Rabu, 29 Juli 2009

Percakapan Seorang Shamsudin


Shamsudin Othman, penulis kelahiran Tangkak ini memang tidak asing lagi bagi penulis muda Johor. Saya mengenali beliau ketika beliau masih menuntut lagi. Beliau sudah mula mendekatkan diri dengan penulisan dan juga Persatuan Penulis Johor (PPJ). Ketika PPJ mengadakan pertemuan di Desaru sempena penerbitan antologi ‘Iqrak’ beliau datang bersama temannya Kamaruddin Md. Tahir. Selepas itu Shamsuddin masuk Maktab Perguruan Lembah Pantai, Kuala Lumpur dan kebetulan selepas itu mengajar di Kota Tinggi. Dari sini beliau terus belajar dan akhirnya berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti. Kini beliau adalah pensyarah di Universiti Putera Malaysia.

‘Taman Percakapan’(DBP: 2006) adalah kumpulan puisi beliau yang memuatkan 110 buah sajak. Membaca ‘Taman Percakap’ seolah-olah membaca siapakah Shamsudin Othman yang sebenarnya. Penulis seangkatan Rahimidin Zahari dan SM Zakir ini cukup kuat berpegang kepada prinsip pencarian diri, sesuai dengan dirinya yang sentiasa tenggelam dalam alam mujarradat (kerohanian). Dalam percakapannya kepada roh seorang Shamsuddin, dia seolah-olah merayu kepada Al-Khalik;

Tuhan
Jangan biarkan aku sendiri
Kerana aku makin jauh
Dan jauh
Menuju dunia kekasih.

Shamsuddin juga sering mengingatkan dirinya, isteri dan anak-anaknya tentang harapan seorang suami, seorang ayah dan juga sebagai seorang kekasih.
Kepada Saiyidah Sumaiyah dia berdoa;

Agar kau menjadi sepohon mawar
Yang tegar melepaskan harum
Ke langit menjadi bunga segar
Ke sisi menjadi dahan merendang
Ke tanah menjadi akar menunjang
Dan aromanya mengikat gerak peribadi.

Shamsuddin juga bercakap kepada banyak orang dan banyak benda seperti percakapan kepada bahasa Melayu, kepada hari lebaran, hari kematian, kepada Tanjung Sedili dan juga kepada bulan dan bintang.
Semua percakapan ini sebenarnya membawa makna yang tersendiri. Meminta banyak kembara melalui lawang-lawang fikiran dan renungan.
Kita menunggu-nunggu kumpulan puisi beliau seterusnya.

Senin, 27 Juli 2009

Santai Puisi dan Budaya


Seramai 25 orang wakil penulis Johor (PPJ) telah bertandang ke Shah Alam Selangor untuk satu sesi pertemuan silaturahmi dengan Penulis Selangor (KEMUDI). PPJ diketuai Ketua Satu Sdr. Amiruddin Ali Hanafiah serta Ahli Jawatankuasa seperti Rosli Bakir (Setiausaha Satu),Mohd. Taufiq (Setiausaha Dua) serta beberapa orang jawatankuasa dan wakil penulis muda PPJ. Pertemuan pada 25 Julai itu, berlangsung di Kompleks Belia dan Kebudayaan Selangor, di Seksyen 7, Shah Alam. .
Yang Berbahagia Dato’ Abd. Samad Mahruddin, Yang Di Pertua KEMUDI pula mengetuai ahli-ahli Persatuan Penulis Selangor itu bersama barisan AJK , Abu Hassan Ashari (Naib Yang Di Pertua), P. Yasmin Dato’ Ahmad Mahir, Badrila Abdullah, Ismail Supandi, Amin Minhad dan beberapa penulis termasuk Dr. Ibrahim, Haji Ahmad Sarju dan Zainal Abas atau lebih dikenali sebagai Kasajiza A.S
Acara pertemuan dipenuhi dengan majlis santai puisi pada malamnya dan diikuti sesi dialog pada keesokan harinya.

