tidak puas hati saya cuba pula pergi ke kedai lain untuk membeli makanan untuk makan malam. Bungkus nasi dengan seketul ayam kari dan sketul ikan goreng. Harganya juga RM6.50.

Inilah harga yang kita perlu bayar untuk maju.

Kamis, 11 September 2008

Mana Isu yang Lebih Penting?

Pagi mendung dan berhujan. Ketika telefon Hasnah katanya di BP pun sedang hujan. Sepanjang bulan Ramadan ini cuaca nampaknya banyak menyebelahi kita yang sedang berpuasa. Sebaliknya di utara ada yang menghadapi dugaan banjir.

Senario politik masih berada dalam keadaan teka-teki. Dalam Barisan Nasional sendiri kemelut UNMO-Gerakan semakin sukar untuk bersefahaman akibat kenyataan Ketua Bahagian UMNO di Pulau Pinang yang katanya ada berbau perkauman. Hukuman telah diputuskan.
Anwar Ibrahim juga masih berteka-teki dengan tarikh 16 September. Apa akan berlaku? Sukar juga untuk menjawab. Nampaknya kita tidak pernah berhenti dari memikirkan politik. Dalam sebuah rencana hari ini dalam Utusan ada seorang penulis menyatakan betapa kesalnya dia melihat kita di Malaysia seakan-akan terlupa pada yang lain, malah lebih penting daripada politik, iaitu tentang alam sekitar. Dia mendedah betapa hutan simpan di Terangganu yang banyak pokok-pokok cengal telah ditebang. Sebatang pokok cengal katanya sama nilai dengan sebuah kereta proton saga. Sebab itulah orang yang tamak ini lupa kepada peranan pokok cengal dalam mengekalkan alam sekitar kita. Seharusnya kita semua perlu sedar tentang betapa iisu alam sekitar lebih penting daripada isu politik yang entah apa-apa itu.

Senin, 04 Agustus 2008

Ketuanan Melayu

Saya amat bersetuju dengan konsep ‘Ketuanan Melayu’ yang diterangkan secara jelas oleh Datuk Dr. Hassan Ahmad, Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan, juga bekas wakil tetap Malaysia ke UNISCO dan bekas Ketua Pengarah DBP. Beliau melihat kembali bagaiman konsep ketuanan ini berkait rapat dengan konsep kedaulatan. Ciri penting yang menunjukkan sesuatu bangsa itu berdaulat ialah bangsa itu mempunyai Negara dan kerajaan sendiri. Merujuk kepada bangsa Melalyu, sebenarnya bangsa Melayu sudah mempunyai kerajaan sendiri sejak abad ke-7, abad ke-12 dan ke-13 lagi. Zaman kegemilangan kerajaan Melayu semua orang tahu dan pernah belajar sejarah. Malah tinggalannya pun masih ada sehingga kini. Kerajaan Melayu Melaka pada abad ke-15, begitu terkenal sehinggalah kalah dan jatuh dalam peperangan dengan Portugis. Tetapi kerajaan Melayu terus juga berkembang di negeri-negeri lain seperti di Johor, Perak, Terangganu dan Pahang. Lihat sahaja bagaimana kesultanan di negeri-negeri Melayu masih kekal sehingga kini. Inilah yang dimaksudkan ketuanan Melayu. Kalau di negeri ini atau di nusantara ini katalah terdiri daripada keturunan asalnya Cina sudah tentulah Sultannya orang-orang Cina, Mungkin sehingga kini kita akan kenal dengan Sultan atau Maharaja Tan Cheng Cheng. Boleh jadi juga dari keturunan India seperti Maharaja Samvi Volluo. Tetapi inilah yang dikatakan kenyataan, bahawa di nusantara ini yang meliputi Indonesia, Tanah Melayu (Malaysia), Brunei, Kepulawan Mindano, hinggalah ke Sulawesi adalah berasal dari rumpun Melayu, bukan rumpun Cina atau India.

Pendapat orang Amerika dan Australia tentang konsep bernegara dan demokrasi memang lain. Mereka datang ke Amerika dan membunuh orang-orang Red Indian dan akhirnya menyatakan bahawa mereka adalah rakyat Amerika. Begitu juga dengan orang-orang Australia, pada ketika itu di benua Australia sudah ada penduduk. Mereka datang ke Australia dan mengaku bahawa mereka penduduk bumi Australia. Malaysia tidak sama sekali dengan Amerika dan Australia. Ketika orang-orang Cina dan India datang berhijrah ke Tanah Melayu sudah ada kerajaan Melayu seperti kerajaan Melayu Johor, Perak, Pahang, Negeri Sembilan, Selangor, Kedah, Kelantan dan Terangganu. Malah petani juga ketika itu di bawah kerajaan Melayu Islam. Kerajaan Melayu Johor misalnya melampaui sehingga ke kepulauan Riau dan Bentan. Tetapi pecacai Inggeris dan Belanda ini datang kemudiannya dengan sesuka hati membahagikan wilayah ini sesame mereka. Kepulauan Indonesia iaitu Sumatera dan Jawa, aku punya kata Belanda dan engkau ambil Tanah Melayu dan Borneo. Macam yang dia buat kat Amerika dan Australia. Mereka tak tau di Amerika puak-puak Red Indian memang tak pernah bersatu dan tak pernah membentuk kerajaan. Jadi mereka senanglah dijajah, malah dibunuh. Begitu juga di Australia, Cuma ada penduduk peribumi yang tidak bertamadun. Mereka dianggap sebagai aorang asli. Nasib baik kita orang Melayu tidak dianggap orang asli. Kalau tidak nasib kita samalah dengan orang-orang Red Indian dan orang-orang peribumi Australia.

Lalu orang-orang Cina dan India yang telah lama bermastautin di sini, malah yang lahir di sini berkata kalau macam itu, kami tidak ada haklah. Kami seperti melukut di tepi gantang, kami macam masyarakat kelas kedua. Semuanya mesti diberi dan diutamakan kepada orang Melayu dengan alasan hak bumiputera itu. Atas alasan inilah orang-orang Cina dan India tidak berpuas hati.

Sebenarnya Cina dan India juga punya hak masing-masing. Orang Melayu harus menghormati hak mereka ini. selama ini atas kesedaran inilah kita dapat memelihara semangat perpaduan. Misalnya orang Melayu masih menghormati hak orang Cina dan India terhadap bahasa mereka sendiri, sebab itulah dalam pendidikan di negara ini kita masih atau pun kerajaan masih memberi bantuan kepada sekolah-sekolah Cina dan India. Itu hak mereka, yang orang Melayu tak pernah pertikai, malah orang-orang Melayu kita berlumba-lumba pula menghantar anak-anak mereka ke sekolah Cina. Satu lagi hak berniaga dan berpolitik. Orang-orang Cina diberi kebebasan menubuhkan parti-parti politik yang berdasarkan perkauman. Sudah tentulah perjuangan mereka untuk menjaga kepentingan kaum mereka sendiri, seperti memperjuangkan soaal bahasa dan budaya. Mereka juga diberi kebebasan mengamalkan budaya mereka sendiri. Orang Melayu tahu dan tidak akan menyentuh soal ini. Hinggalah kepada soal beragama, juga kita orang Melayu tetap tidak masuk campur.

Atas alasan inilah kita dapat hidup harmoni dan dapat menjaga perpaduan. Orang Cina masih boleh memiliki harta sebanyak-banyaknya. Boleh dirikan rumah yang hebat-hebat hingga sampai ke genting sekali pun. Buatlah, kita tidak akan kacau. Itu hak mereka. Tentang bahasa begitu juga, mereka bebas memajukan bahasa dan budaya mereka. Tidak ada halangan kerana itu hak mereka. Malah ada saluran radio dan Tv khas untuk orang-orang Cina dan India. Tidak ada sesiapa nak larang. Melalaklah di saluran masing-masing.

Tetapi ingatlah, kita bukan berada di Cina atau di India. Kita pun tahu ramai orang Cina dan India sedar malah mengaku mereka adalah rakyat Malaysia. Mereka bukan rakyat Cina atau India. Kita puji mereka. Tapi untuk mendapat hak seperti orang Cina di Cina dan seperti orang India di India, tentulah tidak boleh. Kita tidak boleh bertolak dari perkataan ‘Adil’ itu dengan memberi kebebasan sepenuhnya kepada orang-orang Cina dan India, juga kepada orang-orang Melayu sekalipun. Orang Melayu pun mesti ingat orang-orang Cina dan India adalah juga rakyat Malaysia. Sebab itulah orang-orang Melayu sanggup berkongsi kuasa dengan orang –orang Cina dan India, tetapi tidaklah sampai menyebabkan orang-orang Cina atau India berkuasa terhadap orang-orang Melayu.

