Jumat, 17 Desember 2010

Terus Berfikir

Ada blog dan fb yang memuatkan frasa begini: Allah tidak menyanyagi PAS kerana YB PAS berzina, ada anak luar nikah.Allah tidak menyayangi PAS kerana ada Ybnya yang tertangkap basah kerana khalwat. Begitu juga dengan menyatakan UMNO adalah parti rasuah kerana beberapa orang atau ramai yang terlibat dalam rasuah.
Membuat kesimpualan begini adalah sesuatu yang diluar budaya berfikir orang-orang Islam. Tentu kita tidak suka bila orang asing menyatakan begini: Islam agama yang menggalakkan keganasan, kerana ada orang Islam yang terlibat dalam beberapa siri pengeboman berani mati. Bila dihubungkan dengan kita di Malaysia pula, mungkin orang bukan Islam akan membuat kesimpulan begini: Melayu adalah Islam. Orang Melayu banyak buat perkara-perkara yang tidak baik seperti rasuah, buang anak, dadah, ragut,dan suka kahwin cerai.Oleh itu Islam adalah agama yang menggalakkan perkara yang tidak baik.
Sebenarnya yang tidak bagus adalah orang Islam, orang Melayu yang beragama Islam, bukan Islam itu sendiri. Islam ternyata sebuah agama kebenaran yang menggalakkan keamanan, perpaduan, keadilan dan satu cara hidup yang cukup sempurna. Hendak tahu tentang Islam rujuklah Al-Quran dan Sunnah(hadis), bukan merujuk penganutnya.
Begitulah dengan sesebuah pertubuhan politik. Sesebuah pertubuhan politik ada perlembagaan masing-masing. Kita boleh lihat dengan jelas apakah perjuangan dan pegangan sesebuah parti politik dengan melihat perlembagaannya.
Saya tidak ingin bias pada mana-mana parti politik, tetapi fikirkanlah. Berfikirlah sebelum kita menyokong mana-mana parti politik. Manakah yang benar-benar memperjuangkan Islam. Lihatlah perlembagaannya.
Berfikirlah.

Senin, 13 Desember 2010

Berfikir...

Semua orang berfikir. Cuma apakah yang difikirkannya? Tingkat dan kemampuan berfikir seseorang itu tentu berbeza mengikut pengalaman dan pengetahuannya. Pelajar universiti sudah tidak sama cara mereka berfikir jika dibandingkan dengan pemuda kampung yang tidak bersekolah. Orang yang menerima pendidikan sekular juga tidak sama cara mereka berfikir jika dibandingkan dengan orang yang menerima pendidikan agama. Orang yang berfahaman politik tertentu juga akan berfikir mengikut fahaman politiknya.
Tapi semua orang boleh berfikir dengan waras, jika mempunyai landasan yang betul. Landasan yang betul mestilah merujuk kepada Al-Quran. Al-Quran diturunkan kepada manusia dan jin (bukan untuk orang Islam sahaja) untuk dijadikan sebagai panduan. Sebutlah tentang apa sahaja, semuanya ada dalam Al-Quran. Tentang cara bernegara, pendidikan, hukum, termasuk nikah-kawin dan pembahagian harta semuanya tercatat dalam Al-Quran. Maknanya Al-Quran adalah panduan kepada kita semua dalam berfikir.dan membuat keputusan.
Meskipun begitu kita sering salah dalam membuat keputusan kerana tidak berfikir dengan betul. Malah ada orang Islam yang membuat keputusan sendiri berdasarkan pengalamannya sahaja, tanpa merujuk kepada Al-Quran. Ambil satu contoh yang mudah sahaja, iaitu tentang berpakaian( terutama bagi yang perempuan)Ada yang berpendapat pakaian hanyalah soal fesyen, soal peribadi dan tidak ada kena mengena dengan sikap seseorang. Bagi mereka wanita yang menutup aurat belum tentu hatinya atau perangainya baik. Inilah cara berfikir sesetengah orang Islam. Berfikir begini sudah tentulah salah dan tidak mengikut kehendak Islam.
Saya dapati fikiran kita makin bercelaru apabila kita mempersoalkan tentang fahaman politik. Misalnya orang UMNO tetap dengan pendiriannya yang lebih menekankan tentang perjuangan Melayu, kerana bagi mereka berjuang untuk Melayu bermakna berjuang juga untuk agama Islam. Sedangkan PAS lebih menekankan perjuangan Islam dalam setiap perkara lebih daripada perjuangan mempertahankan bangsa yang bagi mereka adalah asyabiah. Pertentangan fahaman ini terus berlaku sehingga meleret-leret kepada pendedahan penyelewengan dan soal-soal peribadi.
Pada saya soal penyelewengan dan soal peribadi terdapat dalam semua bentuk fahaman parti politik ataupun organisasi. Asal namanya Melayu kita sudah sedia maklum memang ada pelbagai masalah. Sebab itu orang Melayu sukar untuk menyayingi bangsa lain.

Rabu, 08 Desember 2010

Hujan Pagi

Hujan pagi ini seolah-olah membawa pengertiannya yang tersendiri. Biasanya hujan disember membawa banjir sekali. Hujan pagi biasanya membawa ke petang, membawa ke malam dan dinihari. Esok jalan-jalan dan halaman akan digenangi air. Harap-harap tidaklah begitu. Cuma setiap kali hujan pergerakan kita akan terhad. Hujan juga menulis puisi.

Hujan pagi ini membuat aku teringat anak-anak. Bagaimana mereka menempuh pagi berhujan ketika ke pejabat. Bagaimana hujan membasah hati mereka yang kering. Hujan kadang-kadang datang sebagai pelembut hati. Lebih-lebih lagi hujan pagi.

Hujan pagi ini adalah hujan aku menjamah mee hoon goreng isteri. Bersama teh kegemaranku. Dengan bancuhan istimewa susu coffe mate dan omega. Sambil makan kami sempat berbual tentang anak-anak yang jauh. Serta cucu comel Amsyar dan juga Fakhirah Syakira.

Hujan pagi adalah zikir alam tentang rahmat-Nya. Aku semakin mengerti tentang hijrah yang perlu dilalui oleh setiap ummah. Hijarahlah ke arah kebaikkan. Kita sentiasa ada peluang untuk mengubah diri. Hujan pagi ini menyatakan, ‘Rancanglah kehidupan kita. Insya-Allah kita akan beroleh kejayaan baik dunia dan juga akhirat.’

Senin, 06 Desember 2010

Semangat Hijrah

Nampaknya semakin ramai yang sedar betapa tahun hijrah perlu disambut oleh orang Islam. Kerajaan sendiri menjadikan tarikh 1 Muharam setiap tahun sebagai cuti umum. Di peringkat kebangsaan pula diadakan sambutan maal hijrah dengan upacara penganugerahan tokoh yang terpilih untuk diraikan.
Soalnya apakah semangat tahun hijrah yang penting ini hanya setakat sambutan memperingatinya sahaja. Pada hakikatnya, orang Islam khususnya orang melayu di negeri(a) ini tetap seperti dahulu. Orang Melayu bukan berubah kepada sesuatu yang baik. Lihat sahaja masalah-masalah yang menimpa orang Melayu semakin menakutkan. Apa sahaja gejala yang negetif mesti dihubungkan dengan orang Melayu yang sudah semestinya Islam itu. Penagihan dadah di kalangan remaja Melayu tidak pernah berkurang. Gejala sosial di kalangan remaja Melayu juga teruk. Angka(ra) rasuah juga tidak pernah habis-habis. Sebut sahaja apa yang tidak ada dalam kamus perlakuan sumbang orang Melayu. Orang Melayu perogol, orang Melayu peragut, orang Melayu rasuah, orang Melayu fitnah Melayu, orang Melayu jual Melayu. Macam-macam lagilah Melayu. Melayu juara segala perbuatan yang tidak elok. Sedangkan Melayu amat berbangga dengan agama Islam. Jangan sebut tentang agama, seperti penghinaan terhadap kesucian masjid. Orang melayu cepat melenting meskipun mereka sendiri tidak tahu apa yang harus mereka marah. Mereka sendiri selama ini tidak hirau masjid. Kalau solat jemaah di masjid hanya seminggu sekali, iaitu pada hari jumaat sahaja. Mereka sendiri tidak tahu apakah maksud ‘kesucian’ itu. Kalau sekadar marah-marah apabila orang bukan Islam masuk masjid kerana mencemar masjid, tetapi mereka sendiri selama ini tidak pernah mengimarahkan masjid. Adakah masjid hanya sebagai tempat beribadah sahaja. Kalau itulah peranan masjid, samalah dengan tempat-tempat beribadat agama lain. Sesungguhnya ‘masjid’ lebih daripada itu. Bukan hanya sebagai tempat ibadah sahaja. Masjid juga sebagai pusat kepada semua kegiatan kehidupan orang Islam. Masjid juga sebagai tempat bersilaturrahmi. Tempat untuk menuntut ilmu, tempat untuk bermesyuarat, tempat kegiatan budaya. Sudah tentu budaya dalam Islam adalah budaya yang tidak sama seperti yang kita fahami sekarang ini.
Jadi sempena tahun hijrah kali ini eloklah kita sama-sama melihat kembali peranan masjid di kalangan kita orang Melayu. Jadikanlah masjid pusat semua kegiatan kita.

Senin, 29 November 2010

Sebuah Polifoni

Sebuah polifoni
mewariskan amanah
mencitrakan peribadi
pada bait-bait kata
kearifan, musik dan tarian.

Marilah kita terus berkompromi
memainkan lagu yang sama
nada yang sama
meski berbeza alat muziknya

Sebuah polifoni
sebuah lagu untuk semua
berkumandang sejak dulu
didendangkan tanpa jemu
berkali-kali
di pentas perpaduan
sabar dan setia.


Shapiai Muhammad Ramly
Pesiaran Citra, Johor Bahru
(Tersiar di Dewan Sastera November 2010)

Jumat, 19 November 2010

Tentang Kebenaran


Bukan semua orang dapat menilai sesuatu perkara itu dengan saksama. Saksama di sini bermaksud hemat atau teliti (Lihat Kamus Dewan). Untuk itu penilaian kita harusnya objektif, tidak dipengaruhi oleh emosi. Penilaian biasanya diikuti dengan tindakan. Sering kita dapati ada orang yang bertindak hanya berdasarkan penilaian mengikut emosi, bias pada kaum atau bangsa, pada perkaitan kawan atau persaudaraan. Bila berlaku penilaian begitu sudah tentu tindakan kita biasanya tidak adil dan bersalahan jika dilihat dari sudut kebenaran. Penilaian berdasarkan ‘kebenaran’ seharusnya bebas dari pengaruh yang saya sebutkan tadi.

