Kamis, 28 Februari 2008

Untuk Jadi Pemimpin

Ketika ini kita ditaburi dengan janji-janji. Ramai pemimpin sanggup turun padang dan berjanji akan bekerja untuk kebahagiaan rakyat. Benarkah? Kita khuatir pemimpin itu hanya berjanji, tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya , bila jadi pemimpin dia akan dapat banyak kemudahan. Bukan rakyat akan dapat banyak kemudahan. Pemimpin jenis ini harus kita tolak.

Dalam sektor perkhidmatan kerajaan pun ada juga ‘pemimpin’. Pemimpin ini dilantik bukan dicalon melalui pilihan raya. Perlantikan pemimpin ini berdasarkan prestasi kerja dan kini harus pula melalui peperiksaan dalam PTK. Oleh itu ramailah yang bercita-cita untuk menjadi pemimpin atau pun ‘ketua’. Selain dari nikmat kenaikan gaji akan dapat beberapa keistemewaaan. Inilah yang dikejar oleh semua orang, terutama dalam perkhidmatan kerajaan. Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) yang diperkenalkan oleh kerajaan untuk memilih bakal pemimpin atau ‘ketua’ dalam sesebuah sektor kerajaan menyebabkan ramai orang berlumba-lumba untuk lulus peperiksaan. Mereka akan membaca buku-buku yang menjadi teks wajib dalam peperiksaan. Kadang-kadang hingga mengabaikan kerja mereka. Yang penting untuk lulus peperiskaan. Soal tanggungjawab kerja, keefesenan kerja soal kedua.

Apa yang menarik untuk diperkatakan di sini, ialah benarkah sisitem peperiksaan ini akan dapat menentukan seseorang ‘ketua’ yang dipilih benar-benar layak untuk menjadi ‘ketua’. Dalam polimik dunia pendidikan yang sudah mula memikirkan kelemahan system ‘exam oriented’ di Negara kita, rupa-rupanya system peperiksaan itu pula diterima dalam perkhidmatan kerajaan, iaitu bagi memilih pemimpin atau untuk kenaikan pangkat. Peperiksaan sebagai indikator menilai kecekapan seseorang amatlah tidak betul. Begitu juga dengan pelajar yang pintar kerana cemerlang dalam peperiksaan bukan bermakna dia adalah seorang pekerja yang cemerlang. Apalagi menjadi pemimpin atau ketua yang cemerlang.

Untuk menjadi pemimpin ada nilai lain yang perlu diperhatikan. Misalnya penguasaan EQ (Kepintaran Emosi) dan SQ (Kepintaran Sosial). Apa yang penting lagi ialah sifat-sifat kepimpinan seperti Nabi Muhamad saw (sidiq, amanah, tabliq dan fatanah). Inilah nilai yang perlu kita perhatikan dalam seseorang individu yang ingin menjadi ketua baik dalam politik atau pun dalam sektor perkhidmatan kerajaan.

Rabu, 27 Februari 2008

Keberanian Fikir

Keberanian fikir itu lebih sukar dari keberanian jasmani’
- SN Muhammad Haji Salleh

Bertindak atas hasil keberanian fakir kadang-kadang memerlukan kecekalan jitu. Risikonya besar. Sebab itulah kita sering terperangkap dengan sindrom takut. Ketakutan akan menyebabkan kita bertindak di luar pemikiran yang betul. Misalnya seseorang yang takutkan hantu, sanggup terjun ke dalam sungai yang dalam dan arusnya deras. Seseorang yang takut menyatakan kebenaran akan terus dikuasai oleh tangan-tangan kebatilan.

Takutkan perubahan adalah suatu sindrom yang telah lama menguasai orang-orang Melayu. Kalau setakat perubahan taraf, kalau dulu miskin sekarang sudah mewah atau kalau dulu kampung tidak ada kemudahan jalan raya sekarang sudah ada. Kalau dulu tidak ada bekalan elektrik sekarang sudah ada. Kalau dulu tidak ada jambatan sekarang sudah ada. Bukan bermakna kita sudah berubah. Ekonomi berubah kerana banyak sebab, salah satunya adalah kerana peranan ethnik lain yang mana kita sama-sama dapat menikmatinya kerana ada kuasa politik.