Selama ini, itulah yang kita laksanakan. Dalam Barisan Nasional kita berkongsi kuasa dengan MCA, Gerakan dan MIC serta lain-lain pertubuhan politik. Orang Melayu tidak tamakkan kuasa, hingga menyatakan ini Negara Melayu, mesti UMNO sahaja yang memerintah. Inilah yang dikatakan adil. Lihatlah kepada tangan kita yang mempunyai lima jari. Kelima-lima jari itu tidak sama panjang dan saiznya. Ada jari hantu yang lebih panjang. Ada jari kelingking yang kecil dan ada ibu jari yang besar dan pendek. Kalau mengikut konsep keadilan mesti sama semua , bagaimana agaknya tangan itu untuk bekerja seperti mengenggam dan memegang sesuatu. Inilah konsep keadilan.

Begitu juga dengan hidup ini, apakah Tuhan tidak adil dengan mengadakan orang-orang yang kaya dan ada juga yang miskin. Baik Tuhan jadikan semua orang dalam keadaan kaya sahaja, tanpa ada yang miskin. Tapi kita masih menyatakan bahawa Tuhan atau Allah itu maha adil. Ada yang mati muda ada yang mati setelah tua ganyut. Adakah adil bagi Tuhan untuk melihat semua manusia mati setelah tua? Jadi janganlah menyempitkan konsep keadilan itu.

Minggu, 13 Juli 2008

Cerita Hindustan

Secara kebetulan menonton cerita Hindustan pada petang sabtu di tv 3. Tak perlulah saya namakan judul ceritanya, tapi apa yang menarik ialah isi ceritanya. Seorang menteri yang berkuasa, telah medalangi konspirasi dengan menuduh seorang doktor (yang benar-benar bertugas kerana kebenaran), sehingga doktor itu digambarkan sebagai seorang pengkhianat negara. Kerana kuasa media dan dengan kerjasama sebahagian daripada polis yang juga bersekongkol, dia diburu bukan sahaja oleh pihak kerajaan malah oleh penjenayah sebenar yang diupah dengan ganjaran yang lumayan. Mujur ada seorang inspektor dan empat kakitangannya yang jujur terpaksa mempertahankan doktor ini, tetapi mereka juga tidak dapat menyelamatkan nyawanya.

TV HBO Astro pula menayangkan cerita yang hampir serupa. Bagaimana konspirasi yang disusun oleh orang yang ingin menjatuhkan presiden, telah melakukan satu pembunuhan di ‘white house’ dan daripada tanda-tanda dan bukti pembunuhan itu mengaitkan dengan anak presiden sendiri. Kerana tidak tahan dengan desakan orang kanan dan media akhirnya presiden bersetuju untuk meletakkan jawatan. Mujurlah ada seorang dektektif yang dapat membuktikan bahawa semua kejadian itu direncanakan untuk menjatuhkan presiden.

Moralnya untuk menjatuhkan seseorang perlu direncanakan dengan teliti sehingga seolah-olah orang yang hendak kita jatuhkan itu benar-benar bersalah. Ditambah lagi dengan bantuan media seperti tv dan akhbar, sehingga rakyat percaya. Inilah yang dikatakan konspirasi yang terancang.

Dalam sebuah ceramah, saya pernah mendengar seorang ustaz berkata bahwa sebuah kebatilan yang dirancang dengn teliti akan dapat mengalahkan kebenaran.

Rabu, 02 Juli 2008

Penulis dan Integriti

Penulisan seharusnya lahir dari rasa tanggungjawab penulisnya. Baik berupa penulisan ilmiah ataupun penulisan kreatif harus bertolak dari kesedaran ini.

Pertanggungjawapan.

Inilah yang diperlukan dalam sesebuah hasil karya penulis. Pertanggungjawapan dari segi apa? Jawabnya adalah dari segi apa yang ditulisnya. Tulislah dengan niat mengamalkan ‘Amal Maaruf Nahi Mungkar’.Membuat perkara yang baik dan menghindarkan perkara-perkara yang mungkar. Itulah asas kepada integriti dalam penulisan.

Untuk sampai kepada tahap ini, seseorang penulis perlu persediaan sebagai seorang manusia yang benar-benar bersih, benar-benar baik dan suka kepada kebaikan. Sebagai seorang Islam tentunya sudah jelas ‘keperibadian’ seseorang dalam tingkal laku dan juga cara hidupnya seharian. Kita boleh nampak apakah dia seorang muslim yang benar-benar berintegriti. Lihatlah amalanya, lihatlah tuturkatanya, lihatlah pakaiannya dan lihatlah gaya hidupnya.

Sebagai seorang penulis sebelum kita melihat hasil tulisannya, lihatlah juga peribadi penulisnya. Hasil karya dan diri penulis itu seharusnya berjalan seiring. Penulis harus sedar ‘amanah’ yang dipikulnya dalam setiap hasil karyanya. Amanah ini akan dipersoalkan kembali. Kalau penulis bencikan rasuah, apakah dia dalam kehidupannya benar-benar menjauhi rasuah. Kalau penulis mengangkat ‘ethika’ dalam setiap karyanya apakah dia sendiri sudah siap dengan ethika yang disandangnya. Kalau dia meminta supaya kita hidup dalam takwa, apakah penulisnya sudah benar-benar takwa. Begitulah penulis seharusnya mempunyai peribadi mulia, mempunyai sifat-sifat benar, amanah, setia, berpegang teguh kepada kebenaran lebih-lebih lagi mempunyai nilai-nilai akhlak Rasullalah saw. Mungkin sebagai manusia kita juga mempunyai kelemahan, tetapi sekurang-kurangnya biarlah sebagai penulis karya kreatif si penulisnya mestilah dulu menampakkan peribadi yang boleh dipertanggungjawabkan.

Oleh itu sebagai penulis kita harus mempunyai ciri-ciri berikut:

- mendokong dan memiliki nilai-nilai moral dan ethika.
- Bertindak jujur tanpa ada nilai keuntungan diri
- Berpegang teguh kepada kebenaran
- Tidak menyalahguna kuasa
- Tidak bertolak ansur kepada nilai kebatilan
- Tidak memburuk-burukkan orang lain.

Penulis yang berwibawa.

Hasil karya seseorang penulis biasa mencerminkan peribadi penulisnya sendiri. Seharusnya begitu. Tetapi ada juga penulis yang begitu kontras dengan apa yang ditulisnya. Ada beberapa orang penulis yang boleh dijadikan contoh tentang hasil kayanya adalah selari dengan hidup penyair itu sendiri.

A.Samad Said.: Semua orang kenal Pak Samad dengan identitinya yang berpakaian sederhana berambut panjang dan berjambang. Itulah Pak Samad. Lihatlah apa yang ditulisnya. Bacalah puisi-pusinya, dia tetap jujur dengan dirinya. Dia memperjuangkan kebenaran dan kesederhanaan dalam setiap karyanya. Dia tidak bermewah-mewah dengan kereta besar, kalau mahu tentu dia boleh kerana sebelum bersara dia adalah Ketua Editor sebuah akhbar terkenal. Dia lebih rela membelanjakan setiap sen yang diperolehinya dengan memenuhkan buku-buku dalam rumahnya. Inilah Pak Samad dan dia benar-benar mengkotaka apa yang ditulisnya.

Kasim Ahmad: Lihat sajak-sajaknya ‘Dialog’ dan ‘Jalan ke Parlimen’. Kasim percaya kepada ideologinya, hingga membawa kepada perjuangan politik dalam hidupnya. Dia bermula dengan fahaman sosialis kemudian kesedaran Islam (Lihat Mencari Jalan Pulang). Lihat hidupnya. Pernah ditahan di bawah ISA dan kembali hidup seperti orang biasa. Hidup dan karyanya selari dengan apa yang diperjuangkannya. Bila dia berkata dalam sajak ‘dialog’:

Aku akan pergi
Dengan seribu Jebat si anak tani
Kian lama kita mati dalam setia
Kali ini kita hidup dalam derhaka!

Kasim benar-benar melakukannya. Untuk itu dia telah membayar kehidupanya dengan harga yang mahal sekali, iaitu pengalaman.

Usman Awang: Terkenal dengan sifat kemanusiaannya. Dia mensejagat dan karyanya juga mencerminkan sikap hidupnya. Itulah perjuangannya hingga ke akhir hayat.

Shahnon Ahmad: Begitu jelas dalam karyanya yang memperjuangkan ketidakadilan, amalan dalam agama yang sempit dan kerakusan pemimpin politik. Beliau sendiri merasai hidup dalam semua kancah yang cuba digarapnya dan kembali dengan kesedaran keimanannya yang mendalam dalam Islam.

Mereka inilah penulis yang mempunyai integriti. Tidak hanyut dalam kancah dunia kebendaan. Mereka sanggup menentang arus. Mereka sanggup dikalahkan, disalahkan dan dipertidakkan. Mereka tetap dengan prinsip perjuangan mereka.

Inilah yang tidak ada dalam segolongan penulis kita.

Rabu, 25 Juni 2008

Tentang Pasar

Saya pernah menulis begini:

Seorang lelaki
pulang membimbit bungusan ikan
calar iman.

