Kamis, 29 Januari 2009

Six Years in The Malay Jungle




Buku ini ditulis sekitar tahun 1924 oleh Carveth Wells, seorang jurutera yang terlibat dalam pembinaan keretapi di Tanah Melayu. Apa yang menarik apabila beliau menceritakan pengalaman beliau selama 6 tahun berada di Malaya (Tanah Melayu) ketika itu. Sudah tentu beliau mempunyai pandangan yang menarik terhadap siapakah ‘Orang Melayu’. Dalam bukunya yang diterbitkan pertama kalinya di New York pada tahun 1925, kemudian diterbitkan kembali di Malaysia pada tahun 1991 banyak menceritakan pengalamannya bersama orang-orang Melayu. Menurutnya orang Melayu terlalu percayakan tahyul, seperti penunggu, semangat dan hantu. Bila menyentuh tentang Melayu, dalam bukunya ada menggambarkan sebagai berikut:

The Malays are Mongoliangs, and vary in colour from nearly white to the colour of chocolate. Their hair is usually black and straight and the girls often have quite nice complexions, a kind of a mixture between a peach and a cup of coffee. A girl thinks she is perfectly lovely if she has a yellow face. Both the men and the woman wear skirts called “sarongs.” The word sarong means an envelope in the Malay language, so they dress in envelopes. The don’t use buttons, hooks, eyes, or strings and yet their clothes don’t come off as easily as you would think. It takes them only a few seconds to dress and best of all, thye dress and undress without undressing!
Malay parents never punish their children and the children always seem to be happy and contented. They eat when they like, sleep when they like, and go to shool when they like. The girls marry when they are about twelve and the boys when they are about fourteen.’
Satu hal yang menarik apabila orang Melayu bila berjumpa dengan orang putih mereka akan selalu berkata ,’ Tabik Tuan!’ Pada ketika itu orang Inggeris sentiasa dipandang tinggi dan jelaslah kita pada ketika itu bertuankan orang Inggeris.

Dalam buku ini juga ada menceritakan tentang Tok Janggut yang dikatakan sebagai penderhaka dan pemberontak. Orang Melayu percaya bahawa Tok Janggut keramat dan kebal. Tapi akhirnya berjaya dibunuh oleh tentera bantuan yang dibawa dari Singgapura. Ketika kejadian pemberontakan ini berlaku penulisnya berada di Kelantan.

Membaca buku ini, memang menarik untuk direnungkan!

Selasa, 27 Januari 2009

Pengalaman Bahasa II

Bila hari cuti begini ingin juga menonton tv. Maklumlah hari cuti Tahun Baru Cina. Jam 9.00 pagi. Mula-mula buka tv satu. Ada rancangan HOT @TV 1 yang menggunakan perantaraan pengacara berbahasa Inggeris. Tukar tv 2, ada rancangan berbahasa cina tentang sambutan Tahun Baru Cina. Buka pula tv 3, ada sesame street yang sudah tentu rancangan bahasa Inggeris. Buka pula tv 9, ada rancangan katun, berbahasa Inggeris. Buka pula tv 7, juga rancangan berbahasa Inggeris. Apa lagi bila buka tv 8, juga rancangan berbahasa mandrin. Mana satu rancangan berbahasa Melayu? Kita ni di negara apa?

Kamis, 22 Januari 2009

Kumpulan Puisi Terbaru



Keris sebilah itu
dilemparkan ke penjara sepi
orang Melayu
malu menyisip keris di pinggang
keris tergantung tenang
di dinding nyatuh sejarah
....
Merupakan Kumpulan Puisi kedua selepas 'Melihat Kesunyataan'. Mengandungi 101 buah sajak sejak 1994 hingga 2008.

Rabu, 21 Januari 2009

Pengalaman Bahasa

Saya adalah di antara 4 pelajar yang berjaya dalam peperiksaan darjah 6 pada waktu itu.Kami akan melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah. Sudah tentu masing-masing berangan untuk ke sekolah Inggeris.

