Jumat, 27 Februari 2009

Di Bawah Tikaman garpu


Karya terakhir Shaharom Husain yang berjudul Di Bawah Tikaman Garpu menumpukan kepada penceritaan perjuangan orang-orang Melayu, terutama tokoh-tokoh pejuang kebangsaan dalam kemelut mempertahankan hak orang- orang Melayu. Salah satu peristiwa yang disentuh ialah bagaimana perhimpunan menentang Malayan Union yang diadakan pada 28 Mei 1946. Penduduk kampung berhampiran keluar beramai-ramai sehingga mencecah 18,000- 20,000 orang. Mereka berpakaian lengkap bersamping, bertanjak dan berkeris. Ada yang berseluar pendek dengan sebilah parang. Ada yang berseluar kemeja bertampal-tampal dengan mengepit sebilah parang panjang berbungkus upih. Ada yang berpakaian kebangsaan serba hitam, bersamping hitam, berselepang merah dan kuning. Mereka juga membawa sepanduk dengan tulisan ‘Malayan Union Musuh Kita’, ‘Malaya Hak Kita’, ‘Johor Negeri Melayu’, ‘Hidup Melayu’ dan lain- lain. Mereka berbaris di hadapan pegawai-pegawai tadbir Inggeris seperti Rees William dan L.D Gaman serta T.S. Adams. Mereka juga terus berarak sepanjang-panjang Jalan Sultanah Aminah ke Bandar Penggaram Batu Pahat, berbelok ke Jalan Shahbandar dan terus ke Jalan Rahmat dan balik semula ke Padang Bandaran Batu Pahat. Semasa perarakan diadakan, semua kedai dan pejabat bertutup rapat, termasuk kedai dan rumah tumpangan tauke-tauke dari Kampung Peserai.
Selepas itu tunjuk perasaan diadakan di Johor Bahru, Kelantan, Kedah dan Selangor.
Betapa semangat perpaduan Melayu ketika itu akhirnya berjaya menumbangkan ‘Malayan Union’.

Kamis, 26 Februari 2009

Kedai Buku Bergerak

Semasa menghadiri Pertemuan Penulis Serumpun sempat meninjau-ninjau kedai buku bergerak. Banyak juga buku-buku yang dijual termasuk buku ilmiah, sastera dan majalah.

Prof Dr. Abdullah Zakaria dan Kasim Tukiman nampaknya begitu teruja dengan lambakan buku dari sebuah van yang diubah suai menjadi 'kedai buku bergerak' itu.
Rasanya kalau di Malaysia sukar menjual buku begini, kerana budaya membaca masyarakat kita masih belum meluas. Di UTM sendiri memang ada van yang menjual beraneka akhbar dan majalah termasuk makanan jajan. Tapi untuk jualan buku seluruhnya belum ada lagi. Beberapa hari lepas akhbar Utusan Malaysia sendiri ada menyiarkan dapatan kajian yang menyatakan bahawa mahasiswa kita sendiri kurang membaca. Terutama bahan bacaan umum. Apa lagi bahan sastera dan sejarah.

Selasa, 24 Februari 2009

Pertemuan Penulis Serumpun 2009


gambar bersama penulis Tanjung Pinang, Machzumi Dawood

Pertemuan penulis Johor- Riau (PPS) telah diadakan di Universiti Riau pada 21 Februari 2009 lalu. Saya bersama W.B. Rendra turut menjadi peserta. Kebetulan bertemu kawan lama Machzumi Dawood dari Tanjung Pinang. Dulu kami sama-sama menjadi peserta pertemuan Penulis Riau-GAPENA (1995), di Pulau Rupat. Saya juga bertemu kembali dengan Husni Abadi, penyaer Tanjung Pinang yang pernah sama-sama menghadiri Hari Puisi Nasional di Selangor pada tahun 2005.

Makalah Suwardi MS dan Pak Tenas Effendi menarik kerana menyentuh tentang bahasa Melayu yang memiliki kemampuan budaya sehingga menjadi bahasa lingua-franca bagi gugusan Nusantara ini (Kepulauan Melayu termasuk Tanah Melayu (Malaysia) Indonesia, Berunai DS).Orang-orang di Riau sendiri lebih senang bercakap dengan dialek bahasa Melayu-Riau. Ketika di Pulau Rupat dulu saya sendiri berasa seolah-olah berada di Johor, bila mendengar anak-anak yang sedang bermain guli bercakap Melayu dialek Melayu Johor.

