Senin, 14 April 2008

Sangeetha

Saya sedang membaca ‘Sangeetha’ karya Azizi Haji Abdullah. Sebuah kisah percintaan orang tua, antara Derus dan Sangeetha. Cinta berlainan bangsa, antara Melayu dan India. Sudah tentu cinta berlainan agama dan kepercayaan. Cinta antara pemain gambus dengan pemain tabla. Percintaan yang lahir kerana kesepian. Sangeetha sepi selepas kematian Viralal (suaminya). Manakala Derus sepi kerana sebatang karah. Mereka saling memerlukan kerana Derus adalah tukang kebun dan pekerja di rumah Sangeetha.

Apa yang menarik dalam novel ini bukanlah tentang percintaan mereka. Ada sesuatu yang tersembunyi dalam kisah ini, yang memberi kesan kepada saya. Viralal seorang India yang datang dari India yang bermula dengan kerja-kerja mengumpulkan barang terbuang seperti botol-botol kosong, besi buruk dan akhbar lama. Akhirnya menjadi kayaraya (kalaupun bukan jutawan) bila meninggal dunia meninggalkan sejumlah harta kepada isterinya. Manakala Derus pula watak seorang Melayu yang bekerja sebagai Posmen, akhirnya bersara, tapi tidak punya harta. Tinggal menyewa rumah Viralal dan menjadi tukang kebun dan driver kepada Viralal.

Inilah sesuatu yang menarik dalam karya Azizi ini. Fikirkanlah.

Rabu, 09 April 2008

Inikah yang dikatakan takdir?

Berbual-bual dengan seorang cikgu veteran (sudah bersara) yang banyak pengalaman, malah banyak menulis dan membuat kajian terasa seronok pula. Dia bercerita tentang seorang guru yang didapati bersalah dan sabit kesalahannya kerana rasuah, telah dijatuhi hukuman dua tahun penjara. Hendak dijadikan cerita, tiba-tiba dia dibebaskan sebelum habis tempoh hukuman dan dibayar segala pampasan, kebetulan sudah tiba masa bersara, diberi pula ganjaran persaraan sebagai seorang pesara kerajaan. Hal ini berlaku kerana masjisterit atau hakim yang menjatuhkan hukumannya dulu telah didapati menyalah guna kuasa dan menghilangkan diri bila kesnya hendak dibawa ke mahkamah. Rupanya dalam perundangan bila hakim sendiri didapati terlibat dalam kes rasuah atau salah guna kuasa, segala kes dan hukuman yang melibatkan dirinya adalah terbatal. Termasuklah kes guru itu tadi yang telah pun menjalani hukuman. Kini guru itu masih menikmati ganjaran persaraannya.

Berbanding dengan kisah seorang lagi guru yang berjuang dalam politik dan persatuan. Hendak dijadikan cerita tokoh ini di ambang umur persaraannya (Cuma dalam beberapa bulan sahaja lagi mencapai umur 55 tahun ) dia diminta bertanding dalam pilihan raya. Kerana dia bertanding atas tiket parti kerajaan, tidaklah dia ragu-ragu lagi untuk melepaskan jawatannya sebagai guru (dengan janji dia juga akan diberikan nikmat gaji bersara). Malangnya dia tewas dalam pilihan raya tersebut. Sudahlah tewas, jawatan gurunya juga terlepas, janji untuk memberikan ganjaran bersara pun terlepas. Hinggalah beliau meninggal dunia, tokoh ini terus dilupakan. Kebetulan baru-baru ini saya ada bertandang ke rumah balunya untuk berziarah. Mujurlah balu tokoh yang dilupakan ini pandai menjahit. Dapatlah dia menampung hidup dengan seorang lagi anak yang masih dalam tanggungannya. Suaminya dulu seorang tokoh yang terkenal. Ramai yang meminta bantuan dan pertolongan, maklumlah orang nombor dua selepas Yang Berhormat di kawasannya. Tetapi kini dia telah dilupai. Sebagai guru yang hampir mencecah umur bersara, dia tidak mendapat apa-apa . Kalau dibandingkan dengan guru yang pernah ditahan dan didapati bersalah… rasanya itulah yang dikatakan takdir.

Minggu, 06 April 2008

Kuman di Seberang Laut...

Semasa memandu, sambil mendengar radio saya dapat mendengar siri bicara yang sangat menarik oleh seorang Prof. Saya tidak ingat namanya, tetapi apa yang menarik apabila beliau memberikan pendapat tentang apa yang berlaku dewasa ini, semua orang berlagak pandai. Sampaikan pemandu teksi, tukan kebun sekolah, petani, penganggur semuanya nak jadi jaguh politik. Semuanya berlagak pandai dengan mengkritik kepimpinan seseorang. Sepatutnya kita harus melihat diri kita dulu sebelum mengkritik orang lain. Katalah sebagai seorang pemandu teksi, perlu bertanya diri sendiri dulu apakah kita betul-betul menjadi seorang pemandu teksi yang berhemah, yang memandu dengan mengikut undang-undang. Kalau ada penumpang apakah kita melayannya dengan baik, tidak ada niat menipu untuk mendapat keuntungan. Apakah kita guna meter, apakah kita suka ambil jalan jauh untuk dapat bayaran lebih? Inilah yang perlu kita lakukan dulu. Begitu juga kalau kita sebagai seorang guru. Apakah kita benar-benar mengajar anak murid kita dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh? Adakah kita memeriksa buku latihan pelajar kita? Bagaimana dengan masa masuk kelas? Adakah kita menepati masa? Kalau kita seorang tukang kebun sekolah atau pekerja pejabat begitu juga, pernah kita berfikir tentang tugas-tugas yang kita buat, apakah kita telah menjalankan tanggungjawab kita dengan baik dan berkesan? Ini tidak, kata prof. itu ,orang kita terlalu pandai untuk melihat kesalahan orang lain, sedangkan kesalahan sendiri tidak nampak. Ibarat gajah di tepi mata tidak nampak, tetapi kuman di seberang laut yang kita nampak.

Saya amat bersetuju dengan pendapat prof., berkenaan. Nampaknya Pak Lah sendiri akhirnya terpaksa bersuara mempertahankan dirinya.

Selasa, 01 April 2008

Muhasabah Diri

Malas untuk mengulas tentang kemelut politik yang tidak habis-habis. Terutama tentang politik Melayu. Masing-masing menuduh antara satu sama lain. Engkau salah, engkaulah yang bebal, engkaulah yang menyebabkan perpecahan. Eloklah kita diam dulu dan bermuhasabah diri.