Kamis, 31 Desember 2009

Ada Ruang-ruang yang Belum Tersentuh.

Tahun ini bermula dengan harga gula naik 20 sen. Ini pertanda bahawa banyak barang akan naik harga. Jam satu malam tadi juga ada gerhana bulan. Mungkin tahun ini dikaitkan dengan sesuatu yang kurang menarik. Harap tidaklah begitu.

Anugerah ruang yang kita ada ialah garis yang akan menuju ke suatu titik. Kita membangun dengan perbandingan yang kadang-kadang membingungkan. Ketika seseorang membuat suatu garisan di atas meja, apakah yang kita perhatikan? Sudah tentu garisannya yang terbentuk. Sesudah itu, sudah tentu meja di mana garisan itu terbentuk. Sesudah itu…pernahkah kita peduli kepada tangan yang membuat garisan. Inilah ruang-ruang yang selalu kita terlepas pandang.

Begitulah bila memperkatakan tentang anugerah ruang yang diberikan kepada kita dalam bentuk tahun-tahun yang mendatang. Pernahkah kita berhenti barang sebentar dan bertanya kepada diri sendiri tentang ada ‘tangan’ yang mengatur kehidupan kita. Seperti siapakah yang mengatur kali yang mengalir?

Fikirkanlah sekecil-kecil perbuatan kita kadang-kadang implikasinya begitu besar. Sedarkah kita dengan hanya membersihkan halaman rumah di suatu petang, sebenarnya kita telah mengotorkan udara, mencemarkan sungai, mematikan pohon dan mencemaskan laut.

Selasa, 29 Desember 2009

Suara Ledang


Sempena Mesyuarat Agong PPJ kali ke-32, sebuah antologi puisi berjudul, ‘Suara Ledang’ telah dilancarkan oleh YB Datuk Haji Baderi bin Dasuki, ADUN Kawasan Panti, Kota Tinggi.
Suara Ledang mengndungi 72 buah sajak hasil karya 42 penulis Johor. Sebelum ini PPJ telah menerbitkan dua antologi sajak, iaitu ‘Suara Selat Tebrau’ (2006) dan ‘Suara Bukit Timbalan’ (2007).
Suara Ledang diselanggarakan oleh Mohd. Rosli Bakir dan Mohd. Taufek Mahmud. Di antara penyair Johor yang menyumbangkan karya termasuklah Amiruddin Ali (Ketua Satu PPJ), Shamsudin Othman, Mohd. Kasim Mahmud, Nazim Mohd. Subari, A. Hamid Jemain, W.B. Rendra, Rahimah Muda, Saadiah Hj. Ibrahim, dan Zolkifli Alib (sekadar menyebut beberapa nama).

Senin, 28 Desember 2009

Amiruddin Ali Hanafiah Kekal Ketua Satu PPJ

Dalam pemilihan kepimpinan Mesyuarat Agong Persatuan Penulis Johor (PPJ) kali ini lagi sekali Amiruddin Ali Hanafiah kekal sebagai Ketua Satu bagi penggal ketiga berturut-turut. Haji Khairi Haji Halimi pula kekal sebagai Ketua Dua. Kedua-dua mereka menang tanpa bertanding. Setiausaha Masih Haji Rosli Bakir, Bendahari- Hamzah Rahman Soriat dan tujuh AJK yang terpilih adalah Ahmad Bahari, Kasim Tukiman, Shapiai Mohd. Ramli, Siti Hadijah Sunok, Ust.Ahmad Nawawi, Hjh. Asnani Lasiman dan Mohd. Taufek Mahmud.
Mesyaurat PPJ kali ke-32 ini berlangsung pada 27 Disember 2009 (Ahad) di Hotel Mayres, Kota Tinggi Johor. Dirasmikan oleh YB Datuk Haji Baderi bin Dasuki, ADUN Kawasan Panti, Kota Tinggi.
Sempena mesyuarat Agong kali ini juga telah dilancarkan sebuah antologi puisi ‘Suara Ledang’ yang mengandungi 72 sajak hasil karya 42 penulis Johor.

Minggu, 20 Desember 2009

Lelaki yang Menerjang Senja

Lelaki yang menerjang senja
pulang menakluk malam
lantang membakar mujur
sumpah menjadi senjata
darah percaya terpercik merata
Al Quran dijaja di jalanan,
di masjid, di pentas politik dan media
menghurai segelas janji
mentafsir hadis dengan sinis.

Lelaki yang menerjang senja
pulang dari perjalanan jauh
berbicara tentang kebatilan
yang bakal bertandang
katanya, dia membawa dulang-dulang benar
untuk diagih-agihkan
pada malam bulan mengambang

Johor Bahru,
Mingguan Malaysia 20 Disember 2009.

Mesyuarat Agong PPJ

Mesyuarat Agong Persatuan Penulis Johor (PPJ) akan diadakan seperti berikut;

Tarikh: 27 Disember 2009
Hari : Ahad
Tempat: Hotel Mayers, Kota Tinggi, Johor.
Masa : 10.00 pagi.

Tahun ini mesyuarat Agong PPJ akan menentukan kembali barisan kepimpinan yang akan menerajui persatuan untuk selama dua tahun lagi. Oleh itu diharap semua ahli PPJ akan dapat hadir. Mungkin ada yang tidak menerima surat undangan, kerana masalah surat menyurat. Sebagai ahli, elok kita datang untuk sama-sama menyokong perjuangan dan aktiviti persatuan.