Apa lagi bila disusuri tentang penubuhan kerajaan Melayu Johor, ada kaitan yang begitu jelas dengan beberapa tempat di Riau. Sebenarnya apabila disebut tentang kerajaan Melayu Johor, biasanya dikaitkan dengan Kerajaan Melayu-Riau-Lingga. Pada tahun 1824 Inggeris dan Belanda macam perompak/lanun senang-senang membahagikan Indonesia dan kepulauan Sumatera (termasuk Riau-Lingga) di bawah kekuasaanya, manakala Singgapura dan Tanah Melayu termasuk sebahagian Borneo di bawah kekuasaan Inggeris. Sejak hari itu kerajaan Johor terlepas sebahagian kawasannya yang berada di sebelah Indonesia. Lebih malang lagi tidak lama kemudiannya Singapura juga terlepas terus dari kekuasaan Johor. Bijaknya orang Inggeris ini, mereka sanggup belajar bahasa Melayu dan menggunakannya bukan untuk bawa balik ke England dan minta semua orang Inggeris belajar bahasa Melayu kerana pada masa itu bahasa Melayu adalah bahasa lingua-franca, tetapi mereka gunakan untuk menjajah orang Melayu. Sedikit demi sedikit pula mereka cuba menjajah pemikiran orang Melayu dengan mendirikan sekolah Inggeris. Alasannya cuma satu, iaitu ‘kemajuan’. Bahasa Inggeris bahasa kemajuan. Akhirnya bahasa Melayu jatuh tarafnya daripada bahasa ilmu kepada bahasa kampungan.

Pengalaman Bahasa VI

Adik Ipar saya telah lama sakit. Selepas puas berbomoh, akhirnya barulah dirujuk ke hospital pakar. Apa yang menarik untuk dikongsikan bersama ialah gelagat seorang doktor di hospital berkenaan. Sudah tentulah dia tu orang Melayu dan yang datang untuk berkonsultasi dengannya juga semuanya Melayu, tidak ada sepatah pun perkataan Melayu keluar dari mulutnya. Bila dibalas dengan berbahasa Melayu dia tetap dengan bahasa Inggerisnya, seolah-olah untuk menerangkan beberapa istilah penyakit dalam bahasa Melayu terlalu sukar baginya. Hingga akhirnya abang Ipar saya yang juga pernah belajar di sekolah Inggeris menjawab dalam bahasa Inggeris, barulah dia agak terperanjat. Selama ini dia beranggapan kami tidak mahir berbahasa Inggeris, dan dia ambil kesempatan untuk menunjuk-nunjuk. Salah satu ayat yang dinyatakannya yang menyebabkan kami berasa geram, bila dia memperkecil-kecilkan doktor hospital biasa dengan menyatakan bolehkah mereka buat pembedahan macam mereka buat. Kerana sikap doktor itu, akhirnya kami membuat keputusan merujuk kepada hospital kerajaan. Kini adik Ipar saya telah pun selamat dibedah.

Inilah sikap orang Melayu bila tahu bercakap Inggeris, lebih Inggeris dari orang Inggeris sendiri. Saya dapati orang-orang Cina kalau sesama mereka, mereka akan bertutur dalam bahasa mandarin. Mereka hanya bertutur dalam bahasa Inggeris bila bertutur dengan orang kita Melayu, terutama orang Melayu yang tak tahu bercakap Melayu.

Kamis, 19 Februari 2009

Antara Anak dan Bahasa

Saya begitu bersimpati dengan ucapan Bung Moktar (BN-Kinabatangan) dan Datuk Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) yang menghangatkan Persidangan Dewan Rakyat semalam, apabila menyentuh tentang isu PPSMI. Kedua-duanya berpendapat PPSMI perlu diteruskan kerana boleh membantu penguasaan bahasa Inggeris. Pentingnya PPSMI bukan kerana bahasa Inggeris tetapi kerana ilmu. Saya tahu jika ditanya kepada mereka berdua, apakah mereka tidak sayangkan bahsa Melayu? Sudah tentu mereka melenting dengan menyatakan bahawa menyokong PPSMI bukan bermakna mereka tidak sayangkan bahasa Melayu.

