Selasa, 28 April 2009

Kuasa

Never put too much trust in friends, learn how to use enemies’.

Kuasa sebenarnya memukau sesetengah orang. Mereka sanggup berbuat apa saja untuk kekal kerusi kuasa. ‘The 48 Laws of Power’ oleh Robert Greene mengajar kita banyak perkara tentang kuasa. Bagaimanakah strategi untuk kekal berkuasa. Biasanya dia memberikan contoh-contoh daripada petikan kisah sejarah lalu.
Misalnya dalam strategi ke-2 : Jangan terlalu percayakan kawan, belajarlah bagaimana untuk memanfaatkan musuh.
Katanya, berhati-hatilah dengan kawan atau teman--mereka akan lebih mudah berpaling tadah.Mereka kemudiannya sanggup pula berlaku kejam dan zalim. Oleh itu cubalah berbaik-baik dengan musuh lama kita dan bergabung pula untuk menyelamatkan diri kita daripada dikhianati. Musuh akan lebih setia dan mereka akan lebih jujur. Begitulah, kita seharuslah lebih berhati-hati dengan kawan jika dibandingkan dengan musuh. Kalau tiada musuh, ciptalah musuh. Musuh memberi kewaspadaan kepada kita untuk berkuasa lebih lama.
Sebuah kisah yang berlaku pada zaman empayar Byazantine , pada pertengahan abad ke-9 sebelum masihi boleh dijadikan sebagai iktibar. Bagaimana seorang maharaja bernama Michael dikhianati oleh rakan baiknya sendiri. Bapa saudaranya Bardas, yang bertindak sebagai ketua tentera dan juga penasihat tidak dipercayainya.
Michael lebih mempercayai Basilius serorang teman yang pernah menyelamatkannya. Begitulah, Basilius dari seorang jurulatih kuda akhirnya dilantik menjadi ketua penjaga bangsal seterusnya dihantar untuk belajar di pusat pendidikan Byazantine yang terkenal. Akhirnya Basilius menjadi orang penting dan meningkatkan kedudukannya sebagai orang bangsawan. Dengan sokongan Maharaja juga dia mendapat kedudukan penting di istana. Pengaruh Basilius menyebabkan Bardas menasihati maharaja agar berhati-hati. Michael sudah begitu mempercayai temannya itu hingga sanggup pula membunuh bapa saudaranya, Bardas. Basilius dilantik mengantikan Bardas sebagai ketua tentera. Kekuasaannya semakin bertambah, malah bersifat boros dan menggunakan kuasa secara berleluasa. Bila keadaan kewangan negara gawat dan keamanan sukar dikawal, ketika itulah Basilius mengambil kesempatan untuk merampas kuasa. Michael mendapati pada suatu hari ketika bangun tidur, sekumpulan tentera telah mengepung tempat tidurnya dan di hadapan sahabatnya sendiri dia ditikam sampai mati.
Pengajarannya di sini – sebelum teman atau sahabat yang kita percayai berpaling tadah eloklah kita berkompromi dengan musuh lama kita. Kalau tidak ada musuh, kita harus mencipta musuh. Musuh akan berguna bagi menyelamatkan kedudukan kita saat-saat terancam. Lebih-lebih lagi oleh teman kita sendiri itu.
‘to have a good enemy, choose a friend: He knows where to strike’- Diane de Poitiers

