Minggu, 29 November 2009

Bila Sambutan Hari Raya Korban Hanya Sekadar Pesta-pestaan.

Bila melihat meriahnya sambutan Hari Raya Korban tahun ini, kita bagai melihat pesta-pestaan. Di mana-mana ada saja binatang yang dikorbankan. Alhamdulilah, nampaknya orang kita sudah semakin faham tentang pengertian ibadah korban itu. Tetapi bila membaca pendapat Dr. Asri Zainal Abidin (mantan mufti Perlis) saya menjadi tertanya-tanya, apakah pengertian korban itu hanya semata-mata kesanggupan kita menghulur wang untuk berkorban. Lalu daging korban itu dibahagi-bahagikan kepada fakir miskin?
‘Apabila kita melakukan korban mencontohi perbuatan Nabi Ibrahim a.s. sedangkan kita gersang jiwa dan kefahaman tentang hakikat perjuangan, maka tujuan pensyariatan itu tidak menuju ke sasarannya. Jadilah kadang-kala majlis korban itu majlis bermegah-megah, atau sekadar memberikan daging dan melupai falsafah perjuangan dan perngorbanan di sebaliknya.
Apabila umat ini meninggalkan tanggungjawabnya sebagai penyampai risalah kebenaran, maka banyaklah syariat yang diturunkan itu hanya ada rupa luaran namun tandus isi dalamannya. Para pejuang itu berkorban haiwan pada hari Aidil Adha, yang bukan pejuang juga melakukan korban. Namun jiwa yang membara, makna yang dihayati dan hakikat yang difahami yang mengalir dalam tubuh setiap mereka tidaklah sama.
Berjuang dan sekadar bercerita tentang perjuangan tidaklah sama. Apabila jiwa tidak sama, rasa pun berbeza. Apabila rasanya berbeza, kelazatan nikmat agama yang dihirup oleh pejuang pastinya tidak sama dengan apa yang dihirup oleh seorang yang bersantai mencerita tentang agama.
Maka, bukan semua yang berkorban binatang pada aidil adha ini dapat menghayati hakikat perjuangan yang disampaikan dalam sejarah Nabi Ibrahim a.s.’

Falsafah ibadah korban itu rupa-rupanya perlu kita hayati. Sebagai ‘pejuang’ kita seharusnya mengutamakan ‘agama’ lebih daripada segala-galanya. Bagi yang mampu eloklah berkorban harta benda. Kita seharusnya mencontohi sahabat nabi yang sanggup mendermakan hartanya kerana kemajuan agama. Contoh yang paling baik ialah Saydina Abu Bakar As Sidiq yang banyak berkorban harta benda. Beliau adalah seorang ahli perniagaan yang terkenal ketika itu. Bila beliau memeluk Islam beliau tidak ragu-ragu lagi menggunakan kekayaannya hanya untuk kemajuan Islam.
Ada lagikah pemimpin Islam seperti ini? Yang banyak kita temui, ramai yang menjadi pemimpin dalam dunia Islam akan menambahkan kekayaan peribadinya semata-mata. Jadi di mana letaknya istilah ‘berkorban’ seperti yang dianjurkan dalam Islam itu. Itu baru ‘berkorban’ harta benda, belum lagi berkorban nyawa demi agama. Meskipun sekarang bukan lagi dunia perang, tetapi peperangan dengan perkara mungkar harus diperhebat. Kita harus berperang dengan segala bentuk hiburan yang tidak sesuai dengan Islam. Terutama yang ditayangkan kepada anak-anak kita setiap hari. Iklan filem ‘Jalang’ yang menunjukkan bagaimana seorang wanita dipeluk oleh seorang lelaki setiap hari kita sasksikan. Tarian-tarian dan adegan yang tidak sesuai saban hari dapat ditonton di tv kita. Sepatutnya dengan kekuatan ‘ekonomi’ kita harus memeranginya. Seniman kita juga boleh berkorban dengan menghasilkan filem-filem yang sesuai dengan keperibadian muslim. Apakah dengan meniadakan adegan suami isteri berpeluk, suami isteri di atas katil akan menyebabkan mutu filem kita rendah?
Sebenarnya inilah bentuk peperangan zaman moden yang digunakan oleh barat bagi mengalahkan kita orang-orang Islam.

