Minggu, 31 Mei 2009

Yang Datang dan Yang Pergi

Yang datang atas nama kelahiran
disambut rasa syukur
punya nama, punya ibu dan punya bapa
juga punya saudara-mara terdekat
dan teman-teman saling memberi hadiah dan tahniah.

Yang pergi adalah kedukaan
meninggalkan nama, saudara-mara, isteri dan anak-anak,
sahabat terdekat
lalu yang datang adalah simpati.

Begitulah yang pergi adalah daun-daun hari
yang datang adalah kuntum-kuntum revolusi
kalah dan menang juga silih berganti
meski perang berkali-kali
kelahiran masih mengisi daftar kehidupan ini

Sesungguhnya rumah hidup
sering dikunjungi tetamu
yang datang membangun dunia mimpi
yang pergi meninggalkan dunia realiti


Shapiai Muhammad Ramly
Seri Wangsa, Batu Pahat, Johor.
(Mingguan Malaysia 31 Mei 2009)

Kamis, 28 Mei 2009

KHUTBAH DI LEMBAH URANAH

(Khutbah Terakhir Nabi Muhammad S.A.W)

‘Wahai manusia,
dengarlah!
dengarlah apa yang ingin kusampaikan
ini pertemuan terakhir
mungkin tidak akan bertemu lagi
dengarlah!
dengarlah dengan teliti
sampaikanlah!
pesananku ini..

Wahai manusia,
bulan ini bulan suci
kota ini kota suci
jiwa dan hartamu
adalah amanah suci
jangan sakiti mereka,
jika kamu sendiri tidak mau disakiti..

Ingatlah,
kamu akan kembali
untuk hari perhitungan
segala amalmu

Ingatlah
riba itu haram
jangan kamu dibelenggu
olehnya

Syaitan adalah musuhmu
jagalah agama
kamu tidak akan terpedaya oleh perkara besar
tetapi tumpas oleh perkara kecil

Wahai manusia,
isteri adalah hakmu
kamu juga adalah hak isterimu
biarlah kamu saling menyempurnakan hak
berilah mereka pakaian
berilah mereka makanan
berilah mereka kasih sayang
mesrailah mereka
mereka adalah teman
mereka adalah pembantu setia
jagalah mereka
selagi mereka menjaga hakmu
tidak membawa masuk seseorang
yang kamu tidak suka
ke dalam rumahmu
tidak juga berzina

Wahai manusia,
dengarlah
ini pesanan terakhir
sembahlah Allah
solatlah
berpuasalah
berzakatlah
tunaikan haji jika mampu
setiap muslim adalah bersaudara
kamu semua adalah sama
tidak ada yang lebih mulia
selain takwa dan amalnya

Ingatlah,
kamu akan menghadap-Nya
untuk dipertanggungjawabkan
janganlah keluar dari landasan kebenaran
selepas ketiadaanku

Wahai manusia,
selepas ini tidak ada lagi nabi dan rasul
tidak ada lagi agama baru
nilai dan fahamilah kata-kataku ini
aku tinggalkan dua perkara
Al Quran dan sunnah
jika kamu berpegang kukuh
tidak akan tersesat selamanya..

Sampaikanlah pesananku ini
berpesan-pesanlah kepada kebenaran
semoga yang terakhir akan lebih memahami
daripada yang mendengar terus dariku ini

Saksikan ya Allah!
bahawa telah aku sampaikan
risalah ini
kepada hamba-hambamu..’


Dinukilkan kembali,
Shapiai Muhammad Ramly.
Pesiaran CITRA
Johor Bahru.

Minggu, 24 Mei 2009

Gututkaca pun Tertipu.