Lihatlah sikap orang Melayu, dari dulu hingga sekarang tidak pernah berubah. Sikap hasad dengki, fitnah memfitnah, jatuh-menjatuhkan, membunuh kebijaksanaan (seperti membunuh Hang Nadim) terus menguasai minda orang-orang Melayu. Semuanya kerana takut perubahan yang mungkin akan menyebabkan segala keselesaan yang dinikmati waktu ini akan hilang jika adanya perubahan. Takut dengan perubahan akan menyebabkan kita berhadapan dengan situasi yang lebih teruk lagi, meskipun sekarang kita sudah teruk.

Oleh itu kita perlukan ‘keberanian’ untuk apa yang dikatakan ‘hijrah minda’. Di sinilah letaknya ‘keberanian fikir’ itu.

Selasa, 26 Februari 2008

Kisah Terpencil tapi Mempunyai Makna Besar bagi Sebuah Negara Demokrasi

Mingkin kisah ini kisah terpencil. Kisah yang berlaku di sebuah negara demokrasi. Sebuah institusi seperti sebuah sekolah bolehlah diibaratkan sebagai sebuah negara kecil yang mempunyai seorang PM (Pengetua), Timbalan PM (Penolong Kanan 1 & 2) dan menteri-menteri (Ketua-Ketua Bidang).

Inilah yang berlaku…

Seorang Penolong Kanan Petang (menteri) sebuah sekolah di Johor mengurung dan mengunci pintu pagar sekolah baru-baru ini dan tidak membenarkan beberapa orang guru ( terlibat juga orang luar) keluar dari perkarangan sekolah amatlah mendukacitakan. Alasan yang diberikan oleh pihak sekolah amat tidak praktikal sekali, iaitu agar guru-guru petang tidak dibenarkan keluar sebelum mereka mengutip sampah di padang sekolah berkenaan.

Beberapa orang suami dan orang luar yang terperangkap pada mulanya memohon kepada pengawal keselamatan yang bertugas supaya membuka kunci pagar kerana petang sudah agak lewat, iaitu sudah 7.15 petang. Adalah sesuatu yang melucukan dan tidak masuk akal menyuruh guru-guru memunggut sampah di padang kerana waktu itu sudah hampir waktu solat.

Sebenarnya sebahagian guru memang tidak kisah sangat bila mereka diejek-ejek oleh pelajar sekolah kerana memunggut sampah, tetapi apa yang penting mengapa mereka dikurung seperti orang salah, malah orang luar pun terlibat sama.

Keadaan menjadi lebih tidak terkawal apabila pengawal keselamatan seolah-olah tidak mahu berkompromi, malah meninggalkan pondok jaga itu, entah hilang ke mana. Melihat tidak ada apa-apa tindakan dibuat seorang daripada suami guru sekolah itu cuba mengumpil mangga pintu pagar berkenaan, tetapi tidak berjaya. Ketika itu barulah pengawal keselamatan muncul kembali sambil memarahi mereka.

Adakah ini satu cara pihak sekolah menangani kempen kebersihan? Hingga sanggup mengurung guru-gurunya sendiri dan memaksa mereka mengutip sampah dahulu sebelum mereka balik. Difahamkan kejadian ini bukan kali pertama berlaku. Bagi guru-guru itu mereka tidak kisah untuk sama-sama bertanggungjawab membersihkan sekolah, tetapi haruslah diberi sama kesedaran kepada pelajar agar mereka sama-sama bertanggungjawab. Mungkin dengan adakan hari gotong-royong. Sudah tentu guru-guru sekolah akan rela hati bersama-sama mengutip sampah dan membersihkan sekolah.