Betapa pasar melambangkan sesuatu yang kotor bagi saya. Seharusnya tidak begitu. Tapi itulah kenyataannya bila merujuk kepada keadaan pasar di kebanyakan tempat di tanah air yang tercinta ini. Rata-rata orang kini sudah menerima konsep pasar yang begini, yang kotor, yang basah, yang berbau. Tidak adakah pasar yang bersih. Untuk itu saya lebih suka berbelanja di pasar raya sahaja. Meskipun agak mahal sedikit.

Sudah sampai masanya kita mengubah konsep pasar di negara kita ini kepada satu konsep pasar yang bersih, kering dan tidak berbau busuk. Bolehkah? Hatta kalau kita mengenakan pakaian pejabat pun bau pasar (busuk) tidak melekat pada pakaian kita.

Begitulah politik negara kita juga sudah menjadi macam pasar. Ada jual beli ada tawar menawar, ada sumpah seranah dan bermacam-macam rupa kekotoran lagi yang menggambarkan bahawa masyarakat kita sudah demikian teruk. Macam pasar, kita perlukannya, tetapi tak tertahan baunya.

Selasa, 24 Juni 2008

Minyak lagi?

Pagi-pagi lagi isteri sudah telefon suruh isi minyak penuh. Kenapa? Khabarnya setesen minyak hendak tutup selama dua hari. Benarkah? Seperti khabar angin di Sabah yang menyebabkan orang ramai berpusu-pusu mengisi minyak kerana ada khabar angin menyatakan semua setesen minyak akan berhenti menjual minyak selama tujuh hari.

Seorang staf pejabat yang baru sampai menyatakan dia mengalami masaalah untuk mengisi minyak kerana setesen minyak tidak menerima kad kredit untuk bayaran seperti yang selalu dilakukannya. Nasib baik ada bawa duit sikit kalau tidak kenalah ke bank dulu ambil duit.

Semasa minum pula bertemu dengan Ungku Z seorang pengusaha minyak. Aku minta kepastian daripadanya tentang khabar angin itu. Katanya tidak benar pengusaha minyak memberhentikan penjualannya kerana wang di bawah tanah itu (maksudnya minyak dalam tangki) akan mudah susut kalau tidak dijual segera. Lagi pun mereka perlukan wang kerana beli minnyak dari pembekal tidak ada kredit macam beli barangan lain. Mesti bayar tunai. Untuk satu lori tangki yang besar kena ada wang seratus ribu lebih. Itu yang diberitahunya kepadaku.

Semasa melayari blok seorang kawan, aku terperanjat dengan kisahnya yang telah dilawati oleh seseorang penting dari kementerian. Orang itu lawan berhujah dengannya tentang prinsip yang selama ini dipegangnya kukuh. Sebelum meninggalkannya siap pula beri amaran. Memang kawanku ini agak lantang, tapi dari satu segi dia benar. Cuma caranya sahaja berbeza dengan sesetengah orang yang berjuang tentang hal yang sama. Kebetulan selepas itu dia dijemput untuk mendeklamasi sajak dalam satu majlis. Apa lagi dia pun melepaskan segala isi hatinya melalui sajak. Memang dia seorang penyajak. Selama ini sajak-sajaknya pun agak keras dan lantang.

Senin, 23 Juni 2008

Suara dari Persada

Sajakku ‘Suara dari Persada’ tersiar di Mingguan Malaysia semalam. Ingin kuperturunkan kembali untuk tatapan:

Keris-keris Melayu pun dihunus
mencari musuh yang tiada
lalu ke manakah keris itu ditikam
ke dada sendiri yang penuh dengan kekeliruan

Katanya suara Melayu
telah bergema di persada
menyanyi lagu yang sama
Bunuhlah sengketa!
Bunuhlah sengketa!

Kecanduan Melayu pada makna bersatu
memukul ular perselingkuhan
menghutanrimbakan makna perpaduan
di sini sudah menjadi kubangan
tanpa rasa lelah melaungkan kesal
satu-satu terlepas dari ribaan keistemewaan

Dengan bahasa apakah lagi?
kami yang tidak tahu politik
mempertahan tradisi kesultanan
menandai semangat Melayu
yang kian luntur
suara ini pun
sukar lepas dari gerbang persada
persengketaan.

Selasa, 17 Juni 2008

Rebat

Sejak hari sabtu 14 Jun lagi aku lihat orang ramai berpusu-pusu di pejabat pos. Anakku Mohd. Faiz yang baru balik dari Banting menyatakan dia hairan melihat manusia ni, kalau disuruh membayar, katalah membayar cukai pendapatan atau membayar saman, di hari-hari terakhir atau di saat-saat terakhir barulah ramai orang berpusu-pusu di tempat-tempat pembayaran atau kaunter LHDN. Sebaliknya bila tang nak dapat duit, sejak hari pertama lagi orang ramai telah berkumpul di depan pejabat pos semata-mata nak pastikan dapat rebat enam ratus lebih itu.

Rabu, 04 Juni 2008

Naik Minyak, Minyak Naik

Semasa pulang dari pejabat aku mendengar berita dari Radio ‘Segalanya di Sini Mengamit Memori’ menyatakan harga minyak naik mulai esok. Ketika melalui stesen minyak kelihatan kereta beratur untuk mengisi minyak bagi menikmati harga lama. Inilah peluang terakhir, tentu nak isi penuh-penuh. Selepas jam 12 malam nanti harganya sudah lain.

Lalu hari ini heboh (bukan jom heboh) orang bercakap tentang ‘minyak’. Begitulah pengaruh minyak kepada manusia. Biasanya kalau dihubungkan dengan gajah yang ‘naik minyak’ tentu berbahaya, nampaknya ‘kereta’ atau kenderaan yang dihubungkan dengan ‘minyak’ juga akan mendatangkan bahaya kepada kita manusia. Kerana ‘minyak’lah punca segalanya. Kenaikan minyak sebanyak 40% adalah satu kenaikan yang paling tinggi dalam sejarah kenaikan harga minyak di Malaysia. Kesannya kepada kehidupan seharian pun akan jelas terasa. Harga barang harian akan turut naik dengan kenaikan harga minyak. Biasanya begitu. Entahlah kalau kali ini berlaku sebaliknya.

Hendak tak hendak kita harus menerimanya. Kita tidak ada pilihan lain. Oleh itu dari sekarang kita haruslah berhemat dengan segala bentuk perbelanjaan. Aku boleh berhemat untuk lain-lain, seperti melupakan langsung untuk melancong, untuk membeli barang-barang keperluan hiburan dan kemewahan seperti alat perabot dan hiasan rumah, tapi aku tidak mampu menahan diriku untuk membeli buku. Tahun lepas aku menghabiskan lebih dua ribu untuk membeli buku dan majalah sahaja. Kebetulan harga buku sekarang juga sudah mahal. Tidak ada lagi buku yang dijual kurang daripada sepuluh ringgit. Nampaknya dengan keadaan sekarang aku perlu berjimat juga. Cuba berjimat segala-galanya.

Kamis, 22 Mei 2008

Melihat Kesunyataan

Heboh diperkatakan tentang keluarnya Mahathir dari parti UMNO pada 19 Mei yang lalu. Lalu macam-macam andaian dibuat dan macam-macam tuduhan pula dilemparkan kepada Mahathir. Sudah tentu Mahathir mempunya sebab tersendiri mengapa beliau keluar UMNO. Sejak dulu lagi, segala tindakan Mahathir mempunyai pro dan kontra. Jangan lupa Mahathir bukanlah sebarang orang. Dia berfikrian pragmatis. Orang pragmatis sentiasa melakukan apa yang dikatakannya.

Nampaknya senario politik di Malaysia semakin menarik. Di satu pihak Anwar Ibrahim sudah tentu tidak juga berdiam diri. Dia juga seorang perancang. Apa yang dikhuatirkan Pak Lah akan menjadi mangsa. Terlalu banyak orang yang tidak boleh dipercayai, baik dalam UMNO sendiri. Pak Lah harus berhati-hati.

Ibarat kata Mufti Perak, Datuk Harunsani, semasa mengulas keluarnya Tun Mahathir dari parti UMNO, ‘tidak mengapa berbeza pendapat, tetapi dalam soal Melayu kita seharusnya dapat bersatu’. Bagi Nik Aziz pula beliau melihat peristiwa sebagai satu yang positif kepada pembangkang. Kalau Tun Mahatir nak masuk PAS tentu dielu-elukannya.

Apa yang penting janganlah kita seperti ‘kucing kesiangan’, bercakaran sesama sendiri, anjing tetap menggongong dan kambing tetap mengembek.

Kamis, 01 Mei 2008

Merancang Kewangan

Merancang Kewangan

Dalam keluarga saya dan isteri saya, kamilah yang mempunyai anak yang ramai. Kami dikurniai enam orang anak. Kalau anak pertama kami hidup, bermakna kami ada tujuh anak hasil perkongsian rumah tangga selama tiga puluh tahun lebih. Pada zaman sekarang mempunyai anak yang ramai sudah tentu menyulitkan. Ada teman-teman yang menasihatkan kami agar merancang. Begitu juga di kalangan keluarga sendiri ada yang melahirkan rasa khuatir mereka terhadap keluarga kami yang sentiasa bertambah setiap tahun.