Inilah hujjah mereka.Samalah seperti kalau kita mempersoalkan kepada ibubapa kita yang tidak sayangkan anak-anak mereka. Ramai ibu bapa yang akan marah jika kita nyatakan bahawa mereka tidak sayangkan anak. ‘Siapa kata aku tidak sayangkan anak? Tengoklah, jentik pun aku tak pernah. Apa keperluannya semuanya aku tunaikan. Aku dah sekolahlah dia, keperluan buku, yuran semuanya telah menjadi tanggungjawabku. Apa lagi.’ Begitulah ukuran ‘sayang anak’ bagi kebanyakan ibu bapa. Setakat memberi makan pakai, dan persekolahannya, setakat menyatakan bahawa mereka tidak pernah menjentik anaknya, apakah itu sudah dikatakan sudah menunaikan tanggungjawab sebagai ibu bapa. Sudah dikatakan sayangkan anak?

Ramai orang Melayu menyatakan bahawa mereka sayangkan bahasa Melayu. Siapa kata aku tidak sayangkan bahasa Melayu? Tengok, aku bercakap Melayu. Aku hantar anak aku ke sekolah Melayu. (Walaupun sekarang ramai orang Melayu menghantar anaknya ke sekolah Cina). Aku beli akhbar berbahasa Melayu. Apakah aku tidak sayangkan bahasa Melayu? Begitulah ukuran ‘sayang bahasa’ itu bagi kebanyakan orang Melayu. Apakah dengan hanya bercakap Melayu, membaca akhbar Melayu sudah bermakna kita sayangkan bahasa Melayu?

Bagi mereka yang sayangkan anak pula, bukan bermakna bila kita dapat memenuhi segala keperluan si anak maka itu sudah boleh dikatakan sayangkan anak, tetapi lebih jauh daripada itu, seharusnya mereka dapat membentuk anak-anak menjadi anak-anak yang soleh dan berilmu, tahu menghormati ibu bapa dan orang lain juga. Begitu juga bagi mereka yang sayangkan bahasa Melayu seharusnya bukan semata-mata dengan menggunakannya dalam percakapan harian sahaja, tetapi juga dapat memastikan kita menambahkan ilmu dan berfkir dengan menggunakan bahasa Melayu. Pastikan juga bahasa kita akan dapat terus maju sehingga menjadi salah satu bahasa penting dunia, sama taraf dengan bahasa Inggeris, Perancis, Cina dan Arab.

Bagaimanakah caranya? Di sinilah kita selalu keliru dan sentiasa tersilap. Sebagai seorang Melayu kita seharusnya belajar apa juga bahasa, selepas itu tulislah dalam bahasa Melayu. Kita belajar dan menjadi pakar matematik, mengapa kita tidak menulis dalam bahasa Melayu. Kita belajar dan menjadi pakar sains, mengapa kita tidak mahu menulis dalam bahasa Melayu. Inilah kelemahan orang kita Melayu. Sikap malas masih menguasai orang Melayu. Kalau ada pun pakar yang boleh menulis, mereka hanya boleh menulis dalam bahasa Inggeris, kerana bagi mereka menulis dalam bahasa Melayu tidak ada kualiti, tidak educated. Jadi sampai bilakah bahasa Melayu akan maju?

Rabu, 18 Februari 2009

Dari Gunung ke Sungai 1

Tiga puluh tahun yang lalu. Aku telah diterima untuk menghadiri kursus perguruan di Tanjung Malim. Mendaftarkan diri pada 4 Januari 1969. Surat arahan serta waran tiket keretapi telah dikepilkan bersama.

Sepatutnya aku akan meneruskan pengajian di Tingkatan Enam, Sek. Al Ehya Assarif. Pendaftaran telahpun kubuat. Terpaksalah aku membatalkan hasrat untuk melanjutkan pelajaran. Lebih-lebih lagi dengan menyambung pelajaran ke tingkatan Enam ayah akan menanggung perbelanjaan untuk membayar yuran bulanan yang kira-kira seratus enam puluh.