Kebenaran ‘Kotak’

Dalam sebuah bengkel, seorang moderatur berdiri ditengah-tengah empat kumpulan. Dia memegang sebuah kotak besar. Keempat-empat kumpulan berada di empat bahagian kotak yang mempunyai 4 warna. Kumpulan A menyatakan kotak itu berwarna putih. Kumpulan B pula menyatakan kota itu berwarna biru. C pula menyatakan kotak itu berwarna hitam manakala kumpulan D menyatakan kotak itu berwarna merah. Sebenarnya semuanya menyatakan hal yang benar kerana mereka melihat dari arah dan sudut di mana mereka berada.Untuk itu masing-masing pihak tidak perlu menyalahkan yang lain. Titik persamaan hanya boleh diselesaikan melalui kesepakatan. Yang pertama, kesemua kumpulan cuba beredar dari tempat masing-masing dan melihat kotak itu dari keempat-empat sudut. Sudah tentu selepas itu mereka akan menyatakan bahawa kotak itu mempunyai empat warna yang berbeza dari empat arah pandangan. Kesepakatan juga boleh dibuat untuk menukar warna kotak itu supaya mempunyai satu warna sahaja. Mungkin hal ini agak sukar kerana melibatkan citarasa. Mungkin setiap kumpulan akan mempertahnkan warna kumpulan masing-masing. Di sinilah perlu pemilihan secara demokrasi.


Kebenaran Kaabah

Kebenaran Kaabah adalah kebenaran yang mempunyai satu sahaja tujuan, iaitu kebenaran untuk beribadah kepada Allah. Kaabah yang mempunyai 4 petak tetapi tidak dibezakan dengan warna yang berbeza. Dari sudut dan arah manapun kita berada warnanya tetap sama. Kita diminta untuk tawaf berkeliling kaabah. Ini bermakna kita jangan semata-mata berada disuatu sudut pandangan atau arah pendapat yang sama sahaja. Begitulah dalam hidup ini,kita seharusnya fleksibel dalam berfikir. Asasnya tentulah kebenaran Al-Quran.

Kebenaran Fatamorgana.

Ketika Siti Hajar ditinggalkan bersama anaknya Ismail di lembah Bakkah (Makkah), ada diceritakan bagaimana Siti Hajar berlari ulang alik di antara Bukit Safa dan Marwah kerana pada pandangannya semacam ada air di hujung sana. Tetapi ketika dia sampai di Bukit Marwah, tidak apa-apa. Begitu juga dia ternampak di hujung sebelah Safa ada semacam genangan air. Berlarilah dia ke sana pula. Begitulah dia semacam tertipu oleh kebenaran ‘fatamorgana’. Akibat tindakan cahaya matahari yang memantul di atas padang pasir.Dalam kehidupan kita seharian, ramai orang tertipu dengan kebenaran begini. Kita seolah-olah digambarkan akan beroleh keberuntungan jika kita melabur dalam ‘Skim Cepat Kaya’. Diperlihatkan kepada kita dalam tempoh terdekat kita akan mengaut untung yang berganda. Inilah satu contoh ‘kebenaran fatamorgana’. Janji-janji politik yang ditaburkan oleh pemimpin juga kadang-kadang hanyalah ‘fatamorgana’ dan ramai orang tertipu kerananya.

Kebenaran Ilusi

Kebenaran ‘ilusi’ adalah kebenaran yang diada-adakan. Sebenarnya bukan kebenaran, tetapi lebih kepada penipuan. Tetapi kerana disusun begitu rupa, dibantu dengan fakta-fakta yang direka-reka sehingga nampak seperti benar. Contohnya jika di hadapan kita ada seekor ‘kambing’, tetapi bila ada sepuluh orang yang bersepakat menyatakan ‘kambing’ di hadapan kita itu hanyalah seekor ‘anjing’. Mana orang lebih percaya. Tentulah kita sendiri akhirnya keliru dan ragu dengan penglihatan kita. Mungkin kita tersilap melihat ‘anjing’ yang seolah-olah ‘kambing’. Sehingga kita akur dengan pendapat sepuluh orang itu. Padahal kitalah yang benar. Kebenaran yang disembunyikan oleh sepuluh orang itu hanyalah kebenaran ‘ilusi’ sahaja. Contoh lain dapat kita ikuti dalam kisah ‘Baju Baru Raja’ yang sebenarnya raja tidak berpakaian, tetapi kerana kelicikan dua orang penipu, mereka dapat menipu raja dan seluruh rakyat negeri itu.
Biasanya orang politik sering menggunakan helah kebenaran ini untuk mencari sokongan.

Kebenaran Tersembunyi..

Ada kebenaran yang masih tersembunyi kerana kemampuan fikiran kita belum mampu menemuinya. Kebenaran pada zaman silam, misalnya pada zaman Hang Tuah tidak sama dengan kebenaran zaman ini. Kalau pada zaman itu kita bercerita tentang kenderaan ‘Kapal yang terbang membawa 500 penumpang’, tentu mereka akan menyatakan kita berbohong.
Ada kebenaran yang sebenarnya tersembunyi disebalik perkara-perkara atau kejadian yang mengelirukan sehingga kita tidak nampak ‘kebenaran’ itu. Dalam dunia serba moden ini ‘kebenaran’ sering tersembunyi di sebalik pengetahuan kita yang terhad. Ketika Nabi Muhammad S.A.W melakukan perjalanan di malam hari dari Makkah ke Baitulmukadis sebelum mikraj ke langit, dan ketika dia menceritakannya kepada kaum Quraish di Makkah, ramai yang tidak mempercayainya. Pada mereka mana mungkin Nabi melakukan sebuah perjalanan yang begitu jauh hanya dalam masa yang begitu singkat, sedangkan kabilah-kabilah yang melakukannya terpaksa mengambil masa yang begitu lama. Begitulah, kebenaran pada waktu itu masih tersembunyi kerana mereka masih belum mampu berfikir seperti kita sekarang. Pada masa ini perjalanan semakin pantas. Dari satu tempat ke satu tempat hanya mengambil masa yang singkat.

Sebuah gambar yang tertera di atas, nampak seperti corak sahaja. Percayakah kita kalau saya nyatakan bahawa dalam gambar tersebut sebenarnya adalah gambar realiti tentang seekor burung yang sedang mengepak terbang, sementara di kakinya terdapat makanan yang akan dihidangkan kepada anak-anaknya dalam sarang di bawah. Ramai yang tidak nampak, kerana ‘kebenaran’ pada gambar ini masih tersembunyi. Untuk melihatnya, kita perlu belajar cara melihat dengan betul.

Minggu, 14 November 2010

Taman Kesempurnaan Kembali Sunyi

Taman kesempurnaan ini
kembali sunyi
seruan kemenangan
tetap tidak diperduli

Kalam hidayah
masih terkunci dalam lupa diri
kita masih berdiri di tebing curam jati diri
gayat sesat menjadi igauan setiap hari

Belajarlah memetik padi firman
di sawah luas makna Ilahi
carilah hidayah di sejadah ibadah
wangi wuduk dalam khusyuk

Surah-surah kehidupan ini
telah mendewasakan
indahnya perintah
bijaknya larangan
istiqamahlah dalam ibadah

Taman kesempurnaan ini
masih terlalu sunyi
makmum meninggalkan
saf-saf kebenaran setiap hari.


SHAPIAI MUHAMMAD RAMLY
Taman Sri Wangsa, Batu Pahat.

(Disiarkan dalam MM 6 Nov. 2010)

Rabu, 10 November 2010

Geng Surau

Beberapa hari ini nampaknya saya tidak dapat ke surau seperti biasa kerana diserang gaut yang agak teruk. Kali ini gaut menyerang lutut pula. Inilah kali pertama gaut naik ke lutut. Rupanya sakitnya cukup menyeksakan. Jam dua pagi hingga bertemu subuh tidak dapat tidur. Terpaksa juga menelan ubat tahan sakit. Esoknya terus ke klinik rawatan.

Untuk beberapa hari saya terpaksa bersolat sambil duduk di kerusi. Tak dapat ke surau. Biasanya geng surau kami orang pencen, ada 3 orang yang sentiasa bersolat bersama. Pak Seman yang sudah mencapai umur 70 lebih, begitu juga Pak Husein yang lebih muda sedikit. Biasanya bila waktu zohor dan asar jemaah tidak ramai kerana kebanyakan penduduk di taman ini bekerja. Mereka hanya berkesempatan berjemaah pada waktu maghrib, isyak dan subuh sahaja.

Saya namakan geng surau bukan kerana apa, biasanya lepas solat kami duduk-duduk dulu berbual di tangga surau. Sekadar bertanya itu- ini untuk berkenal-kenalan. Kami juga berbual tentang beberapa lagi orang pencen macam kami yang sudah terlebih dahulu meninggalkan kami, menemui Ilahi. Kalau dulu ada Pak Leman, Pak Yusuf dan beberapa orang lagi yang tidak saya tahu namanya, tetapi cukup akrab bila berjumpa.

Biasanya saya akan azan, qamat dan terus menjadi imam. Pak Seman dan Pak Husein tidak begitu yakin untuk azan, apa lagi menjadi Imam. Mereka sendiri menyatakan kalau tak nampak kereta saya atau tak mendengar suara saya mengalunkan azan mereka tak berani nak datang. Takut kena jadi imam.Jadi sunyilah surau kami. Sebelum ini ada Pak Sulaiman yang menjadi bilal tetap surau ini. Pak Sulaiman telah kembali kerahmatullah beberapa bulan lalu.

Minggu, 07 November 2010

Memperindah Rumah Diri

Katamu, bertahun aku berdoa minta bahagia
kesepian masih mengalir di pinggir gubuk usia
bukan jarum jam yang mengubah kita menjadi tua
bukan matahari yang terbenam hidup menjadi senja
rumah diri memilih takdir sendiri

Kini dia sudah pergi
sebelum sempat memperindah rumah diri
aksara bahagia sirna dari halaman-halaman hidupnya
membaca hari depan jauh sekali
sesuatu telah terpadam sebelum sempat terpenuhi
hujan jam sebelas tadi seolah-olah berkongsi
ralat untuk menunaikan haji
wang yang disimpan telah dicuri
dari kehidupannya yang penuh duri

Memperindah rumah diri
perlukan keluarga sakinah
iman dan amal jendela hati
zikir dan doa hiasan ukhrawi


SHAPIAI MUHAMMAD RAMLY
6 Oktober 2010
Disiarkan di BH Sabtu 30 Oktober 2010

Minggu, 24 Oktober 2010

Orang Pencen

Apakah tugas orang pencen? Biasanya gambaran sebenar orang pencen ialah seorang tua yang tidak ada kerja lain lagi, selain berulang alik ke surau atau masjid.
Inilah kesilapan cara berfikir kita orang Melayu. Sehingga bila ada ura-ura untuk melanjutkan umur pencen sampai 60 tahun, ramai yang menentang. Cukuplah.Berilah peluang kepada orang muda. Ramai yang masih menganggur tak dapat kerja. Orang tua biarlah mereka menumpukan pula usia mereka dengan beramal dan pergi ke surau atau masjid.
Berfikir begini adalah suatu kesilapan. Adakah beramal itu hanya untuk orang-orang tua, atau menunggu hari tua baru hendak beramal. Sepatutnya amalan adalah rutin harian kita. Sejak muda hinggalah hari tua isikan hidup kita dengan amalan. Begitu juga dengan pergi ke surau dan masjid, elok dimulakan sejak muda. Jangan tunggu sampai tua. Mana tahu takut umur kita tidak sampai menjamah umur tua, sudah dijemput Allah terlebih dahulu.
Begitulah sejak saya bersara, saya terus bekerja di sebuah penerbitan anak syarikat Yayasan Warisan Johor. Rupanya di sini ramai orang yang telah bersara diambil berkerja kerana biasanya mereka mempunyai pengalaman. Tetapi ada di kalangan anak-anak muda yang bekerja di YWJ tidak berpuas hati kerana mereka ini (Orang pencen)seolah-olah merebut peluang mereka untuk naik pangkat.
Sebab itulah bila saya menyuarakan untuk berhenti kerja, kebanyakan mereka menyuarakan rasa hormat atas keputusan saya itu. Bagi mereka keputusan saya itu sebenarnya memberi isyarat kepada mereka yang lain, yang seolah-olah hendak mati semasa di meja kerja.Bagi saya pula elok saya menulis sepnuh masa, tanpa diganggu oleh beban pekerjaan.
Sekarang saya bebas.Tetapi rutin membaca dan menulis tetap saya utamakan.