Majlis Dialog PPJ-KEMUDI diwakili oleh Amiruddin Ali Hanafiah dan Shapiai Mohd. Ramly (PPJ) serta Sri Diah dan Puteri Andalas (KEMUDI). Dialog itu lebih berkisar kepada aktivti penulisan kedua-dua persatuan penulis tersebut. Pada akhir pertemuan Dato' Abd. Samad (Yang Di Pertua KEMUDI) menyatakan kesudiannya untuk melakukan lawatan balas ke Johor pada tahun hadapan.

Selasa, 21 Juli 2009

Kidung Akarku


Antologi karya Hadiah Sastera Darul Ta’zim Keenam ini menghimpunkan enam buah puisi, enam buah cerpen, dua esei dan kritikan sastera, sebuah drama radio dan tiga buah karya penulis remaja (bawah 19 tahun).
Tajuk antologi ini berdasarkan cerpen Tiras R. yang membawa persoalan mencari kembali susur galur atau akar keturunannya yang berasal dari salasilah Raja dan Ratu Solo di Indonesia. Penulis bertemu Pak Hendra yang melagukan kembali Kidung ‘Rukeso Ing Wengi’ yang ternyata sama dengan kidung dalam simpanan aruah bapanya. Dengan bantuan Pak Hendra juga Penulis dapat mengesahkan ketulenan salasilah yang terdapat dalam simpanannya, setelah menyemak dan membandingkannya dengan salasilah yang masih tersimpan di Kraton Solo. Cerpen ini menjadi lebih menarik kerana Pak Hendra sebenarnya sudah lama meninggal. Jadi siapakah yang ditemui Penulis dan yang membantunya masuk ke bilik simpanan di Kraton yang sudah lama tidak dikunjungi itu.
Pelancaran antologi HSDT keenam ini telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Haji Abdul Ghani Othman pada malam penyampaian HSDT pada 17 Julai 2009 lalu di PERSADA, Johor Bahru.
(Penerbit : YWJ Citra Holdings Sdn. Bhd. Larkin Perdana, Johor Bahru.
Harga:RM 24.90)

Senin, 20 Juli 2009

Memetakan Arah Perjuangan

Hadiah Sastera Darul Ta'zim (HSDT) sebenarnya dapat mempertemukan saya dengan kebayakkan penulis Johor, yang datang kerana menang hadiah dan juga ada yang datang semata- mata untuk meraikan teman-teman yang menerima hadiah. Semasa berbual-bual dengan mereka sempat juga saya bertanyakan pendapat mereka tentang tip-tip dalam penulisan.

Seorang penulis vetran menyatakan kepada saya, kebanyakan penulis menulis mengikut keadaan semasa. Terutama yang menulis untuk media. Kalau bulan Ramadan banyaklah yang menulis tentang kehebatan bulan Ramadan. Begitu juga bila musim-musim sambutan hari kemerdekaan, hari raya, tahun baru dan musim perayaan lain.

Kemudian timbul pula isu-isu seperti kematian seseorang tokoh. Ramailah penulis ambil kesempatan. Seperti kematian Micheal Jackson. Begitu juga kalau ada malapetaka seperti tsunami dan gempabumi maka banyaklah sajak yang ditulis.

Penulis bermusim ini memang sering kelihatan karya mereka tersiar di akhbar-akhbar dan majalah.

Saya teringat nasihat Dr. Anwar Ridhwan dalam ucap utama semasa perhimpunan penulis muda Malaysia 2009 anjuran PENA dengan kerjasama DBPWS dan Majlis Bandaraya Melaka pada 22 Mei lalu di Air Keroh Melaka. Beliau menyatakan penulis muda seharusnya dapat memetakan arah perjuangan seninya, katanya‘Jika penulis mengarang kerana nama, namanya akan dikenali tetapi akan hilang begitu sahaja. Jika penulis menulis kerana wang, wang akan habis dalam waktu terdekat, jika tujuan pengarang mengarang hanya untuk seni, maka ia hanya mengangungkan seni yang relatif. Tetapi jika dia mengarang kerana menggunakan bakatnya untuk pendakwah seni dan mengandung ilmu, karyanya akan menjadi lebih bererti.’
Saya sejak dulu lagi saya cuba menyatakan kepada diri saya, bahawa saya adalah guru, saya adalah pendidik. Kalau saya menulis saya akan menulis untuk mendidik diri saya dahulu dan bila karya saya disiarkan saya harap tulisan saya dapat juga dihayati oleh pembaca. Saya akan terus menjadi guru yang suka menulis. Jadi soal kerana nama, kerana wang tidak timbul. Biarlah orang lain terkenal, biarlah karya orang lain diperkatakan, biarlah orang lain menang hadiah. Saya akan terus menulis. Kalau karya kita dihargai, Alhamdulliliah. Kalau karya kita menang, Alhamdulillah. Yang penting saya akan terus menulis.