Dari setesen keretapi Taiping aku turun di setesen keretapi Tanjung Malim. Setesen ini kecil sahaja.Tidak ramai penumpang yang turun. Ada dua orang yang kukira sama sepertiku untuk ke Maktab perguruan sultan Idris Tanjung Malim. Tapi aku tidak berani menegur mereka. Mereka pun tidak memperdulikan aku. Aku ikut mereka dari belakang. Mereka menyewa beca, tetapi cuma meletakkan beg sahaja. Mereka berjalan di belakang beca yang dikayuh secara perlahan. Aku mengekori mereka, kerana tidak tahu di mana maktab, tetapi aku percaya seratus peratus yang mereka juga seperti aku yang datang untuk mendaftar sebagai pelajar baru.

Daripada jalan besar selepas gate keretapi, kami membeluk jalan kecil yang di kiri kanannya terdapat semak-semak dan ada beberapa buah rumah tinggal. Tak lama kemudian barulah ternampak bangunan tersergam, yang aku percaya itulah maktab. Ada padang yang luas di hadapan bangunan tersebut. Sebelum sampai ke bangunan yang tersergam itu kami terpaksa melalui sederet bangunan seperti asrama. Memang benarpun. Dari tingkap asrama itu menjengul beberapa kepala. Mereka memanggil kami. Mereka yang di hadapan menayatakan beg mereka dalam beca yang sudah berada beberapa ela di hadapan.

‘Ha awak yang di belakang! Mari!’ Ada suara keras memanggil aku.

Adakah aku akan pergi.

‘Jangan degil, mari!’

Aku terpaksa singgah. Mereka memaksa aku naik. Ada lebih kurang tujuh anak tangga. Jangan terus naik, kata mereka. Di sini ada peraturan. Naik tiga anak tangga turun dua, begitulah sampai ke atas. Lagi satu peraturan beg yang aku sandang mestilah di junjung atas kepala. Dalam hatiku inilah yang dikatakan ‘regging’ itu. Wah, macam mana ni. Aku seorang, sedangkan di sekelilingku ramai. Apabila aku sampai di atas, aku pun diterjah dengan pelbagai soalan. Ketika itu juga mereka meminta aku menghafal nama mereka. Ada yang bernama ‘Hariss Big Bone’, Ada yang bernama ‘Papan E’ ada yang bernama ‘Si Luncai Cerdek’ dan macam-macam lagi lah. Mereka minta aku menghafal dan menguji aku balik. Apabila aku terlupa mereka menyuruh aku jalan macam itik.
Yang lain-laian ketawa melihatkan telatahku itu. Hinggalah ada seseorang menarik diriku dan membawa aku keluar dari kumpulan itu. Dia membawa aku ke sebuah bilik, dan mengambil butiran diriku. Aku ditempatkan di Wihara Hang Tuah. Atau Blok E. Ketika aku dihantar ke asrama E, lagi sekali aku dikerumuni pelajar-pelajar senior. Aku disuruh buat macam-macam perkara. Bila buat kesilapan disuruh ketuk ketampi dengan menjunjung beg di atas kepala. Hinggalah aku ditunjukkan katil tempatku di dorm yang kelihatannya macam berada di rumah sakit.

Di sebelahku ialah seroang senior yang begitu garang. Namanya Hamid Tuah. Kebetulan ada nama Hamid Tuah yang terkenal yang berjuang untuk kaum setinggan di Kuala Lumpur. Dia beri aku tugas sepanjang tahun ini, iaitu mengantung kelambunya setiap malam. Kawan aku yang juga baru sampai yang bernama Mat Isa Ajis kena berkokok setiap subuh untuk membangunkannya.

Minggu pertama ini adalah minggu orentasi. Kami di kenakan macam-macam perkara yang tidak terfikir sebelum ini. Ada yang diminta mencium semua tiang sepanjang lorong ke bilik air. Fikirkanlah ada lebih kurang 30 tiang semuanya, sepanjang gajah menyusur hingga ke tandas.

Di MPSI itu aku dikenali dengan panggilan ‘orang gunung’,kerana aku berasal dari Gunung Semanggol,Perak.