Senin, 23 November 2009

Pertemuan Penyair Nusantara ke-3

(Gambar ihsan Marsli N. O)
Sesekali penyair bertemu banyaklah benih pengalaman yang dapat dikongsi bersama. Begitulah dengan pertemuan Penyair Nusantara ke-3 pada 20- 23 November lalu. Sempat menghadiri pertemuan anjuran PENA itu yang berlangsung di Dewan Bahasa dan Pustaka. Bertemakan ‘Puisi Suara Kemanusiaan’. Perhimpunan seumpama ini penting bukan sahaja dapat mendengar cambahan fikiran beberapa tokoh terkemuka dalam bidang puisi, malah dapat juga berjumpa dengan teman-teman penyair tanah air dan serantau. Begitu juga dapat mengenali beberapa orang lagi penulis baru yang berbakat dan mempunyai masa depan.
Sesi Ucaputama SN Muhammad Haji Salleh cukup menarik untuk direnungkan bukan sahaja oleh bakal penulis malah bagi penulis-penulis yang sudah mapan. Segala pengalaman dan fikiran beliau itu adalah bagai helaian buku yang perlu dibaca. Untuk menjadi penulis yang punya jadi diri, kita seharusnya membaca lebih dulu karya-karya epik Melayu seperti Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah. Kita juga seharusnya bertolak dari keindahan peribahasa dan simpulan bahasa Melayu yang begitu kaya dengan metafora dan perbandingan. Baca dan hayati juga pantun-pantun Melayu, kata beliau. Beliau juga menyatakan bahawa bangsa besar tidak semestinya ada bangunan-bangunan tinggi dan besar sahaja, tetapi juga ada menghasilkan karya sasteranya yang besar.
Bersama Marsli N. O dan W. B. Rendra kami sempat bertukar-tukar fikiran tentang Penyair dan hala tuju. Ini berikutan tentang pertanyaannya dalam majlis forum pada hari pertama seminar. Beliau berpendapat kita seharusnya mempunyai hala tuju yang jelas dalam berkarya. Pendapat beliau ini disanggah oleh M. Ghazali Pk, salah seorang panel forum dengan menyatakan bahawa tidak seharusnya penulis terikat pada satu-satu wawasan dan hala tuju, seperti wawasan 2020 atau 1 Malaysia. Saya setuju dengan pendapat Marsli N. O. Seharusnya pertemuan bermakna ini ada sesi memperkatakan beberapa buah kumpulan sajak dari tiap-tiap negara. Saya ingin mendengar kupasan secara intelek tentang buku ‘Bahasa Senjata’ oleh Shahrunnizam misalnya. Kumpulan sajak ini pernah memenangi Anugerah Sastera Perdana.
Terlepas dari soal-soal pemikiran dalam dunia kepenyairan, dapat juga memperbaharui keyaknan diri setelah dapat berbual-bual dengan sejumlah penyair tanah air seperti Kemala, Ahmad Razali, Muhd. Mansur Abdullah, Lim Swee Tin, Samsuddin Othman, Rahimidin Zahari, Zean Kasturi, Imlan Adabi, Naffi Mat,Aminhad, Shahrunnizam, Nawawee Mohammad, Leo. A.W.S, Ismas Saring, Ahmad Sarju, Jasni Mat Lani, Abizai Abi, SM Zakir, Siti Zainon, Zaiton Ajamain, Salmah Ismail, Jamaliddin D, Mohamad Shahidan, A. Ghafar Abdullah, Ibrahim Ghafar, A. Shukri Abdullah, Ariffin Said, Amiruddin Ali Hanafiah, Selina S.F. Le, Razali Endon, Rusdi A. Rahman, Ainolhasanal dan Nazhatulshima. Juga bertemu dengan penulis-penulis muda yang berbakat seperti Ustaz Azman (Ibnu Ahmad Al Kurauwi), Fairus Padoli, Zul Fadzlan Jumrah, Syafiq Zulkifli, Salman Sulaiman, Nimoiz. T.Y. dan Serunai Fakir.
Sempat juga bertemu penyair-penyair luar seperti Acep Zamzam Noor (Indonesia), Isa Kamari dan Norida Kamari(Singapura)Sheikh Mansor dan Dr. Haji Ibrahim(Brunei).

Selasa, 17 November 2009

Prinsip, 'La Tahzan'.

Prinsip adalah pedang di tangan seorang pahlawan. Hunuskanlah prinsip, bukan untuk menakut-nakutkan orang apalagi melukakan. Bukan juga membunuh.Pedang prinsip akan membuatkan kita lebih cekal bila berhadapan dengan musuh keraguan. Bukan sedikit pula yang membuang pedang kerana prinsip dikalahkan oleh rasa tidak percaya diri. Malah ada yang menjual prinsip yang telah dipegangnya selama ini.
Dalam La Tahzan, Dr ‘Aidh Abdullah Al-Qarni mengumpamakan keteguhan pegangan prinsip seteguh Gunung Uhud. Untuk itu tidak perlulah berbai’ah sampai mempertaruhkan institusi perkahwinan. Bagi Dr ‘Aidh lagi, ‘Di antara ciri orang mukmin adalah berpegang teguh, pantang menyerah, tidak kenal mundur dan mempunyai keinginan yang kuat.’
‘Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka (terus percaya) tidak ragu-ragu lagi.’ (Al-Hujurat:15)

Kamis, 12 November 2009

Pertempuran bagi Anwar...