Senin, 27 April 2009

Membaca Bahasa Pelangi


Dua buku yang saya beli di Pesta Buku Antarabangsa KL 09 ialah buku karya Azman Ahmad atau nama penanya Ibnu Ahmad al-Kurauwi. Dari kumpulan kumpulan cerpen beliau yang berjudul, ‘Di Dadanya Kalam Tuhan’, saya mula mengunyah cerpen beliau yang berjudul , “Bahasa Pelangi’ kerana tertarik dengan judulnya. Membaca pelangi adalah membaca kisah-kisah indah hidup seseorang insan. Begitulah kesan pertama saya setelah membaca buah tangan Ibnu Ahmad al-Kurauwi itu.
‘Di Dadanya Kalam Tuhan’ (DBP: 2009) menghidangkan 20 buah cerpen yang pernah terisar dalam pelbagai media. Kemudian saya terus membaca beberapa buah cerpen beliau yang lain seperti, ‘Syahadah Mc. Allister’, ‘Dan Kuntum Syawal pun Mewangi’,’Memintas Al-Qadar’, ‘Kerudung Kefiyyeh Baba’,’Dari Kerisek ke Baiturrahman’,’Tiga Drama dalam Tiga Gerabak Keretapi’,’Dua Lewat Taubat’, dan ‘Di dadanya Kalam Tuhan'. Sebagai Seorang Ustaz, sudah tentu Ibnu Ahmad al-Kurauwi banyak menyelitkan kisah-kisah pengajaran. Dari seorang pemuda Inggeris yang melafazkan syahadah kerana hendak ‘jadi Melayu’, seterusnya bagaimana seorang Walid yang menghadapi fitnah dan seorang suami yang kehilangan isteri tercinta banyak mengajar kita tentang erti kasih sayang, kesabaran dan juga penyesalan.
Bagi saya cerpen-cerpen beliau menarik kerana penggunaan ayat-ayatnya yang indah dan segar. Terutama selepas membaca ‘Bahasa Pelangi’. Lihat saja ayat-ayat ini:
Bukan tidak mahu berduka tetapi saya sudah berlara-lara diyatimkan Tuhan…,
Sempat saya bancuhkan sebuah senyuman manis bergaul pahit ke wajah ma..,
Tahulah ma masih memeram dendam, kerana itu tiada tangan yang melambai kami pergi, tiada terjunan air mata…’
Walang menumpang di kedut wajahnya,
Saya cuba membuka mangga bicara yang mengunci mulut abah,
Cukuplah kematian Wardah memenjara lidah saya, mengemam bibir dari berkata-kata, Saya kehilangan kata-kata kerana sebak bertali di uncang dada.

Kamis, 23 April 2009

Pesta Buku Antarabangsa KL 09


Saya berkesempatan berkunjung ke pesta buku KL pada 20 dan 21 April lalu. Di gerai Dawama DBP saya sempat bertemu dengan penulis Ibnu Ahmad Al-Kurauwi atau nama sebenarnya Azman Ahmad.

Ketika singgah di gerai PTS pula kebetulan bertemu dengan Pn. Ainon. Beliau sempat memperkenalkan seorang pelanggannya yang setia. Saya dapati gerai PTS sentiasa penuh dengan pengunjung. Semasa berbual dengan Pn Ainon, beliau menyatakan kesyukurannya kerana dalam keadaan ekonomi meleset ini rakyat Malaysia masih tidak lokek untuk membeli buku.

Kamis, 16 April 2009

Kehilangan


Beberapa orang teman saya pernah bertanya tentang mengapa menulis cerpen ‘Kehilangan’ yang tersiar di Dewan Sastera pada bulan Februari lalu. Sebenarnya,
ketika saya bersara wajib pada 26 Ogos 2006 lalu, saya terasa kehilangan sesuatu. Suasana pagi di Institut Perguruan (IPTHO), suasana di bilik kuliah, di pejabat, di kafe semuanya lenyap begitu sahaja.

Saya tertarik untuk menyentuh isu ‘kehilangan’ ini kerana setiap hari kita sentiasa mengalaminya. Sekurang-kurangnya bila detik berlalu, kita akan kehilangan masa, sekaligus kita akan kehilangan umur hidup kita. Kita akan bertambah dewasa malah melangkah ke alam tua. Kehilangan Nurin Jazlan, kehilangan Sharline, kehilangan penulis Hazrie Othman dan perginya teman-teman penulis satu demi satu- baru-baru ini Shahrom Hussein dan Ungku Zaman Tahir adalah juga kehilangan yang akan sentiasa berlaku.

Ketika suasana ‘kehilangan’ inilah saya sempat membongkar kembali file-file lama yang mengandung tulisan berupa cerpen dan sajak. Ada yang belum pernah disiarkan. Secara kebetulan pula saya terjumpa sebuah cerpen yang berjudul, ‘kehilangan’ yang saya cipta beberapa tahun yang lalu, tetapi masih belum siap. Sebenarnya masih ada beberapa buah cerpen saya yang masih terperuk dalam file, yang belum saya gilap.