Minggu, 19 Juli 2009

Sesat Di Belukar Perasaan

Ini bumi tandus simpati
setiap ketika orang mengusung keranda sengketa
telah dikebumikan kemanusiaan itu
telah ditalkinkan hak asasi
telah ditabalkan kemenangan kebatilan

Setiap saat
kita tersesat
di belukar perasaan
di bakar kekecewaan

Ini bunga amarah berkembangan mekar
ini debu-debu angkuh enggan bersimpuh
keberanian tumbang dalam kekalahan menyerah
makna duka tertulis di depan mata. Luka.


Shapiai Muhammad Ramly
Sri Wangsa, Batu Pahat, Johor.
Berita Harian, Sabtu 18 Julai 2009.

Kamis, 16 Juli 2009

Hadiah Sastera Darul Ta’zim Johor.


HSDT mula diadakan pada tahun 1996 (dua tahun sekali). Kini telah melangkah kali ketujuh diadakan oleh kerajaan Negeri Johor. Rasanya negeri Johor konsisten dalam memberikan penghargaannya kepada para penulis. Tahniah kepada kerajaan Negeri Johor. Nampaknya pembangunan holistik yang diuar-uarkan oleh YAB Menteri Besar bukan setakat gendang kosong. Yayasan Warisan Johor (YWJ) dipertanggungjawabkan mengendalikan anugerah ini yang sangat bermakna kepada perkembangan persuratan di negeri ini.
Apa yang menarik hasil karya pemenang-pemenang HSDT ini biasanya diantologikan (terutama karya eceran). Setakat ini sudah enam antologi telah diterbitkan sejak tahun 1999:

1. Rel Waktu – HSDT 1 ( YWJ:1999)
2. Hujung Tanah – HSDT II (YWJ:2001)
3. Rimba Perkasihan – HSDT III (YWJ:2003)
4. Kasih Itu Kesabaran – HSDT IV (YWJ:2005)
5. Gapura Merdeka – HSDT V (YWJ:2007)
6. Kidung Akarku – HSDT VI (YWJ:2009)

Rabu, 15 Juli 2009

Wejangan yang mengelirukan

Wejangan yang mengelirukan terhadap agama, biasanya dikaitkan dengan ajaran sesat. Begitulah jika ada wejangan yang mengelirukan terhadap bahasa Melayu, bolehlah kita simpulkan sebagai ajaran salah yang perlu dibentras. Biasanya ajaran sesat berlaku bila seseorang tok guru itu tidak mempunyai asas dalam pegangannya. Misalnya belajar di tempat yang salah, tidak ada guru yang benar-benar boleh diperakui dan ada juga guru yang banyak belajar tetapi kerana ada kepentingan diri sanggup menyesatkan orang lain.

Hingga kini masih kedengaran lagi pendapat mereka yang tidak puas hati terhadap keputusan kerajaan memansuhkan PPSMI. Sedangkan keputusan itu dibuat berdasarkan kajian yang dibuat oleh ahli akademik kita setelah 6 tahun PPSMI dilaksanakan di sekolah.

Saya dapati rata-rata yang tidak puas hati menyatakan bahawa:
1. Menghapuskan PPSMI akan merugikan anak-anak kita sendiri terutama anak orang Melayu.
2. PPSMI perlu diteruskan kerana memudahkan pelajar memahami istilah sains dan matematik yang kebanyakannya dalam bahasa Inggeris.
3. PPSMI tidak mengancam penggunaan bahasa Melayu.
4. PPSMI akan membantu pelajar mempertingkatkan penguasaan bahasa Inggeris.
5. Ada masalah bagi pelajar luar bandar, tetapi inshah-Allah lambat laun mereka akan dapat juga menguasainya.
6. Dengan beralih kepada bahasa Melayu anak-anak Melayu akan ketinggalan (atau dengan lain perkataan akan menjadi bodoh).
7. Pemansuhan PPSMI hanya kerana politik.
8. Pemansuhan PPSMI adalah langkah mundur ke belakang.