Perang dikaitkan dengan pertempuran. Wajah perang tidak pernah berubah sejak zaman dahulu. Yang berubah cuma alat yang digunakan. Hasilnya tetap sama. Kemenangan atau kekalahan. Begitulah, semasa pertempuran tentu ada pihak yang menang dan ada pihak yang kalah. Peperangan yang dipimpin oleh Sang Raja di suatu pihak dan Sang Panglima di suatu pihak yang lain biasanya akan menyebelahi Sang Panglima. Kenapa? Sang Raja hanya keluar berperang bila mendapati musuh sudah menghampiri Istana. Apabila kekalahan sudah berada di depan pintu istana. Bagi Sang Panglima, dia akan berada di hadapan dalam setiap pertempuran untuk memimpin rakyatnya. Sebenarnya dia juga adalah Raja, tetapi semasa peperangan dia adalah Panglima. Sebab itulah kemenagan berpihak kepadannya.
Inilah mesej cerpen, “Pertempuran’ karya Anwar Ridhwan (Sangkar: 75, DBP) Kalau dilihat dari sudut politik, kita akan selalu melihat pertempuran ideologi yang begitu hebat. Biasanya kemenangan akan menyebelahi ‘pemimpin’ yang turun ke medan pilihan raya sebagai ‘panglima’ bukan sebagai ‘raja’. Bila calon lambat turun padang, itu adalah alamat untuk kekalahannya. Bila calon turun ke padang hanya sebagai ‘raja’ alamat kekalahan akan datang kepadanya. Bila calon bukan dipilih dari kalangan orang yang tahu memimpin, juga akan menerima kekalahan. Jadi pilihlah Sang Panglima bukan Sang Raja.

Senin, 09 November 2009

Kebenaran Intelektual

Penonton Kelantan merusuh. Penonton Kelantan membakar kerusi stadium. Penonton Kelantan membaling mercun dan botol air ke kawasan padang. Ini kebenaran. Akhbar perdana pun ada menyiarkan berita tersebut. Sebenarnya hanya sebilangan kecil penonton yang merusuh, tapi nama baik negeri Kelantan tercemar. Menteri Besar, Datuk Nik Aziz sendiri melahirkan rasa kesalnya atas kejadian tersebut. Lalu kita pun bersetuju bahawa penonton Kelantan tidaklah begitu fanatik. Ini juga kebenaran. Kita di pihak mana?
Begitu juga bila menyentuh tentang isu penangkapan Dr. Asri (mantan Mufti Perlis), kita terperangkap dengan dua kebenaran. Satu pihak menyatakan tangkapan dibuat kerana Dr. Asri beri ceramah tanpa tauliah. Nampaknya tauliah untuk ceramah agama ikut budi bicara negeri. Kenapa tidak ada satu tauliah untuk kita 1 Malaysia? Kita semakin bingung bila membaca dua artikel dalam Mingguan Malaysia 8 November lepas. Di bahagian atas menyiarkan pandangan Dr. Asri, sedangkan di bawa pula sebuah rencana mempersoalkan segala tindakan Dr. Asri. Ada dua kebenaran yang saling berbenturan.
Lagi sekali di mana kita?
Bila timbul pula kisah pemimpin PAS yang berbai’ah talak tiga, timbul pelbagai reaksi. Sampai mengundang beberapa orang mufti memberikan pendapat dan fatwa. Adakah ini benar? Sampaikan pemimpin PAS sendiri ingin menyiasat kebenaran kisah itu. Mempercayai atau tidak mempercayai. Di manakah kita?
Nampaknya kebenaran semakin kabur. Saya ingin berkongsi sebuah andaian. Dalam Islam apakah hukumnya berpelukan bagi yang bukan muhrim? Sudah tentu berdosa. Apakah tindakan kita? Sudah tentu cuba menegahnya. Tapi lihatlah dalam drama dan filem Melayu. Terang-terang lelaki dan perempuan bukan muhrim berpelukan. Konon ikut skrip, kerana hendak menunjukkan bagaimana kehidupan sebenar sepasang suami-isteri atau sepasang kekasih (sedangkan kita tahu mereka hanya pelakon). Mereka pun berpeluk di hadapan krew. Lakonan itu kemudian ditayangkan. Semua orang 1 Malaysia menyaksikannya. Kita pula menerimanya sebagai biasa. Apa salahnya… itu hanyalah lakonan. Lalu ramailah orang Melayu ingin mencebur diri dalam dunia lakonan kerana di sini sahajalah mereka dapat berpelukan tanpa ada apa-apa tindakan dari pihak yang berwajib.
Lalu di mana kita? Sifat baik intelektual dalam mencari kebenaran ialah ‘berfikir’. Bagi Aristotle mustahil untuk melihat kebenaran tanpa kebijaksanan praktikal. Oleh itu berfikirlah. Kata Wardina (pengacara TV 3) dalam MHI pagi tadi ,’ Berfikir dan berzikirlah.’
Kebenaran intelektual perlukan kebijaksanaan fikir.