Tidak kira benar atau salah penipu sering dijadikan wira jika menguntungkan sesebuah negara atau bangsa. Gopal Baratham, penulis Singapura yang pernah memenangi Seawrite Award 1991 pernah menghasilkan cerpen yang berjudul, ‘The Personal History of an Island’ yang mendedahkan kebenaran tentang sebuah pulau yang kononnya dijumpai oleh seorang tokoh Inggeris yang terkenal, tetapi sebenarnya didapati secara penipuan. Yang kena tipu ialah sultan, di sini disebut ‘Malay Sultan’. Ini kerana pulau ini kata penulis, ‘It belonged to a Malay Sultan.’ Sultan ditipu oleh Inggeris dengan membayar harga yang begitu rendah untuk sebuah pulau yang sangat berharga.
Dalam penulisan sejarah moden pulau itu, terakamlah nama orang Inggeris ini sebagai orang yang penting. Bukan sebagai seorang penipu.
Begitulah banyak kisah dalam dunia benar ini wira muncul dan diagungkan kerana kehebatannya menipu, membunuh dan merompak. Sebaliknya orang yang memperjuangkan kebenaran dilabel pula sebagai pengkhianat.
Nampaknya kebatilan sudah mengatasi kebenaran. Kebenaran menang hanya ada dalam dongengan sahaja.
Watak Gututkaca dalam Hikayat Pandawa Lima, tentu semakin sukar menentang musuhnya dari puak Kaurawa kerana mereka bukan sahaja kalah kerana buah dadu, tetapi dewa benar juga sudah tidak menyebelahinya. Agaknya inilah versi baru ‘Wayang Purwa’ dalam dunia realiti.
Gututkaca yang terbilang sakti telah dilemahkan dengan cara tipu helah moden iaitu dengan kuasa ….

Kamis, 21 Mei 2009

Yang Paling Sukar ialah Untuk Mengerti.

Pengertian sering berbeza-beza. Berdasarkan kefahaman seseorang. Kefahaman seseorang pula biasanya bergantung sejauh mana tingkat pendidikannya. Rendah tingkat pendidikan rendah pula tahap kefahamannya. Ada juga yang tinggi tingkat pendidikannya tetapi tahap kefahamannya begitu rendah. Malah ada orang yang tidak belajar di mana-mana tapi tahap kefahamnnya begitu tinggi. Ini hal lain yang ada kaitannya dengan pengalaman dan sikap.
Lalu segala tindakan kita adalah melambangkan sejauh mana tahap pendidikan kita. Lebih tepat lagi tahap pemikiran kita.
Sebab itu kita tidak dapat mengukur tahap pendidikan dengan tahap keintelektualan seseorang. Orang yang belajar hingga ke peringkat universiti boleh saja jadi penipu, amal rasuah dan pembunuh. Begitu juga orang yang tidak pernah mendapat pendidikan formal tahu-tahu boleh jadi pemimpin besar yang berkaliber dan amanah.
Begitulah juga seorang yang terdidik dalam bidang agama, boleh berceramah dengan baik, selalu pula memberi nasihat kepada orang lain, tiba-tiba terperangkap dengan perbuatan yang dimurkai Allah.
Ada pula yang mengaitkan dengan faktor umur. Semakin dewasa semakin banyak makan garam kata orang. Oleh itu orang tua seharusnya menjadi contoh kepada orang muda. Orang muda seharusnya mendengar nasihat orang tua. Tidak semuanya benar. Ada juga orang muda yang fikiran dan tingkah lakunya sudah menampakan kedewasaan. Sebaliknya ada orang tua yang berfikiran sempit dan tidak matang.
Lalu boleh saja orang tua mendapat pandangan orang muda. Kita tidak harus malu mengakui kelemahan kita di hadapan orang muda.
Fahaman politik juga boleh membawa pengertian yang berbeza. Fahaman politik sering mengubah dan menyepikan kebenaran. Di sinilah kita perlukan pengertian. Biar berbeza politik, tapi kebenaran itu tetap benar.
Apalagi jika dirujuk tentang fahaman agama. Masing-masing berpegang kepada kebenaran agamanya. Bila orang Islam berpegang kepada hanya satu agama yang benar, pihak lain mengatakan bahawa Islam itu tidak demokratik. Kita minta pengertian mereka tentang apa itu Islam. Islam tidak boleh disamakan dengan agama-agama lain.
Begitulah apabila menyentuh soal bahasa, apa yang menghairankan ialah tanggapan orang Melayu sendiri terhadap bahasa Melayu. Kalau orang Cina dan India kita tidak hairan bila mereka memperjuangkan bahasa ibunda mereka. Yang pelik bin ajaib orang Melayu sendiri menolak bahasa Melayu dengan alasan bahasa Melayu tidak berdaya maju. Mereka berselindung disebalik kata-kata, ‘Dengan menggunakan bahasa Inggeris tidak bermakna akan menghapuskan bahasa Melayu’.
Di sinilah pengertian itu penting. Memanglah sesuatu yang paling sukar ialah untuk mengerti.