Cerpen itu saya baca kembali, ternyata sebuah cerpen berdasarkan kisah benar, yang pernah berlaku. Bagaimana sebuah rumah tangga yang dibina tanpa asas kasih sayang, akhirnya akan musnah. Begitulah kisah sebenar itu saya olah kembali demikian rupa hingga menjadikan sebuah kisah baru yang lain dari kisah benar yang pernah berlaku. Saya cuma mengambil inti daripada kisah benar itu, iaitu bagaimana seorang suami yang minat berniaga, hanya memikirkan perniagaannya sahaja. Tidak pernah peduli hati isterinya yang perlukan belaian dan perhatian terhadap rumah tangga. Hingga akhirnya si isteri lari meninggalkan suaminya.

Saya percaya kisah ini banyak berlaku di kalangan kita. Puncanya macam-macam. Mungkin tidak ada persefahaman, mungkin ada orang ketiga, mungkin juga campur tangan keluarga. Semuanya saya simpulkan sebagai suatu ‘kehilangan’ dalam kehidupan kita berkeluarga. Kehilangan itulah yang mesti dicari oleh pasangan dalam sesebuah rumah tangga.

Sebuah kisah biasa, seperti kisah sebuah rumah tangga yang mengalami masalah sebenarnya sudah klise. Tema ini sudah banyak kali disentuh oleh kebanyakan penulis. Saya bisa terperangkap dengan permasaalahan yang sama itu, dan sudah tentu cerpen yang terhasil adalah cerpen yang biasa-biasa saja.
Sebenarnya apa yang lebih menakutkan ialah orang Melayu akan kehilangan bahasanya.

The Soul of Malaya

Henri Fauconnier yang pernah bertugas di Tanah Melayu (Malaya) dalam tahun-tahun 1900, pernah menghasilkan novel berjudul, ‘The Soul of Malaya’. Pernah diterbitkan pada tahun 1930. Kini diterbitkan kembali oleh Archipelago Prees, Singapura pada tahun 2003. Henri Fauconnier satu-satunya orang Perancis yang bekerja sebagai pengurus ladang di Malaya. Pengalaman di Malaya itu dimanfaatkan dalam sebuah novel.
Apa yang menarik dalam novel ini adalah pantun-pantun yang disisipkan oleh pengarangnya dalam setiap permulaan bab. Misalnya:

Padang perahu di lautan
Padang hati di fikiran

Kupu-kupu terbang melintang
Terbang di laut di ujung karang
Pasal apa berhati bimbang
Dari dahulu sampai sekarang

Terang bulan terang temaram
Hantu berjalan laki-bini

Hendak pucuk, pucuklah jering
Jering tak biasa pucuk di dahan
Hendak kokok, kokoklah biring
Biring tak biasa kalah di medan


Satu lagi yang menarik apabila penulisnya menyentuh tentang orang-orang Melayu pada waktu itu. Meskipun dalam bentuk perbualan antara penulis dan watak Rolain (merupakan sahabatnya) tetapi yang tak sedap bila menyentuh tentang sikap Melayu, katanya ,’A fine sort of people – lazy, deceitful and vain. That’s my opinion’. Fahamkanlah sendiri apa maksudnya. Seterusnya penulisnya juga menggambarkan sikap hidup orang Melayu sebagai..’They can easily get their daily rice by working one day a week and they ask for no more.’Itulah pandangan orang luar. Sama-samalah kita fikirkan.

Selasa, 14 April 2009

Mengapa Kebenaran Sering Menyepi.