Minggu, 17 Oktober 2010

Memperindah Rumah Diri.

Semasa marhaban, saya berpeluang ziarah rumah-rumah orang Melayu di kawasan taman ini. Rata-rata rumah orang Melayu kita biasanya akan mempamerkan siapakah kita, pemikiran dan citarasa, terutama bila melihat apakah yang dipamerkan di ruang tamu. Baik rumah itu rumah kos rendah ataupun rumah mahal, nampaknya pemikiran orang Melayu sama sahaja.Apa yang menjadi perhiasan atau dipamerkan biasanya adalah melambangkan apakah pemikiran mereka. Rata-rata di dinding akan tertera indah beberapa ayat suci yang terukir dan dilingkari bingkai yang cantik dan mahal. Ada perabot mahal di dalamnya terisi pelbagai bahan yang menunjukkan siapakah penghuni rumah itu. Kalau dia seorang guru atau pendidik adalah sebuah dua buku teks yang menjadi rujukannya di sekolah. Kalau dia seorang tentera atau polis akan berbarislah pingat dan sijil kepujian yang diterimanya sepenjang perkhidmatannya.

Tentang buku, nampaknya hanya sebuah rumah sahaja yang kelihatan sebuah rak yang dipenuhi buku-buku. Itupun di rumah seorang pensyarah di sebuah pusat pengajian tinggi. Lain-lain rumah nampaknya kosong dengan buku.
Buku adalah lambang pencarian ilmu. Selain daripada yang kita boleh dapati melalui pembelajaran dan juga pengalaman. Buku tidak boleh tidak adalah sebagai pintu keluar dari dunia ketidaktahuan ke sebuah dunia yang mengajar kita banyak perkara.

Sedihnya orang Melayu kita hanya bergantung kepada media dan akhbar sahaja untuk sesekali menjenguk dunia yang menakjupkan itu, iaitu dunia ilmu. Sebab itulah orang melayu mudah terpengaruh dan dipengaruhi, mudah dibujuk dengan janji-janji manis, mudah terpedaya kerana minda mereka kosong dengan ilmu bantu, terutama ilmu berfikir. Semua orang berfikir, tetapi tidak sama fikiran orang yang banyak membaca dengan fikiran orang tidak suka membaca.kita boleh lihat ketika mereka membuat sesuatu keputusan. Biasanya selain pengalaman, pengetahuan melalui bacaan juga boleh membantu. Orang yang membaca biasanya dapat membuat keputusan dengan tepat berbanding dengan orang yang tidak suka membaca.

Oleh itu perindahkanlah rumah diri dengan buku-buku , bukan dengan hiasan-hiasan palsu.

Selasa, 12 Oktober 2010

Pesan Ayah

Inilah prinsip hidup saya. Alhamdulillah sehingga umur saya mencecah 60 tahun lebih saya tidak mempunyai musuh. Maksudnya, saya tidak pernah mempunyai orang yang menyebabkan kami hilang silaturahmi.

Kadang-kadang kita berbeza pendapat tentang sesuatu perkara. Terutama semasa saya masih bekerja. Bermula menjadi guru di sebuah sekolah pedalaman di Johor hinggalah saya menjadi pensyarah di Institut perguruan.

Bukan tidak ada perkara yang menyebabkan saya menjadi marah dan cuba menjauhkan diri. Tetapi tidaklah sampai tidak bertegur sapa. Saya tetap menjaga silaturrahmi, cuma mungkin tidak akrab.

Alhamdulillah, bila bersara saya cukup bersyukur kerana perinsip hidup saya itu menyebabkan hidup saya semakin tenang.
Ada peristiwa yang tidak boleh saya lupakan bila ada teman-teman saya yang begitu hebat memburuk-burukkan saya. Saya diamkan sahaja. Malah saya tetap menjaga persahabatan dengan mereka meskipun di belakang saya mereka mengujing saya. Rasanya pada ketika itu juga saya ingin minta tukar atau berhenti kerja.
Peristiwa ini sudah lama berlalu. Saya pun sudah memaafkan mereka lama dahulu. Cuma cerita ini saya paparkan agar kita ambil iktibar daripadanya.

Sebenarnya selepas kejadian yang menimpa saya itu, Tuhan memberikan balasan yang setimpal kepada teman-teman yang menyakitkan hati saya itu. Tidak perlulah saya jelaskan apa jenis pembalasan itu, tetapi apa yang mereka katakan, mereka gujingkan kembali kepada mereka sendiri.

Saya pula dapat menyaksikannya, meskipun dalam hati saya tidak ada rasa secebis dendampun kepada mereka. Mereka tetap sahabat-sahabat saya. Malah ada yang menulis surat dan menceritakan nasib mereka. Saya pula tidak berhasrat menempelak mereka. Apa lagi untuk bersorak kerana berasa menang. Mereka nampaknya berasa kesal meskipun ada rasa malu untuk menyatakannya kepada saya.

Begitu juga dalam hidup berjiran. Saya sangat menjaga silaturrahmi hidup berjiran. Banyak tempat saya berpindah, dan banyak jiran yang saya temui. Macam-macam karenah. Ada yang tidak boleh bertolak ansur langsung. Saya tetap meminta isteri dan anak-anak saya bersabar. Kebanyakan jiran-jiran saya yang berbangsa asing cukup menghormati kita. Cuma dengan jiran-jiran Melayu sendiri yang menyebabkan kita berasa kecil hati. Masalah anak-anak, masalah kenderaan yang menghalang sering menjadi punca masalah. Saya tetap dengan pendirian jangan memusuhi sesiapa, terutama tentang hal-hal sepele itu. Saya tetap menegur jiran saya, tetap memberi salam, tetap menziarah mereka. Hingga kadang-kadang mereka terasa malu sendiri.

Sebenarnya prinsip hidup ini dibekalkan kepada saya oleh ayah saya sendiri, semasa saya meninggalkan rumah kerana pertama kali bekerja jauh di perantauan.
Kata ayah saya, ‘Pie, dalam hidup ini jangan cari musuh, insya-Allah kita akan selamat dunia- akhirat!”.

Senin, 04 Oktober 2010

Cikgu Saya


Peranan guru dalam membentuk hidup kita sudah tentu tidak boleh dipertikai. Begitulah dengan dua orang guru saya yang dapat saya temui semasa menghadiri Dialog Membangkitkan Memori Kolektif Kesejarahan Malaysia- Indonesia di Persada, Johor Bahru pada 1 -3 Oktober baru-baru ini.

Ketika sarapan di Coffe-house hotel saya ternampak seseorang. Seseorang yang wajahnya tetap dalam ingatan saya meskipun sudah dimakan usia. Beliau adalah Dato’ Abd. Rahman Yeop, mantan Pengarah Pendidikan Bahagian Asrama Penuh di Kemnterian Pendidikan (Pelajaran). Juga pernah menjadi Pengetua SDAR selama 6 tahun. Sebenarnya beliau juga adalah guru saya semasa mengajar saya di darjah 6 Sekolah Kebangsaan Gunung Semanggol, Perak.

Seorang lagi guru saya yang dapat saya temui semasa persidangan penting itu ialah Cikgu Mohd. Nor Long. Beliau pernah menjadi Pengarah Pendidikan(Pelajaran) di beberapa buah negeri seperti di Sabah dan Pahang. Beliau juga adalah guru saya semasa saya berada di Tingkatan 3 Sek. Men. King Edward VII Taiping.

Apa yang menarik, kedua-dua mereka inilah yang berjaya membentuk minat saya dalam penulisan. Bagi Cikgu Abd. Rahman Yeop, beliau menanamkan minat saya dengan pembacaan bahan sastera. Semasa beliau, perpustakaan atau khutub khanah sekolah belum ada lagi, tetapi dengan inisiatif beliau kami berjaya membentuk khutub khanah darjah dengan pungutan yuran 20 sen setiap minggu. Saya diamanahkan untuk menjadi bendahari dan menjaga buku-buku tersebut. Menulis dan mencatat nama-nama buku dan sesiapa yang meminjamnya. Bermula dari sinilah minat saya dalam bidang sastera bermula. Beliau juga sering membacakan buku novel seperti Musafir karya Hasan Ali dalam kelas.

Cikgu Mohd. Nor Long pula adalah guru Bahasa dan Sejarah semasa di sekolah Menengah. Beliau pula sering meminta kami menghafal puisi-puisi Usman Awang dan Chiril Anwar. Saya masih ingat saya terpaksa menghafal puisi ‘Bunga Popi’ karya Usman Awang dan dibacakan di hadapan kelas. Dengan beliau juga saya sering diamanahkan membawa buku-buku cerita yang beliau kumpul sendiri ke dalam kelas untuk dibaca pada waktu lapang. Beliau tidak mahu kami bermain jika tidak ada guru dalam kelas. Bila habis kelas saya akan mengumpulkan kembali buku-buku tersebut untuk diserahkan kembali kepadanya.

Sudah tentulah kedua-dua mereka ini mempunyai saham yang besar atas minat dan keberhasilan saya dalam bidang penulisan. Sejak itulah saya berminat dalam sastera.
Kepada kedua-dua mereka saya mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga. Sesungguhnya budi cikgu tidak akan mampu saya balas. Cuma doa dari saya, bekas murid yang sentiasa mengingati jasa-jasa guru.

Senin, 27 September 2010

Kisah Sedih Hariri.

Sebuah perkahwinan bermakna membina sebuah rumah tangga. Sudah tentulah sebuah perkahwinan yang kita bina pada mulanya penuh dengan harapan untuk bahagia. Tetapi tidak semua orang menemuinya. Kebahagiaan yang diharapkan tidak juga kunjung tiba. Malah perjalanan sebuah rumah tangga yang ibarat sebuah bahtera hidup itu terpaksa menghadapi gelora gelombang badai yang sukar ditempuh.

Inilah yang dihadapi oleh seorang sahabat. Baru-baru ini beliau datang sendiri menemui saya dan dengan wajah sedih menceritakan kisah rumah tangganya yang katanya, sudah sampai ke penghujung kemusnahan.