Kita amat bersimpati dengan guru-guru di sekolah berkenaan. Kebanyakan mereka agak takut bersuara kerana tekanan pihak sekolah. Mereka akan diugut dengan menyuruh isi borang pertukaran ataupun bakal menerima markah prestasi yang rendah kalau bersuara atau menyatakan rasa tidak puas hati mereka. Guru-guru di sekolah ini juga diugut dengan menyatakan tak perlulah mereka mengadu ke Jabatan Pendidikan kerana pegawai-pegawai di sana kebanyakannya adalah kawan-kawan mereka.

Inilah gambaran yang sering berlaku. Kita sebagai orang biasa sering ditindas kerana tidak ada orang-orang ‘besar’ yang kita kenali di atas.

Allah sahaja yang Maha mengetahui. Kepadanya kita berhak mengadu.

Senin, 25 Februari 2008

Di Negara Catsia

Dalam kerajaan kucing, di Negara Catsia terdapat menterinya yang kuat tidur. Menteri kucing ini memang kelihatan alim dan mengiaupun bersopan. Kesempatan ini diambil oleh menteri dan juak-juaknya yang lain. Mereka ini akan memastikan setiap ikan-ikan besar akan menjadi santapan mereka dahulu. Menteri kucing yang suka tidur ini tidak dapat menghidu penyelewangan ini. Sebagai contoh setiap projek kerajaan yang akan diluluskan oleh Menteri kucing mestilah melalui prosedur yang sangat ketat. Mesti melalui saringan di beberapa bahagian yang masing-masing dijaga oleh kucing-kucing tamak ikan panggang ini. Sekurang-kurangnya setiap permohonan projek mestilah menyediakan ikan-ikan panggang untuk setiap bahagian penyaringan. Lalu berlakulah apa yang dikatakan ‘rasuah’ yang tidak jelas kelihatan, tetapi berlaku.

‘Kita akan tentang rasuah ikan panggang habis-habisan!’ kata Menteri kucing berkali-kali.

Tangkapan pun dibuat untuk membuktikan kerajaan kucing memang anti rasuah ikan panggang . Selepas itu Menteri kucing itu kembali dengan sifat semula jadinya yang suka tidur. Rasuah kembali senyap-senyap menular bagai ular yang bakal membelit kucing-kucing yang alpa dan akan menjadi mangsa. Juak-juak dan menteri yang rasuah ini begitu cekap dalam menjalankan aktiviti mereka. Semuanya atas nama parti yang mereka anggotai, iaitu Parti Kebangsaan Kucing Catsia (PKKC). Setiap projek kerajaan mesti melalui ehsan parti, dan setiap projek mestilah ada dimasukkan belanja menyediakan ikan-ikan panggang untuk parti. Pandai-pandailah untuk memasukkan perbelajaan ini, mungkin dengan cara menaikkan kos pembelian mata pancing kos cukai tasik atau cukai laut, asalkan kelihatan munasabah, asalkan ikan panggang dihidangkan kepada mereka.

Minggu, 24 Februari 2008

Si Miskin dan Si Kaya

Dalam sebuah kampung terdapat dua orang yang benar-benar berbeza dari segi fizikal dan mentalnya. Bukan itu sahaja, jelas terdapat perbezaan dari segi status hidupnya juga. Seorang miskin, kurus dan hidup sekadar cukup untuk keperluan mereka sekeluarga. Anaknya ramai. Begitu juga jirannya seorang kaya, berbadan besar, gemuk dan juga punya anak ramai.

Bagaimanapun dari segi kepimpinan, si miskin itu tetap seorang pemimpin dalam keluarganya yang seramai empat belas orang itu. Begitu juga si kaya tetap juga seorang pemimpin bagi keluarganya yang seramai empat belas juga itu.

Si miskin dan si kaya sebenarnya adalah bersaudara, tetapi nasib dan takdir nampaknya menyebelahi si kaya sehingga si kaya mampu mempunyai beberapa buah rumah, beberapa buah kereta dan juga macam-macam kesenangan hidup. Sedangkan si miskin memang tidak mampu memiliki kemewahan seperti saudaranya. Yang ada cuma sebuah rumah sederhana dan sekeping tanah untuk mereka usahakan menampung hidup mereka selama ini.

