Selasa, 25 Maret 2008

Tentang bahasa lagi.... Lagi-lagi tentang bahasa..!

Polimik tentang penggunaan Bahasa Inggeris dalam mata pelajaran matematik dan sains tidak habis-habis. Meskipun sekarang ada ura-ura dari pihak kerajaan untuk mengkajinya semula. Sudah tentulah respon positif ini berlaku kerana asakan daripada banyak pihak. Pada saya anak-anak kita khususnya anak-anak Melayu tidak ada masalah untuk belajar dalam bahasa apa sekali pun. Tukarkan sistem pelajaran kita kepada semuanya kepada pengantar bahasa Inggeris pun tidak ada masalah. Selepas enam tahun sekolah rendah kemudian tambah lima tahun sekolah menengah, tambah lagi dua tahun di peringkat tingakatan enam, tambah lagi empat tahun di universiti, saya yakin dan pasti kita akan dapat melahirkan pelajar Melayu yang mahir bertutur bahasa Inggeris. Bukan setakat itu sahaja mereka juga akan berfikir dengan menggunakan bahasa Inggeris. Selepas 17 tahun kita akan melihat rakyat Malaysia yang benar-benar global. Mungkin masalah pengangguran akan dapat diselesaikan kerana selama ini kita beranggapan pelajar Melayu tidak dapat kerja kerana tidak boleh bertutur dalam bahasa Inggeris. Mungkin lebih ramai pelajar Melayu yang dapat di hantar ke luar negara baik untuk urusan perniagaan atau untuk urusan diplomatik. Syarikat-syarikat orang Melayu boleh bersaing dengan syarikat antarabangsa kerana orang-orang Melayu sudah mahir berbahasa Inggeris.

Fikirkanlah pula fenomena ini, bila ramai orang Melayu sudah menguasai bahasa Inggeris.
1. Orang Melayu bertambah bijak.
2. Orang Melayu akan menjawat jawatan yang baik-baik
3. Orang Melayu akan tersebar ke seluruh dunia, terutama di Amerika dan Eropah.
Mungkin ramai yang kahwin dengan Mat Saleh.
4. Orang Melayu sudah bertambah kaya. DEB sudah mencapai lebih 50%. Banyak
rumah-rumah banglo di kampung-kampung. Kalau di taman-taman perumahan pula
orang Melayu mampu membeli rumah mahal, tidak lagi beli rumah murah atau
flet sahaja.
5. Kedai-kedai di bandar banyak dipunyai oleh orang Melayu.

Hal ini adalah disebabkan orang Melayu telah menguasai bahasa Inggeris, iaitu bahasa Kemajuan. Inilah agaknya yang dikatakan Melayu Baru. Oleh itu disorkan agar kita tukar sahaja sistem pelajaran kita kepada bahasa pengantar bahasa Inggeris, kerana dengan bahasa Melayu kita tidak akan ke mana-mana.

Bagaimana kalau saya cadangkan supaya bahasa pengatar kita tukar kepada bahasa Mandarin? Bagus untuk perpaduan. Bukan setakat itu sahaja, kita dapati sekarang orang Cina sudah semakin maju dan mula menguasai dunia. Dua puluh, tiga puluh tahun akan datang mereka adalah kuasa ekonomi dunia selain daripada orang putih dan Jepun.

Kalau itulah yang hendak kita kejar.

Selasa, 18 Maret 2008

Ini Bukan Budaya Kita..!

Keluar ke jalan-jalan raya dan berdemonstrasi bukan budaya kita. Inilah yang sering dipaparkan di TV sebelum pilihan raya. Sudah tentu hal ini merujuk kepada tunjuk perasaan secara besaran-besaran oleh BERSIH dan juga HINDRAF. Ramailah yang mengulas tentang budaya ini, yang banyak merugikan masa, tenaga, dan banyak pihak. Peniaga pun susah, mau cari makan, kata seorang Cina yang ditemuramah. Semua jalan jem, masalah kepada pemandu teksi, kata seorang pemandu teksi pula. Harta kerajaan banyak rosak, kata yang lain pula.

Tiba-tiba lepas pilihan raya suasana berubah. Pihak yang dulu berapi-api menyatakan ini bukan budaya kita, tiba-tiba keluar beramai-ramai berdemonstrasi kerana isu yang dikatakan akan merugikan sesetengah pihak. Ketika ini muncullah hero-hero jalanan baru yang menyatakan bahawa kerajaan baru yang dibentuk tidak perihatin kepada mereka. Benarkah?

Itulah persoalannya.

Kamis, 13 Maret 2008

Menang dan Kalah

Kini kita sudah pun mengetahui apa yang telah berlaku kepada dunia politik Melayu. Lebih dari itu ada yang menyangsikan masa hadapan orang-orang Melayu. Akhbar UM setiap hari menyiarkan ratapan, kekesalan dan rintihan daripada beberapa orang pembaca yang rata-rata berasa kesal terhadap kekalahan teruk BN (Meski pun sebenarnya masih menang), cuma lima buah negeri terlepas ke tangan pembangkang. Benarkah akan berlaku seperti apa yang dikhuatiri oleh mereka? Bahawa orang Melayu akan hilang semuanya, bahkan akan hilang hak keistemewaan bumiputera?