Inilah kesimpulan yang saya dapat rumuskan setelah membaca pendapat mereka yang tidak puas hati terhadap keputusan kerajaan baru-baru ini. Bagi saya mereka ini mempunyai tanggapan yang keliru terutama bila dihubungkan dengan pelajaran bahasa Inggeris. Semua penentang PPSMI sebenarnya tidak menentang bahasa Inggeris. Telah dinyatakan berkali-kali, ‘Wahai orang-orang Melayu yang nak nak maju, belajarlah apa bahasa sekalipun. Belajarlah bahasa Inggeris, belajarlah bahasa Arab, belajarlah bahasa Rusia, bahasa Jepun bahasa Mandarin. Tingkatkanlah ilmu pengetahuan anda dengan banyak membaca. Lepas itu sebarkanlah ilmu itu kepada anak generasi kita yang akan datang. Caranya ialah dengan banyak menulis dalam bahasa Melayu. Suatu hari kelak kita akan dapati bahasa Melayu kita akan berdiri sama taraf dengan bahasa-bahasa lain di dunia ini. Biarlah ramai orang-orang asing datang ke negara kita ingin belajar bahasa Melayu kerana mereka inginkan ilmu yang terdapat dalam bahasa Melayu.’ Itulah wejangan yang perlu kita fahami benar-benar. Biar orang Melayu sedar bahawa ‘Bahasa Melayu Boleh!’.

Jumat, 10 Juli 2009

Memasuki Kolong Perasaan Orang Melayu Tentang Isu PPSMI

Banyak orang yang tidak setuju PPSMI dimansuhkan menyatakan bahawa yang menjadi mangsa adalah anak-anak kita juga. Benarkah kenyataan ini? Memansuhkan PPSMI menyebabkan anak-anak kita khususnya anak-anak orang Melayu rugi, malah lebih teruk lagi menjadi mangsa kebodohan kita. Dr. Mahathir juga menyatakan hal yang sama, katanya (memetik sumber akhbar BH 9 Julai) ‘keputusan ini menyukarkan mereka untuk belajar dan mengetahui perkembangan dalam bidang sanis.’
Ada yang lagi teruk, (tentu orang Melayu juga) yang memberi pandangan yang sangat menghibakan apabila dia melebelkan kita yang menerima keputusan menolak PPSMI ini sebagai golongan yang bodoh. Biar kita baca petikan sepenuhnya dari manusia yang bernama Acilut Indah Kubang Pasu ini:
Betapa bodohnya pemikiran pak-pak menteri sekarang ini! Inilah bezanya 'orang sains dengan orang sastera'. Orang sains berteraskan pada fakta, sebaliknya orang sastera sejak dilahirkan sampai mati, masih mengelamun dalam alam fantasi dan rekaan, lantaran tidak mahu berpijak pada alam nyata. Inilah keputusan orang yang buta fakta dan tidak bersandarkan kepada kecintaan ilmu. Keputusan yang berlandaskan kepentingan diri dan periok 'nasi', lebih kepada perhitungan politik. Nak yang senang sahaja. Tidak sanggup berusaha menghadapi cabaran dan dugaan, malas berusaha dan ingin banyak tidor.
Kalau diri sendiri tidak mahu belajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris maka janganlah menutup peluang orang lain. Ramai lagi yang ingin belajar Sains dan Matematik dam Bahasa Inggeris!
Sungguh malang bagi masyarakat Malaysia! Umno kini takut pada tekanan pembangkang malah sasterawan-sasterawan, sehingga hilang pertimbangan yang waras. Sesuatu yang akan mendatangkan kebaikan perlu dipertahankan bukan dipolitikan.
Wahai para sasterawan! Anda telah mengkhianati budaya ilmu. Ilmu bukan hanya ada pada bahasa. Anda telah menyekat pembudayaan menuntut ilmu, hanya kerana tamak dan ego, kononya memartabatkan Bahasa Melayu! Ingatlah, bangsa yang tidak dinamis akan tengelam bersama-sama bahasanya!. Apa lagi yang ada pada bahasa dan bangsa ketika itu?
Apa lagi yang hendak kita tingkatkan Bahasa Melayu. Sampai ke peringkat yang macam mana? Apa faedah kita nak meningkat penggunaan bahasa Melayu sehingga kita menyekat perkembangan Bahasa Inggeris? Adakah kita mahu seorang teknokrat ataupun saintis Malaysia menulis karangan ilmiahnya dalam bentuk sajak, puisi, pantun ataupun dalam bahasa klasik? Mana mungkin. Kalaupun terjadi ianya satu pembaziran.
Adakah dengan meningkatkan pelbagai kemahiran tambahan dalam Bahasa Inggeris, kita dapat menguasai sains dan matematik? Orang-orang sastera masih tidak faham!. Bahasa Inggeris sains dan teknologi adalah TIDAK sama dengan Bahasa Inggeris kesusasteraan. Seorang yang mendapat Ph.D dalam bidang Bahasa Inggeris pun tidak mungkin menguasai Sains dan Teknologi, kerana penggunaannya adalah berbeza!
Bahasa Inggeris sains dan matematik hanya dapat dikuasai dengan melatih dan meng'aplikasikan' penggunaan bahasa tersebut didalam bidang yang berkenaan. Oleh itu subjek matematik dan sains merupakan platfom yang sesuai tanpa perlu penambahbaikan matapelajaran Bahasa Inggeris yang sedia ada.