Sabtu, 07 November 2009

Mencari Sebab untuk 'Menyeberang'.

Manusia leka kerana mencari-cari sebab. Kadang-kadang 'lupa' kerana tercari-cari sebab. Sebab wujud kerana adanya soalan. Sebab itulah kita sering keliru bila berada di tebing takdir sambil melihat ke seberang tanya.
Perlukah kita menyeberang?
Kata Herodotus, 'lebih senang untuk menipu orang ramai daripada menipu seorang.'Orang ramai yang tertipu sebenarnya tidak sedar bahawa mereka tertipu. Berbanding seorang yang tertipu, orang ramai akan memberi peringatan kepadanya.
Menyeberanglah!
Untuk apa kita mesti menyeberang? Sebenarnya kita sendiri pun sudah berada di seberang sini.
Tapi ada sungai diri yang lebih luas untuk diseberangi.
Jadi tidak perlulah mencari sebab dalam bentuk mencari salah, seperti kisah 'bangau oh bangau' itu. Dikhuatiri sebab akhir kepada sesuatu masalah biasanya adalah kerana sistem yang telah sedia salah.

Menyeberang

Berdiri di tebing sungai takdir
sambil melihat ke sebarang tanya

Perahu nasib takkan sampai ke tambatan
tanpa pendayung usaha dan bekalan kecekalan

Menyeberang sungai diri
perlu lebih berani
dengan perahu amal
berhijrah ke seberang sedar.

SHAPIAI MUHAMMAD RAMLY
Berita Harian Sabtu, 7 November 2009.

Kamis, 05 November 2009

Ladang Kebersamaan


Saat menemukan kepercayaan bahawa kita manusia perkasa, sebenarnya belum cukup untuk menjadikan kita manusia berjaya. Apa lagi dengan hanya mengurat-gurat nasib yang ditemukan melalui tangan orang lain. Saya percaya kepada kerja keras dan pasrah kepada-Nya.
Sekian lama kita melaungkan azan yang sama. Meski berbeza pendapat, seharusnya kita dapat berdiri di atas saf yang satu. Itulah harapan saya kepada bangsa Melayu, yang punya satu bahasa Melayu yang perlu diperjuangkan. Kita harus bekerja keras bagi memastikan bangsa dan bahasa maju bersama.
Jadilah manusia perkasa. Melayuku…

Minggu, 01 November 2009

Pendapat Legatum

Di mana Malaysia? Sebuah rencana dalam MM minggu ini menyentuh tentang indeks kemakmuran negara di mata dunia. Nampaknya negara kita masih tersenarai dalam 50 buah negara yang mencapai tahap indek negara termakmur. Benarkah negara kita makmur?
Ada sembilan faktor utama yang dinilai oleh sebuah badan pemikir antarabangsa, iaitu Kumpulan Legatum untuk sesebuah negara mencapai tahap negara termakmur. Antaranya ialah faktor asas ekonomi, inovasi keusahwanan, institusi demokrasi, pelajaran, kesihatan, keselamatan, pentadbiran, kebebasan peribadi dan kehidupan kemasyarakatan.
Tahun lepas Malaysia berada di tangga 29, kini terus turun ke tangga 39. Singapura sendiri berada di tangga 23. Indonesia tidak tersenarai dalam 50 negara termakmur ini. Hanya dua buah negara Islam yang berada di ranking 50 ini, iaitu Malaysia dan sebuah lagi ialah UAE yang berada dalam kedudukan 47.
Paling mendukacitakan kelompok terkebawah dalam indeks ini ialah negara-negara Islam seperti Zimbabwe yang menduduki tempat 104. Begitu juga negara-negara Sudan, Yamen dan Cameroon yang berada di tangga 100 ke bawah.
Negara-negara kecil di Eropah menguasai lima tangga teratas dengan Finland menduduki tempat pertama diikuti Switzerland, Sweden, Denmark dan Norway. Amerika sendiri berada di tangga 9.