Kamis, 22 Mei 2008

Melihat Kesunyataan

Heboh diperkatakan tentang keluarnya Mahathir dari parti UMNO pada 19 Mei yang lalu. Lalu macam-macam andaian dibuat dan macam-macam tuduhan pula dilemparkan kepada Mahathir. Sudah tentu Mahathir mempunya sebab tersendiri mengapa beliau keluar UMNO. Sejak dulu lagi, segala tindakan Mahathir mempunyai pro dan kontra. Jangan lupa Mahathir bukanlah sebarang orang. Dia berfikrian pragmatis. Orang pragmatis sentiasa melakukan apa yang dikatakannya.

Nampaknya senario politik di Malaysia semakin menarik. Di satu pihak Anwar Ibrahim sudah tentu tidak juga berdiam diri. Dia juga seorang perancang. Apa yang dikhuatirkan Pak Lah akan menjadi mangsa. Terlalu banyak orang yang tidak boleh dipercayai, baik dalam UMNO sendiri. Pak Lah harus berhati-hati.

Ibarat kata Mufti Perak, Datuk Harunsani, semasa mengulas keluarnya Tun Mahathir dari parti UMNO, ‘tidak mengapa berbeza pendapat, tetapi dalam soal Melayu kita seharusnya dapat bersatu’. Bagi Nik Aziz pula beliau melihat peristiwa sebagai satu yang positif kepada pembangkang. Kalau Tun Mahatir nak masuk PAS tentu dielu-elukannya.

Apa yang penting janganlah kita seperti ‘kucing kesiangan’, bercakaran sesama sendiri, anjing tetap menggongong dan kambing tetap mengembek.

Kamis, 01 Mei 2008

Merancang Kewangan

Merancang Kewangan

Dalam keluarga saya dan isteri saya, kamilah yang mempunyai anak yang ramai. Kami dikurniai enam orang anak. Kalau anak pertama kami hidup, bermakna kami ada tujuh anak hasil perkongsian rumah tangga selama tiga puluh tahun lebih. Pada zaman sekarang mempunyai anak yang ramai sudah tentu menyulitkan. Ada teman-teman yang menasihatkan kami agar merancang. Begitu juga di kalangan keluarga sendiri ada yang melahirkan rasa khuatir mereka terhadap keluarga kami yang sentiasa bertambah setiap tahun.

Saya memahami perasaan mereka. Tentulah mereka juga simpati bila tiba masalah siapakah yang akan menjaga mereka kerana kami berdua bekerja sebagai guru. Ibu bapa kami bukan jenis yang suka menjaga cucu, malah mereka juga tidak berapa sihat dan tidak berupaya untuk menjaga cucu.

Saya masih ingat, ketika isteri saya mengandung anak ke lima, salah seorang kakaknya pernah menyuarakan hasrat untuk memelihara anak kami itu selepas lahir, untuk dijadikan anak angkat mereka. Tetapi isteri saya berkeras walau apa pun dia dia tidak rela untuk menyerahkan anak-anaknya kepada orang lain, meskipun kakaknya sendiri.

Bila ada kawan-kawan atau keluarga yang menyentuh lagi soal anak, saya secara berseluruh akan menyatakan selagi belum dapat anak perempuan, isteri saya akan terus mengandung. Anak pertama saya yang meninggal setelah keguguran mengandung enam bulan adalah anak perempuan. Selepas itu setiap tahun isteri saya bersalinkan anak lelaki hinggalah anak ke lima. Akhirnya anak ke enam barulah kami mendapat anak perempuan.

Ketika mendapat anak perempuan yang ke-6, saya sedang menuntut di Universiti kerana melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah pertama. Sebelum itu saya bertungkus lumus belajar sendiri untuk mengambil peperiksaan STP secara bersendiri. Hinggalah lulus dan Berjaya di terima masuk universiti.

Dengan gaji separuh, dan ada pula potongan rumah, dan anak-anak yangmula bersekolah sudah tentulah saya menghadapi masalah kewangan. Meskipun isteri bekerja saya tetap mengalami masalah kewangan bila setiap hujung bulan.

Untuk perbelanjaan dapur kami terpaksa berhutang di kedai runcit. Bila dapat gaji sebahagiannya telah ditolak hutang kedai, hutang kereta, bayar bil-bil letrik, air dan telefon tinggallah beberapa ratus sahaja lagi wang untuk keperluan lain. Hutan kedai runcit tidak pernah langsai, malah setiap bulan akan bertambah kerana kami tidak dapat membayar penuh.

Sehingga selepas tamat belajar hutan kedai saya sudah hampir satu ribu. Begitu juga saya berhutang dengan abang ipar dan kakak ipar saya. Setelah diconmggak-conggak menghampiri tiga ribu ringgit. Di mana saya hendak mencari wang untuk membayar hutang-hutan itu.

Saya berbincang dengan isteri saya. Mujurlah isteri saya sangat memahami masalah kewangan yang kami hadapai ini. Lalu kami membuat keputusan untuk berhemat. Langkah pertama saya ialah dengan mencatat setiap perbelanjaan harian, meskipun sepuluh sen akan saya tulis dalam buku perbelanjaan harian saya.