Sedarkah wahai pak-pak menteri BN. Pemansuhan ini secara langsung akan menyekat peluang pelajar-pelajar luar bandar mengembangkan ilmu sains dan teknologi. Yang pasti jurang ilmu pelajar-pelajar luar bandar akan berterusan semakin melebar. Mana dia perjuangan pak-pak sekelian dalam merapatkan jurang dan peluang-peluang pendidikan diantara bandar dan luar bandar? pak-pak sekali lagi mengkhianati rakyat luar bandar dengan menafikan peluang kepada mereka!
Pelajar-pelajar di bandar rata-rata mempunyai peluang dan ruang yang luas mempelajari Bahasa Inggeris (samada teknikal atau pun bukan), tidak kira samada adanya PPSMI atau pun tidak. Sebaliknya apalagi peluang yang akan ada pada pelajar-pelajar luar bandar yang secara relatifnya serba kekurangan.
Saya adalah diantara generasi yang belajar sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris dan mendapati ianya 'ter'sangat berguna dan membantu di dalam kerjaya saya. Sangat-sangat malang, peluang yang sebegini ingin dicurahkan kedalam parit!
Segala perancangan dan persiapan PPSMI telah di buat dan dengan banyak perbelanjaan. Malah, bunga-bunga kejayaan, baru mula menampakkan hasil. Cuma kita perlukan sedikit lagi usaha dan 'fine tuning' bagi menghasilkan buah-buah kejayaan. Sesuatu kerja yang besar dan baik pastinya ada cabaran dan dugaan untuk diharungi. Dengan sedikit kesabaran dan kenyakinan, insyaalah akan berjaya. Tetapi apakan daya, kita cepat mengalah dan melatah.. Itulah orang melayu.

Kamis, 09 Juli 2009

Dia Menangis lagi, sayang


Dia menangis lagi, sayang
di hadapan manusia tak berpendirian
yang tidak tahu bagaimana bersyukur
yang tidak punya jati diri
menjadi peminta di halaman istana sendiri
bukan kerana tongkat di tangan lagi
bukan kerana dijajah sikap pentingkan diri
tapi bahasa yang diagungkan bukan bahasa sendiri
mengurung erti kenal diri

Dia menangis lagi, sayang
katanya, kita akan kehilangan segalanya
kalau masih menjaring
bulan di langit sana.

Kebahagiaan ialah apabila kepentingan tidak lagi menjadi sebutan.

