Rabu, 26 Agustus 2009

Nusajaya


Saya berkesempatan meninjau Pusat Pentadbiran Baru Negeri Johor di Nusajaya.
Kota Iskandar telah pun siap sepenuhnya. Kebanyakan Pejabat Kerajaan Negeri, terutama Pejabat pentadbiran termasuk Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri telah pun berpindah secara berperingkat sejak beberapa bulan yang lalu.
Dianggarkan 76 jabatan kerajaan akan bertumpu di Nusajaya, yang akan memudahkan lagi orang ramai berurusan dengan kerajaan, selaras pendekatan pentadbiran yang mesra rakyat.

Minggu, 23 Agustus 2009

Keris Sebilah Itu


Terima kasih kepada En. Azhar Salleh kerana sudi memperkatakan kumpulan puisi ‘Keris Sebilah itu’. Tidak lupa juga kepada Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS) atas usaha mengadakan program ‘Bicara Karya’ pada 20 Ogos lalu, bertempat di Sek. Men. Keb. Raja Muda, Parit Jawa, Muar, Johor.
Azhar Salleh menilai dari sudut konseptual yang menjurus kepada pengalaman saya sebagai seorang pendidik. Memang benar wajah pendidik masih kental dalam diri saya, meskipun sudah bersara saya tetap seorang guru. Seorang guru yang menggunakan penulisan sebagai wadah untuk mendidik diri dan juga pembaca.
Terima kasih sekali lagi kepada Sdr. Azhar Salleh dan tidak lupa juga kepada En. Rusdi Abd. Rahman, dari DBP Wilayah Selatan yang memilih kumpulan puisi saya untuk diperkatakan pada hari itu.

Minggu, 16 Agustus 2009

Bicara Karya


Tiga buah buku karya penulis Johor akan diperkatakan sempena program ‘Bicara Karya Sastera Johor 2009’ anjuran DBPWS bersama Bahagian Teori dan Kritikan Sastera DBP dengan kerjasama Persatuan Penulis Johor (PPJ).
Majlis tersebut akan diadakan pada 20 Ogos 2009, hari Khamis di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Raja, Muda, Parit Jawa, Muar, Johor. Mulai jam 9.30 pagi.
Tiga buah buku berkenaan ialah sebuah Kumpulan Puisi, ‘Keris Sebilah Itu’ karya Shapiai Muhammad Ramly,‘Mazhab Cinta’ oleh W. B. Rendra dan ‘Meniti Batas’ karya Zulkifli Khair.

Kamis, 13 Agustus 2009

Kembara Wangsa



Pada 9 – 11 Ogos lepas sempat menyertai ‘Kembara Wangsa’, iaitu suatu program menyusur Sungai Johor, Kota Tinggi dan sesi perbengkelan tentang bagaimana membangunkan tapak-tapak sejarah di sepanjang Sungai Johor. Peserta terdiri daripada ketua-ketua jabatan kerajaan negeri, wakil-wakil rakyat (Adun negeri), pensyarah-pensyarah universiti, ahli-ahli sejarah, NGO dan peserta luar negeri (dari Kepulauan Riau).
Tujuan ‘Kembara Wangsa’ lebih kepada mengenal pasti lokasi atau tapak-tapak sejarah di sepanjang Sungai Johor yang sesuai untuk dibangunkan sebagai destinasi pelancongan.




Aktiviti lawatan bermula pada 10 ogos, jam 9.00 pagi di Jeti Kota Tinggi. Turut sama dalam kembara itu ialah YB Datuk Hj. Ahmad Zahri Jamil, YB Asiah Md. Arif, Dato’ Latif Yusof, Dato’ Ishak Amin, YB Dato’ Haji Dasuki, Datuk Dr. Adham Baba, Dato’ Maulizan Bujang, Datuk Harun Abdullah, YB Hamimah Mansor, Datuk Hamsan Saringat dan Datuk Ir Haji Abu Bakar Ahmad.


