Minggu, 13 Juli 2008

Cerita Hindustan

Secara kebetulan menonton cerita Hindustan pada petang sabtu di tv 3. Tak perlulah saya namakan judul ceritanya, tapi apa yang menarik ialah isi ceritanya. Seorang menteri yang berkuasa, telah medalangi konspirasi dengan menuduh seorang doktor (yang benar-benar bertugas kerana kebenaran), sehingga doktor itu digambarkan sebagai seorang pengkhianat negara. Kerana kuasa media dan dengan kerjasama sebahagian daripada polis yang juga bersekongkol, dia diburu bukan sahaja oleh pihak kerajaan malah oleh penjenayah sebenar yang diupah dengan ganjaran yang lumayan. Mujur ada seorang inspektor dan empat kakitangannya yang jujur terpaksa mempertahankan doktor ini, tetapi mereka juga tidak dapat menyelamatkan nyawanya.

TV HBO Astro pula menayangkan cerita yang hampir serupa. Bagaimana konspirasi yang disusun oleh orang yang ingin menjatuhkan presiden, telah melakukan satu pembunuhan di ‘white house’ dan daripada tanda-tanda dan bukti pembunuhan itu mengaitkan dengan anak presiden sendiri. Kerana tidak tahan dengan desakan orang kanan dan media akhirnya presiden bersetuju untuk meletakkan jawatan. Mujurlah ada seorang dektektif yang dapat membuktikan bahawa semua kejadian itu direncanakan untuk menjatuhkan presiden.

Moralnya untuk menjatuhkan seseorang perlu direncanakan dengan teliti sehingga seolah-olah orang yang hendak kita jatuhkan itu benar-benar bersalah. Ditambah lagi dengan bantuan media seperti tv dan akhbar, sehingga rakyat percaya. Inilah yang dikatakan konspirasi yang terancang.

Dalam sebuah ceramah, saya pernah mendengar seorang ustaz berkata bahwa sebuah kebatilan yang dirancang dengn teliti akan dapat mengalahkan kebenaran.

Rabu, 02 Juli 2008

Penulis dan Integriti

Penulisan seharusnya lahir dari rasa tanggungjawab penulisnya. Baik berupa penulisan ilmiah ataupun penulisan kreatif harus bertolak dari kesedaran ini.

Pertanggungjawapan.

Inilah yang diperlukan dalam sesebuah hasil karya penulis. Pertanggungjawapan dari segi apa? Jawabnya adalah dari segi apa yang ditulisnya. Tulislah dengan niat mengamalkan ‘Amal Maaruf Nahi Mungkar’.Membuat perkara yang baik dan menghindarkan perkara-perkara yang mungkar. Itulah asas kepada integriti dalam penulisan.

Untuk sampai kepada tahap ini, seseorang penulis perlu persediaan sebagai seorang manusia yang benar-benar bersih, benar-benar baik dan suka kepada kebaikan. Sebagai seorang Islam tentunya sudah jelas ‘keperibadian’ seseorang dalam tingkal laku dan juga cara hidupnya seharian. Kita boleh nampak apakah dia seorang muslim yang benar-benar berintegriti. Lihatlah amalanya, lihatlah tuturkatanya, lihatlah pakaiannya dan lihatlah gaya hidupnya.

Sebagai seorang penulis sebelum kita melihat hasil tulisannya, lihatlah juga peribadi penulisnya. Hasil karya dan diri penulis itu seharusnya berjalan seiring. Penulis harus sedar ‘amanah’ yang dipikulnya dalam setiap hasil karyanya. Amanah ini akan dipersoalkan kembali. Kalau penulis bencikan rasuah, apakah dia dalam kehidupannya benar-benar menjauhi rasuah. Kalau penulis mengangkat ‘ethika’ dalam setiap karyanya apakah dia sendiri sudah siap dengan ethika yang disandangnya. Kalau dia meminta supaya kita hidup dalam takwa, apakah penulisnya sudah benar-benar takwa. Begitulah penulis seharusnya mempunyai peribadi mulia, mempunyai sifat-sifat benar, amanah, setia, berpegang teguh kepada kebenaran lebih-lebih lagi mempunyai nilai-nilai akhlak Rasullalah saw. Mungkin sebagai manusia kita juga mempunyai kelemahan, tetapi sekurang-kurangnya biarlah sebagai penulis karya kreatif si penulisnya mestilah dulu menampakkan peribadi yang boleh dipertanggungjawabkan.