Sejak hari itu saya menetapkan disiplin dalam diri saya, sebelum tidur akan menghadap buku perbelanjaan dan menulis setiap perbelanjaan hari itu. Untuk mengelakkan terlupa saya biasanya menyediakan buku kecil atau secarik kertas untuk menulis segala perbelanjaan. Bila malam, saya akan mengeluarkan buku atau kertas kecil itu dan menuliskannya semula ke dalam buku perbelanjaan. Bagi perbelanjaan yang mempunyai resit saya akan simpan resit itu dan kepilkan dalam buku perbelanjaan. Bila akhir bulan saya menutup kira-kira. Lalu saya dapat melihat jumlah setiap perbelanjaan, misalnya bagi belanja dapur setiap bulan tidak lari daripada RM700. sebulan. Perbelanjaan anak-anak RM500.(termasuk belanja wang saku, yuran sekolah, buku dan pakaian ) Perbelanjaan untuk minyak kereta RM200 .Belanja pasar RM500. Ada juga saya masukkan dalam kategori perbelanjaan lain-laian seperti minum di kantin atau di warung, minum bersama keluarga, derma, bayaran-bayaran tetap seperti bil-bil, sewa rumah, instalmen kereta dan bayaran pembantu atau penjaga anak.

Pada mulanya saya buat pengagihan. Untuk bayaran tetap seperti bayar untuk penjaga anak, instalmen kereta dan bil-bil bulanan telah saya ketepikan awal-awal. Saya Cuba berhemat dalam perbelanjaan pasar dan kedai. Ada barang-barang keperluan yang tidak mustahak saya ketepikan terus. Biasanya bila kita berbelanja terutama secara berhutang kita akan mengambil beberapa barang yang sebenarnya tidak perlu. Oleh itu saya memutuskan untuk tidak lagi berhutang. Dengan berdikit-dikit saya akhirnya berjaya melunaskan segala hutang termasuk hutang kedai runcit.

Selepas setahun saya berhemat, akhirnya saya telah berjaya menguruskan kewangan keluarga dengan baik. Setiap bulan saya akan mengumpulkan anak-anak dan isteris dan membentangkan kewangan keluarga. Pada waktu inilah anak-anak akan membuat beberapa permohonan yang melibatkan kewangan. Saya akan mendengar permohonan mereka dan memberi ulasan sama ada untuk meluluskannya atau tidak. Misalnya mungkin ada anak yang minta ditambah wang saku hariannya kerana masalah harga barang sudah naik. Kami akan berbincang dan mempertimbangkan. Mungkin ada anak yang ingin membeli barang keperluan baru seperti begnya yang sudah lusuh atau tidak boleh lagi digunakan. Pada waktu itulah kami membuat keputusan.

Mesyuarat keluarga ini kami jadikan aktiviti setiap bulan. Anak saya yang tua akan menjadi setiausaha, akan mencatat minit mesyuarat. Pada bulan hadapan dia akan membacakan minit tersebut dan melihat beberapa perkara yang perlu dibangkitkan. Dalam mesyuarat keluarga juga kami menentukan tugasan mereka untuk membersihkan rumah. Kadang-kadang ada permintaan daripada anak-anak untuk bertukar tempat setelah begitu lama membersihkan bahagian hadapan rumah, misalnya.

Berbalik tentang kewangan, saya dan isteri telah membuat persetujuan bahawa kedua-dua wang gaji kami dikumpulkan sekali dan segala perbelanjaan ada tanggungjawab kami bersama. Sudah tentulah wang gajiku yang digunakan terlebih dahulu. Hingga akhirnya kami dapat berjimat, apabila wang gaji isteri selalunya ada lebihan. Setelah mendapati kewangan kami sudah kukuh dan mempunyai simpanan, kami telah bersetuju untuk keluar makan sebulan sekali sekeluarga di sebuah restoran terkemuka ataupun di hotel. Malah akhirnya kami sudah berupaya setahun sekali membawa keluarga melancong dan menginap di hotel-hotel yang sederhana bayarannya.

Sehingga kini saya dan keluarga sudah bebas dari masalah kewangan. Pada mulanya memang terasa sukar untuk merancang, tetapi sehingga sekarang sudah menjadi kebiasaan pula bagi saya untuk mencatatkan segala perbelanjaan harian, meskipun saya sudah bersara.

Oleh itu rancanglah kewangan anda. Mulakan dengan mencatat segala perbelanjaan harian. Setiap akhir bulan buat rumusan berdasarkan perbelanjan berikut:

1. Perbelanjaan dapur
2. perbelanjaan pasar
3. sewa rumah atau bayaran rumah
4. bayaran kereta
5. bil-bil
6. belanja sekolah
7. pakaian dan keperluan rumah
8. simpanan tetap.
9. lain-lain

Daripada sinilah kita dapat melihat di manakah bahagian yang boleh kita kurangkan. Percayalah kita akan terperanjat selepas setahun kita akan melihat perubahannya. Selepas lima tahun kita sudah boleh melihat wang kita sudah bertambah di dalam bank.

Mulakanlah dari sekarang.