Kata-kata ini saya petik dari cerpen Mawar Shafie yang berjudul, ‘Cinta Masitah’. Kebelakangan ini kita dapati jumlah penceraian di kalangan orang Melayu makin bertambah. Laporan sebuah akhbar baru-baru ini di Johor sahaja sudah mencapai ribuan orang. Yang Berhormat Dr. Robia Kosai, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan Negeri menyatakan kes penceraian pasangan Islam didapati meningkat sebanyak 398 kes berbanding 1,931 kes pada tahun 2007.
Ini menunjukkan tidak ada lagi ‘kebahagiaan’ dalam kehidupan rumah tangga.
Bila adik saya dari kampung datang dan bercerita tentang orang terdekat yang sudah bercerai, ada yang mengalami keretakan rumah tangga kerana ada orang ketiga, saya menjadi tertanya-tanya,’ Kebahagiaan yang bagaimanakah yang hendak dicari oleh orang sekarang?’ Sudah ada pendapatan tetap, sudah ada anak-anak tiba-tiba dengar khabar sudah berpisah. Puncanya tidak ada persefahaman, tidak bahagia dan ada orang ketiga.
Bagaimana dengan kursus perkahwinan sebelum berkahwin? Adakah tidak berkesan? Mungkin perlu pula difikirkan kursus bagi pasangan yang sudah berkahwin.
Rasanya pasangan yang berkahwin sekarang ini sudah tidak ada mawaddah dan rahmah lagi dalam kehidupan rumah tangga mereka.
Meskipun banyak program telah diadakan seperti ‘Program Keluarga Sakinah’, perkhidmatan kaunseling tetapi masalah rumah tangga nampaknya sudah semakin meruncing, terutama bagi kehidupan orang Melayu sendiri yang sudah tentunya beragama Islam.
Mungkin benar seperti petikan dalam cerpen Mawar, bahawa kita harus berhenti menyebut kepentingan kita sendiri kerana ’Kebahagiaan adalah apabila kepentingan tidak lagi menjadi sebutan.’