Oleh itu sebagai penulis kita harus mempunyai ciri-ciri berikut:

- mendokong dan memiliki nilai-nilai moral dan ethika.
- Bertindak jujur tanpa ada nilai keuntungan diri
- Berpegang teguh kepada kebenaran
- Tidak menyalahguna kuasa
- Tidak bertolak ansur kepada nilai kebatilan
- Tidak memburuk-burukkan orang lain.

Penulis yang berwibawa.

Hasil karya seseorang penulis biasa mencerminkan peribadi penulisnya sendiri. Seharusnya begitu. Tetapi ada juga penulis yang begitu kontras dengan apa yang ditulisnya. Ada beberapa orang penulis yang boleh dijadikan contoh tentang hasil kayanya adalah selari dengan hidup penyair itu sendiri.

A.Samad Said.: Semua orang kenal Pak Samad dengan identitinya yang berpakaian sederhana berambut panjang dan berjambang. Itulah Pak Samad. Lihatlah apa yang ditulisnya. Bacalah puisi-pusinya, dia tetap jujur dengan dirinya. Dia memperjuangkan kebenaran dan kesederhanaan dalam setiap karyanya. Dia tidak bermewah-mewah dengan kereta besar, kalau mahu tentu dia boleh kerana sebelum bersara dia adalah Ketua Editor sebuah akhbar terkenal. Dia lebih rela membelanjakan setiap sen yang diperolehinya dengan memenuhkan buku-buku dalam rumahnya. Inilah Pak Samad dan dia benar-benar mengkotaka apa yang ditulisnya.

Kasim Ahmad: Lihat sajak-sajaknya ‘Dialog’ dan ‘Jalan ke Parlimen’. Kasim percaya kepada ideologinya, hingga membawa kepada perjuangan politik dalam hidupnya. Dia bermula dengan fahaman sosialis kemudian kesedaran Islam (Lihat Mencari Jalan Pulang). Lihat hidupnya. Pernah ditahan di bawah ISA dan kembali hidup seperti orang biasa. Hidup dan karyanya selari dengan apa yang diperjuangkannya. Bila dia berkata dalam sajak ‘dialog’:

Aku akan pergi
Dengan seribu Jebat si anak tani
Kian lama kita mati dalam setia
Kali ini kita hidup dalam derhaka!

Kasim benar-benar melakukannya. Untuk itu dia telah membayar kehidupanya dengan harga yang mahal sekali, iaitu pengalaman.

Usman Awang: Terkenal dengan sifat kemanusiaannya. Dia mensejagat dan karyanya juga mencerminkan sikap hidupnya. Itulah perjuangannya hingga ke akhir hayat.

Shahnon Ahmad: Begitu jelas dalam karyanya yang memperjuangkan ketidakadilan, amalan dalam agama yang sempit dan kerakusan pemimpin politik. Beliau sendiri merasai hidup dalam semua kancah yang cuba digarapnya dan kembali dengan kesedaran keimanannya yang mendalam dalam Islam.

Mereka inilah penulis yang mempunyai integriti. Tidak hanyut dalam kancah dunia kebendaan. Mereka sanggup menentang arus. Mereka sanggup dikalahkan, disalahkan dan dipertidakkan. Mereka tetap dengan prinsip perjuangan mereka.

Inilah yang tidak ada dalam segolongan penulis kita.