Ayah saya seorang pejuang politik. Dia orang kuat YB Ramli Omar, wakil rakyat Bahagian Bagan Serai. Dalam UMNO, ayah adalah setiausaha Bahagian. Ketika itu salah satu perjuangan UMNO adalah untuk memperjuangkan bahasa Melayu. Kerajaan mula memperkenalkan Aliran Melayu Sekolah Menengah. Di kampung saya Ismail Sajat satu-satunya pelajar contoh yang berjaya ke sekolah . Dialah peneroka pertama Aliran Melayu. Kemudian Razali Ismail pula ikut. Ayah juga mencadangkan agar saya juga masuk Aliran Melayu. Tiga orang kawan saya semuanya masuk Aliran Inggeris. Tapi saya didaftarkan ke Tingkatan Satu Aliran Melayu di sekolah King Edward VII, Taiping. Teman-teman saya yang lain mendaftarkan diri di kelas peralihan Aliran Inggeris di Sekolah King George, Taiping.

Selepas beberapa bulan bersekolah, saya dapati teman-teman saya sudah mula bertutur dalam bahasa Inggeris. Bila kami bertemu, saya hanya tercengang-cengang mendengar mereka bercakap. Bermula dari sinilah saya mula mempunyai perasaan rendah diri. Kawan-kawan saya yang bercakap dalam bahasa Inggeris semakin menjauhkan diri. Saya pula telah mempunyai teman yang lain yang sealiran.

Kami pelajar Melayu yang menumpang di sekolah Inggeris terasa seperti berada di sebuah negara asing. Sudah tentu layanan kepada kami juga berbeza. Guru-guru yang kebanyakannya lepasan Kerby memandang rendah kepada keupayan kami. Alhamdulilah dari semasa ke semasa berlaku perubahan kepada suasana politik dan pendidikan di negara ini. Pejuang bahasa semakin berjaya mempengaruhi kerajaan supaya sekolah Inggeris diubah secara beransur-ansur bahasa pengantarnya.

Pengalaman saya semasa proses pertukaran itu sangat-sangat mencemaskan. Pada ketika itu rata-rata rakyat, tidak kira apa juga bangsa, begitu menyanjung tinggi terhadap penggunaan bahasa Inggeris. Siapa yang tidak pandai berbahasa Inggeris dianggap kolot dan tidak educated. Sehingga ada kawan-kawan yang sanggup mengepit akhbar berbahasa Inggeris seperti Strait Times dan majalah Times supaya kelihatan terpelajar, sedangkan dia sendiri tidak pandai berbahasa Inggeris.

Lebih mendukacitakan, kita seolah-olah berada di negara asing lebih-lebih lagi kalau berada di pejabat-pejabat kerajaan, hospital,di setesen bas dan di setesen kereta api atau dalam perjalanan di dalam kereta api. Kebanyakan orang akan bertutur dalam bahasa Inggeris. Pengalaman saya di sebuah hospital menyebabkan saya serik untuk mendapatkan rawatan. Ketika itu saya beratur untuk mendapatkan nombor giliran rawatan. Kami terpaksa menyerahkan kad pengenalan kepada seorang jururawat yang bertugas. Kebanyakan pesakit adalah orang-orang kampung, termasuklah orang tua dan pelajar sekolah. Saya dapat perhatikan ada layanan yang berbeza antara kami. Sesiapa yang datang dan bercakap dalam bahasa Inggeris akan dilayan dengan penuh sopan dan lemah lembut, tetapi apabila tiba giliran orang kampung tak pandai berbahasa Inggeris, teruk kena marah. Ada saja kesilapannya, kadang-kadang ada yang lupa bawa kad rawatan, lupa bawa kad pengenalan habis kena marah macam budak-budak. Hingga saya sendiri terasa geram dan terus meninggalkan hospital tanpa mendapat rawatan pada hari itu. Pada hari yang lain saya pergi lagi ke hospital untuk melawat abang saya yang sedang sakit. Saya dapati ada seorang lelaki di hadapan saya terus masuk ke wad pesakit setelah berbual-bual dengan seorang pegawai hospital di bahagian penyambut tamu. Dia bercakap dalam bahasa Inggeris dan terus dibenarkan masuk. Apabila saya cuba dapatkan kebenaran untuk sama-sama masuk ke wad tersebut, saya dihalau macam anjing kerana saya menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya. Saya tidak marah kalau tidak dibenarkan masuk kerana belum waktu melawat, tetapi apa yang menyedihkan ialah bila pegawai itu marah-marah dengan menggunakan bahasa Inggeris, macamlah saya tidak mengerti apa yang diucapkannya itu.