Dia yang saya maksudkan biarlah hanya dikenali sebagai Hariri (Bukan nama sebenar). Sebenarnya perkenalan saya dengan Hariri hanya baru sahaja, tetapi kerana mungkin faktor usia (Saya lebih tua daripadanya), beliau sanggup menceritakan segala kesulitan hidupnya. Katanya, dia tidak ada lagi tempat hendak mengadu. Terpaksa membuang rasa malu diri, kerana kalau tidak diluahkan, terasa membebankan dirinya pula. Dengan cara pendedahan ini dia berharap segala beban yang ditanggungnya akan dapat dikurangkan.

Hariri telah lama mendirikan rumah tangga dengan wanita pilihannya sendiri. Mereka dikurniakan 4 orang anak. Dua lelaki dan seorang perempuan. Anak lelakinya yang sulung telah meninggal dunia kerana kemalangan. Kini anak-anak mereka telah dewasa. Dia pula berniaga dan alhamdulilah perniagaannya semakin maju. Isterinya bekerja dengan kerajaan.

Kehidupan sedihnya bermula bila anak lelakinya terlibat dalam gejala dadah. Pendidikannya tidak seberapa kerana dia tidak berminat belajar. Dia pernah menyediakan modal kepada anak lelakinya itu untuk berniaga, tetapi gagal kerana masalah dadah. Bukan itu sahaja, anaknya juga telah menyebabkan kesusahan kepada masyarakat setempat. Kes-kes kecurian, pecah rumah sudah tentu melibatkan nama buruk anaknya.

Apa yang lebih menyedihkan baru-baru ini anak lelakinya membawa seorang perempuan balik ke rumah. Kebetulan dia jatuh sakit dan lama terlantar di hospital. Setelah itu dia balik ke kampung untuk berubat. Semasa ketiadaanya itu anak lelakinya membawa balik seorang perempuan dan tinggal bersama beberapa hari. Sudah tentulah mereka berzina. Kerana tidak mahu bersubahat dia ingin menghalau wanita itu, tetapi isterinya pula sudah mula menyayanginya. Hingga sekarang wanita itu masih tinggal di rumahnya.

Menurutnya wanita itu sebelum ini pernah melahirkan anak luar nikah, sehingga dihalau dari rumah oleh keluarganya sendiri. Dia ada melaporkan hal itu ke pejabat agama, tetapi pejabat agama juga nampaknya masih belum bertindak. \

Kini anak lelakinya telah ditangkap dan dihantar ke pusat pemulihan. Anak perempuannya yang sulung telah bekerja di KL, manakala anak perempuan yang masih bersekolah juga sudah mula menunjukkan masalah sosial. Bagi mengelakkan berlaku hal yang tidak diingini mereka menghantarnya balik bersekolah ke kampung, di bawah pengawasan neneknya.

Dengan wajah sayu, Hariri juga menyatakan, meskipun kini kesihatannya beransur pulih, tetapi tanpa setahunya wang simpanannya di bank dan Tabung Haji telah dikeluarkan tanpa izinnya oleh seseorang, iaitu isterinya sendiri. Niatnya untuk menunaikan haji dan umrah nampak tak kesampaian. Ketika ini, dia sungguh sedih hingga mengalirkan air mata. Isterinya itu katanya, seperti ingin menghalaunya pula.

Saya hanya dapat menasihatkan supaya dia lebih bersabar. Ingatkan Allah dan mengadulah kepada-Nya. Rajin-rajinlah buat solat hajat, solat tahajut, solat sunat tasbih dan solat doha. Itu saja yang dapat saya nyatakan kepadanya. Saya sendiri pun tidak dapat untuk memberikan jalan keluar kepada kekusutan hidupnya itu.

Sebelum beredar dia menyatakan bahawa selama ini dia lalai. Mungkin ini adalah balasan Allah kepadanya.

Sabtu, 18 September 2010

Balik Kampung Bertemu Ibu


Ibuku sudah tua benar. Matanya sudah kabur. Telinganya juga sudah kurang dengar. Kalau hendak bercakap dengannya kena kuat-kuat. Pada hari raya ini saya dapat peluang balik ke kampung. Bersama anak dan menantu yang baru melangsungkan perkahwinan. Ibuku dan Kak Long, tidak dapat hadir semasa majlis perkahwinan tempohari. Jadi balik kali ini, bukan sahaja untuk ziarah hari raya, malah memperkenalkan menantu. Saya dapat menantu dua orang sekali gus. Seorang orang Kelantan dan seorang lagi orang Terangganu.

Ketika sampai, ibuku sudah sedia menunggu depan pintu. Dialah yang membuka pintu yang sentiasa tertup itu. Maklumlah kadang-kadang dia tinggal seorang diri, jika kakakku (Kak Long) berpemergian. Kakakku jenis orang kuat berpersatuan. Orang penting politik pula. Sentiasa sibuk. Selalulah ibuku tinggal seorang diri. Umurnya kira-kira 85 tahun. Masih sihat, masih kuat ingatan. Setiap anak dan cucunya siap tahu nama dan sedang buat apa sekarang. Masih belajar atau sudah bekerja. Dia tahu semua. Dia sendiri akan bercerita kepada kita, tentang anak-anak dan cucu-cucunya yang ramai itu. Apa tidaknya, setiap pagi jam lapan dia akan turun ke kebun belakang rumahnya untuk berriadah. Dia menanam banyak sayur dan pokok buah-buahan. Betik dan pisang jangan kiralah. Begitu juga sayur kucai, kangkung, ulam raja dan pucuk paku memang sentiasa subur terjaga. Hingga jiran-jiran pun dapat peluang merasa penat lelahnya itu.

Ibuku kini sering mengucapkan syukur dan reda dengan hidup yang ditempuhinya itu. Dulu katanya, dia orang susah. Apa kerja yang tidak dilakukannya. Berbendang, menoreh getah semuanya telah menjadikannya orang yang tabah. Apa yang penting dia mahu anak-anaknya berjaya. Alhamdulillah, katanya dia berasa puas ketika melihat semua lapan anak-anaknya berjaya dalam hidup. Dalam erti kata lain, semuanya berjaya dalam pelajaran. Itu yang penting, katanya. Hanya pelajaran boleh mengubah nasih seseorang. Itu falsafah hidupnya.

Senin, 13 September 2010

Hari Raya dan Calar Peristiwa.

Biasanya setiap datangnya perayaan, banyaklah berlaku kemalangan jalan raya. Hingga kini pun kemalangan sentiasa meningkat. Pelbagai cara dan kempen dilakukan bagi mengurangkan kemalanagan, tetapi nampaknya masih belum berjaya. Sikap pemandu Malaysia nampaknya tidak pernah berubah. Seolah-olah kematian itu takdir yang perlu diterima sahaja, tanpa ada usaha untuk mengelakkannya.

Pada tahun ini Hari Raya Aidilfitri mencatat kisah sedih pembunuhan yang begitu trajis. Dato’ Susilawati seorang tokoh perniagaan terkenal bersama tiga lagi yang lain didapati mati dibunuh, dibakar dan abunya dibuang ke laut. Modus operandi seperti ini rupanya sudah beberapa kali dilakukan oleh seorang peguam yang bergelar Dato’ yang juga seorang ahli perniagaan terkenal di Selangor. Sebelum ini beberapa kehilangan ahli perniagaan dan jutawan dikaitkan dengan Dato’ seorang ini. Sudah tentulah dia mempunyai orang-orang suruhannya. Nampaknya demi wang dan kekayaan manusia sanggup buat apa saja, hatta membunuh.

Jelas di sini manusia sudah kehilangan perikemanusiaan dan pertimbangan akal dan moral. Sebelum ini setiap hari media kita mendedahkan ada saja pembuangan bayi. Pembunuhan kerana merompak, meragut, pergaduhan hingga meragut nyawa juga sudah seperti sesuatu yang lumrah. Apa sudah jadi dengan manusia. Nampaknya agama dan pendidikan tidak lagi mampu mengendali akhlak dan moral manusia. Jadilah kita binatang-binatang buas yang tidak dapat dikendali hatta oleh undang-undang dan peraturan.

Sesungguhnya hari raya kali ini tercalar oleh peristiwa-peristiwa sedih oleh perbuatan kita sendiri.

Selasa, 07 September 2010

Perginya Seorang Sahabat

Petang 6 September, saya menerima pesanan ringkas (SMS) daripada Ketua Satu Amiruddin Ali yang menyatakan Dr. Gunawan telah pulang kerahmatullah. Saya seakan tidak percaya, lalu menghubungi W.B. Rendra (anak saudara Dr. Gunawan) untuk pengesahan berita sedih itu. Rendra menyatakan dia juga baru menerima berita ini daripada keluarganya. Jenazah beliau mmasih berada di hospital. Dalam fikiran saya ingin kepastian sebab kematian beliau. Setahu saya beliau tidak ada sebarang penyakit selain kencing manis, yang masih dalam peringkat awal.

Saya mengenali Gunawan ketika bergiat dalam persatuan penulis Johor (PPJ). Beliau baru balik menetap di Johor Bahru kerana menjawat sebagai Pegawai Penerangan Daerah Johor Bahru. Ketika itu saya masih bekerja di Maktab Perguruan Mohd. Khalid Johor Bahru. Atas urusan persatuan saya selalulah menjenguk beliau di pejabat beliau di Tingkat 6 Bangunan Kerajaan Air Molek. Banyaklah aktiviti PPJ yang kami jalankan dengan kerjasama Jabatan Penerangan.

Apabila beliau sendiri aktif dalam PPJ beliau dilantik sebagai Setiausaha 1(1996) dan saya sebagai Setiausaha 2. Makin keraplah saya bertemu dengan beliau, baik dalam apa juga aktiviti yang melibatkan PPJ. Ketika itu Ketua Satu PPJ adalah Tuan Haji Masud Abd. Rahman.

Tidak lama kemudian beliau ditukarkan ke Melaka. Saya terus menyandang jawatan beliau, sebagai Setiusaha 1. Dalam pemilihan berikutnya saya terus memegang jawatan Setiusaha 1. Ketika itu Jawatan Setiausaha masih dipertandingkan, tidak dilantik seperti hari ini.

Beliau juga kemudiannya berpindah ke Kementerian Penerangan Kuala Lumpur, di bahagian penerbitan.

Beliau kembali semula ke Johor Bahru setelah dilantik sebagai Pengarah JASA. Ketika inilah beliau kembali aktif dalam PPJ, dan dalam pemilihan tahun berikutnya (2003) telah berjaya dipilih sebagai Ketua Satu. Ketika ini jawatan setiusaha sudah dilantik sendiri oleh Ketua Satu dengan persetujuan mesyuarat Jawatankuasa kali pertama selepas mesyuarat agong.