Yang benar dan yang batil itu sebenarnya sudah jelas. Tetapi mengapa masih ada lagi orang yang berbantah-bantah mengenainya. Setiap Jumaat Khatib atau Imam berkhutbah, mengingatkan kita umat Islam agar merujuk Al-Quran bila ada perkara timbul yang membawa kepada pertelingkahan.
Kalau ada orang bukan Islam membaca sebaris dua ayat Al-Quran dalam ucapan, hebohlah kita. Macam-macam pendapat kedengaran, baik yang marah ataupun ada yang berpendirian positif.
Kim Woo Jung seorang usahawan Korea dalam bukunya, ‘Bukan Kerana Periuk Nasi’ menyatakan bahawa kesedarannya wujud setelah membaca kisah Nabi Musa dalam Al-Quran. Meskipun dia tidak Islam, tetapi dia mengambil iktibar dari ayat-ayat dalam Al-Quran hingga dia dapat mengubah nasibnya menjadi usahawan berjaya.
Saya bagi satu contoh. Saya rasa dalam sembahyang banyak kali kita membaca surah, ‘Alam Nasyrah’ yang bermaksud ‘melapangkan’ ini. Berapa orang yang faham benar-benar maksudnya. Kita baca dan kita baca. Mungkin telah beratus kali. Mungkin telah beribu kali. Tapi apa yang kita dapat dari maksud ayat-ayat yang kita baca itu? Misalnya dalam maksud ayat 5: Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan. Ayat 6: Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan. Ayat 7: Maka apabila kamu telah selesai (dari sesuatu urusan), kerjakanlah dengan sungguh-sungguh (urusan) yang lain.Ayat 8: Dan hanya kepada Tuhanlah hendaknya kamu berharap.
Allah huakhbar. Kita pun sujud. Sedarkah kita apa maksud ayat-ayat tersebut?
Janganlah pada suatu ketika nanti bila ada orang bukan Islam membaca ayat ini dan menyedari bahawa ayat ini adalah ayat motivasi baginya, sebagai dorongan baginya untuk bersungguh-sungguh dalam sesuatu perkara. Malah dia percaya akan berjaya. Lalu kita melenting dan marah dan menyatakan apa haknya membaca ayat-ayat ini? Ada maksud jahatkah?

Senin, 13 April 2009

Strategi Perang Tun Perak.


Seorang penulis yang bergiat cergas dalam Persatuan Penulis Johor (PPJ) ialah Drs. Ungku Mohd Zaman Tahir. Dalam penulisan beliau juga dikenali sebagai ‘Perantau Hiba’. Beliau dilahirkan di Pontian, Johor. Berkelulusan Sarjana Sastera (Doktorandus) dalam jurusan Bahasa dan Sastera Indonesia, Universiti Nasional Jakarta, Indonesia. Beliau banyak menghasilkan tulisan dalam bentuk esei sastera dan budaya. Beliau juga bergiat mengumpulkan cerita-cerita rakyat dan juga penulisan sejarah. Selain itu dalam bentuk kreatif banyak menghasilkan karya drama radio dan cerpen. Dua buah buku Kumpulan drama radio yang telah diterbitkan ialah, ‘Burung Kedidi Terbang Senja’ dan ‘Puntung Api Di Pohon Nyireh’. Beliau meninggal pada 16 November 2008 lalu.
Drama Pak Engku Mohd. Zaman yang menarik ialah ‘Puntung Api di pohon Nyirih’. Memaparkan sebuah episod sejarah Melaka, semasa keagungannya sehingga dapat mengalahkan tentera Siam yang sedang dalam perjalanan untuk menyerang Melaka. Drama ini memaparkan kehebatan ‘Tun Perak’ sebagai Bendahara Melaka yang menjadi perancang atau mastermind dalam percubaan mematahkan serangan Siam. Bendahara Tun Perak adalah seorang tokoh terkenal Melaka yang mempunyai strategi yang sangat menarik dalam peperangan. Dia bukan sahaja sebagai seorang pemimpin, penasihat malah adalah seorang pakar strategi perang Melayu yang sama taraf dengan ‘Tzun Zu’ pakar strategi perang negeri Cina.
Semasa Tun Perak membawa angkatan perangnya bersama-sama anak isteri ke Melaka dari Klang, ada orang mempersoalkannya. Kata Tun Perak ini adalah stateginya supaya tenteranya akan berperang bermati-matian. Bila mereka membawa anak dan isteri tentulah mereka akan berperang habis-habisan kerana mereka juga akan memikirkan keselamatan keluarga mereka sama.
Begitu juga bila Tun Perak mengerahkan tenteranya menunggui angkatan Siam di Batu Pahat, tidak menunggu sahaja di Melaka, Tun Perak mempunyai strategi sendiri dengan memasang ‘andang api’ di sepanjang pantai Batu Pahat pada waktu malam. Apabila tentera Siam melihat banyaknya lampu di Batu Pahat, menunjukkan betapa ramainya tentera Melaka. Jadi Siam akan berfikir sedangkan di Batu Pahat begitu ramai inikan pula di Melaka. Taktik ini menyebabkan tentera Siam mengurungkan hasrat untuk menyerang Melaka.
Satu lagi kisah yang menarik bagaimana Tun Perak dapat mengucar-ngacirkan tentera Siam yang sedang berlabuh, sebelum menyerang Melaka. Dengan hanya menghantar Hang Hisap yang gila-gila bahasa, dengan berperahu melanggar perahu-perahu tentera Siam hingga banyak yang terbalik. Kejadian ini menyebabkan tentera Siam berfikir, ini baru seorang tentera Melaka, bagaimana yang lain lagi yang menanti di darat. Akhirnya tentera Siam tidak jadi menyerang Melaka.
Inilah kehebatan Tun Perak! Seorang pakar strategis Melayu yang lahir pada zaman kegemilangan Melayu Melaka. Banyak lagi anekdot kehebatan Tun Perak sebagai pakar strategi yang perlu kita gali. Semuanya terdapat dalam buku Sejarah Melayu.
Sebenarnya strategi Tun Perak ini boleh juga digunakan dalam situasi apa juga, hatta dalam politik. Cuma kita kadang-kadang terlupa kehebatan kita sendiri, lalu mengagumi orang lain.