Saya memahami perasaan mereka. Tentulah mereka juga simpati bila tiba masalah siapakah yang akan menjaga mereka kerana kami berdua bekerja sebagai guru. Ibu bapa kami bukan jenis yang suka menjaga cucu, malah mereka juga tidak berapa sihat dan tidak berupaya untuk menjaga cucu.

Saya masih ingat, ketika isteri saya mengandung anak ke lima, salah seorang kakaknya pernah menyuarakan hasrat untuk memelihara anak kami itu selepas lahir, untuk dijadikan anak angkat mereka. Tetapi isteri saya berkeras walau apa pun dia dia tidak rela untuk menyerahkan anak-anaknya kepada orang lain, meskipun kakaknya sendiri.

Bila ada kawan-kawan atau keluarga yang menyentuh lagi soal anak, saya secara berseluruh akan menyatakan selagi belum dapat anak perempuan, isteri saya akan terus mengandung. Anak pertama saya yang meninggal setelah keguguran mengandung enam bulan adalah anak perempuan. Selepas itu setiap tahun isteri saya bersalinkan anak lelaki hinggalah anak ke lima. Akhirnya anak ke enam barulah kami mendapat anak perempuan.

Ketika mendapat anak perempuan yang ke-6, saya sedang menuntut di Universiti kerana melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah pertama. Sebelum itu saya bertungkus lumus belajar sendiri untuk mengambil peperiksaan STP secara bersendiri. Hinggalah lulus dan Berjaya di terima masuk universiti.

Dengan gaji separuh, dan ada pula potongan rumah, dan anak-anak yangmula bersekolah sudah tentulah saya menghadapi masalah kewangan. Meskipun isteri bekerja saya tetap mengalami masalah kewangan bila setiap hujung bulan.

Untuk perbelanjaan dapur kami terpaksa berhutang di kedai runcit. Bila dapat gaji sebahagiannya telah ditolak hutang kedai, hutang kereta, bayar bil-bil letrik, air dan telefon tinggallah beberapa ratus sahaja lagi wang untuk keperluan lain. Hutan kedai runcit tidak pernah langsai, malah setiap bulan akan bertambah kerana kami tidak dapat membayar penuh.

Sehingga selepas tamat belajar hutan kedai saya sudah hampir satu ribu. Begitu juga saya berhutang dengan abang ipar dan kakak ipar saya. Setelah diconmggak-conggak menghampiri tiga ribu ringgit. Di mana saya hendak mencari wang untuk membayar hutang-hutan itu.

Saya berbincang dengan isteri saya. Mujurlah isteri saya sangat memahami masalah kewangan yang kami hadapai ini. Lalu kami membuat keputusan untuk berhemat. Langkah pertama saya ialah dengan mencatat setiap perbelanjaan harian, meskipun sepuluh sen akan saya tulis dalam buku perbelanjaan harian saya.

Sejak hari itu saya menetapkan disiplin dalam diri saya, sebelum tidur akan menghadap buku perbelanjaan dan menulis setiap perbelanjaan hari itu. Untuk mengelakkan terlupa saya biasanya menyediakan buku kecil atau secarik kertas untuk menulis segala perbelanjaan. Bila malam, saya akan mengeluarkan buku atau kertas kecil itu dan menuliskannya semula ke dalam buku perbelanjaan. Bagi perbelanjaan yang mempunyai resit saya akan simpan resit itu dan kepilkan dalam buku perbelanjaan. Bila akhir bulan saya menutup kira-kira. Lalu saya dapat melihat jumlah setiap perbelanjaan, misalnya bagi belanja dapur setiap bulan tidak lari daripada RM700. sebulan. Perbelanjaan anak-anak RM500.(termasuk belanja wang saku, yuran sekolah, buku dan pakaian ) Perbelanjaan untuk minyak kereta RM200 .Belanja pasar RM500. Ada juga saya masukkan dalam kategori perbelanjaan lain-laian seperti minum di kantin atau di warung, minum bersama keluarga, derma, bayaran-bayaran tetap seperti bil-bil, sewa rumah, instalmen kereta dan bayaran pembantu atau penjaga anak.

Pada mulanya saya buat pengagihan. Untuk bayaran tetap seperti bayar untuk penjaga anak, instalmen kereta dan bil-bil bulanan telah saya ketepikan awal-awal. Saya Cuba berhemat dalam perbelanjaan pasar dan kedai. Ada barang-barang keperluan yang tidak mustahak saya ketepikan terus. Biasanya bila kita berbelanja terutama secara berhutang kita akan mengambil beberapa barang yang sebenarnya tidak perlu. Oleh itu saya memutuskan untuk tidak lagi berhutang. Dengan berdikit-dikit saya akhirnya berjaya melunaskan segala hutang termasuk hutang kedai runcit.

Selepas setahun saya berhemat, akhirnya saya telah berjaya menguruskan kewangan keluarga dengan baik. Setiap bulan saya akan mengumpulkan anak-anak dan isteris dan membentangkan kewangan keluarga. Pada waktu inilah anak-anak akan membuat beberapa permohonan yang melibatkan kewangan. Saya akan mendengar permohonan mereka dan memberi ulasan sama ada untuk meluluskannya atau tidak. Misalnya mungkin ada anak yang minta ditambah wang saku hariannya kerana masalah harga barang sudah naik. Kami akan berbincang dan mempertimbangkan. Mungkin ada anak yang ingin membeli barang keperluan baru seperti begnya yang sudah lusuh atau tidak boleh lagi digunakan. Pada waktu itulah kami membuat keputusan.

Mesyuarat keluarga ini kami jadikan aktiviti setiap bulan. Anak saya yang tua akan menjadi setiausaha, akan mencatat minit mesyuarat. Pada bulan hadapan dia akan membacakan minit tersebut dan melihat beberapa perkara yang perlu dibangkitkan. Dalam mesyuarat keluarga juga kami menentukan tugasan mereka untuk membersihkan rumah. Kadang-kadang ada permintaan daripada anak-anak untuk bertukar tempat setelah begitu lama membersihkan bahagian hadapan rumah, misalnya.

Berbalik tentang kewangan, saya dan isteri telah membuat persetujuan bahawa kedua-dua wang gaji kami dikumpulkan sekali dan segala perbelanjaan ada tanggungjawab kami bersama. Sudah tentulah wang gajiku yang digunakan terlebih dahulu. Hingga akhirnya kami dapat berjimat, apabila wang gaji isteri selalunya ada lebihan. Setelah mendapati kewangan kami sudah kukuh dan mempunyai simpanan, kami telah bersetuju untuk keluar makan sebulan sekali sekeluarga di sebuah restoran terkemuka ataupun di hotel. Malah akhirnya kami sudah berupaya setahun sekali membawa keluarga melancong dan menginap di hotel-hotel yang sederhana bayarannya.

Sehingga kini saya dan keluarga sudah bebas dari masalah kewangan. Pada mulanya memang terasa sukar untuk merancang, tetapi sehingga sekarang sudah menjadi kebiasaan pula bagi saya untuk mencatatkan segala perbelanjaan harian, meskipun saya sudah bersara.

Oleh itu rancanglah kewangan anda. Mulakan dengan mencatat segala perbelanjaan harian. Setiap akhir bulan buat rumusan berdasarkan perbelanjan berikut:

1. Perbelanjaan dapur
2. perbelanjaan pasar
3. sewa rumah atau bayaran rumah
4. bayaran kereta
5. bil-bil
6. belanja sekolah
7. pakaian dan keperluan rumah
8. simpanan tetap.
9. lain-lain

Daripada sinilah kita dapat melihat di manakah bahagian yang boleh kita kurangkan. Percayalah kita akan terperanjat selepas setahun kita akan melihat perubahannya. Selepas lima tahun kita sudah boleh melihat wang kita sudah bertambah di dalam bank.

Mulakanlah dari sekarang.

Senin, 14 April 2008

Sangeetha

Saya sedang membaca ‘Sangeetha’ karya Azizi Haji Abdullah. Sebuah kisah percintaan orang tua, antara Derus dan Sangeetha. Cinta berlainan bangsa, antara Melayu dan India. Sudah tentu cinta berlainan agama dan kepercayaan. Cinta antara pemain gambus dengan pemain tabla. Percintaan yang lahir kerana kesepian. Sangeetha sepi selepas kematian Viralal (suaminya). Manakala Derus sepi kerana sebatang karah. Mereka saling memerlukan kerana Derus adalah tukang kebun dan pekerja di rumah Sangeetha.

Apa yang menarik dalam novel ini bukanlah tentang percintaan mereka. Ada sesuatu yang tersembunyi dalam kisah ini, yang memberi kesan kepada saya. Viralal seorang India yang datang dari India yang bermula dengan kerja-kerja mengumpulkan barang terbuang seperti botol-botol kosong, besi buruk dan akhbar lama. Akhirnya menjadi kayaraya (kalaupun bukan jutawan) bila meninggal dunia meninggalkan sejumlah harta kepada isterinya. Manakala Derus pula watak seorang Melayu yang bekerja sebagai Posmen, akhirnya bersara, tapi tidak punya harta. Tinggal menyewa rumah Viralal dan menjadi tukang kebun dan driver kepada Viralal.