Suatu ketika di kampung itu telah diadakan pemilihan untuk memilih Ketua Kampung yang baru sahaja meninggal. Didapati hanya dua tokoh itu sahaja yang dikira layak untuk menjadi Ketua Kampung. Si Miskin dan Si Kaya. Si Kaya cuba memujuk si miskin agar dapat membenarkan dia menyandang jawatan tersebut tanpa diadakan pemilihan. Pada mulanya si miskin memang tidak berhajat untuk menjadi Ketua Kampung, tetapi atas saranan dan desakan orang-orang kampung dia akhirnya bersetuju untuk bertanding. Apa lagi Si kaya pun sejak hari itu sudah mula memusihi si miskin anak beranak.

Semasa berkempen si kaya menyatakan kepada penduduk kampung, kalau kamu semua memilih dia, apakah yang boleh dilakukannya. Dia tidak akan dapat memberikan apa- apa kepada kamu, sedangkan untuk dirinya dan anak-anaknya sendiri dia tidak berupaya. Sebelum ini pun kalau tanpa belas ehsan kami, mereka akan kebuluran, inikan pula hendak menjadi ketua di kampung ini. Lainlah, saya. Saya mempunyai harta kekayaan yang akan dapat membangunkan kampung ini. Insyahallah masjid kampung ini akan saya besarkan, begitu juga sekolah, padang permainan dan kemudahan-kemudahan lain akan saya bina untuk kegunaan orang-orang kampung ini.

Mendengar janji-janji ini, termakan juga di hati penduduk kampung. Lalu mereka bertanya keapda si miskin. Apakah janji kamu wahai si miskin?

Jawab si miskin, saya tidak akan dapat berjanji seperti si kaya, tetapi percayalah, kalau saya menjadi pemimpin (yang dipercayai) , saya akan memimpin kamu, yakni kita akan bersama-sama membangunkan kampung ini. Maksud bersama-sama ialah, kita akan bersama-sama berusaha mencari dana untuk mendirikan masjid, atau membesarkan masjid, mendirikan kemudahan-kemudahan awam dan sebagainya. Dengan cara ini tuan-tuan sebenarnya bersama-sama memajukan kampung, memajukan bangsa kita, bukan saya, saya hanya sebagai pemimpin. Itupun kalau tuan-tuan dan puan-puan percaya kepada saya.

Berdasarkan janji-janji ini siapakah yang akan saudara pilih untuk menjadi ketua kampung?

Jumat, 22 Februari 2008

Jalan Raya dan Pilihan Raya

Memang kedua-dua perkataan itu tidak sama maksudnya. Tapi kedua-duanya mempunyai pengertian yang sama jika dikaitkan dengan sikap orang-orang Malaysia. Di jalan-jalan raya orang-orang Malaysia sudah melupakan segala apa yang dikatakan budi bahasa, kesopanan, menghormati orang lain ( terutama orang tua), bersabar dan berhati-hati. Sikap ini hilang entah ke mana bila orang Malaysia memegang setereng.

Nampaknya begitulah juga, pada musim pilihan raya. Orang-orang Malaysia kembali agresif, seperti tidak berbudaya, hilang segala budi bahasa, kesopanan dan sudah tidak pandai lagi menghormati orang lain. Inilah yang kita ajar kepada anak-anak kecil kita. Mereka didedahkan dengan cara demokrasi orang Malaysia. Mereka didedahkan dengan cara memandu orang-orang Malaysia.

Kita pun hairan ke mana agaknya orang-orang Malaysia hendak pergi, bila memecut laju tidak kiralah di tempat yang sesuai atau tidak. Kalau had laju 110, mereka akan memecut hingga 140 -150 km. sejam. Apa yang hendak dikejar tak taulah kita. Bagus juga kalau itulah sikap pemandu itu, bila berada di pejabat. Yang menghairankan, bila sampai di pejabat, mereka inilah yang bekerja sambil lewa, tidak bersungguh-sungguh dan sentiasa lambat menyiapkan tugas. Begitu kontras dengan sikapnya bila memandu, seolah-olah itulah juga sikapnya bila berada di pejabat.