Minggu, 12 April 2009

Rumah Tepi Sawah


Cerpen saya yang pertama tersiar di Utusan Zaman (4 Mac 1973) yang berjudul ‘Surat Untuk Kakak’(Dalam Kumpulan Cerpen 'Perjalanan Ke Z',DBP:1992). Cerpen ini berbentuk surat si adik (penulis) kepada kakaknya yang bersekolah di sekolah Asrama Tun Fatimah (ketika itu di Melaka). Latar belakang kisah ini berlaku di sebuah rumah di tepi sawah. Si adik menceritakan bagaimana keadaannya semasa ketiadaan kakak. Tugas menjaga adik-adik yang lain diserahkan kepadanya. Ibu pula pagi-pagi lagi sudah turun ke sawah. Dari tingkap rumah dia dapat melihat tubuh ibunya nun di hujung bendang.
Sesekali pulang ke kampung saya sempat melihat kembali bekas tapak rumah saya dulu, yang pernah menjadi latar cerpen tersebut. Kini yang tinggal cuma sebuah pondok yang didirikan bagi menggantikan rumah pusaka itu.
Mujur saya sempat merakamkan gambar rumah yang membesarkan saya dan adik-beradik itu, sebelum menyembah bumi. Kami adik beradik kebanyakannya telah berhijrah.Kalau ada yang menetap di Perak mereka semua sudah bekeluarga dan punya rumah sendiri. Abang saya telah bermastautin di Pulau Pinang. Kakak saya bertemu jodoh dengan orang Melaka, meskipun kini kembali menetap di kampung tetapi sudah mempunyai rumah sendiri.Seorang adik saya kini berada di Kelantan. Seorang lagi di Terangganu. Saya sendiri telah lama berhijrah dan menetap di Johor.

Kamis, 09 April 2009

Cerdik tetapi tidak bijak

Sewaktu perang Dingin Amerika-Russia, terdapat kisah perlumbaan di Moscow. Dalam perlumbaan itu peserta Rusia mendapat tempat kedua. Peserta Amerika memotong peserta Rusia di saat-saat sampai ke garisan penamat.
Begitulah gambaran yang boleh mengubah persepsi kita terhadap sesuatu perkara.
Sebenarnya cuma ada dua peserta sahaja yang berlumba. Peserta Amerika tempat pertama dan peserta Rusia tempat kedua.
Begitulah dengan sesebuah berita politik, terutama tentang suasana kempen pilihan raya di tiga tempat yang begitu rancak. Kedua-dua parti yang bertanding menyatakan mereka semakin mendapat sokongan, malah ada berita tentang pembubaran sebuah parti dan mereka pula beramai-ramai masuk parti yang lagi satu.
Berita begini memang sedap didengar untuk satu pihak, sedangkan bagi pihak yang lagi satu akan memberi tafsiran lain pula. Biasalah, inilah yang dikatakan perang psikologi.
Hingga akhirnya apabila keputusan pilihan raya diumumkan, tahulah kita calon dan parti mana yang menang. Sudah seharusnya kita berfikir, terutama bagi pihak yang kalah. Kenapa kalah? Banyakkan bermuhasabah diri. Banyaklah pendapat yang diberikan. Hingga ada rancangan khas mengulas tentang pilihan raya tersebut.
Dalam rancangan khas Astro Awani ada seorang penonton telah memberikan pendapat tentang kekalahan BN di dua bukit itu. Katanya, pengundi di sana cerdik tetapi tidak bijak mengundi. Sepatutnya mereka mengundi BN. Jadi bolehlah dikatakan bahawa pengundi di Batang Ai cerdik dan bijak mengundi sebab itulah BN menang.
Begitulah caranya kita cuba memujuk kekalahan. Pramoedya Ananta Toer dalam novel 'Bumi Manusia' mengakhiri ceritanya dengan kata-kata si anak, 'Kita kalah ma, tetapi kita melawan!'