Inilah sesuatu yang menarik dalam karya Azizi ini. Fikirkanlah.

Rabu, 09 April 2008

Inikah yang dikatakan takdir?

Berbual-bual dengan seorang cikgu veteran (sudah bersara) yang banyak pengalaman, malah banyak menulis dan membuat kajian terasa seronok pula. Dia bercerita tentang seorang guru yang didapati bersalah dan sabit kesalahannya kerana rasuah, telah dijatuhi hukuman dua tahun penjara. Hendak dijadikan cerita, tiba-tiba dia dibebaskan sebelum habis tempoh hukuman dan dibayar segala pampasan, kebetulan sudah tiba masa bersara, diberi pula ganjaran persaraan sebagai seorang pesara kerajaan. Hal ini berlaku kerana masjisterit atau hakim yang menjatuhkan hukumannya dulu telah didapati menyalah guna kuasa dan menghilangkan diri bila kesnya hendak dibawa ke mahkamah. Rupanya dalam perundangan bila hakim sendiri didapati terlibat dalam kes rasuah atau salah guna kuasa, segala kes dan hukuman yang melibatkan dirinya adalah terbatal. Termasuklah kes guru itu tadi yang telah pun menjalani hukuman. Kini guru itu masih menikmati ganjaran persaraannya.

Berbanding dengan kisah seorang lagi guru yang berjuang dalam politik dan persatuan. Hendak dijadikan cerita tokoh ini di ambang umur persaraannya (Cuma dalam beberapa bulan sahaja lagi mencapai umur 55 tahun ) dia diminta bertanding dalam pilihan raya. Kerana dia bertanding atas tiket parti kerajaan, tidaklah dia ragu-ragu lagi untuk melepaskan jawatannya sebagai guru (dengan janji dia juga akan diberikan nikmat gaji bersara). Malangnya dia tewas dalam pilihan raya tersebut. Sudahlah tewas, jawatan gurunya juga terlepas, janji untuk memberikan ganjaran bersara pun terlepas. Hinggalah beliau meninggal dunia, tokoh ini terus dilupakan. Kebetulan baru-baru ini saya ada bertandang ke rumah balunya untuk berziarah. Mujurlah balu tokoh yang dilupakan ini pandai menjahit. Dapatlah dia menampung hidup dengan seorang lagi anak yang masih dalam tanggungannya. Suaminya dulu seorang tokoh yang terkenal. Ramai yang meminta bantuan dan pertolongan, maklumlah orang nombor dua selepas Yang Berhormat di kawasannya. Tetapi kini dia telah dilupai. Sebagai guru yang hampir mencecah umur bersara, dia tidak mendapat apa-apa . Kalau dibandingkan dengan guru yang pernah ditahan dan didapati bersalah… rasanya itulah yang dikatakan takdir.

Minggu, 06 April 2008

Kuman di Seberang Laut...

Semasa memandu, sambil mendengar radio saya dapat mendengar siri bicara yang sangat menarik oleh seorang Prof. Saya tidak ingat namanya, tetapi apa yang menarik apabila beliau memberikan pendapat tentang apa yang berlaku dewasa ini, semua orang berlagak pandai. Sampaikan pemandu teksi, tukan kebun sekolah, petani, penganggur semuanya nak jadi jaguh politik. Semuanya berlagak pandai dengan mengkritik kepimpinan seseorang. Sepatutnya kita harus melihat diri kita dulu sebelum mengkritik orang lain. Katalah sebagai seorang pemandu teksi, perlu bertanya diri sendiri dulu apakah kita betul-betul menjadi seorang pemandu teksi yang berhemah, yang memandu dengan mengikut undang-undang. Kalau ada penumpang apakah kita melayannya dengan baik, tidak ada niat menipu untuk mendapat keuntungan. Apakah kita guna meter, apakah kita suka ambil jalan jauh untuk dapat bayaran lebih? Inilah yang perlu kita lakukan dulu. Begitu juga kalau kita sebagai seorang guru. Apakah kita benar-benar mengajar anak murid kita dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh? Adakah kita memeriksa buku latihan pelajar kita? Bagaimana dengan masa masuk kelas? Adakah kita menepati masa? Kalau kita seorang tukang kebun sekolah atau pekerja pejabat begitu juga, pernah kita berfikir tentang tugas-tugas yang kita buat, apakah kita telah menjalankan tanggungjawab kita dengan baik dan berkesan? Ini tidak, kata prof. itu ,orang kita terlalu pandai untuk melihat kesalahan orang lain, sedangkan kesalahan sendiri tidak nampak. Ibarat gajah di tepi mata tidak nampak, tetapi kuman di seberang laut yang kita nampak.

Saya amat bersetuju dengan pendapat prof., berkenaan. Nampaknya Pak Lah sendiri akhirnya terpaksa bersuara mempertahankan dirinya.

Selasa, 01 April 2008

Muhasabah Diri

Malas untuk mengulas tentang kemelut politik yang tidak habis-habis. Terutama tentang politik Melayu. Masing-masing menuduh antara satu sama lain. Engkau salah, engkaulah yang bebal, engkaulah yang menyebabkan perpecahan. Eloklah kita diam dulu dan bermuhasabah diri.

Selasa, 25 Maret 2008

Tentang bahasa lagi.... Lagi-lagi tentang bahasa..!

Polimik tentang penggunaan Bahasa Inggeris dalam mata pelajaran matematik dan sains tidak habis-habis. Meskipun sekarang ada ura-ura dari pihak kerajaan untuk mengkajinya semula. Sudah tentulah respon positif ini berlaku kerana asakan daripada banyak pihak. Pada saya anak-anak kita khususnya anak-anak Melayu tidak ada masalah untuk belajar dalam bahasa apa sekali pun. Tukarkan sistem pelajaran kita kepada semuanya kepada pengantar bahasa Inggeris pun tidak ada masalah. Selepas enam tahun sekolah rendah kemudian tambah lima tahun sekolah menengah, tambah lagi dua tahun di peringkat tingakatan enam, tambah lagi empat tahun di universiti, saya yakin dan pasti kita akan dapat melahirkan pelajar Melayu yang mahir bertutur bahasa Inggeris. Bukan setakat itu sahaja mereka juga akan berfikir dengan menggunakan bahasa Inggeris. Selepas 17 tahun kita akan melihat rakyat Malaysia yang benar-benar global. Mungkin masalah pengangguran akan dapat diselesaikan kerana selama ini kita beranggapan pelajar Melayu tidak dapat kerja kerana tidak boleh bertutur dalam bahasa Inggeris. Mungkin lebih ramai pelajar Melayu yang dapat di hantar ke luar negara baik untuk urusan perniagaan atau untuk urusan diplomatik. Syarikat-syarikat orang Melayu boleh bersaing dengan syarikat antarabangsa kerana orang-orang Melayu sudah mahir berbahasa Inggeris.

Fikirkanlah pula fenomena ini, bila ramai orang Melayu sudah menguasai bahasa Inggeris.
1. Orang Melayu bertambah bijak.
2. Orang Melayu akan menjawat jawatan yang baik-baik
3. Orang Melayu akan tersebar ke seluruh dunia, terutama di Amerika dan Eropah.
Mungkin ramai yang kahwin dengan Mat Saleh.
4. Orang Melayu sudah bertambah kaya. DEB sudah mencapai lebih 50%. Banyak
rumah-rumah banglo di kampung-kampung. Kalau di taman-taman perumahan pula
orang Melayu mampu membeli rumah mahal, tidak lagi beli rumah murah atau
flet sahaja.
5. Kedai-kedai di bandar banyak dipunyai oleh orang Melayu.

Hal ini adalah disebabkan orang Melayu telah menguasai bahasa Inggeris, iaitu bahasa Kemajuan. Inilah agaknya yang dikatakan Melayu Baru. Oleh itu disorkan agar kita tukar sahaja sistem pelajaran kita kepada bahasa pengantar bahasa Inggeris, kerana dengan bahasa Melayu kita tidak akan ke mana-mana.

Bagaimana kalau saya cadangkan supaya bahasa pengatar kita tukar kepada bahasa Mandarin? Bagus untuk perpaduan. Bukan setakat itu sahaja, kita dapati sekarang orang Cina sudah semakin maju dan mula menguasai dunia. Dua puluh, tiga puluh tahun akan datang mereka adalah kuasa ekonomi dunia selain daripada orang putih dan Jepun.

Kalau itulah yang hendak kita kejar.

Selasa, 18 Maret 2008

Ini Bukan Budaya Kita..!

Keluar ke jalan-jalan raya dan berdemonstrasi bukan budaya kita. Inilah yang sering dipaparkan di TV sebelum pilihan raya. Sudah tentu hal ini merujuk kepada tunjuk perasaan secara besaran-besaran oleh BERSIH dan juga HINDRAF. Ramailah yang mengulas tentang budaya ini, yang banyak merugikan masa, tenaga, dan banyak pihak. Peniaga pun susah, mau cari makan, kata seorang Cina yang ditemuramah. Semua jalan jem, masalah kepada pemandu teksi, kata seorang pemandu teksi pula. Harta kerajaan banyak rosak, kata yang lain pula.