Kamis, 14 Mei 2009

Nostalgia Bertandang

.
(Karikatur ini direka khas oleh Sdr. Zainal Buang Hussein)

Bermula di sekolah lama, iaitu sekolah Keb. LKTP Sungai Sayong. Meski pun cuti hari Vesak, Guru Besar dan guru-guru sekolah mengadakan upacara sambutan besar-besaran. Siap dengan bunga manggar dan paluan kompang. Anak-anak sekolah beruniform Pengakap, Puteri Islam dan Bulan Sabit beratur di kiri kanan jalan masuk ke sekolah. Kami diarak bagikan menyambut orang kenamaan
(Gambar kanan: Guru-guru dan murid sekolah bersedia untuk menyambut ketibaan kami)

En. Md. Yusof bin Ahmad Guru Besar mengelu-elukan kehadiran kami. Nampaknya ramai bekas guru tahun 70-an yang hadir. Bekas pelajar juga ramai yang hadir, diketuai oleh Md. Yunan bin Abdul Majid, yang kini bertindak sebagai setiausaha sambutan. Atas usahanya ramai juga penduduk kampung yang hadir. Mereka sama-sama menunggu kami di dewan sekolah. Antaranya Pak Atan, Pak Wagiman dan Yusuf. Yusuf bermurah hati menyediakan juadah tengahari untuk kami semua.

Sesungguhnya sambutan kepada kami sungguh istimewa dan tidak dapat kami lupakan. Meski sudah lebih 30 tahun kami meninggalkan Sungai Sayong, masih ada lagi mereka yang sanggup meraikan kami. Mohd. Yunan telah meguar-uarkan kehadiran kami dengan menampal poster di kedai-kedai dan juga di masjid.
Malangnya kebanyakan penduduk yang kami kenal ramai yang sudah pergi lebih dahulu dari kami. Di antaranya Pak Njang dan Mak Njang, Pak Samad, Pak Imam Ani, Bilal Jaafar,Bilal Omar, Imam Haji Kasim, Wak Saimon, Pak Raof dan ramai lagi. Kini penduduk Sungai Sayong adalah terdiri daripada generasi anak-anak mereka.
Ramai pelajar-pelajar kami yang sudah berjaya. Kebanyakan mereka telah berhijrah dari penempatan ini kerana bertugas. Ramai yang sudah berjawatan tinggi.
Selepas makan kami dibawa berkeliling kampung dengan didahului oleh motosikal polis rela. Kami dapat melihat banyak perubahan, terutama rumah-rumah peneroka sudah cantik, tidak ada kesan rumah lama. Pokok-pokok juga sudah besar, terutama pokok durian. Boleh dikatakan setiap rumah ada ditanam pokok durian di belakang rumah mereka.
Selepas solat zohor di masjid Sayong, kami terus bergerak ke Hotel Seri Malaysia Johor Bahru. Petangnya kami adakan majlis baca Yassin dan tahlil untuk disedekahkan kepada teman-teman yang lebih dulu kembali kerahmatullah.
Pada sebelah malamnya diadakan majlis ramah tamah sambil mengenang kisah-kisah silam.
Guru Besar (mantan) kami dulu Haji Hamzah Ariffin berserta isteri dan anak-anaknya turut serta memeriahkan majlis. Sungguh pun beliau uzur, beliau kuatkan juga datang semata-mata tidak mahu ketinggalan untuk sama-sama menjayakan majlis pertemuan ini.
Antara mereka yang hadir dalam majlis reunion ini ialah Aziz Ariffin dan isterinya Khadijah, Ishak Haji Nor, Ismail Masom dan isterinya Normadiah, Jamain dan isterinya Habsah,Khair Affandi dan Isterinya Kamariah, Sulaiman Omar dan isterinya Safiah, Suriati dan suaminya Moin, Sahar Jailani dan isterinya Azizah, Mohd. Haji Ibrahim dan isterinya Faridah, Omar Farouk Ibrahim Ghaney, Sharif Ghani dan isterinya, Wahab Nordin, Sapuan Munip dan isteri, Khatijah dan suaminya Wahid, Esah dan suaminya Wahid dan juga Faridah Ahmad.