Beliau hanya memegang Ketua Satu selama dua tahun sahaja. Dalam pemilihan kepimpinan berikutnya beliau menarik diri daripada bertanding. Ketika inilah PPJ terus berubah kepada kepimpinan golongan muda, iaitu oleh Amiruddin Ali Hanafiah. Saya terus kekal dalam Jawatankusa PPJ untuk tahun-tahun berikutnya sehingga sekarang.
Sebagai mengenang jasa Gunawan, PPJ melantik beliau untuk menjadi Penasihat persatuan hinggalah saat kembalinya beliau kerahmatullah.

Sesungguhnya Dr. Gunawan Mahmod banyak membantu kegiatan PPJ baik semasa beliau menjadi Pegawai Penerangan, kemudian menjawat jawatan Setiausaha Satu, Ketua Satu dan seterusnya sebagai Penasihat.

Pada tahun 2002, saya dan Gunawan terlibat sepenuhnya dalam deklamasi puisi kembara Johor sempena Bulan Kemerdekaan. Kami bergerak ke setiap daerah Johor dalam setiap acara sambutan, yang kemuncaknya adalah pada malam 31 Ogos yang diadakan di Kluang.
Kali terakhir saya bertemu beliau semasa meraikan kedatangan KEMUDI dari Selangor pada tahun 2009. Beliau hadir dalam majlis jamuan dan deklamasi puisi di Tanjung Piai. Seterusnya pada keesokan petangnya, beliau sendiri sanggup menunggu rombongan KEMUDI di sebuah hotel terkenal , Johor Baharu untuk meraikan sendiri KEMUDI dalam sebuah acara santai. Dalam ucapan beliau semasa meraikan KEMUDI beliau menyatakan bahawa beliau bermula sebagai penulis dengan menyertai KEMUDI yang ketika itu dipimpin oleh Atondra. Kini KEMUDI dipinpin oleh Dato Samad dan Timbalannya Haji Abud Hassan Ashari.

Sebelum itu juga saya bersama beliau terlibat sepenuhnya dalam penulisan dan penyusunan buku tentang banjir yang melanda Johor pada tahun 2005/2006. Penerbitan buku tentang banjir ini adalah atas inisiatif bahagian Media Pejabat Menteri Besar.

Allahyarham dilahirkan di Parit Raja, Batu Pahat, Johor pada 29 Januari 1959 dan dibesarkan di Felda Ulu Tebrau, Ulu Tiram, Johor. Beliau mendapat pendidikan awal di Felda Ulu Tebrau, kemudian di Sekolah Aminuddin Baki dan Institut Malaysia Johor Bahru sehingga selesai STPM. Melanjutkan pengajian luar kampus di Fakultas Bahasa dan Sastera, Universiti Nasional, Jakarta (UNAS). Memperolehi PhD melalui tesisnya berjudul ‘Pemikiran dalam Sajak-sajak Dr.Mahathir Mohamad’ di Institut Pembangunan dan Pengurusan Antarabangsa Indonesia dengan kerjasama Berkeley International University. Beliau sering memenangi hadiah dalam pelbagai sayembera antaranya hadiah utama cerpen Utusan Melayu-Public Bank 1989, puisi Kebangsaan Hari Merdeka 1989 dan saguhati anugerah novel sejarah kebangsaan 1989. Cerpen beliau ‘Harga Sebuah Kematian’ memenangi Hadiah Sastera Malaysia 1988/89 dan novel remajanya ‘Tanah Ini’ memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 1996/97. Beliau pernah meraih Hadiah Novel Remaja HSKU (Hadiah Sastera Kumpulan Utusan) untuk empat tahun berturut; Namaku Ayoko(1993), Renyah(1994), Tanah Ini(1995) dan Cinta Daerah Perjuangan(1996). Dianugerahkan Hadiah Cipta Karyawan Muda Johor yang pertama, Hadiah Sastera Darul Ta’zim pada 1996. Beliau merupakan penerima anugerah Generasi Baru oleh FELDA pada tahun 2008. Jawatan terakhir beliau sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Johor.

Selasa, 31 Agustus 2010

Merdekakah Kita?

Apakah kita kini sudah benar-benar merdeka? Penjajah Inggeris telah lama pergi, tetapi hingga sekarang kita masih melihat diri kita yang masih dijajah. Kita tidak bebas sebenarnya. Memang kita sudah merdeka. Sudah memerintah sendiri. Sudah membangun sendiri. Lihatlah, memang pada zahirnya kita dapat melihat betapa kemajuan sampai ke halaman kehidupan kita.

Atas nama kemajuan jugalah, kita sebenarnya masih terus dijajah. Kalau ditakdirkan Inggeris memerintah hingga kini, kita akan juga dapat melihat kemajuan. Inggeris jugalah yang memperkenalkan pelbagai bentuk kemajuan kepada kita. Mungkin kita akan lebih maju lagi di bawah peperintahan Inggeris?

Cuma apakah kemajuan itu selari dengan kemajuan bahasa kita? Bahasa kita masih merangkak dan mengemis di bumi merdeka. Ini adalah kerana sejumlah pemikiran bijak pandai kita masih dijajah oleh Inggeris. Atas nama kemajuan, bahasa Inggeris terus dipuja dan disanjung tinggi.

Erti kemerdekaan itu bukan setakat penjajah telah pergi dan kita sudah bebas. Seharusnya kemerdekaan memberi erti yang lebih luas lagi. Kemerdekaan seharusnya mencakup kehidupan bernegara yang jelas identitinya. Ini termasuk tentang bahasa yang digunakan, budayanya, pemikiran masyarakatnya dan kehidupan sehariannya.

Kita masih belum merdeka bila masih ramai rakyat yang berfikiran sempit, terutama bila menterjemahkan tentang demokrasi. Demokrasi hanya untuk sebuah parti yang menang sahaja. Parti pembangkang adalah musuh negara, perlu ditekan dan kalau perlu diperangi habis-habisan.

Kita masih belum merdeka bila masih ramai anak-anak muda mengambil barat sebagai contoh dan ikutan, terutama dari segi pakaian, gaya hidup, dan hiburannya.

Kita masih belum merdeka jika kita masih menghimpun segala gejala negetif dalam kehidupan kita seperti ketagihan dadah, buang anak, ragut, keganasan dalam keluarga, rompak dan segala macam maksiat.

Kita masih belum merdeka sebenarnya.

Kamis, 26 Agustus 2010

Doa Untuk Kesejahteraan Anak-anak


(Untuk anak-anakku)
Sebagai bapa atau ayah saya pernah dinasihatkan oleh seorang teman dengan menyatakan bahawa tugas kita selain membesarkan anak-anak adalah berdoa untuk mereka. Sentiasalah berdoa untuk mereka.
Sudah tentu sebagai bapa kita akan berusaha sedaya upaya untuk memenuhi keperluan mereka. Tapi kadang-kadang kita harus juga beringat, tidak semua dapat kita berikan. Ada ketikanya kita harus juga memikirkan apakah yang diminta anak-anak itu perlu. Tetapi dengan doa, berilah kepada mereka sebanyak-banyaknya. Kita tidak akan jatuh miskin dengan memberikan sebanyak-banyaknya doa kepada mereka.
Doa apakah yang mereka perlukan. Sudah tentu doa untuk kebahagian mereka di masa hadapan. Doa untuk kejayaan, doa untuk mudah belajar, doa untuk mendapat jodoh yang sesuai, doa untuk rezeki dan keselamatan. Doa untuk kesehatan dan banyak lagi.
Bilakah waktu untuk berdoa. Bila-bila masa sahaja, tidak terhad doa selepas solat sahaja. Kadang-kadang bila sedang bertugas, tiba-tiba terbetik dan teringat anak-anak, waktu itulah saatnya kita berdoa. Kadang-kadang semasa memandu, teringat anak-anak- teruslah berdoa untuk mereka. Sedang membaca akhbar, terbaca kemalangan jalan raya; terus juga berdoa untuk keselamatan anak-anak. Oleh itu jangan berhenti berdoa. Biarlah gelombang doa kita terus bersambung tanpa henti.
Semoga doa kita dimakbulkan Allah swt.

Selasa, 17 Agustus 2010

Mengatur Kehidupan


(Buat anak-anakku)

Kehidupan ini perlu dirancang. Terutama kepada yang telah berkeluarga. Kita mungkin akan menimang cahaya mata. Apakah kita biarkan hidup ini menentukan diri kita dan keluarga. Seharusnya biarlah kita berfikir sedetik. Apakah tujuan hidup? Ke mana akhirnya hidup kita? Ingatlah, bahawa hidup ini sekejap sahaja. Hidup ini sementara. Hidup perhentian untuk kita memilih hidup yang lagi satu. Oleh itu gunakanlah peluang hidup ini untuk menentukan hidup kita yang akan datang.

Apabila kita sudah berkeluarga, jagalah rumahtangga kita yang kita bina bersama isteri yang kita sendiri memilihnya. Susah senang harus kita tempuhi bersama. Elakkan mementingkan diri. Punca kebahagiaan biasanya bertolak daripada rasa selamat jika kita ada wang. Itulah yang menjadi punca segala masalah. Wangkah yang mengatur kita atau kita yang sepatutnya mengatur wang? Kalau wang menguasai kita, alamatlah. Banyak mana pun wang, tidak akan membawa kebahagiaan. Sedangkan jika kita berhemat mengatur wang, insyah-Allah, kita akan berasa cukup dan sentiasa bersyukur.

Selalulah berbincang dan bermesyuarah dengan isteri. Apa-apa keputusan biar mendapat persetujuan bersama. Jangan ikutkan hati sendiri. Ingatlah tanggungjawab masing-masing. Sempurnakanlah tanggungjawab itu sebaik mungkin. Jika ada masalah, berbincanglah dengan baik. Ingatlah kita memang berbeza. Hidup kita dari kecil memang menerima pendidikan dan menempuh persekitaran yang berlainan. Bila hidup bersama tentulah kita masih terpengaruh oleh cara hidup kita yang lalu. Sebaik-baiknya eloklah kita sama-sama cuba menyesuaikan diri dengan kehidupan yang kita sama-sama bersetuju membinanya.

Jagalah kehidupan kehidupan kita dengan merancang kewangan, merancang masa hadapan dan merancang hala tuju kehidupan kita.

Minggu, 15 Agustus 2010

Dunia Ini Kamar Segala Peristiwa



Sajak saya ini tersiar di Berita Harian Sabtu, 14 Ogos. Merupakan luahan hati setelah melihat begitu banyak peristiwa ulah manusia yang seolah-olah tanpa Tuhan. Semuanya yang sukar hendak diterima oleh pemikiran kita manusia biasa. Kemajuan rupanya bukan alasan untuk manusia menjadi semakin bertamadun. Selagi manusia bernama manusia, sifat-sifat jahat, dengki, menghasut, berdusta dan memfitnah menjadi semakin canggih.

Kamis, 12 Agustus 2010

Nostalgia Bulan Ramadan.