Tiba-tiba lepas pilihan raya suasana berubah. Pihak yang dulu berapi-api menyatakan ini bukan budaya kita, tiba-tiba keluar beramai-ramai berdemonstrasi kerana isu yang dikatakan akan merugikan sesetengah pihak. Ketika ini muncullah hero-hero jalanan baru yang menyatakan bahawa kerajaan baru yang dibentuk tidak perihatin kepada mereka. Benarkah?

Itulah persoalannya.

Kamis, 13 Maret 2008

Menang dan Kalah

Kini kita sudah pun mengetahui apa yang telah berlaku kepada dunia politik Melayu. Lebih dari itu ada yang menyangsikan masa hadapan orang-orang Melayu. Akhbar UM setiap hari menyiarkan ratapan, kekesalan dan rintihan daripada beberapa orang pembaca yang rata-rata berasa kesal terhadap kekalahan teruk BN (Meski pun sebenarnya masih menang), cuma lima buah negeri terlepas ke tangan pembangkang. Benarkah akan berlaku seperti apa yang dikhuatiri oleh mereka? Bahawa orang Melayu akan hilang semuanya, bahkan akan hilang hak keistemewaan bumiputera?

Apakah selepas ini orang Melayu akan terus jatuh miskin? Akan tidak dibela lagi? Akan terus mundur dalam semua aspek termasuk pendidikan dan ekonomi. Seharusnya orang Melayu janganlah berasa gentar. Selama ini pun bila dikaitkan dengan Melayu semuanya adalah yang berbentuk negetif. Tidak ada suatu pun yang Melayu boleh buat. Kalau menyentuh politik, politik Melayu memang teruk. Penuh dengan hasad dengki, fitnah dan jatuh-menjatuhkan. Kalau menyentuh tentang ekonomi Melayu. Nak mencapai 30% DEB pun sakit. Begitu juga tentang pelajaran, Melayu masih lemah jika dibandingkan dengan kaum-kaum lain seperti Cina dan India. Ada seorang dua yang mencapai 18A dan kini 21A bukan bermakna orang Melayu sudah boleh menandingi orang Cina dalam pelajaran.. Dari segi peratusan kita masih kalah berbanding dengan mereka. Begitu juga dalam aspek lain, orang-orang Cina sebenarnya sudah jauh meninggalkan kita.

Orang Melayu mestilah mengubah sikap kalau ingin maju. Janganlah masih berharap kepada kerajaan semata. Apa yang penting ialah orang Melayu yang di atas mestilah ada usaha untuk menolong orang Melayu di bawah. Misalnya, orang Melayu yang Berjaya dalam ekonomi, perlulah membantu peniaga-peniaga Melayu yang ingin bersaing, bukan cuba membolot dan memenopoli kejayaannya sendiri sahaja. Banyak cara untuk membantu rakan-rakan Melayu yang berniaga. Bimbingan dan pembahagian kek ekonomi yang sama rata perlu diusahakan. Jangan hendak bolot sesama kroni sahaja.

Dalam pendidikan juga begitu. Pensyarah-pensyarah di pusat pengajian tinggi ramai Melayu. Apakah peranan mereka? Seharusnya mereka bertanggungjawa memastikan anak-anak Melayu berjaya di peringkat universiti. Budaya membimbing dan mendedahkan anak-anak Melayu dalam arus pendidikan tinggi harus diusahakan. Kita dapati didekasi pensyarah Melayu masih kurang. Tidak sama dengan orang-orang Cina dan India. Mereka bersama-sama memastikan pelajar mereka berupaya menghadapi kepesatan ilmu teknologi terkini. Kita masih membiarkan anak-anak Melayu terkontang-konteng tanpa bimbingan. Dibiarkan bersendirian untuk memajukan diri. Ramai pelajar Melayu yang gagal semasa di pusat pengajian tinggi, jika dibandingkan dengan anak-anak bangsa lain. Kenapa? Adakah mereka memang tidak pandai?

Pemimpin-pemimpin kita nampaknya masih gagal dalam menangani banyak masalah orang Melayu. Hatta dalam membasmi penagihan dadah yang kita sendiri akui bahawa orang melayulah yang paling ramai. Hingga sekarang masih belum ada tanda-tanda kita berjaya mengatasinya. Masalah sosial juga sering menghantui kita. Anak-anak Melayu terlibat dalam kegiatan merempit, meragut dan buang bayi. Bilakah masalah ini akan dapat diatasi. Sudah 50 tahun kita merdeka. Masalah kemiskinan orang Melayu sendiri masih tidak dapat diselesaikan hingga kini. Sedangkan kuasa politik ditangan kita. Sepatutnya dengan ‘kuasa’ itu kita boleh buat macam-macam. Sepatutnya orang Melayu sudah kaya-raya. Lihatlah di taman-taman perumahan, kita masih belum dapat tinggal di rumah-rumah mahal, orang Melayu masih ramai yang tinggal di rumah-rumah murah dan flet murah. Kalau di kampung pula, lihatlah rumah-rumah orang Melayu, masih daif.

Kini sudah sampai masanya kita sedar. Bangunlah wahai orang Melayu. Janganlah kita iri hati kepada kaum lain, yang kini bukan sahaja sudah mula menguasai ekonomi bahkan sudah mula menguasai kuasa politik. Janganlah selepas ini satu-satu terlepas dari tangan kita. Orang Cina boleh, seharusnya orang Melayu pun boleh. Janganlah berharap kepada kerajaan sahaja. Kita harus mengubah diri kita sendiri. Belajarlah dari rakan kita orang-orang Cina. Bukan memusuhi mereka. Bukan masanya lagi untuk kita meratap.

Senin, 03 Maret 2008

Kuasa Satu Undi

Salah satu kemestikan bagiku setiap hari apabila jam lapan malam akan menonton Berita baik di TV 3 atau RTM 1. Tetapi sejak akhir-akhir ini aku berasa bosan dengan berita yang dipaparkan. Nampaknya bukan lagi berita, tetapi penuh dengan kempen. Lalu aku cuba pula melawat ke TV 9, begitu juga sama sahaja nadanya dengan TV 3 dan RTM. Buka pula TV 7, kempen juga. Lalu aku pun mengambil keputusan menutup TV. Tak perlulah tengok, kalau semua berita sudah bertukar menjadi kempen.

Bukan bermakna aku anti kerajaan. Sudah lama aku menyokong kerajaan. Ayahku (arwah) sendiri orang kuat UMNO, begitu juga kakakku sendiri adalah Ketua Wanita UMNO Bahagian. Sudah tentu kini dia bertungkus lumus bersama-sama berkempen untuk parti dan calon BN. Walau bagaimanapun dalam memilih pemimpin, eloklah kita ikut nasihat mufti negeri Perlis yang menyatakan bahawa pilihlah individu bukan parti. Kita boleh menilai siapakah individu tersebut, sama ada sesuai untuk dijadikan pemimpin kita. Janganlah kita tersalah pilih. Mereka ini akan menentukan masa depan kita, masa depan Negara kita.

Gunakanlah kebijaksanaan semasa mengundi. Meskipun satu undi, boleh mengubah masa depan kita. Itulah kuasa rakyat, kuasa di tangan kita.

Kamis, 28 Februari 2008

Untuk Jadi Pemimpin

Ketika ini kita ditaburi dengan janji-janji. Ramai pemimpin sanggup turun padang dan berjanji akan bekerja untuk kebahagiaan rakyat. Benarkah? Kita khuatir pemimpin itu hanya berjanji, tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya , bila jadi pemimpin dia akan dapat banyak kemudahan. Bukan rakyat akan dapat banyak kemudahan. Pemimpin jenis ini harus kita tolak.

Dalam sektor perkhidmatan kerajaan pun ada juga ‘pemimpin’. Pemimpin ini dilantik bukan dicalon melalui pilihan raya. Perlantikan pemimpin ini berdasarkan prestasi kerja dan kini harus pula melalui peperiksaan dalam PTK. Oleh itu ramailah yang bercita-cita untuk menjadi pemimpin atau pun ‘ketua’. Selain dari nikmat kenaikan gaji akan dapat beberapa keistemewaaan. Inilah yang dikejar oleh semua orang, terutama dalam perkhidmatan kerajaan. Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) yang diperkenalkan oleh kerajaan untuk memilih bakal pemimpin atau ‘ketua’ dalam sesebuah sektor kerajaan menyebabkan ramai orang berlumba-lumba untuk lulus peperiksaan. Mereka akan membaca buku-buku yang menjadi teks wajib dalam peperiksaan. Kadang-kadang hingga mengabaikan kerja mereka. Yang penting untuk lulus peperiskaan. Soal tanggungjawab kerja, keefesenan kerja soal kedua.