Selasa, 12 Mei 2009

Bila Ayahku Menulis….


Ayahku meninggal pada tahun 1988. Dia sempat meninggalkan tulisan yang sangat bererti dalam hidup kami adik beradik (seramai 8 orang). Tulisan bertaip sepanjang lapan halaman itu menceritakan kisah hidup ayah yang siap ditulis pada 24 Mac 1971. Ketika itu saya baru sahaja mengajar di Johor. Ketika balik kampung baru-baru ini kakak saya menyerahkan tulisan yang sudah pudar itu kepada saya. Di sini saya petik sebahagian daripada tulisan itu:
‘Menurut apa yang telah diceritakan bahawa mereka (datuk dan nenekku) sampai di Bagan Tiang, Perak. Buah-buah padi sedang masak menguning dengan baiknya, yang demikian tidaklah susah bagi mereka untuk mencari kerja-kerja lain, hanya mereka pergi ke sawah-sawah orang untuk mengambil upah menuai padi. Setelah habis menuai, mereka meminta pula menuai anak-anak padi lutut yang telah berbuah semula. Anak padi lutut ini sangat menjadi sehingga mereka dapat menghimpun pendapatan berjumlah lebih 500 gantang. Dengan itu dapatlah mereka menyambung hidup mereka yang baru datang ke Tanah Melayu ini.
Setelah mereka berusaha pula membuka tanah bendang sendiri dengan menyewa tanah dari orang lain yang ada menyewakan tanah. Di samping itu mereka juga berusaha membuka tanah baru dengan menebang hutan. Mereka menanam pokok-pokok getah di kawasan Sungai Malau, Selama Perak. … Akhirnya mereka dapat memiliki tanah seluas 4 relong tanah bendang di Bagan Tiang, dan 3 lot (lebih kurang 15 ekar) tanah kebun getah yang boleh ditoreh. Mereka pun tinggal menetap di Sungai Malau, Tebing Tinggi Selama Perak.’.
Dalam tulisan seterusnya ayah saya menyatakan bahawa datukku (ayahnya) telah berhutang dengan Chetti dengan tujuan untuk membuka lagi tanah kebun. Dia mencagar grant tanah. Selepas perang keadaan ekonomi merosot dan tanaman tidak menjadi, akhirnya tanah-tanahnya telah terlepas ke tangan Chetti.
Datuk saya terpaksa bekerja semula untuk mencari wang bagi memulakan hidup baru.
Tulisnya lagi:
‘Pada tahun 1929 dengan nasihat abang ipar saya , mereka sekeluarga telah berpindah ke Alor Setanggok, Gunung Semanggol. Mereka menyewa tanah bendang di situ. Pada tahun 1930 bapa saya (iaitu datuk) telah dapat memohon tanah baru yang masih hutan sebanyak 2 lot yang luasnya lebih kurang 13 ekar, iaitu di antara Parit 3 Alor Setanggok dan Parit 4 Alor Setanggok. Mereka bekerja dengan bersungguh-sungguh bersama abang-abang saya termasuk saya membersihkan tanah-tanah itu. Saya masih ingat lagi pada suatu hari sebelum emak saya bekerja menebas hutan, saya telah dibawa oleh emak saya masuk ke dalam hutan pergi mengangkat bubu-bubu yang telah ditahannya pada hari kelmarinnya, kalau-kalau kena ikan untuk lauk makan pada hari itu.
Setelah bekerja dengan bertungkus lumus hingga sampai pada tahun 1934 maka dengan adanya mendapat perolehan padi yang banyak, lebih kurang 4,000 gantang dapatlah bapa membayar perimium dan mengambil grant tanah itu dan tanah itu barulah betul-betul menjadi hak milik mereka.’
Seterusnya dalam tulisan itu juga terdapat cerita tentang kegigihan datukku bukan sahaja dalam bekerja malah belajar hal-hal agama. Datukku sudah belajar hal-hal agama semasa kecil dan khatam Al-Quran semasa berumur 6tahun. Beliau terus belajar seperti Ilmu Ketuhanan (Tauhid), Syariat dan rukun-rukun sembahyang, hadith dan lain-lain lagi. Ayahku juga meskipun cuma mendapat pendidikan setakat darjah 5, tetapi mewarisi ilmu agama daripada datukku.
Daripada cerita ayahku ini, dapatlah gambaran bahawa orang Melayu sebenarnya memang rajin. Baik dalam bekerja dan juga dalam menuntut ilmu.
Siapa kata Melayu malas?.