Selasa, 07 Juli 2009

Untuk berlaku Adil…

Kejadian rusuhan etnik di Cina sudah memakan ratusan jiwa. Rusuhan ini berlaku akibat rasa tidak puas hati sekumpulan ethnik Uighur, yang beragama Islam setelah membantah tangkapan oleh pihak berkuasa terhadap beberapa orang pekerja. Tetapi mengapa pula berlaku pergaduhan dengan puak Han hingga mengorbankan jiwa? Utusan melaporkan kemalangan jiwa sudah mencecah 156 orang.
Itu di Cina yang kita tahu terdiri daripada satu bangsa walaupun terdapat pelbagai etnik. Kita di Malaysia juga akan menghadapi hal yang sama jika kerajaan tidak tegas dan tidak berlaku adil dalam menangani sesuatu isu. Misalnya isu Hindraf, apakah benar minoriti India di negara ini tidak mendapat layanan yang sewajarnya daripada pihak kerajaan. Kita khuatir isu-isu yang dibangkitkan akan menjadi isu perkauman. Seharusnya elakkanlah daripada perjuangan yang bersifat kaum. Apa lagi parti politik, seharusnya melihat daripada perspektif kita sebagai rakyat Malaysia. Kalau DAP Johor membangkitkan isu apartheid yang diamalkan oleh kerajaan, apakah itu benar? Bandingkanlah dengan Afrika Selatan. Kaum manioriti yang mendatang telah berkuasa sejak sekian lama. Mereka jelas menunjukkan penindasan terhadap kaum peribumi Afrika Selatan dengan menjalankan dasar apartheid itu. Hinggakan ada kawasan-kawasan yang hanya boleh dimasuki oleh kaum kulit putih sahaja. Ada papan kenyataan terpampang, ‘White only’. Adakah amalan seperti itu dilakukan oleh kerajaan kita? Kita bebas bergaul dan berada di mana-mana sahaja. Mungkin ada beberapa peraturan yang kelihatan seperti menyebelahi bumiputera, tapi ini bukan alasan bahawa negara kita mengamalkan dasar apartheid.
Isu yang dibangkitkan oleh DAP yang tidak puas hati dengan beberapa jawatan dalam pentadbiran kerajaan yang seolah-olah dimonopoli oleh bumiputera sahaja. Ini dilakukan untuk menseimbangkan dengan jawatan dalam sektor swasta. Di kilang-kilang dan di sektor swasta kita dapati jawatan penting hanya untuk satu bangsa sahaja. Apakah orang Melayu akan berkata bahawa mereka juga mengamalkan dasar apharteid? Orang Melayu memang banyak diambil bekerja itupun sebagai operator pengeluaran yang bergaji rendah.
Ada orang membandingkan masyarakat berbilang kaum di Singapura. Baru-baru ini ada seorang Melayu yang dilantik sebagai Brigedier Jeneral dalam Angkatan Bersenjata Singapura (SAF). Heboh satu Singapura, hendak menunjukkan bahawa Singapura tidak mengamalkan dasar perkauman dalam pentadbirannya. Saya yakin dan percaya kalau orang Melayu di Singapura bangkit memperjuangkan bahasa Melayu supaya sama taraf dengan bahasa Inggeris di Singapura, kemudian memastikan ada sekolah Menengah pengantar bahasa Melayu dan Universiti Melayu, sudah tentu kerajaan Singapura tidak akan menyenanginya. Sekarang kita lihat orang Melayu Singapura sudah menerima bahasa Inggeris sebagai bahasa utama mereka, di samping bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda sebab itulah tidak ada masalah timbul. Soalnya orang Melayu Singapura menerimanya. Habis perkara.
Tidak sama dengan kita di Malaysia. Orang Cina masih memperjuangkan agar bahasa Mandarin diiktiraf hingga ke peringkat pengajian tinggi. Begitu juga orang India. Jadi sampai bila pun kita tidak akan dapat bersatu. Pengiktirafan dan kebenaran belajar bahasa sesuatu bangsa itu tidak sama. Belajarlah bahasa apa pun, hatta bahasa Rusia. Orang yang ada kepakaran dalam bahasa lain biasanya akan beruntung, terutama dalam bidang pekerjaan. Tapi soal pengiktirafan bahasa Rusia atau bahasa Perancis di negara ini tidak timbul sama sekali.
Sepatutnya dalam apa juga sektor utamakanlah penguasaan bahasa Melayu, kemudian barulah bahasa-bahasa lain seperti bahasa Inggeris, Mandarin dan sebagainya. Itu pun untuk tujuan perhubungan. Jangan dijadikan dasar sesuatu sektor untuk mengutamakan penguasaan bahasa Mandarin dalam pengambilan kerja. Kalau begini sudah tentulah macam dasar apartheid. Walaupun tidak dinyatakan secara langung bahawa jawatan ini untuk orang cina tetapi kalau penguasaan bahasa Mandarin diutamakan samalah seperti hanya untuk orang-orang Cina sahaja. Tidakkah itu namanya dasar apartheid?
Dalam memperjuangkan dasar elok kita bertegas sikit.

Kamis, 02 Juli 2009

Hari-hari Orang Melayu berpolitik.

Politik adalah kehidupan orang Melayu. Tanpa politik seperti tanpa sambal belacan dalam hidangan seharian kita. Selepas hiburan ialah politik. Lihatlah akhbar-akhbar politik yang begitu banyak di pasaran. Ada Harakah, Keadilan, Siasah dan Wasilah yang terbit setiap minggu. Ini menadakan akhbar-akhbar itu ada peminat, hingga dapat bertahan sekian lama.
Apa yang lebih mendukacitakan bila akhbar perdana seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian juga tidak ketinggalan mengutamakan berita-berita politik. Mungkin alasannya untuk menjawab segala tohmahan daripada akhbar-akhbar nyamuk itu. Sebagai contoh dalam Mingguan Malaysia baru-baru ini dari muka depan, sampai ke ruangan Awang Selamat, rencana, temubual semuanya berbau politik. Sampai muak membacanya.
Adalah lebih baik akhbar-akhbar perdana itu mengehadkan penerbitannya kepada berita-berita pengetahuan, rencana-rencana umum yang dapat menjana pemikiran kita supaya lebih matang. Kalau pun syarikat Utusan ingin menerbitkan berita politik saya cadangkan supaya mereka juga menerbitkan akhbar khas yang lain (bukan Utusan Malaysia), yang seumpama Harakah yang lebih menjurus kepada politik (sudah diketahui Umum Utusan adalah akhbar UMNO). Jadi bebaskanlah Utusan Malaysia dari berita dan rencana politik. Sekurang-kurangnya meredakan kemelut politik yang semakin meruncing dan sukar sekarang ini.

