Selasa, 16 Desember 2008

Perginya Seorang Kawan

Malam tadi lebih kurang jam 10.30 mendapat khabar melalui telefon menyatakan Othman Dahlan sudah pulang ke rahmatullah. Isterinya yang kami panggil sebagai ‘Kak Kiah’ sendiri yang menelefon. Minggu lepas kami ada menziarahi Allahyarham. Beliau sudah kelihatan kurus benar dan tidak mampu bangun lagi. Walau bagaimanapun masih boleh berbicara. Semasa kami minta diri beliau sempat mengucapkan terima kasih kerana melawat, dan berharap akan selalu menjenguknya. Tuptup malam tadi menerima berita sedih itu. Kami pun berusaha menghubungi beberapa teman baik beliau, menghabarkan berita kematian kawan lama saya itu.

Othman Dahlan saya kenal semasa di maktab perguruan lagi, iaitu Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim (kini UPSI) pada tahun 1970. Setelah mengajar di Sungai Sayong, Othman Dahlan juga berpindah menjagar di sekolah yang sama. Malah semasa bujang kami tinggal di kuaters guru. Sama-sama bermain catur, hinggalah beliau berkahwin. Semasa saya berpindah mengajar di Sekolah Menengah Sultan Ibrahim Kulai, Otrhman Dahlan berpindah mengajar di Sek. Keb. Felda Bukit Besar. Bila saya menjadi pensyarah di Maktab Perguruan Mohd. Khalid beliau berpindah mengajar di Batu Pahat, iaitu Bandar kelahiran beliau sendiri.

Semasa saya melanjutkan pelajaran di UPM, rupanya Othman Dahlan juga sudah berada di UPM, mengambil pengajian Bahasa Inggeris.

Kami berjumpa kembali di Maktab Perguruan Batu Pahat, setelah saya bertukar ke Batu Pahat. (Kini Institut Perguruan Tun Husein Onn). Sehinggalah beliau bersara sebagai pensyarah Institut Perguruan. Selepas dua tahun saya pula bersara. Sememangnya saya dan Allahyaraham ada kawan baik. Bahkan isteri saya dan isteri beliau juga pernah mengajar satu sekolah semasa di Sekolah Kebangsaan Bukit Soga, Batu Pahat.
Selepas bersara Allahyarham berpindah ke Kelantan, kerana beliau mendapat tawaran mengajar Bahasa Ingegris di sebuah kolej swasta di sana. Walau bagaimanapun beliau sering balik ke Batu Pahat, kerana dua anak beliau yang sudah berkahwin masih bertugas di Batu Pahat.

Kali terakhir saya bertemu beliau adalah semasa beliau mengadakan majlis walimatul urus perkahawinan anak perempuan beliau di Batu Pahat. Ketika itu beliau masih menyewa di rumah di Tongkang Pecah. Selepas itu beliau terus berpindah ke Kelantan.

Tahu-tahu saya mendapat berita menyatakan beliau sakit. Kami pun sempat melawat beliau di rumah baru beliau di Taman Putra, Tongkang Pecah.

Semoga roh beliau dirahmatai Allah.