Apa yang menarik untuk diperkatakan di sini, ialah benarkah sisitem peperiksaan ini akan dapat menentukan seseorang ‘ketua’ yang dipilih benar-benar layak untuk menjadi ‘ketua’. Dalam polimik dunia pendidikan yang sudah mula memikirkan kelemahan system ‘exam oriented’ di Negara kita, rupa-rupanya system peperiksaan itu pula diterima dalam perkhidmatan kerajaan, iaitu bagi memilih pemimpin atau untuk kenaikan pangkat. Peperiksaan sebagai indikator menilai kecekapan seseorang amatlah tidak betul. Begitu juga dengan pelajar yang pintar kerana cemerlang dalam peperiksaan bukan bermakna dia adalah seorang pekerja yang cemerlang. Apalagi menjadi pemimpin atau ketua yang cemerlang.

Untuk menjadi pemimpin ada nilai lain yang perlu diperhatikan. Misalnya penguasaan EQ (Kepintaran Emosi) dan SQ (Kepintaran Sosial). Apa yang penting lagi ialah sifat-sifat kepimpinan seperti Nabi Muhamad saw (sidiq, amanah, tabliq dan fatanah). Inilah nilai yang perlu kita perhatikan dalam seseorang individu yang ingin menjadi ketua baik dalam politik atau pun dalam sektor perkhidmatan kerajaan.

Rabu, 27 Februari 2008

Keberanian Fikir

Keberanian fikir itu lebih sukar dari keberanian jasmani’
- SN Muhammad Haji Salleh

Bertindak atas hasil keberanian fakir kadang-kadang memerlukan kecekalan jitu. Risikonya besar. Sebab itulah kita sering terperangkap dengan sindrom takut. Ketakutan akan menyebabkan kita bertindak di luar pemikiran yang betul. Misalnya seseorang yang takutkan hantu, sanggup terjun ke dalam sungai yang dalam dan arusnya deras. Seseorang yang takut menyatakan kebenaran akan terus dikuasai oleh tangan-tangan kebatilan.

Takutkan perubahan adalah suatu sindrom yang telah lama menguasai orang-orang Melayu. Kalau setakat perubahan taraf, kalau dulu miskin sekarang sudah mewah atau kalau dulu kampung tidak ada kemudahan jalan raya sekarang sudah ada. Kalau dulu tidak ada bekalan elektrik sekarang sudah ada. Kalau dulu tidak ada jambatan sekarang sudah ada. Bukan bermakna kita sudah berubah. Ekonomi berubah kerana banyak sebab, salah satunya adalah kerana peranan ethnik lain yang mana kita sama-sama dapat menikmatinya kerana ada kuasa politik.

Lihatlah sikap orang Melayu, dari dulu hingga sekarang tidak pernah berubah. Sikap hasad dengki, fitnah memfitnah, jatuh-menjatuhkan, membunuh kebijaksanaan (seperti membunuh Hang Nadim) terus menguasai minda orang-orang Melayu. Semuanya kerana takut perubahan yang mungkin akan menyebabkan segala keselesaan yang dinikmati waktu ini akan hilang jika adanya perubahan. Takut dengan perubahan akan menyebabkan kita berhadapan dengan situasi yang lebih teruk lagi, meskipun sekarang kita sudah teruk.

Oleh itu kita perlukan ‘keberanian’ untuk apa yang dikatakan ‘hijrah minda’. Di sinilah letaknya ‘keberanian fikir’ itu.

Selasa, 26 Februari 2008

Kisah Terpencil tapi Mempunyai Makna Besar bagi Sebuah Negara Demokrasi

Mingkin kisah ini kisah terpencil. Kisah yang berlaku di sebuah negara demokrasi. Sebuah institusi seperti sebuah sekolah bolehlah diibaratkan sebagai sebuah negara kecil yang mempunyai seorang PM (Pengetua), Timbalan PM (Penolong Kanan 1 & 2) dan menteri-menteri (Ketua-Ketua Bidang).

Inilah yang berlaku…

Seorang Penolong Kanan Petang (menteri) sebuah sekolah di Johor mengurung dan mengunci pintu pagar sekolah baru-baru ini dan tidak membenarkan beberapa orang guru ( terlibat juga orang luar) keluar dari perkarangan sekolah amatlah mendukacitakan. Alasan yang diberikan oleh pihak sekolah amat tidak praktikal sekali, iaitu agar guru-guru petang tidak dibenarkan keluar sebelum mereka mengutip sampah di padang sekolah berkenaan.

Beberapa orang suami dan orang luar yang terperangkap pada mulanya memohon kepada pengawal keselamatan yang bertugas supaya membuka kunci pagar kerana petang sudah agak lewat, iaitu sudah 7.15 petang. Adalah sesuatu yang melucukan dan tidak masuk akal menyuruh guru-guru memunggut sampah di padang kerana waktu itu sudah hampir waktu solat.

Sebenarnya sebahagian guru memang tidak kisah sangat bila mereka diejek-ejek oleh pelajar sekolah kerana memunggut sampah, tetapi apa yang penting mengapa mereka dikurung seperti orang salah, malah orang luar pun terlibat sama.

Keadaan menjadi lebih tidak terkawal apabila pengawal keselamatan seolah-olah tidak mahu berkompromi, malah meninggalkan pondok jaga itu, entah hilang ke mana. Melihat tidak ada apa-apa tindakan dibuat seorang daripada suami guru sekolah itu cuba mengumpil mangga pintu pagar berkenaan, tetapi tidak berjaya. Ketika itu barulah pengawal keselamatan muncul kembali sambil memarahi mereka.

Adakah ini satu cara pihak sekolah menangani kempen kebersihan? Hingga sanggup mengurung guru-gurunya sendiri dan memaksa mereka mengutip sampah dahulu sebelum mereka balik. Difahamkan kejadian ini bukan kali pertama berlaku. Bagi guru-guru itu mereka tidak kisah untuk sama-sama bertanggungjawab membersihkan sekolah, tetapi haruslah diberi sama kesedaran kepada pelajar agar mereka sama-sama bertanggungjawab. Mungkin dengan adakan hari gotong-royong. Sudah tentu guru-guru sekolah akan rela hati bersama-sama mengutip sampah dan membersihkan sekolah.

Kita amat bersimpati dengan guru-guru di sekolah berkenaan. Kebanyakan mereka agak takut bersuara kerana tekanan pihak sekolah. Mereka akan diugut dengan menyuruh isi borang pertukaran ataupun bakal menerima markah prestasi yang rendah kalau bersuara atau menyatakan rasa tidak puas hati mereka. Guru-guru di sekolah ini juga diugut dengan menyatakan tak perlulah mereka mengadu ke Jabatan Pendidikan kerana pegawai-pegawai di sana kebanyakannya adalah kawan-kawan mereka.

Inilah gambaran yang sering berlaku. Kita sebagai orang biasa sering ditindas kerana tidak ada orang-orang ‘besar’ yang kita kenali di atas.

Allah sahaja yang Maha mengetahui. Kepadanya kita berhak mengadu.

Senin, 25 Februari 2008

Di Negara Catsia

Dalam kerajaan kucing, di Negara Catsia terdapat menterinya yang kuat tidur. Menteri kucing ini memang kelihatan alim dan mengiaupun bersopan. Kesempatan ini diambil oleh menteri dan juak-juaknya yang lain. Mereka ini akan memastikan setiap ikan-ikan besar akan menjadi santapan mereka dahulu. Menteri kucing yang suka tidur ini tidak dapat menghidu penyelewangan ini. Sebagai contoh setiap projek kerajaan yang akan diluluskan oleh Menteri kucing mestilah melalui prosedur yang sangat ketat. Mesti melalui saringan di beberapa bahagian yang masing-masing dijaga oleh kucing-kucing tamak ikan panggang ini. Sekurang-kurangnya setiap permohonan projek mestilah menyediakan ikan-ikan panggang untuk setiap bahagian penyaringan. Lalu berlakulah apa yang dikatakan ‘rasuah’ yang tidak jelas kelihatan, tetapi berlaku.

‘Kita akan tentang rasuah ikan panggang habis-habisan!’ kata Menteri kucing berkali-kali.

Tangkapan pun dibuat untuk membuktikan kerajaan kucing memang anti rasuah ikan panggang . Selepas itu Menteri kucing itu kembali dengan sifat semula jadinya yang suka tidur. Rasuah kembali senyap-senyap menular bagai ular yang bakal membelit kucing-kucing yang alpa dan akan menjadi mangsa. Juak-juak dan menteri yang rasuah ini begitu cekap dalam menjalankan aktiviti mereka. Semuanya atas nama parti yang mereka anggotai, iaitu Parti Kebangsaan Kucing Catsia (PKKC). Setiap projek kerajaan mesti melalui ehsan parti, dan setiap projek mestilah ada dimasukkan belanja menyediakan ikan-ikan panggang untuk parti. Pandai-pandailah untuk memasukkan perbelajaan ini, mungkin dengan cara menaikkan kos pembelian mata pancing kos cukai tasik atau cukai laut, asalkan kelihatan munasabah, asalkan ikan panggang dihidangkan kepada mereka.