Senin, 06 April 2009

‘Selamat Johor’


Dato Onn pernah dipecat dan dibuang negeri oleh Sultan Ibrahim, pada awal tahun 1927. Beliau dikatakan telah melanggar kedudukannya sebagai seorang pegawai kerajaan dan rakyat Sultan Johor yang mengikut kebiasaannya patut menghormati dan patuh perintah Sultan Johor.
Dato Onn membawa keluarganya ke Singapura dan memulakan hidup baru dengan bekerja sebagai nelayan, buruh kasar dan penarik beca.
Dalam buku ‘Dato Onn Jaafar Pengasas Kemerdekaan’ tulisan Ramlah Adam (DBP,2005) ada menceritakan lebih lanjut tentang mengapa Dato Onn sanggup meninggalkan Johor dan menetap di Singapura. Bagi Dato Onn beliau merasakan pentadbiran Sultan tidak begitu menyenangkan. Kebebasan bersuara di Johor tidak ada, sedangkan Singapura sebuah kota antarabangsa dan tidak tertakluk kepada pentadbiran Johor, memberi kebebasan itu. (hal. 23)
Selama di Singapura Dato Onn membuat apa saja kerja untuk menampung hidup keluarganya. Kemiskinan yang dihadapinya, pergaulan dan penelitian terhadap masyarakat Melayu pada waktu itu mencuit kesedaran sosialnya. Beliau akhirnya memilih pekerjaan sebagai wartawan. Dato Onn memulakan tugasnya sebagai wartawan ‘Warta Malaya’ pada 1 Januari 1930.
Melalui akhbar inilah beliau banyak menulis tentang orang-orang Melayu yang masih tertinggal di bidang ekonomi dan juga sosial. Beliau tidak henti-henti menggunakan sikap masyarakat Melayu sebagai bahan tulisannya. Daripada soal kelemahan pelajaran hingalah soal pelacuran di kalangan orang Melayu.
Dato Onn juga dengan beraninya menyelar dasar British terhadap negeri-negeri Melayu. Dasal liberal British menggalakan kemasukan orang Cina dan India ke Tanah Melayu juga menjadi perhatian Dato Onn. Baginya kemasukan mereka secara langsung memberi kesan kepada orang Melayu dari segi politik dan ekonomi.
Di samping mengkritik sultan Dato Onn tidak lupa juga menerbitkan sebuah buku bergambar tentang Keluarga di Raja Johor yang berjudul, ‘Selamat johor”. Selepas sebulan Selamat Johor diterbitkan, Sultan Ibrahim menulis sepucuk surat kepada Dato Onn meminta Dato Onn mengadap baginda di Istana Pasir Pelangi. Bermula dari sinilah hubungan Dato Onn dengan istana kembali pulih. Atas sokongan Tengku Ismail, Dato Onn dilantik sebagai ahli tidak rasmi Majlis Mesyuarat Negeri Johor.