Tempat-tempat yang menjadi tumpuan ialah di Batu Sawar, Seluyut, Panchor dan juga Johor Lama. Rombongan ini telah mengenal pasti beberapa tempat yang mempunyai bukti tinggalan kerjaan Johor lama seperti bekas kota, kubu pertahanan, makam sultan dan bekas petempatan dan pelabuhan. Lokasi sejarah yang masih boleh dikenal pasti seperti Kota Johor Lama, Seluyut, Batu Sawar, Kampung Makam dan Panchor.
Dalam sesi perbincangan selepas lawatan diharap dapat memperolah pandangan-pandangan, cadangan-cadangan yang kongkrit untuk dijadikan rujukan dan garis panduan oleh kerajaan negeri bagi melaksanakan pembangunan dan pemuliharaan tapak-tapak sejarah di sepanjang Sungai Johor.

Senin, 03 Agustus 2009

Pengucapan Puisi Alam Gunung Ledang


Penyertaan 25 orang penulis Johor , terdiri daripada ahli-ahli Persatuan Penulis Johor (PPJ) dalam satu program menarik, iaitu ‘Pengucapan Puisi Alam Gunung Ledang’ (PPAGL) anjuran Perbadanan Taman Negera Johor. Program PPAGL ini adalah dengan kerjasama PPJ sendiri dan juga DBPWS serta Yayasan Warisan Johor (YWJ).

Program ini bermula dengan aktiviti mendaki Gunung Ledang pada sebelah pagi 1 Ogos 2009. Pengalaman mendaki Gunung setinggi 4187 kaki terus dirakamkan dalam bentuk bait-bait puisi oleh semua peserta. Seterusnya mereka dipilih untuk mendeklamasikan sajak-sajak tersebut pada malamnya.

Majlis deklamasi PPAGL pada sebelah malam itu telah dirasmikan oleh wakil Pegawai Daerah Ledang, iaitu En. Harun Nazri Isa. Hadir sama ialah wakil rasmi Pengarah Perbadanan, iaitu Timbalannya En Hasnizan Hamzah, Pengarah YWJ Haji Jama Johan dan Pengarah DBPWS Pn. Hajah Nor Hashimah Ali.

Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran dan keprihatinan para penulis terhadap alam melalui pengkaryaan dan deklamasi puisi.

Penulis PPJ yang hadir yang turut mengambil bahagian ialah Shamsuddin Othman, Mohd. Taufik Mahmud, Hj. Khairy Hj. Halimi, Hamzah Hamdan, Rosli Bakir, WB Rendra, Aman Shukor, Yahya Suib, Zulkifli Jamadir, Siti Hadijah Sunuk, Asnani Lasiman, Rahimah Muda, Zulaiha Paikon, Khuzaimah Sirat dan beberapa orang lagi termasuk Ketua Satu PPJ, Sdr. Amiruddin Md. Ali Hanafiah.
Dua penulis yang tidak asing lagi dari Kuala Lumpur yang turut bersama menjayakan program itu ialah Rahimidin Zahari dan S.M. Zakir.

Sesungguhnya keterlibatan DBPWS bersama orang kuatnya En. Rusdi Abd. Rahman dan En. Abdul Aziz, Pegawai PTNJ Gunung Ledang banyak membantu kelancaran keseluruhan program yang sangat bermakna itu. Semoga hasrat untuk menerbitkan sebuah antologi puisi yang bertemakan alam dan Gunung Ledang akan dapat direalisasikan tidak berapa lama lagi.

Sabtu, 01 Agustus 2009

Seratus Hari

Tanah perhitungan kembali diwariskan
payung kepercayaan kembali dikembangkan

Seratus hari seratus malam suara-suara mendesak
seratus mimpi tersaji di meja amanah
seratus hari menunda-nunda resah
berangkat kerusuhan
ada gusar, ada jalan penyelesaian

Hari-hari mendatang tentu penuh cahaya
di wajah pembangunan
tentu ada parut getir di wajah sengketa
menerpa mendung di hujung musim

Payah menduga sejauh mana percaya
sebelum menyelam ke dasar sukma padahnya

Seratus gimik perubahan
seratus menara persoalan


Shapiai Muhammad Ramly
Parit Besar Batu Pahat, Johor.

Mingguan Malaysia, 2 Ogos 2009.