Aku mula berkuliah dan di letakkan dalam kelas B. Ada seramai 25 orang semuanya. Mulalah aku berkenalan dengan pensyarah-pensyarah. En. Kamaruzzaman pensyarah Geografi, Jognder Singh pensyarah pendidikan, Raman Khan pensyarah Psikologi, En. Tan pensyarah Bahasa Inggeris , Wan Dos Muhamamd pensyarah matematik, Haji Daud pensyarah Agama Islam, Shafie Tasi pensyarah lukisan, Jayatilaka pensyarah muzik, En. Kamaluddin pensyarah bahasa Melayu dan En. Zainuddin juga pensyarah pendidikan. Seorang lagi pensyarah ialah En. Nordin Hassan yang mengajar Bahasa Inggeris.

Minggu, 15 Februari 2009

Dari Sungai Sayong Penuh Peristiwa

Kisah ini bermula ketika saya menghubungi beberapa orang teman lama untuk menyampaikan berita sedih tentang kematian Othman Dahlan. Allahyarham meninggal akibat barah paru-paru. Muhamad Haji Ibrahim (Kini sudah haji juga) dari Kuala Lumpur dan Sulaiman Omar dari Melaka bergegas ke Batu Pahat, ke rumah Allahyarham. Dalam pertemuan inilah mereka sempat mengenang kembali aruah semasa masih bujang, ketika bertugas di Sekolah Kebangsaan Felda Sungai Sayong pada tahun 70-an dulu. Saya, Haji Muhammad Ibrahim, Sulaiman Omar, Othman Dahlan dan Ustz. Ali Tamsir pernah tinggal di rumah bujang, rumah Guru Felda Sungai Sayong. Kami dah macam adik beradik. Masa tu susah betul, letrik belum ada lagi. Kami terpaksa guna pelita sahaja apabila tiba pada waktu malam. Saya sendiri pada mulanya tidak pandai masak, terpaksa belajar masak daripada Muhamad Ibrahim. Muhamad Ibrahim ni memang pandai masak. Macam-macam resipi dia tahu. Saya pula kadang-kadang terpaksa merujuk kepada buku resepi memasak. Saya masih ingat pada bulan puasa bila tiba giliran masak saya pernah mencuba satu resepi baru, iaitu masak goreng ikan bungkus daun ubi. Saya terlupa mencelur daun ubi gadong itu dulu, sebelum membungkus ikan kembong malah terus celur dalam telor dada dan digoreng. Memang sedap, tapi lepas berbuka puasa kesemua kami yang makan itu, tak sadar kerana mabuk hingga tertidur sehingga mencecah tengah malam baru sedar. Tanpa pasang pelita pula. Apa lagi terlepas sembahyang trawikh. Banyaklah lagi peristiwa yang tidak dapat kami lupakan. Bergaduh, bermasam muka kemudian berbaik kembali adalah perkara biasa bagi kami. Misalnya untuk mempastikan prestasi sukan badminton sekolah kami meningkat, kami semua guru sanggup mendermakan 10 ringgit setiap bulan selama setahun semata-mata untuk membina gelanggang badminton. Kami juga terpaksa mengangkut sendiri pasir dari sebuah sungai di ladang kelapa sawit dan bergotongroyong membinanya. Untuk memastikan prestasi pelajar meningkat dalam peperiksaan UPSR kami sendiri sanggup mengadakan kelas tambahan pada setiap malam, tanpa imbuhan. Kami mengutip yuran dari pelajar hanya untuk membayar kos membeli lampu gasolin dan minyaknya sahaja.

Satu hal yang menarik di gugusan felda ini terdapat empat buah sekolah kebangsaan yang berhampiran. Atas inisiati Guru Besar sekolah- sekolah ini, mereka telah membentuk satu badan gabungan sukan, yang diberi nama PESTA (Pesta Empat Buah Sukan Taib Andak), kemudian menjadi PETIS (Pesta Tiga Buah Sukan Taib Andak) apabila sekolah Kebangsaan Bukit Besar menarik diri kerana beberapa masalah teknikal. Sukan atau Pesta Sukan sekolah-sekolah Gugusan Taib Andak ini bukan untuk pelajar sahaja, malah antara guru-guru pun terlibat. Saya yang tidak tahu bersukan pun terpaksa turun padang, berlatih bola sepak, pingpong dan badminton. Terdapat juga pertandingan dalam (indoor game) seperti catur dan karem. Bila diwujudkan sukan mengikut zon barulah PETIS ini dibubarkan.