Bulan puasa yang saya lalui semasa kecil sebenarnya masih menjadi kenangan hingga kini. Puasa biasanya dikaitkan dengan bulan berlapar pada waktu siang. Itu sahaja yang saya tahu semasa kecil dulu. Malamnya kami akan memenuhi masjid di kampung untuk sembahyang terawikh. Kami akan menunggu-nunggu giliran moreh Tok Wa Chikjid, kerana bila gilirannya kami akan dapat juadah yang lain daripada kebiasaan. Kalau malam-malam lain cuma dapat menikmati bubur kacang, tetapi kalau gilirin Wa Cikjid selalunya dia sediakan roti canai. Kadang-kadang nasi lauk udang. Ada saja hidangan yang lain yang sungguh-sungguh menyelerakan tekak kami anak-anak kampung. Kalau Laksa Peneng pun sudah menjadi hidangan yang hebat pada waktu itu.

Ketika menunggu sembahyang Isyak dan seterusnya sembahyang terawikh anak-anak muda kampung sempat bermain galah cuit. Satu permainan yang menarik untuk ditonton.Permainan di halaman masjid itu dijalankan dalam bentuk dua kumpulan. Satu kumpulan akan menjaga garisan dan petak masing-masing, manakala satu kumpulan lain akan cuba berlari melepasi garisan mengikut-petak-petak yang dibuat hinggalah balik semula ke tempat permulaan.

Saya yang masih kecil hanya melihat sahaja dari beranda masjid. Beranda masjid dipenuhi dengan berapa buah lampu gasolin. Lepas maghrib Tok Siak akan datang untuk menyalakan lampu gasolin itu dan mengantungkan di beberapa tempat, termasuk dalam masjid. Jadi terang benderanglah masjid pada malam hari sepanjang bulan puasa itu.

Apabila tiba waktu azan barulah permainan galah itu ditamatkan. Kami anak-anak kecil akan turut berjemaah di bahagian barisan belakang. Ada juga anak-anak yang tidak solat. Mereka menyediakan lastik untuk melastik cicak di siling masjid.

Waktu berbuka adalah waktu yang sangat-sangat ditunggui oleh kami. Ibu akan membuat beberapa juadah berupa kuih-muih. Tugas kami akan berjalan ke beberapa buah rumah jiran untuk menghantar juadah. Sudah tentulah bila pulang pinggan kami akan diisikan pula dengan juadah lain. Jadi pada waktu berbuka kelihatan banyaklah kuih-muih selain daripa- da nasi.

Satu perkara kemestian pula saya akan ditugaskan oleh ibu untuk ke kedai Pak Mail, menunggu ais. Biasanya dalam jam 5 seorang pekerja Pak Mail akan balik dari bandar membawa bungusan air batu yang besar. Dia akan mengergaji ketulan ais yang besar itu mengikut harga yang kita nak beli. Bagi kami sekeluarga cukup seketul ais berharga dua puluh sen. Ketulan ais itu akan ditaburkan dengan abu kayu supaya tidak cepat cair dan dibungkus dengan kertas tebal. Jadi juadah berbuka pada bulan puasa akan lebih lengkap dengan minuman air sirap bercampur ais.

Minggu, 08 Agustus 2010

Malam Puisi Citra Gemilang


Persembahan daripada kumpulan pelajar, PPISMP PA, Semester 3.


Dr. Hussin Sarif, Pensyarah Jabatan Bahasa mendeklamasikan sajak.

Menghadiri majlis Malam Puisi Citra Gemilang anjuran Jabatan Bahasa Institut Perguruan Guru, Kampus Tun Hussein Onn, Batu Pahat. Malam Apresiasi Puisi IPGTHO itu diadakan pada 3 Ogos yang lalu bertempat di Dewan Seri Budiman. Hadir sama Pengarah Institut Tn. Haji Aziz bin Abu Bakar dan Timbalan Pengarah, En. Mohamed Rahmat bin Md. Yasin.

Wakil PPJ (Persatuan Penulis Johor)yang turut sama memeriahkan majlis ialah Mohd Taufek bin Mahmud dan Shapiai Mohd Ramly.

Ketua Jabatan Bahasa, Tn. Haji Ahmad Abu menyatakan Malam Puisi ini adalah kelangsungan daripada Kursus dan Bengkel Puisi pada 28 Julai lalu yang di adakan di Dewan Ilmu dengan kerjasama PPJ dan juga Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan. Beliau juga menyatakan bahawa objektif utama Malam Citra tersebut adalah untuk membudayakan seni pengucapan puisi secara persis sebagai pemupuk jati diri dalam kalangan guru pelatih.

Dalam persembahan malam itu, kebanyakan perserta adalah pelajar-pelajar sendiri. Mereka mendeklamasikan sajak-sajak bertemakan bahasa dan juga mendendangkan puisi tradisional, seperti syair, pantun dan seloka.

Tuan Pengarah dan Timbalan Pengarah sama-sama mendeklamasikan sajak karya mereka masing-masing. Pensyarah-pennsyarah pula yang turut mengambil bahagian ialah Dr. Hussin Sharif, Mohd. Yusuf Abdullah dan Tn. Haji Khairil Sulaiman.

Rabu, 04 Agustus 2010

Kisah Guru Lagi.

Ada berita terbaru tentang guru. Dalam berita Perdana TV3 telah dimuatkan sebuah vido klip tentang bagaimana seorang murid menyerang guru. Pada mulanya keadaan agak terkawal kerana murid yang nampak lebih agresif. Saya juga sempat melihatnya dalam fb, dikirim oleh sesorang. Memang pada saya murid itu tidak sepatutnya menyerang guru berkenaan, kerana seorang lagi guru telah pun cuba memujuk.
Apa yang mendukacitakan saya kejadian itu mendapat reaksi negetif daripada Presiden Kesatuan MTUC. Beliau terus menyalahkan guru. Katanya, ‘Melihat kejadian itu, saya menyalahkan guru..’
Sebenarnya sebelum menyalahkan guru elok kita siasat dulu. Jangan terus menghukum. Inilah yang berlaku dalam masyarakat kita. Kita terlalu cepat buat keputusan, hanya melihat sesuatu sepintas lalu sahaja.Video klip itu tidak menunjukkan keseluruhan kejadian. Malah kita tidak seharusnya membuat keputusan bulat-bulat hanya berdasarkan tayangan video klip itu.
Kita juga memahami bahawa pelajar itu mungkin amat kecewa kerana dimarah oleh guru berkenaan tanpa usul pereksa. Sebagai murid juga, dia berhak menyatakannya kepada guru berkenaan. Saya percaya guru berkenaan juga cukup sabar. Beliau memegang rotan, tetapi tetap tidak menggunakannya sampai saat pelajar itu bertindak agresif menyerangnya.
Memang benar sebagai guru kita mesti tahu psikologi murid. Memang buku psikologi karangan orang barat sejak dulu menjadi kitab rujukan kita. Sedangkan dalam Islam, kita sudah ada Al-Quran yang juga banyak memberikan tunjuk ajar kepada kita bagaimana hendak mendidik anak-anak.
Nabi Muhammad SAW sendiri ada menyatakan bahawa jika anak itu sudah mencapai umur 9 tahun ajarilah ia solat, jika sampai umur 10 tahun jika tidak solat rotanlah ia. Ini adalah ajaran pendidikan mengikut Islam. Nabi sendiri menyarankan agar kita merotan untuk mendidik.
Apa yang mendukacitakan kita sekarang, guru tidak sekali-kali boleh merotan murid. Hari ini saja dalam Berita Harian ada berita bagaimana seorang murid yang dirotan telah balik mengadu kepada ibu bapanya. Siap dalam gambar menunjukkan kaki murid itu yang berbekas kerana dirotan.
Saya dulu semasa sekolah darjah empat, setiap hari kena rotan. Kalau tangan saya memang ada bekas, begitu juga kalau di kaki, tetapi saya tidak berani balik mengadu. Saya tahu kalau saya mengadu, saya sendiri akan dirotan oleh bapa saya.
Sehingga sekarang saya tidak pernah membenci guru saya itu, kerana saya tahu beliau melakukannya kerana beliau guru. Bapa saya sendiri pernah memukul dan merotan saya semasa saya kecil. Sehingga kini saya tidak pernah mendendami bapa saya. Saya tahu mereka ada bapa dan ibu saya. Kalau nak dikira marah ibu, tak usah ceritlah, saya rasa sudah berbakul-bakul. Tapi sampai sekarang beliaulah ibu saya. Ibu saya yang saya kasihi.
Berbalik tentang tugas guru, saya sendiri berpengalaman sebagai guru selama 30 tahun lebih. Jadi saya amat mengetahui tentang asam garam hidup sebagai guru. Kalau setakat mengadakan ‘hari guru’ setiap tahun, bukanlah bermakna sudah membalas jasa guru. Jasa guru tidak ternilai. Saya sendiri kadang-kadang berasa kecil hati dan sayu hati apabila jasa guru tidak lebih hanya berupa sebuah anugerah tokoh guru yang diberikan setiap tahun. Tidak lebih daripada itu. Kata guru akan dapat anugerah pingat Dato’ ke jauh sekali, jika dibandingkan dengan artis. Kita tidak mencemburi artis yang banyak menerima anugerah Dato’. Berilah jika sekiranya memang mereka patut dapat, tetapi lihat juga jasa guru yang telah berbakti seumur hidup. Jasa mereka sering dilupai. Mereka adalah tokoh yang tidak pernah didendangkan.

Minggu, 25 Juli 2010

Pertemuan Penyair Nusantara ke-4

Penyertaan PPJ seramai 8 orang

Bersama penyair Miri-Abizai dan Jaya Ramba Wulan.

Saya menyertai delegasi PENA, Salleh Rahmat, Samsuddin Othman, SM Zakir, Rahimidin Zahari dan Amiruddin Ali. Tumpang mereka ke Brunei, melalui Miri. Di Miri kami disertai pula oleh Poul Nanggang, Abizai dan Jaya Ramba. Kami bertolak dengan tiga buah kereta yang dipandu oleh ketiga-tiga penulis Miri itu.

Tiba di Brunei sudah jam 8 lebih. Kami diarahkan untuk ke tempat perasmian, iaitu di Tingkat 15, Bangunan Persekutuan Guru-guru Melayu Brunei. Perasmian PPN 1V bermula jam 9 malam. Upacara perasmian oleh YB Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Ustaz (Dr) haji Awang Abdul Aziz bin Juned atau lebih dikenali sebagai Adi Rumi.Beliau adalah Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam. Hadir sama ialah pengarang Badaruddin H.O, iaitu Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Negeri Brunei Darussalam.

Sempena acara perasmian, diadakan juga persembahan deklamasi sajak daripada perwakilan negara yang mengambil bahagian. Malaysia diwakili oleh Paul Nangang.

Delegasi dari Indonesia menghantar wakil yang paling ramai, iaitu seramai 50 orang. Wakil Malaysia terdiri daripada wakil PENA, PPJ, Penulis Miri/Sarawak dan juga e-sastera.

Pertemuan dua hari itu padat dengan pembentangan kertas kerja daripada wakil-wakil negara seperti Malaysia, Brunei, Indonesia dan Thailand. Nampaknya kali ini tidak ada penyertaan dari Singapura..

Wakil-wakil Malaysia yang membentangkan kertas kerja ialah Saleh Rahmat, SM Zakir, Rahimidin Zahari, Arbak Othman dan Dr. Irwan Abu Bakar.