Saya juga sering berkereta api kerana itulah satu-satunya pengangkutan yang mudah ketika itu. Di dalam kereta api, janganlah harapkan penggunanya menggunakan bahasa Melayu. Kalau ada yang bercakap Melayu cuma orang-orang kampung yang bolehlah dikelaskan sebagai orang-orang yang tidak terpelajar.

Begitu juga kalau kita menonton wayang di panggung-panggung yang begitu banyak ketika itu. Filem Melayu hanya ditonton oleh orang-orang kampung. Saya pernah menonton sebuah filem Inggeris, sebelum filem bermula biasanya ditayangkan filem-filem yang akan dimainkan di panggung itu untuk tayangan akan datang. Kalau ada iklan tentang filem Melayu akan kena booo dan ditertawakan. Sehingga saya sendiri malu untuk menonton wayang Melayu pada ketika itu, kerana bila sampai masa tanyangannya, berduyun-duyunlah orang-orang kampung masuk panggung.

Pengalaman yang menyedihkan pernah berlaku pada suatu ketika, seorang menteri berucap untuk merasmikan sebuah acara sukan antarabangsa di sebuah stadium, di Kuala Lumpur. Menteri itu berucap dalam bahasa Melayu dan di booo oleh penonton. Bila beliau mengubah ucapannya dalam bahasa Inggeris, beliau menerima tepukan yang gemuruh seolah-olah merestui ucapannya dalam bahasa Inggeris.

Inilah pengalaman saya seorang Melayu yang dididik dalam bahasa Melayu pada zaman kegemilangan bahasa Inggeris pada tahun-tahun 60-an dulu.

Senin, 19 Januari 2009

Pada Hemat Saya

Calon PAS di bawah Pakatan Rakyat memenangi pilihan raya di Kuala Terangganu dengan majoriti 2,631 mengalahkan calon BN dan Bebas. Ini adalah kemenangan kedua pilihan raya kecil selepas kemenangan calon PR (Keadilan) di Permatang Pauh.

Harakah sendiri semasa mengulas kemenangan calon PAS, menyatakan bahawa kemenangan itu adalah lebih kepada undi golongan muda. Dalam ulasan Astro Awani malam tadi salah seorang penganilisis menyatakan golongan muda cuma 30% turun mengundi. Ini bermakna golongan dewasa yang selama ini berada ‘atas pagar’ telah memainkan peranan mereka untuk memenangkan parti PAS.

Pihak UMNO sendiri masih belum berapa pasti apakah punca kekalahan mereka. Satu ‘post mortem’ akan dilakukan bagi mengetahui apakah punca sebenarnya BN tidk lagi menjadi parti pilihan rakyat.