Pada tahun 1977 saya berpindah mengajar di Sekolah Menengah Sultan Ibrahim Kulai. Pada masa itu juga Othman Dahlan sudah berkahwin dan tinggal bersama isterinya juga seorang guru di rumah sewa (Rumah peneroka). Sulaiman Omar berulang alik ke Johor Bahru, kerana isterinya bekerja di sana. Ustaz Ali Tamsir juga sudah berpindah ke Melaka setelah bertemu jodoh dengan orang Melaka.

Kami sempat mengenang kembali teman-teman yang lain seperti Omar Farouk Ibrahim Ghaney, Sharif Ghani, Aziz Ariffin, Guru Besar Hamzah Ariffin, Cikgu Salam, Ahmad Rafie , Cikgu Normah, Cikgu Habshah Othman, Cikgu Ismail Maasum, Cikgu Ishak Hj. Nor dan Cikgu Sapuan.

Kini setelah 33 tahun Haji Muhamad Ibrahim merasa terpanggil untuk mengumpulkan kembali teman-teman, bekas Guru Sekolah Sungai Sayong itu. Berkat usahanya dia berjaya menjejaki kembali beberapa orang teman seperti Omar Farouk yang kini berada di Perlis, Cikgu Salam dan Ahmad Rafie di Kelantan, Ustz. Ali Tamsir dan Sapuan Munip di Melaka, Aziz Ariffin, Sharif Ghani dan Guru Besar di Bandar Tenggara, Johor.

Dia mencadangkan agar satu pertemuan kembali (reunion) akan diadakan pada 9 Mei ini di Melaka, di sebuah pusat peranginan di Tanjung Klebang. Saya juga telah menyatakan persetujuan untuk menjayakannya dan berjanji akan menghubungi beberapa orang lagi teman bekas guru Sekolah Kebangsaan Sungai Sayong, seperti Cikgu Khair Affendi dan Kamariah (suami-isteri) kini berada di Mersing, Khadijah dan Wahid (suami-isteri)kini di Felda Air Tawar 4, Kota Tinggi. Mereka bertemu jodoh semasa mengajar di Sayong. Saya dan isteri juga bertemu jodoh semasa mengajar di Sekolah tersebut. Memang banyak kenangan di sana. Saya rasa ada tujuh pasangan guru yang bertemu jodoh semasa mengajar di Sekolah Kebangsaan Sayong ini.

Selasa, 10 Februari 2009

Menterjemahkan yang ‘benar’ itu menjadi sukar kerana…

Pendapat Dato’ Baha dalam kemelut politik di Perak begitu objektif dan tidak menjurus kepada luahan emosi. Tanpa menyebelahi mana-mana pihak Dato’ Baha menyatakan bahawa kita harus bijak menterjemahkan peristiwa di Perak dengan kembali kepada akal sihat, dengan tidak memancing publisiti di media sebagai rujukan. Saya amat bersetuju dengan pendapat Dato’ Baha ini. Keghairahan media yang bias kepada politik tertentu bukan menyelesaikan masalah. Kita terlalu cepat menjatuh hukum. Kita terlalu cepat membuat keputusan ‘salah’ –‘benar’ hanya berdasarkan perhitungan politik. ‘Jadi serahkanlah kepada mahkamah, dan yakinlah Allah akan memberi kemenangan kepada yang benar (cepat atau lambat)’-Memetik kata-kata Dato’ dalam blognya ‘Desa-Kota’.
Sebagai orang Melayu saya sendiri pun tersentuh bila ada orang ingin menyaman Sultan. Lebih-lebih lagi bila merujuk kepada pendirian Sultan terhadap isu di Negeri Perak ini. Tetapi sebagai orang Islam, kita harus bermuhasabah diri dulu. Kita harus merujuk kepada kerajaan Islam di zaman Nabi Muhammad saw. Beliau sendiri sebagai pemimpin (Rasul pulak tu) pernah berdiri di atas mimbar meminta kepada makmum ketika itu agar mengadilinya, jika dia pernah berbuat salah dia sanggup diberi balasan balik ketika itu juga. Sehingga ada seseorang (saya lupa namanya) bangun dan menyatakan padanya, waktu Perang Badar dulu tongkat Nabi pernah menyinggul belakangnya. Mendengar kesaksian orang ini Nabi segera menyuruh Saidina Ali pulang ke rumahnya mengambil tongkat yang dimaksudkan itu, dia sanggup dibalas balik oleh si pengadu tadi. Sehingga Umar Al Khatab memohon untuk menjadi galang ganti, tetapi Nabi tetap berkeras bahawa itu adalah kesalahannya dan dia yang harus memikul akibat perbuatannya itu.