Apakah selepas ini orang Melayu akan terus jatuh miskin? Akan tidak dibela lagi? Akan terus mundur dalam semua aspek termasuk pendidikan dan ekonomi. Seharusnya orang Melayu janganlah berasa gentar. Selama ini pun bila dikaitkan dengan Melayu semuanya adalah yang berbentuk negetif. Tidak ada suatu pun yang Melayu boleh buat. Kalau menyentuh politik, politik Melayu memang teruk. Penuh dengan hasad dengki, fitnah dan jatuh-menjatuhkan. Kalau menyentuh tentang ekonomi Melayu. Nak mencapai 30% DEB pun sakit. Begitu juga tentang pelajaran, Melayu masih lemah jika dibandingkan dengan kaum-kaum lain seperti Cina dan India. Ada seorang dua yang mencapai 18A dan kini 21A bukan bermakna orang Melayu sudah boleh menandingi orang Cina dalam pelajaran.. Dari segi peratusan kita masih kalah berbanding dengan mereka. Begitu juga dalam aspek lain, orang-orang Cina sebenarnya sudah jauh meninggalkan kita.

Orang Melayu mestilah mengubah sikap kalau ingin maju. Janganlah masih berharap kepada kerajaan semata. Apa yang penting ialah orang Melayu yang di atas mestilah ada usaha untuk menolong orang Melayu di bawah. Misalnya, orang Melayu yang Berjaya dalam ekonomi, perlulah membantu peniaga-peniaga Melayu yang ingin bersaing, bukan cuba membolot dan memenopoli kejayaannya sendiri sahaja. Banyak cara untuk membantu rakan-rakan Melayu yang berniaga. Bimbingan dan pembahagian kek ekonomi yang sama rata perlu diusahakan. Jangan hendak bolot sesama kroni sahaja.

Dalam pendidikan juga begitu. Pensyarah-pensyarah di pusat pengajian tinggi ramai Melayu. Apakah peranan mereka? Seharusnya mereka bertanggungjawa memastikan anak-anak Melayu berjaya di peringkat universiti. Budaya membimbing dan mendedahkan anak-anak Melayu dalam arus pendidikan tinggi harus diusahakan. Kita dapati didekasi pensyarah Melayu masih kurang. Tidak sama dengan orang-orang Cina dan India. Mereka bersama-sama memastikan pelajar mereka berupaya menghadapi kepesatan ilmu teknologi terkini. Kita masih membiarkan anak-anak Melayu terkontang-konteng tanpa bimbingan. Dibiarkan bersendirian untuk memajukan diri. Ramai pelajar Melayu yang gagal semasa di pusat pengajian tinggi, jika dibandingkan dengan anak-anak bangsa lain. Kenapa? Adakah mereka memang tidak pandai?

Pemimpin-pemimpin kita nampaknya masih gagal dalam menangani banyak masalah orang Melayu. Hatta dalam membasmi penagihan dadah yang kita sendiri akui bahawa orang melayulah yang paling ramai. Hingga sekarang masih belum ada tanda-tanda kita berjaya mengatasinya. Masalah sosial juga sering menghantui kita. Anak-anak Melayu terlibat dalam kegiatan merempit, meragut dan buang bayi. Bilakah masalah ini akan dapat diatasi. Sudah 50 tahun kita merdeka. Masalah kemiskinan orang Melayu sendiri masih tidak dapat diselesaikan hingga kini. Sedangkan kuasa politik ditangan kita. Sepatutnya dengan ‘kuasa’ itu kita boleh buat macam-macam. Sepatutnya orang Melayu sudah kaya-raya. Lihatlah di taman-taman perumahan, kita masih belum dapat tinggal di rumah-rumah mahal, orang Melayu masih ramai yang tinggal di rumah-rumah murah dan flet murah. Kalau di kampung pula, lihatlah rumah-rumah orang Melayu, masih daif.

Kini sudah sampai masanya kita sedar. Bangunlah wahai orang Melayu. Janganlah kita iri hati kepada kaum lain, yang kini bukan sahaja sudah mula menguasai ekonomi bahkan sudah mula menguasai kuasa politik. Janganlah selepas ini satu-satu terlepas dari tangan kita. Orang Cina boleh, seharusnya orang Melayu pun boleh. Janganlah berharap kepada kerajaan sahaja. Kita harus mengubah diri kita sendiri. Belajarlah dari rakan kita orang-orang Cina. Bukan memusuhi mereka. Bukan masanya lagi untuk kita meratap.

Senin, 03 Maret 2008

Kuasa Satu Undi

Salah satu kemestikan bagiku setiap hari apabila jam lapan malam akan menonton Berita baik di TV 3 atau RTM 1. Tetapi sejak akhir-akhir ini aku berasa bosan dengan berita yang dipaparkan. Nampaknya bukan lagi berita, tetapi penuh dengan kempen. Lalu aku cuba pula melawat ke TV 9, begitu juga sama sahaja nadanya dengan TV 3 dan RTM. Buka pula TV 7, kempen juga. Lalu aku pun mengambil keputusan menutup TV. Tak perlulah tengok, kalau semua berita sudah bertukar menjadi kempen.

Bukan bermakna aku anti kerajaan. Sudah lama aku menyokong kerajaan. Ayahku (arwah) sendiri orang kuat UMNO, begitu juga kakakku sendiri adalah Ketua Wanita UMNO Bahagian. Sudah tentu kini dia bertungkus lumus bersama-sama berkempen untuk parti dan calon BN. Walau bagaimanapun dalam memilih pemimpin, eloklah kita ikut nasihat mufti negeri Perlis yang menyatakan bahawa pilihlah individu bukan parti. Kita boleh menilai siapakah individu tersebut, sama ada sesuai untuk dijadikan pemimpin kita. Janganlah kita tersalah pilih. Mereka ini akan menentukan masa depan kita, masa depan Negara kita.

Gunakanlah kebijaksanaan semasa mengundi. Meskipun satu undi, boleh mengubah masa depan kita. Itulah kuasa rakyat, kuasa di tangan kita.