Kesengsaraan Isteri atau Kasih Berpindah.


Saya menerima sebuah naskah lama daripada seorang kawan yang diterbitkan pada tahun 1938.Dikarang oleh Suhaimi Ismail, beralamat Sungai Tiram Pulau Pinang. Buku/novel setebal 194 halaman ini bertulisan jawi mengisahkan kehidupan sebuah rumah tangga yang berantakan akibat si suami yang suka berpoya-poya dengan wanita kabret. Merupakan penceritaan kembali kisah Ahmad kepada temannya Syarif. Ahmad yang sudah menyesal bercerita bagaimana hidupnya ditimpa malang kerana seorang wanita kabret bernama Miss Lim. Isterinya meninggal kerana menanggung penderitaan dan dia akhirnya melarat seorang diri.
Sudah menjadi kebiasaan pengarang pada waktu itu untuk turut sama dalam novelnya. Misalnya:
‘Tuan-tuan pembaca patut mengetahui adalah Ahmad tersangat manja ia kepada emak saudaranya disifatkan seperti emak sendiri jadi tiadalah ia berasa segan atau malu sedikit pun kepada Mak Langnya’.
‘Di sini patut tuan-tuan pembaca ketahui ada pun Ahmad sebelum itu berangkat balik kerana bercuti itu ia telah beri ketahui lebih dahulu kepada kekasihnya.’
‘Sekarang patut rasanya kita lihat apa hal Aminah perawan kita yang comel itu.’

‘Tuan-tuan yang bijaksana tentu sedia mengetahui hal keadaan bandar Pulau Pinang yang dikenali juga dengan nama ‘Prince of Wale Island’.

Selasa, 05 Mei 2009

Penyakit Orang Melayu.

Ketika menziarahi blog teman-teman saya tertarik dengan isu yang diketengahkan tentang penyakit orang Melayu. Pertama blog ‘Madah Muslimah Melayu’, yang menyentuh tentang Melayu yang dikaitkan dengan dadah, jenayah sosial dan juga masalah murtad. Blog sterusnya, ‘kayangdailypost’ menyentuh tentang remaja Melayu yang suka merempit.
Bagi saya ada lagi satu penyakit orang Melayu, iaitu suka berhibur. Lihat saja Media dan TV. Ada saja berita hiburan. Lebih-lebih lagi dengan adanya acara anugerah seperti Anugerah Berita Harian, Anugerah AIM, Anugerah ‘One In a Million’. Sebelum ini ada Akademi Fantasia yang sudah masuk ke minggu-minggu terakhir. Anugerah Juara Lagu. Bintang RTM juga sedang berjalan. Bintang Klasik Nasional juga sudah bermula. Ada lagi program ‘Mentor’. TV 3 pula sibuk dengan Jom Heboh, tidak kurang juga aktiviti hiburan di tv 9.
Hiburan tidak salah, tetapi terlalu banyak hiburan menyebabkan kita akan menjadi leka.
Apa nak jadi dengan warga Malaysia. Terutama orang Melayu.
Jadi lengkaplah sudah pakej yang ada pada Melayu. Belum lagi masuk bab politik. Bila orang Melayu berpolitik, tak habis-habis dengan politik wang.
Ada dua benda sahaja yang menjadi idaman orang Melayu. Satu nak jadi artis. Kedua nak jadi ahli politik. Kedua-duannya menjanjikan sesuatu. Apa dia? Fikirlah sendiri.

Senin, 04 Mei 2009

Perjalanan Hidup

Rupanya aku pernah muda
bercinta dan kecewa
itulah yang dikatakan kenangan
sukar untuk dilupakan.

Rupanya menjadi dewasa
tidak semudah yang disangka
bukan sekadar tanggungjawab
masalah pun bertambah
sukar untuk dipecahkan.

Menjadi tua tanpa dipinta
sakit pening dan lupa
kenangan sering memenjara
begitulah,
kehidupan ini sementara
selagi kita masih mampu berkata-kata!


Shapiai Muhammad Ramly
Johor Bahru, Johor.