Islam itu cantik, seharusnya kita mengambil iktibar dari segala aspek kehidupan Islam yang sudah diatur begitu rupa. Pernahkah kita merujuk Al Quran bila berlaku perbalahan dan perselisihan pendapat? Sedangkan dalam khutbah setiap minggu ada disebutkan, setiap minggu! Ada dinyatakan yang maksudnya begini,.’Jika kita berbalah atau berselisih pendapat atas sesuatu perkara, berbaliklah kepada Al Quran’. Tapi bila timbul kes ini.. balik-balik kita merujuk kepada media..Entahlah…penattt.

Senin, 09 Februari 2009

Antara Sasterawan dan Sasterakawan

Menjadi orang sastera memang sepatutnya menjadi seperti penyu. Tak perlu menjadi terkenal, tetapi tahu-tahu menghasilkan mahakarya. Sudah tentulah dalam genre seperti sajak, cerpen, novel atau drama. Begitulah orang sastera yang kemudiannya dipanggil sasterawan.

Kita melihat orang sastera seperti terpinggir. Tidak seperti artis, dengan sebuah lagu pun boleh menjadi terkenal. Sebagai contoh siapa kenal A. Latif Mohiddin penyair terkenal yang pernah melahirkan sajak, ‘Sungai Mekong’ itu. Begitu juga Jihati Abadi, Baha Zain, Dharmawijaya, Suhaimi Haji Muhammad, T. Alias Taib dan Muhammad Haji Salleh.Mereka yang mewarnai dunia sastera sejak 50- 60-an tetap menyepi dari dunia populariti. Begitu juga penulis-penulis novel seperti Arena Wati (yang baru kembali kerahmatullah), S.Othman Kelantan, Muhd. Affendi Hassan, Anwar Ridhwan dan Hassan Ali (sekadar menyebut beberapa nama).

Karya-karya mereka memang hebat, tetapi jarang diperkatakan. Malah oleh kalangan sasterawan sendiri. Pengkritik pula seolah-olah suduh penat, kalau ada pun usaha menyetuh karya-karya penulis tersebut, mungkin kerana terdesak oleh rutin seminar dan majlis-majlis sastera atau pun kerana tugasan universiti.

Di kalangan penggiat sastera pula kita seolah-olah ada kumpulan sendiri yang perlu ditonjol dan diketengahkan. Begitu juga dengan orang-orang yang berkuasa dalam bidang sastera ( ? ) seperti ada semacam sikap sasterakawan dalam menentukan siapakah yang pelu dinobatkan sebagai sasterawan ulung. Mereka ini akan menentukan pula karya-kara yang perlu diperkatakan dan diangkat. Kita ada GAPENA, kita ada PENA dan persatuan-persatuan penulis di seluruh negara. Semacam ada semangat sasterakawan di kalangan mereka. Dari satu segi semangat ini memang baik, tetapi dari segi perkembangan sastera amat merugikan. Kita harus mengangkat karya, bukan penulisnya. Seharusnya begitu. Harap-harap hal ini hanya telahan saya sahaja. Sebenarnya tidak pun berlaku. Entahlah, mungkin saya silap.