Sesi Pembentangan yang mengundang perbincangan hangat ialah sesi terakhir yang membawa tema,’Kepenyairan Media Baru’. Ada pembentang yang mencadangkan agar puisi memasuki era internet, seperti yang dibentangkan oleh Prof Dr. Irwan Abu Bakar. Beliau menyatakan perkembangan e-sastera sebenarnya adalah satu lonjakan yang memisahkan penulisan konvensional kepada satu era baru dalam bersastera. Beliau yang menjadi pengasas e-sastera di Malaysia menyatakan fenomena baru inimenjadikan sastera Melayu melebar,mendunia dan lebih mudah tersebar. Masalah birokrasi editor juga tidak ada lagi. Sesiapa sahaja boleh berkarya.

Ada peserta dari Indonesia yang cuba berhujah dengan menyatakan apa yang di ketengahkan oleh para pembentang hanyalah sebagai sesuatu yang sia-sia sahaja, kerana tanpa pembuktian.Contohnya pembentangan makalah senndiri disampaikan secara konvensional, bagaimana harus menyakinkan peserta. Mereka juga mengkritik penganjur yang kurang memberikan publisiti terhadap masjlis yang begini besar. Tidak ada poster apa lagi dalam bentuk multimedia.

Rata-rata pembentang tidak setuju dengan pancingan kontrovasi oleh beberapa peserta Indonesia ini. Sebelum ini juga, pada sesi pagi Forum yang dibarisi oleh salah seorang wakil Malaysia, iaitu SM Zakir juga bersependapat meyakinkan peserta dengan unjuran agar puisi diberi nafas industri.

Acara perasmian penutup dihangatkan oleh beberapa peserta Malaysia dan Indonesia dan juga tuan rumah. Ada persembahan deklamasi puisi kreatif yang cukup menarik dibumbui dengan audio dan multimedia.

Kami bertolak balik dari Bandar Brunei Darussalam jam 5 petang dihantar oleh hujan lebat sehinggalah ke sempadan Sarawak. Terima kasih kepada beberapa teman di Brunei seperti Syeikh Mansor yang sanggup melayan karenah kami selama menetap di perkampungan Balai Belia, sempena pertemuan itu.

Terima kasih juga kepada teman-teman penulis Miri seperti Poul Nanggang, Abizai dan Jaya Ramba yang bersusah payah membawa kami pergi dan balik untuk menghadiri pertemuan yang bermakna itu.

Rejim Zionis - Manusia Atau Syaitan

Rabu, 14 Juli 2010

Apa Peduli Cakap Orang (APCO)

Bila ada yang bertanya kepada saya, tentang pendirian saya, terutama dalam politik. Saya berpihak sebelah mana. Jawapannya mudah, tentulah di sebelah kebenaran.
Kebenaran itu sebenarnya sudah jelas, tidak perlu dihuraikan lagi. Manakala segala kebatilan, kebohongan dan segala macam fitnah juga sudah jelas. Bagi kita yang berfikir sudah tentu dapat membezakan yang mana benar dan yang mana salah.
Apa peduli cakap orang (APCO), kalau kita selama ini berpegang kepada prinsip, ‘Membenarkan apa yang benar, dan menyalahkan apa yang salah’.
Ada juga jenis manusia yang APCO apabila, ‘Membenarkan yang salah, dan menyalahkan yang benar’.
Bacalah media, dengarlah media..setiap hari kita akan bertemu dengan APCO jenis kedua ini, yang sentiasa membenarkan yang salah.
Berbalik kepada pendirian saya...saya tetetap memilih kebenaran meskipun kini kebenaran itu kelihatan samar-samar dan kadang-kadang terlindung dek kabus fitnah yang hebat.

Selasa, 13 Juli 2010

Sampah-sampah Kehidupan


Sesuatu yang sukar untuk ditangani dalam hidup kita ialah ‘sampah’. Sampah tetap wujud, dan kita adalah penyumbang kepada penciptaan sampah setiap hari. Semakin maju sesebuah masyarakat semakin banyak sampah tercipta.
Sampah juga mempunyai pengertian yang lebih daripada maksud literalnya. Sebab itu timbal perbandingan, ‘sampah masyarakat’.
Nampaknya kita terus mencipta ‘sampah’. Daripada sampah yang lahir dari dapur kehidupan manusia, lahirlah sampah-sampah yang pelbagai. Hingga bayi pun kini dikategorikan sebagai ‘sampah’ kerana dibuang di tempat sampah.
‘Masyarakat Sampah’ pula merujuk kepada masyarakat yang tidak memperdulikan kebersihan dalam hidup mereka. Begitulah kita akan dapati dalam sektor pekerjaan pula banyak ‘sampah-sampah’ yang perlu dibersihkan dan disapu kerana tidak dapat menunjukkan kualiti kerja yang diharapkan.
Di kalangan pemimpin juga lebih banyak ‘sampah’ daripada pemimpin yang benar-benar berkualiti.
Apa lagi karya-karya ‘sampah’ dalam sastera Melayu kita.

Rabu, 07 Juli 2010

Bahtera Perkahwinan.



(Buat anak-anakku)

Sampai masanya (kalau ada jodoh) kita akan melangkah ke alam rumah tangga.Tiga puluh tahun lalu saya memasuki alam rumah tangga dengan hati yang berdebar-debar. Memilih seorang isteri, yang akan berkongsi dengan kita selagi hayat di kandung badan. Apakah perkongsian hidup ini akan berkekalan? Apakah akan mendapat zuriat seperti yang diimpikan? Apakah bahagia? Bermacam persoalan datang menerjah di minda dan sanubari.

Tanpa disedari masa terus berlalu. Alhamdulillah saya dikurniai 6 orang cahaya mata, 5 lelaki dan seorang perempuan (bongsu). Kini mereka sudah dewasa. Masing-masing telah membawa diri, selepas berhempas pulas di universiti. Tinggal yang bongsu sahaja lagi masuk tahun kedua di UTM.

Begitulah akhirnya mereka pula yang akan mengikuti jejak kita. Mereka akan berkeluarga. Dua daripada mereka telahpun berkahwin, masing-masing telah mendapat seorang anak.

Kini dua lagi anak lelaki saya melangkah ke alam rumah tangga. Saya mendapat dua lagi anak menantu sekali gus.. Seorang mendapat jodohnya dengan orang Kelantan dan seorang lagi dengan orang Terangganu. Pada 7 Jun lalu, saya berserta keluarga bertolak ke pantai timur untuk urusan berkenaan.

Sebagai bapa, saya mempunyai harapan yang besar terhadap kehidupan baru anak-anak saya ini. Alam rumah tangga yang mereka tempuh, bagai sebuah bahtera yang mengharungi lautan kehidupan.Kadang-kadang akan ada gelombang besar memukul bahtera. Apakah sebagai nakhoda kita mampu mengendalikan bahtera dengan selamat.Melihat begitu banyak bahtera perkahwinan tidak dapat diselamatkan dari gelombang maslah rumah tangga, saya sebagai bapa agak khuatir dan sentiasa berdoa demi kebahagiaan anak-anak.

Wahai anak-anakku. Sesungguhnya perkahwinan itu suatu amanah. Jagalah amanah perkahwinan itu sehingga dapat melahirkan zuriat anak-anak soleh dan solehah. Sesungguhnya hidup di dunia ini sementara, hidup ini ujian, hidup ini adalah persediaan untuk hidup yang lebih kekal di akhirat kelak.

Senin, 28 Juni 2010

Membentang Langit Remaja

Di padang remang remaja ini
fikiran muda mempamer pisau
mereka mudah menjual maruah
minum dengan gelas pecah

Mereka menyelongkar rahsia malam
terbentur di kaki lima enegma
membentang langit remaja
di lorong-lorong gundah
arus manusia dan arus nafsu
berbaur moral hamis dadah

Pohon keremajaan telah ditumbangkan
peta etika dilipat ke laci-laci bimbang
tidak ada lagi tikar nasihat
untuk dihamparkan
tidak ada lagi padang pedoman
untuk diiktibarkan.


Batu Pahat, Johor
Metro, Selasa 22 Jun 2010.

Selasa, 22 Juni 2010

Singgah di Negeri Mabok, Marsli.


Berdasarkan pengakuan Marsli sendiri, 45 sajak-sajak gelisah ini ditulis sebagai reaksinya terhadap pelbagai peristiwa yang mewarnai kehidupan kita rakyat Malaysia.

Beliau dengan berani meletakkan kesalahan ini pada ahli politik. Apa saja kebejatan, apa saja kesalahan, apa saja onar semuanya ada kaitan dengan politik kita yang semakin membusuk. Dari kesalahan mengabaikan ‘bahasa’ sampai kepada kesalahan rasuah, tidak terlepas dari sindiran tajam Marsli.

Negara kita sudah sampai kepada tahap tenat. Malah nazak akibat politik yang songsang.Dalam pengakuan Marsli sendiri, beliau secara jujur menyatakan, ‘Sebagai seorang penyair, dia tidak ingin melihat dan membiarkan terus negeri tercinta miliknya menjadi segumpal kertas yang direnyok-renyok oleh tangan para algojo mabuk bernama politikus.’

Bagi Marsli para politikus inilah yang bertanggungjawab, seperti dalam bait puisinya,’Negeri Ini akan Membusuk’

Negeri ini akan membusuk
Menjadi negeri sarap dan sampah
Segala haloba
Manusia yang hilang cinta.

Bagi Marsli juga dunia mabok ini juga dunia untuk si haloba. Sudah tentulah ditujukan juga kepada ahli politik yang tamak dan tidak jujur;

Inilah dunia untuk si haloba
Menghunus hasad di sebalik puji
Bertopeng senyum berselindung iri

- Sajak Politik Cemburu.

Sebagai seorang penyair, saya mengenali Marsli N.O. ketika beliau bersama-sama terlibat dalam siri Kembara Puisi Darul Ta’zim, 2002 lagi, di beberapa tempat seperti di Johor Bahru, Kota Tinggi dan Kluang.
Kemudian saya berpeluang lagi sekali bertemu semasa Pertemuan Penyair Nusantara di Kuala Lumpur pada tahun 2009.Dalam beberapa kali pertemuan itu, saya dapati beliau seorang yang mudah mesra, meskipun beliau mengakui sendiri bahawa beliau kadang-kadang tidak dapat berkompromi dengan beberapa orang di sekitarnya yang tidak jujur. Marsli N. O nampaknya meletakkan ‘kejujuran’ dalam apa juga perkara. Dari persahabatan, politik, pekerjaan hatta kepimpinan. Sebab itulah beliau mudah tersentuh bila ada orang yang suka mengambil kesempatan terhadap persahabatan yang dihulurkannya.

Marsli mengakui sendiri dengan jujur;

Walau aku lelaki pemarah
Tapi tidak akan mudah melatah
-Ketika Kau Memilih Buta.

Itulah sikap sebenar Marsli N.O yang saya kenal.Sesungguhnya singgah sebentar di Negeri Mabok, Marsli; kita didedahkan dengan pelbagai karenah manusia yang hidup penuh kepura-puraan.