Kamis, 02 April 2009

Penyair Ihsan Noorzali


Semasa menghadiri Seminar Pemikiran Shaharom Husain pada 14 Mac lalu di UPSI, saya sempat bertemu dengan Ghazali Din atau nama penanya Ihsan Noorzali. Beliau berasal dari Kedah, kini bertugas di UPSI sebagai Pegawai Penerbitan di Unit Perhubungan Awam. Sebagai seorang penulis beliau banyak menghasilkan sajak dan pernah memenangi beberapa sayembara penulisan puisi. Antaranya Hadiah pertama Sayembara Mencipta Puisi Darul Aman (1989), Hadiah Utama Sastera Utusan-Public Bank (1969), Hadiah Penulis Berpotensi ASASI (1994/95) dan Hadiah Utama Sastera Utusan-Exxon Mobil (2004)
Kumpulan puisi beliau ‘Merindu Alam’ telah diterbitkan oleh DBP (2008). Merupakan himpunan 124 puisi yang dihasilkan sejak tahun 80-an lagi.
Berkenalan dengannya sebenarnya menambahkan lagi sahabat puisi saya. Di sini saya petik sebahagian sajak beliau yang berjudul , ‘Yang Kugenggam Diam’.

patah sayap burung cintaku
ranting terpaku menahan rindu
kugenggam diam serpihan pisah
kutahankan pedih tusuk sembilu pilu
kekasih, pandanglah rumputan di bumi.

Rabu, 01 April 2009

Pelajar-pelajar Iran di Malaysia.


Semasa menghadiri majlis konvo anak saya pada 29 Mac lalu, saya sempat bertemu dan berkenalan dengan seorang pelajar Iran bernama Salman. Beliau pelajar sarjana dalam bidang Kejurteraan Kimia (Petrolium). Semasa berbual dengannya, beliau menyatakan pelajar-pelajar Iran di universiti ini sahaja berjumlah 700 orang. Di Malaysia ini pelajar Iran sudah mencapai 6000 orang di kebanyakan universiti. (Gambar: Salman bersama Abdul Hadi Shapiai)
Katanya dia belajar di sini atas pembiayaan sendiri. Lagi pun katanya di sini murah jika di bandingkan belajar di Amerika, England dan di Eropah.
Rupanya universiti kita telah menjadi pilihan utama bagi pelajar-pelajar Timur Tengah, seperti Iran, Iraq, Arab Saudi dan beberapa buah negera Afrika. Tidak hairan jika kita kebetulan mengunjungi sebuah pusat membeli belah di Tun Aminah, kita akan dapati mereka ini agak ramai.
Menyentuh tentang Iran sudah tentulah mereka ini berfahaman Syiah. Kebetulan saya membaca buku Travelog, ‘Iran- Menyingkap Misteri Bumi Ahmadinejad’. Tulisan Dina Sulaiman. Dalam bab sembahyang ada diceritakan dalam buku ini tentang kebiasaan solat orang-orang Iran yang agak berbeza. Ada setengah tempat, masjid hanya mengadakan sembahyang jumaat sahaja. Untuk sembahyang fardu dilakukan sendiri-sendiri tanpa berjemaah. Malah ada tempat yang mengadakan solat zohor dan asyar berturut-turut dalam satu masa. Begitu juga solat isyak dilakukan selepas solat maghrib.
Begitu juga pada bulan Ramadan tidak ada solat tarawih, kecuali di masjid-masjid mazhab Sunni. Tetapi menjelang malam ke-19, 21 dan 23 Ramadan barulah mereka memenuhi masjid bagi mendengar ceramah, membaca Al-Quran dan mendirikan solat sunat.
Pada sepertiga terakhir bulan Ramadan, selama tiga hari berturut-turut beberapa masjid besar akan mengadakan program Iktikaf, bermaksud mendiamkan diri di masjid. Program ini biasanya dianjurkan oleh kerajaan dengan pembiayaan makan dan minum. Para peserta akan duduk di masjid selama tiga hari dan tidak keluar dari masjid sama sekali.
Jelas sekali mazhab Syiah berbeza dengan mazhab kita di Malaysia yang menganut Syafie.
Dengan kebanjiran orang Iran ini, mungkin sedikit sebanyak orang-orang kita akan terpengaruh dengan mazhab Syiah. Lebih-lebih lagi mereka ini mudah mesra dan suka bergaul dengan orang-orang Melayu. Berlainan dengan pelajar Arab Saudi yang agak sukar untuk bergaul dengan pelajar-pelajar lain.