Rabu, 04 Februari 2009

Pengalaman Bahasa III

Kakak saya satu-satunya anak kampung Kubu Gajah, Semanggol yang berpeluang belajar di sekolah Asrama Penuh, iaitu di Sekolah Tun Fatimah. Ketika itu masih di Durian Daun, Melaka. Sekolah tersebut menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya sebagai bahasa pengantar. Jadi kakaklah satu-satunya anak kampung yang berpeluang belajar hingga ke peringkat sekolah Menengah ketika itu, ke sekolah asrama penuh pula. Pengaruh pendidikan Inggeris ketika itu memang masih meluas. Kebetulan saya juga bersekolah di Sek. Men. King Edward VII, yang terkenal sebagai satu-satunya sekolah Inggeris di Taiping.
Apa yang ingin saya kongsikan di sini ialah bagaimana pengaruh dan budaya Inggeris telah meresap dalam kehidupan kita orang Melayu tanpa kita sedari. Saya selalu menemani kakak saya ke rumah teman-temannya di Taiping, terutama jika ada majlis seperti majlis menyambut hari jadi. Rata-rata hari jadi disambut dengan majlis meniup lilin dan diikuti oleh persembahan oleh si anak dengan bermain piano. Sudah tentu lagu-lagu yang dimainkan adalah lagu-lagu Inggeris. Hinggakan kakak saya bila berkahwin dan dapat anak, telah menghantar anaknya belajar piano sebagai sesuatu yang menjadi kemestian pula.
Begitu juga ketika saya menjadi guru, majlis hari jadi diikuti dengan majlis tari-menari.Bukan itu sahaja, saya begitu terperanjat apabila majlis sukan sekolah biasanya akan diakhiri dengan jamuan makan malam yang menyelitkan acara tari menari sebagai satu acara mesti. Hal ini berlaku hingga ke akhir tahun 1970-an, apabila ada gerakan dakwah besar-besaran oleh ABIM.
Kalau dulu kita sering mempertikai kata-kata orang tua yang enggan menghantar anaknya ke sekolah Inggeris kerana takut anaknya masuk kristian, rupa-rupanya ada benarnya kekhuatiran mereka itu. Memang kita orang Melayu tidak masuk kristian, tetapi gaya hidup dan pemikiran kita sama seperti mereka.
Siapa kata dengan belajar bahasa Inggeris tidak akan menjejaskan identiti kita orang Melayu? Belajar bahasa Inggeris kerana ilmu tidak sama jika kita belajar bahasa Inggeris untuk menggunakannya dalam percakapan harian kita seperti yang berlaku pada tahun-tahun 60-an itu. Pergilah ke mana-mana, semua orang bercakap bahasa Inggeris. Di pejabat-pejabat kerajaan, di hospital, di dalam keretapi, di majlis-majlis sambutan hari jadi dan sebagainya. Orang hanya bercakap Melayu bila masuk kampung. Bahasa Melayu hanya bahasa untuk orang-orang luar bandar. Sebab itulah kalau ada seorang dua orang kampung yang pandai berbahasa Inggeris, dia akan dianggap terpelajar, meskipun kerjanya cuma setakat budak pejabat atau kerani sahaja.
Memang bukan salah bahasa Inggeris, tetapi kita yang begitu mudah terpengaruh. Hingga hari ini apa saja dari negera Inggeris semuanya menjadi ikutan. Ukuran seseorang itu terpelajar atau tidak bukan dengan pengguasaan bahasanya, tetapi penguasaan ilmunya. Apakah bahasa Melayu tidak boleh?

Oleh itu belajarlah bahasa Inggeris untuk menguasai ilmunya, bukan untuk bermegah-megah kerana pandai cakap orang putih. Belajarlah juga bahasa-bahasa lain seperti bahasa Arab, Cina, Jepun mahupun Rusia. Ada banyak ilmu dalam bahasa-bahasa tersebut yang perlu kita terokai dan tulislah semula ke dalam bahasa Melayu agar bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu. Barulah bahasa Melayu akan disegani dan dihormati. Kalau tidak nasib bahasa Melayu akan sama seperti bahasa-bahasa lain yang semakin menyepi seperti bahasa jawa, banjar, bajau dan bahasa-bahasa orang asli yang lain.

Selasa, 03 Februari 2009

Jawapan kepada Sabar yang mempertahankan Setia

Sabarlah dalam mempertahankan setia, katamu. Pilihlah negara, negara akan kekal.Memilih sahabat, sahabat akan menjadi Jebat.

Setianya Tuah pun hanya kepada tuannya, bukan kepada Melaka.
Beratus tahun dijajah, apakah kita masih harus setia?
Malu menyisip keris bahasa sendiri, hingga menghunus pedang bahasa asing.

Kini pun kita masih tercari-cari jati diri, Melayu yang bagaimana?

Sabarlah dalam mempertahankan benar, benar tidak akan berubah. Bahasa kuasa bukan bahasa benar. Perang pun tidak akan mengubah batil menjadi benar.

Perlukah kita bersabar mempertahankan hak?