Dato” Rais Yatim semasa mengulas kekalahan BN menyatakan bahawa dengan kekalahan itu menunjukan bahawa demokrasi masih wujud di Malaysia. Benarkah? Dengan mengadakan pilihan raya, dan seterusnya pihak kerajaan kalah boleh dijadikan indikator kepada keadaan demokrasi di sesebuah negara. Sebenarnya rakyat di negara ini lebih bijak memahami apakah takrif sebenarnya, ‘demokrasi’. Sebagai contoh, demokrasi juga seharusnya merujuk kepada keadilan semasa berjalannya proses pilihan raya itu. Rakyat terbanyak ingin melihat bagaimana saluran penerangan seperti TV dan media kerajaan seharusnya memberikan liputan yang sama adil kepada semua parti yang bertanding. Kalau kita melihat sebelum pilihan raya di Kuala Terangganu atau di mana saja sebelum ini terdapat liputan yang berat sebelah. Biasanya pihak kerajaan akan mendapat gambaran yang begitu selesa dan sempurna jika dibandingkan dengan parti pembangkang. Kalau ada pun berita atau gambaran yang cuba diketengahkan tentang parti lawan semuanya yang berbentuk negetif. Rakyat semakin bijak melihat semua ini. Sepatutnya pihak media lebih bertanggungjawab dan adil dalam penerbitan berita atau apa saja informasi. Cubalah gambarkan secara adil tanpa memberi ulasan yang berlebihan. Kalau pihak media misalnya meminta pendapat seorang menteri daripada pihak BN, sepatutnya berikan pula peluang yang sama kepada pihak pembangkang untuk memberi pandangan mereka. Apa yang sering berlaku ialah, pihak pembangkang hanya diberi peluang yang amat terhad. Kadang-kadang rakyat yang menonton atau membaca media berkenaan akan terasa muak dengan gambaran yang terlalu bias kepada sesebuah parti sahaja.

Janganlah kita berasa khuatir kerana penonton dan rakyat kita sudah bijak berfikir. Jangan sampai mereka muak dan menyatakan protes mereka melalui peti undi. Kita juga akan rugi.Ini hanyalah satu contoh bagaimana demokrasi di negara kita dilaksanakan.

Meskipun mantan PM Dr. Mahathir menyatakan kekalahan BN kerana faktor calon yang tidak sesuai. Beliau sebenarnya awal-awal lagi tidak menyetujui calon UMNO ini yang menjadi proksi Perdana Menteri YAB Dato’ Abdullah Badawi. Pendapatnya juga perlu diberi perhatian.

Selasa, 13 Januari 2009

Teks Perang

Setiap ketika
manusia sibuk mendirikan singgahsana keangkuhan
dari batubata perbezaan faham
bahagia bukan sekadar kata, tapi rasa
benar pula bukan sekadar teks yang berbeza
antara manusia fizikal
dan manusia yang rohani.

Siapakah yang lebih adil
mewaraskan perang
menumpahkan gelas-gelas persaudaraan
menghirup darah kematian di depan mata

Si Kaliber dunia dan si Angkuh
menghukum dengan senjata
Si ontologis dan si lumrah biasa
kehilangan hutan perasaan, sungai sabar
dan tasik pertimbangan

Siapakah yang lebih arif mentafsir
teks yang berbeza
kemenangan dalam kebenaran.


Shapiai Muhammad Ramly
Seri Wangsa, Batu Pahat, Johor.
11 Januari 2009.

Kamis, 08 Januari 2009

Marilah Bertindak.

Sebagai orang Islam dan pencinta keamanan kita harus mengutuk kekejaman Israel. Serangan ke atas Gaza hingga terbunuhnya rakyat Plastine yang tidak berdosa, lebih-lebih lagi kanak-kanak amat menyayat hati. Seharusnya kita bangkit untuk menyatakan rasa marah kita dalam apa bentuk sekali pun. Kita boleh bersembahyang hajat, berdemonstrasi, berderma kepada tabung mangsa pencerobohan Israel dan apa sahaja hingga kepada memboikot barangan Yahudi dan Amerika.

Dalam hal ini kita perlu sekata tanpa ada rasa perbezaan politik dan juga bangsa. Ayuhlah, kita bertindak sekarang! Sama-sama menyokong perjuangan rakyat Plastine yang selama ini ditindas dan dibunuh sesuka hati oleh mereka yang memegang tampuk kekuasaan dunia.