Minggu, 24 Februari 2008

Si Miskin dan Si Kaya

Dalam sebuah kampung terdapat dua orang yang benar-benar berbeza dari segi fizikal dan mentalnya. Bukan itu sahaja, jelas terdapat perbezaan dari segi status hidupnya juga. Seorang miskin, kurus dan hidup sekadar cukup untuk keperluan mereka sekeluarga. Anaknya ramai. Begitu juga jirannya seorang kaya, berbadan besar, gemuk dan juga punya anak ramai.

Bagaimanapun dari segi kepimpinan, si miskin itu tetap seorang pemimpin dalam keluarganya yang seramai empat belas orang itu. Begitu juga si kaya tetap juga seorang pemimpin bagi keluarganya yang seramai empat belas juga itu.

Si miskin dan si kaya sebenarnya adalah bersaudara, tetapi nasib dan takdir nampaknya menyebelahi si kaya sehingga si kaya mampu mempunyai beberapa buah rumah, beberapa buah kereta dan juga macam-macam kesenangan hidup. Sedangkan si miskin memang tidak mampu memiliki kemewahan seperti saudaranya. Yang ada cuma sebuah rumah sederhana dan sekeping tanah untuk mereka usahakan menampung hidup mereka selama ini.

Suatu ketika di kampung itu telah diadakan pemilihan untuk memilih Ketua Kampung yang baru sahaja meninggal. Didapati hanya dua tokoh itu sahaja yang dikira layak untuk menjadi Ketua Kampung. Si Miskin dan Si Kaya. Si Kaya cuba memujuk si miskin agar dapat membenarkan dia menyandang jawatan tersebut tanpa diadakan pemilihan. Pada mulanya si miskin memang tidak berhajat untuk menjadi Ketua Kampung, tetapi atas saranan dan desakan orang-orang kampung dia akhirnya bersetuju untuk bertanding. Apa lagi Si kaya pun sejak hari itu sudah mula memusihi si miskin anak beranak.

Semasa berkempen si kaya menyatakan kepada penduduk kampung, kalau kamu semua memilih dia, apakah yang boleh dilakukannya. Dia tidak akan dapat memberikan apa- apa kepada kamu, sedangkan untuk dirinya dan anak-anaknya sendiri dia tidak berupaya. Sebelum ini pun kalau tanpa belas ehsan kami, mereka akan kebuluran, inikan pula hendak menjadi ketua di kampung ini. Lainlah, saya. Saya mempunyai harta kekayaan yang akan dapat membangunkan kampung ini. Insyahallah masjid kampung ini akan saya besarkan, begitu juga sekolah, padang permainan dan kemudahan-kemudahan lain akan saya bina untuk kegunaan orang-orang kampung ini.

Mendengar janji-janji ini, termakan juga di hati penduduk kampung. Lalu mereka bertanya keapda si miskin. Apakah janji kamu wahai si miskin?

Jawab si miskin, saya tidak akan dapat berjanji seperti si kaya, tetapi percayalah, kalau saya menjadi pemimpin (yang dipercayai) , saya akan memimpin kamu, yakni kita akan bersama-sama membangunkan kampung ini. Maksud bersama-sama ialah, kita akan bersama-sama berusaha mencari dana untuk mendirikan masjid, atau membesarkan masjid, mendirikan kemudahan-kemudahan awam dan sebagainya. Dengan cara ini tuan-tuan sebenarnya bersama-sama memajukan kampung, memajukan bangsa kita, bukan saya, saya hanya sebagai pemimpin. Itupun kalau tuan-tuan dan puan-puan percaya kepada saya.

Berdasarkan janji-janji ini siapakah yang akan saudara pilih untuk menjadi ketua kampung?

Jumat, 22 Februari 2008

Jalan Raya dan Pilihan Raya

Memang kedua-dua perkataan itu tidak sama maksudnya. Tapi kedua-duanya mempunyai pengertian yang sama jika dikaitkan dengan sikap orang-orang Malaysia. Di jalan-jalan raya orang-orang Malaysia sudah melupakan segala apa yang dikatakan budi bahasa, kesopanan, menghormati orang lain ( terutama orang tua), bersabar dan berhati-hati. Sikap ini hilang entah ke mana bila orang Malaysia memegang setereng.

Nampaknya begitulah juga, pada musim pilihan raya. Orang-orang Malaysia kembali agresif, seperti tidak berbudaya, hilang segala budi bahasa, kesopanan dan sudah tidak pandai lagi menghormati orang lain. Inilah yang kita ajar kepada anak-anak kecil kita. Mereka didedahkan dengan cara demokrasi orang Malaysia. Mereka didedahkan dengan cara memandu orang-orang Malaysia.

Kita pun hairan ke mana agaknya orang-orang Malaysia hendak pergi, bila memecut laju tidak kiralah di tempat yang sesuai atau tidak. Kalau had laju 110, mereka akan memecut hingga 140 -150 km. sejam. Apa yang hendak dikejar tak taulah kita. Bagus juga kalau itulah sikap pemandu itu, bila berada di pejabat. Yang menghairankan, bila sampai di pejabat, mereka inilah yang bekerja sambil lewa, tidak bersungguh-sungguh dan sentiasa lambat menyiapkan tugas. Begitu kontras dengan sikapnya bila memandu, seolah-olah itulah juga sikapnya bila berada di pejabat.

Sekarang ini bila tiba musim pilihan raya, musim berkempen, kita akan dapat melihat betapa orang-orang Malaysia sudah kehilangan segala sopan-santunnya. Yang penting menang. Cara untuk menang tidak penting lagi. Buatlah, asal menang.

Bilalah orang-orang Malaysia dapat mengubah sikap, baik di jalan-jalan raya, ataupun pada musim-musim pilihan raya.?

Rabu, 20 Februari 2008

Apabila Lampu Padam

Ada ketikanya kita mengalami blackout dan terpaksa bergelap. Malam-malam yang terang akan menjadi gelap, malah segala aktiviti seperti menonton tv, membaca buku, membuat kerja rumah atau mengaji (membaca Al-Quran) akan terbantut. Mungkin kita akan memasang lilin atau bagi yang berkemampuan akan bersedia dengan lampu kecemasan.

Biasanya kita akan mengeluh dan merunggut-runggut menyalahkan keadaan. Kenapalah selalu sangat berlaku blackout begini? Mengapalah TEN lembab sangat?. Macam-macam lagilah kutukan, yang kadang-kadang dilemparkan entah kepada siapa.

Bagi saya sesekali berlaku situasi begini akan menguntungkan kami, terutama ketika anak-anak masih kecil dan masih bersekolah. Bila berlaku blackout, mereka akan berkumpul berdekatan kami, ibubapa mereka. Kegelapan itu menyebabkan mereka berasa takut. Kami akan memasang lilin dan anak-anak akan berkumpul di sekeliling kami. Pada waktu beginilah aku mula bercerita. Aku akan bercerita tentang peristiwa semasa kecil, peristiwa dalam keluarga, bersama atuk, masa persekolahan dan pelbagai peristiwa yang sudah tentu tidak sama dengan apa yang anak-anakku alami.

Ketika inilah aku menyelitkan pesanan-pesanan, nasihat dan tunjuk ajar dalam cerita-ceritaku itu. Aku dapat bercerita tentang kegigihan Atuk yang berjuang gigih untuk keluar dari lingkungan kemiskinan. Daripada tujuh orang adik beradiknya, dialah sahaja yang berjaya kerana percayakan kepada kekuatan ‘ilmu’. Dia suka belajar, dan banyak membaca. Adik beradiknya yang lain masih di takuk lama, masih miskin, masih tinggal di pedalaman. Akhirnya dia disegani dan dijadikan contoh sebagai seorang yang berjaya dalam hidupnya.

Bagiku pula, aku menceritakan bagaimana disiplin atuk mendidik kami adik beradik. Semua anak-anaknya termasuk aku boleh dikatakan berjaya dalam pelajaran. Apa yang penting baginya ialah, belajar! Belajar! Membaca! dan terus membaca!.

Sebagai bapa, dia cukup perihatin terhadap masa depan kami, anak-anaknya. Dia sering meluangkan masanya dengan kami. Biasanya lepas asar, selepas balik dari bendang, kami akan berkumpul mendengar dia membaca buku kisah nabi. Pada waktu malam pula (selepas mengaji)dia sering bercerita kepada kami tentang masa kecilnya. Dia juga banyak bercerita tentang kisah-kisah binatang seperti kisah Sang Kancil yang sentiasa menang bila berurusan dengan harimau.Dia juga berkisah tentang kisah-kisah dongeng, tentang puteri raja yang di bawa kembara dan dimasukkan ke dalam 'cembul'.Pada waktu itu hanya cerita ayah yang menjadi tumpuan kami kerana radio dan tv belum ada lagi. Kami sendiri masih menggunakan pelita ayan.

Di kampung itu ayah dikira sebagai seorang yang terpelajar. Dia juga seorang iman di kampung itu. Atas usahanya dia membina sebuah pondok untuk pelajar-pelajar dewasa belajar, dan dia dilantik menjadi guru kelas dewasa. Ibu adalah salah seorang muridnya.