Rabu, 01 Juli 2009

Entah nak percaya ataupun tidak

Sudah sebulan emak mertua saya terkedang kerana strok sebelah badan. Tangan dan kaki sebelah kiri tidak dapat digerakkan langsung. Kini Emak mertua saya sudah sampai perengkat meracau-racau. Terutama pada waktu tengah malam, menjelang jam 2 – 3 pagi. Dia asyik menyebut nama orang-orang yang sudah meninggal.
Ada beberapa perkataannya yang agak pelik, yang menyebabkan anak-anaknya menaruh syak bahawa emak mereka (mak mentua saya) ada mengamalkan sesuatu. Saya dan isteri tidak percaya langsung, memandangkan emak mertua saya itu rajin membaca Al-Quran, malah pernah mengajar anak-anak jiran belajar mengaji.
Kak Esah (Kak Long) akhirnya bertanya sendiri kepada mak dan sungguh memeranjatkan apabila mak mengaku memang dia ada mengamalkan sesuatu. Dulu, katanya dia jahil, itupun bukan atas kerelaannya sendiri. Ada sesorang yang menurunkan amalannya itu kepadanya secara tidak dia sedari. Kenapa sekarang baru mak bercerita? Mungkin dia tidak tahu apakah akibatnya, lebih-lebih lagi saat-saat dia akan menghadap Ilahi.
Maka dicarilah orang-orang yang boleh mengeluarkan ‘benda’ itu dari tubuh mak. Sudah tentu kami tidak percaya bomoh. Kami mencari kepakaran di kalangan ustaz-ustaz. Semuanya menggunakan ayat-ayat Al-Quran. Adalah adik beradik yang kenal ustaz itu dan ustaz ini. Saya pula jenis suka bertanya, untuk memastikan amalan ustaz itu sesuai ke tidak. Saya akan banyak bertanya. Seperti apa amalan ustaz? surah atau ayat-ayat apa yang digunakan? Ada ke tidak jampi-jampi? Alhamdulilah kebanyakan ustaz yang datang tidak menyertakan jampi-jampi dalam cara pengubatannya. Semuanya menggunakan ayat-ayat Al-Quran. Tapi ada juga yang menimbulkan syak wasangka saya, apabila di antara mereka yang meminta pengeras sampai RM200.44 sen. Katanya duit itu untuk diserahkannya sendiri ke rumah anak-anak yatim. Ada yang awal-awal minta bayar dalam bentuk kifarah sebanyak RM400.00. Harap-harap betullah. Lepas serahkan kepadanya, kita pun percayakan sahajalah. Maklumlah mereka tu ustaz.
Ada juga ustaz yang dapat membaca keadaan rumah mak di KT. Katanya ada pokok rambutan dan tidak jauh dari pokok rambutan itu ada pokok manggis. Betul pula tu. Ada benda tertanam di situ, katanya. Siapa pula yang yang nak buat aniya kepada mak? Mungkin katanya pernah di tinggalkan oleh bomoh. Dulu memang ada seorang bomoh datang, itu pun entah siapa yang bawa. Bukan dari kalangan kami adik- beradik. Apa yang menyebabkan saya tidak percaya bomoh muda itu yang datang mengubati ayah mertua saya ketika itu, apabila dia menggunakan minyak anak gajah bunting sulung. Botol minyak itu ditunjukkan kepada saya. Nak dapatkan minyak anak gajah bunting sulung terpaksa bunuh ibunya dulu. Bukankah zalim namanya membunuh binatang semata-mata hendakkan anak gajah bunting sulung itu?
Memang saya tidak percaya.