Sekarang ini bila tiba musim pilihan raya, musim berkempen, kita akan dapat melihat betapa orang-orang Malaysia sudah kehilangan segala sopan-santunnya. Yang penting menang. Cara untuk menang tidak penting lagi. Buatlah, asal menang.

Bilalah orang-orang Malaysia dapat mengubah sikap, baik di jalan-jalan raya, ataupun pada musim-musim pilihan raya.?

Rabu, 20 Februari 2008

Apabila Lampu Padam

Ada ketikanya kita mengalami blackout dan terpaksa bergelap. Malam-malam yang terang akan menjadi gelap, malah segala aktiviti seperti menonton tv, membaca buku, membuat kerja rumah atau mengaji (membaca Al-Quran) akan terbantut. Mungkin kita akan memasang lilin atau bagi yang berkemampuan akan bersedia dengan lampu kecemasan.

Biasanya kita akan mengeluh dan merunggut-runggut menyalahkan keadaan. Kenapalah selalu sangat berlaku blackout begini? Mengapalah TEN lembab sangat?. Macam-macam lagilah kutukan, yang kadang-kadang dilemparkan entah kepada siapa.

Bagi saya sesekali berlaku situasi begini akan menguntungkan kami, terutama ketika anak-anak masih kecil dan masih bersekolah. Bila berlaku blackout, mereka akan berkumpul berdekatan kami, ibubapa mereka. Kegelapan itu menyebabkan mereka berasa takut. Kami akan memasang lilin dan anak-anak akan berkumpul di sekeliling kami. Pada waktu beginilah aku mula bercerita. Aku akan bercerita tentang peristiwa semasa kecil, peristiwa dalam keluarga, bersama atuk, masa persekolahan dan pelbagai peristiwa yang sudah tentu tidak sama dengan apa yang anak-anakku alami.

Ketika inilah aku menyelitkan pesanan-pesanan, nasihat dan tunjuk ajar dalam cerita-ceritaku itu. Aku dapat bercerita tentang kegigihan Atuk yang berjuang gigih untuk keluar dari lingkungan kemiskinan. Daripada tujuh orang adik beradiknya, dialah sahaja yang berjaya kerana percayakan kepada kekuatan ‘ilmu’. Dia suka belajar, dan banyak membaca. Adik beradiknya yang lain masih di takuk lama, masih miskin, masih tinggal di pedalaman. Akhirnya dia disegani dan dijadikan contoh sebagai seorang yang berjaya dalam hidupnya.

Bagiku pula, aku menceritakan bagaimana disiplin atuk mendidik kami adik beradik. Semua anak-anaknya termasuk aku boleh dikatakan berjaya dalam pelajaran. Apa yang penting baginya ialah, belajar! Belajar! Membaca! dan terus membaca!.

Sebagai bapa, dia cukup perihatin terhadap masa depan kami, anak-anaknya. Dia sering meluangkan masanya dengan kami. Biasanya lepas asar, selepas balik dari bendang, kami akan berkumpul mendengar dia membaca buku kisah nabi. Pada waktu malam pula (selepas mengaji)dia sering bercerita kepada kami tentang masa kecilnya. Dia juga banyak bercerita tentang kisah-kisah binatang seperti kisah Sang Kancil yang sentiasa menang bila berurusan dengan harimau.Dia juga berkisah tentang kisah-kisah dongeng, tentang puteri raja yang di bawa kembara dan dimasukkan ke dalam 'cembul'.Pada waktu itu hanya cerita ayah yang menjadi tumpuan kami kerana radio dan tv belum ada lagi. Kami sendiri masih menggunakan pelita ayan.

Di kampung itu ayah dikira sebagai seorang yang terpelajar. Dia juga seorang iman di kampung itu. Atas usahanya dia membina sebuah pondok untuk pelajar-pelajar dewasa belajar, dan dia dilantik menjadi guru kelas dewasa. Ibu adalah salah seorang muridnya.