Jumat, 11 Desember 2009

Pilu sebuah kerusi dan ketuanan sebatang tongkat.

Di atas mimbar politik sudah tergambar-gambar kepiluan sebuah kerusi dan akan kehilangannya ketuanan sebatang tongkat.
Bicara Pak Imam politik yang menggurui makmum dengan khutbah basi, menyebabkan makmum terlena dan terbuai-buai dengan dendangan yang sama.
Kisah-kisah Pak Kaduk, Lebai Malang, Pak Pandir dan Mat Jenin dimainkan kembali. Memaksa anak kecil bernama Belalang mencari helah untuk menyakinkan Sang Raja agar bapanya diberi pampasan kerana tugas-tugasnya sebagai nujum.
Sebuah kerusi di atas mimbar politik kini masih sepi. Sebatang tongkat ketuanan masih mampu dipegang oleh Pak Imam Politik Melayu.
Ada kemungkinan kerusi dan tongkat itu hilang. Bagaimana mungkin Pak Imam politik kita untuk naik mimbar dan berkhotbah.
Azan menuju kemenangan yang dilaungkan pun semakin dipertikai. Lima kali sehari Pak Bilal melaungkan, ‘Marilah Menuju Kemenangan!”
Tapi kita tetap kalah!.

Selasa, 08 Desember 2009

Tidur

Ketika di bangku tunggu. Seorang lelaki duduk memandang kosong kejauhan. Seseorang yang duduk di sebelah menegur:
-Ke mana?
- KL!
- Selalu nampak saudara mengadakan perjalanan!
- Nampaknya saudara memerhatikan saya!
- Saya ke KL menemui isteri, yang kebetulan bekerja di sana..
- Ooo!
-Saudara bekerja?...Menemui seseorang?
- Tak, saya cuma nak tidur!
- Pelik!
- Ya, saya susah tidur. Hanya dapat tidur semasa mengadakan perjalanan.
- Dengan keretapi..!
- (Angguk) Hanya dengan keretapi baru saya dapat tidur. Sampai di KL saya akan tempah teket pula untuk tidur lagi. Kadang-kadang saya ke Kota Baru. Kadang-kadang ke Perlis.
Ketika kereta api tiba mereka pun berangkat. Kebetulan duduk di bangku yang sama.
- Jangan kejutkan saya!
(Angguk)
Bila tiba di KL, lelaki di sebelahnya terus tidur.
Tidur yang panjang.

Senin, 07 Desember 2009

La Galigo


Naskah terpanjang di dunia ini disalin kembali oleh seorang Melayu keturunan Bugis di Singapura. Namanya Husin Ismail. Sezaman dengan Abdullah Abdul Kadir Munshi (Abdullah Munshi). Beliau juga yang menyalin kembali Hikayat Amir Hamzah, Hikayat Indera Putera (Kolekasi Cambridge), Syair Harith Fadilah, Hikayat Syahi Mardan (Koleksi Perpustakaan SOAS, London). Hasil tulisan beliau (menyalin kembali) sekitar sepuluh buah semuanya.
Jika dibandingkan dengan Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi, kita dapati Husin Ismail ini tidaklah semasyhur mana. Meskipun beliau telah berjaya menyalin kembali epik La Galigo yang panjangnya 600,000 ayat, iaitu sebuah hikayat Melayu yang setanding dengan Hikayat atau Kitab Mahabratha.
La Galigo adalah sebuah kisah petualangan Melayu keturunan Bugis yang bergerak dalam lingkungan Nusantara hinggalah ke Cina dan Dunia Arab. Keturunan La Galigo juga didapati menjadi watak-watak utama dalam pemerintahan di Kepulauan Melayu Johor-Riau, Selangor, Perak, Terangganu dan Kelantan.
Di Johor misalnya, La Galigo melahirkan watak-watak Daeang Lima Bersaudara dan seterusnya hingga ke zaman kegemilangan Raji Haji yang terbunuh di Teluk Ketapang.

Selasa, 01 Desember 2009

Doa Orang-orang Berdosa

Mengapa mesti takut pada doa mereka. Kita sendiri telah menghukum mereka orang-orang yang bersalah. Mereka orang-orang yang silap. Mereka orang-orang yang keterlaluan.Mereka orang-orang berdosa.
Biarkan mereka berdoa. Berdoa itu ibadah. Tuhan sendiri ternanti-nanti doa dari hamba-hambanya. Pencuri pun boleh saja berdoa. Ya, Allah! Mudahkan aku untuk masuk ke rumah hartawan itu. Rasanya orang-orang yang keburu berbuat jahat tidak akan berdoa. Mereka hanya berdoa setelah menyedari kesalahan yang mereka lakukan. Orang rasuah juga tidak pernah berdoa semoga dapat habuan yang lebih besar. Mereka berdoa setelah menyedari perbuatan mereka salah. Itu pun kalau mereka sedar.
Jika mereka orang-orang berdosa, jika mereka orang-orang bersalah. Tidak salah untuk berdoa. Mereka juga hamba-Nya. Apa lagi jika mereka orang-orang yang teraniaya. Berdoalah. Tuhan Maha Mendengar.
Cuma jangan berdemonstrasi melawan Tuhan. Membawa sepanduk menyatakan ketidakpuasan hati terhadap Tuhan.
Apa lagi menyuruh Tuhan meletak jawatan!.