Minggu, 20 Juni 2010

Memilih Kulit.

Saya membeli sebuah buku kerna tertarik dengan kulitnya. Setelah membaca isi kandungan dan beberapa tajuk di dalamnya, saya rasa tidak ada apa-apa yang menarik, lalu buku itu terbiar begitu sahaja. Benarlah seperti kata pepatah Inggeris, ‘Jangan menilai sesebuah buku itu melalui kulitnya sahaja’.

Begitulah dalam kehidupan sehari-hari pun kita sering tertipu dengan melihat sifat luaran seseorang. Kita melihat seseorang itu cukup baik dan sempurna, tetapi setelah begaul dengannya barulah kita tahu bahawa, dia sebenarnya bukan seorang teman yang baik, yang boleh dipercayai.

Rupanya kita sebagai manusia sering tertipu dengan ‘kulit luaran’. Kita sering tertipu dengan iklan-iklan yang menggunakan ‘kulit luaran’ yang hebat-hebat, yang sebenarnya tidak ada apa-apa kelebihannya selain duit kita habis kerana membelinya.

Tetapi nampaknya kita tidak pernah sadar dan tidak pernah insaf.Kita akan mengulangi kesalahan kesalahan demi kesalahan kerana tertipu dengan fatamorgana kulit ini.Terutama dalam memilih pasangan hidup, memilih kawan, memilih fahaman politik dan lebih teruk lagi dalam memilih kebebasan beragama.

Islam sering digambarkan sebagai agama teroris kerana beberapa insiden yang kebelakangan ini menyebabkan ramai orang terkorban kerana ada pejuang berani mati yang melakukannya. Islam di Malaysia juga dikaitkan dengan masyarakat Melayu yang punya banyak masalah seperti masalah sosial,masalah rasuah dan fitnah. Jadi orang bukan Islam tidak nampak apa baiknya Islam. Tidak ada sesuatu yang boleh dicontohi bila dikaitkan dengan orang Islam.

Begitulah kalau kita sering melihat ‘kulit’, tidak melihat isinya. Sebeanrnya kalau mereka melihat ke dalam perlembagaan Islam itu sendiri, iaitu Al-Quran dan Sunnah barulah mereka nampak Islam itu indah dan benar. Malangnya orang Melayu sendiri tidak nampak keindahan Islam sebagai Adin. Mereka lebih melihat Islam itu sebagai pakaian harian yang boleh dikenakan dan dibuka bila-bila masa sahaja. Kalau suka boleh pakai, kalau tidak sesuai boleh dilepaskan.

Saya kira semua orang akan menyangkal bila ada sesiapa yang menyamakan orang Melayu itu dengan kehidupan Islam yang sebenarnya.

Begitu juga kalau kita melihat sesebuah parti politik. Parti politik yang baik harus dilihat dari segi perjuangannya. Hati sesebuah parti politik ialah perlembagaannya. Kalau ada orang dalam parti politik itu rasuah, pecah amanah dan melakukan skandal, bukan bermakna parti politik itu salah. Yang salah orang dalam parti politik itu, seperti juga kita tidak menyalahkan Islam bila ramai orang Islam terlibat dalam masalah sosial dan kebejatan.

Oleh itu pandai-pandailah memilih ‘kulit’.

Rabu, 16 Juni 2010

Sikap Tandas

Islam itu keindahan. Sekali gus Islam itu juga kebersihan. Bersih itu indah. Rata-rata semua kita orang Islam tahu betapa kebersihan itu penting dalam hidup kita. Ironinya, dalam kehidupan seharian, kita sentiasa terdedah dengan ‘sikap tandas’ orang Islam/Melayu.Sikap tandas ini bermaksud sikap pengotor. Kita terperangkap dengan perangkap kotor dalam semua aspek kehidupan. Baik yang rohani dan juga yang jasmaninya.

Dalam berfikir pun ada juga sikap tandas. Tandas di sini bukan bermaksud seperti kefahaman orang Indonesia yang membawa makna pasti dan tegas sekali ataupun habis semua sekal/hilang sama sekali.Ini ‘tandas’ yang bermakna ‘jamban’. Sikap dan pemikiran jamban manusia Melayu kadang-kadang amat menyedihkan.

Kita ambil contoh dalam berpolitik, orang Melayu lebih bersikap ‘sikap tandas’. Apa tidaknya politik kita penuh dengan hasad dengki, caci-mencaci, fitnah, jatuh menjatuh, politik wang dan sanggup buat apa saja untuk jatuhkan lawan.

Dalam kehidupan seharian pula, cubalah kita masuk ke tandas-tandas awam. Kita akan terperanjat melihat cara berfikir orang kita terpampang di dinding-dinding tandas. Semua yang tercoret amat menjijikkan. Pemikiran ini akan dibawa sampai keluar tandas. Sebab itulah kita dapati masyarakat kita terjebak dengan seribu satu masalah sosial. Sebut saja, apa yang tidak ada. Masalah dadah, ragut, buang bayi, merempit, mencuri, merompak, menipu dan rasuah- semuanya ada dalam kamus kehidupan kita.

Kita seharusnya berani mengubah sikap tandas Melayu kepada sikap tandas orang Jepun.

Minggu, 13 Juni 2010

Saya dan PPJ


Saya menjadi ahli PPJ sejak tahun 1974 lagi. Ketika itu PPJ diterajui oleh Zam Ismail. Beliau adalah seorang penyair terkenal yang pernah memenangi Hadiah Sastera Malaysia bagi kategori puisi eceran yang berjudul, ‘Air Papan’. Semasa beliau menerajui PPJ saya sempat beberapa kali menghadiri kursus penulisan yang dianjurkan oleh persatuan.
Apabila Zam Ismail melanjutkan pelajaran ke luar negara untuk ijazah sarjananya, PPJ diambil alih oleh Mohd. Ropi Jais. Ketika itu saya sudah terpilih menjadi salah seorang ahli jawatankuasa PPJ. Semasa Haji Masud Haji Abd Rahman menjadi Ketua Satu, saya dilantik pula menjadi Bendahari. Tidak lama kemudian saya terpilih pula menjadi setiausaha Dua, seterusnya ketika Haji Abd. Shukor Ismail menjadi Ketua Satu saya terpilih pula menjadi Setiausaha Satu.
Sesuatu yang menarik dalam PPJ ialah peralihan kuasa kepada pelapis muda berjalan dengan baik. Ketika saya menjadi AJK, hanya saya salah seorang ahli jawatankuasa paling muda, di samping Inzurah hj. Kosnin. Ketika itu teraju kepimpinan banyak dipegang oleh golongan vetran. Tetapi mereka telah memberi ruang kepada kepimpinan muda dengan menubuhkan Biro Penulis Muda, ketika itu diketuai oleh Amiruddin Ali Hanafiah. Alhamdulillah kini PPJ telah melangkah dengan bergaya setelah kepimpinan diterajui oleh kebanyakannya oleh golongan muda. Selama dua penggal keimpinan Amiruddi,n PPJ telah mengorak langkah menjadi sebuah persatuan yang lebih dinamik.

Minggu, 06 Juni 2010

Rimba Bahasa


Dalam hidup ini seringkali kita tersesat. Jalan raya dan lebuh raya kehidupan terlalu banyak untuk maju ke depan. Semuanya menuju ke destinasi yang kita harapkan. Cuma kadang-kadang kita terlupa mana arah tujuan. Begitulah dengan hidup ini. Gara-gara terlupa tujuan hidup kita sering tersasar arah.

Begitu juga dengan bahasa. Kita sering tersesat dalam rimba bahasa yang kita cipta sendiri. Kita sering tersesat dalam rimba bahasa dunia orang lain. Kita terpaksa memilih satu bahasa dan beberapa bahasa. Kadang-kadang kita kehilangan denai. Lalu berpusing-pusinglah kita dalam rimba bahasa dunia asing.

Kita ada rimba bahasa kita sendiri. Ada fauna dan floranya yang tersendiri. Rimba yang penuh dengan bunga-bunga. Ada kali yang mengalir tenang. Jadi, mengapa mesti sesat dalam rimba bahasa sendiri.

Jumat, 04 Juni 2010

Imam Menangis

Imam menangis
di mimbar kesal
melihat mungkar makmum
nafsu dan kuasa
bisu dan buta

Imam menangis
di sajadah gundah
membaca surah-surah amaran
tentang kelekaan manusia
tentang buih-buih takwa
dihanyutkan badai kebendaan
ke muara lupa.

Imam menangis
ketika berzikir
makmum terburu-buru pulang
di rumah kehilangan kiblat
isteri dan anak-anak
sukar ditegur
suka berhibur

Imam menangis
mendengar azan
di jalan semakin sibuk
menjadi lomba perjudian
mempertaruhkan keharuman nama
dan kekufuran nikmat

Imam menangis
ketika mentalkinkan kebenaran
dunia adalah keranda maksiat
masjid sepi syafaat
telah dikuburkan akhlak
telah ditaburkan bunga-bunga fitnah
telah ditegakkan nisan-nisan kebatilan.


SHAPIAI MUHAMMAD RAMLY
Parit Besar, Batu Pahat, Johor.
23 Mei 2010
Berita Harian 29 Mei 2010.

Rabu, 02 Juni 2010

Jawabnya Ada Pada Takdir


Meminjam tajuk novel terbitan baru YWJ Citra , karya Maskiah Haji Masrom, saya melihat kehidupan kita memang bergantung sepenuhnya kepada apa yang dikatakan ‘takdir’. Sebagai hamba Allah, kita hanya mampu merancang. Seperti watak Cikgu Hanifah yang kehilangan suami tersayang, ketika dia masih memerlukan seseorang di samping. Ketika dua anak kecilnya masih memerlukan kasih seorang bapa, ketika itulah dia kehilangan suami yang meninggal dalam satu kemalangan jalan raya.

Begitulah setiap manusia ada takdirnya sendiri. Bagaimanakah takdir kita selepas ini. Setiap hari ada saja panggilan takdir. Umur kita yang luruh, meski gemuruhnya tidak kedengaran, juga adalah takdir yang mesti kita hadapai. Kita adalah kuburan yang risau, menanti saat kebijaksanaan mengingati mati itu dipertimbangkan di neraca akhirat. Meski begitu, kita masih boleh memilih takdir dengan kekuatan dan keikhlasan berdoa.

Tidak perlulah kita menanam bayi takdir yang kita lahirkan dari kekotoran akhlak. Tidak perlulah kita membuang bayi takdir yang lahir dari keboborokan sikap masyarakat.

Jodoh adalah takdir kita. Kadang-kadang kita cuba memilih, tetapi kartu jodoh kita pada orang lain. Pihak berkuasa juga kadang-kadang sibuk menentukan takdir hidup kita, dengan membina macam-macam infrastruktur, menggubal pelbagai strategi dan undang-undang, tetapi seperti cinta juga, rakyat tiba-tiba memilih jodohnya sendiri. Mungkin kepada pihak pembangkang.

Tahun 60-an dulu, ketika pemerintah Amerika mewujudkan kerahan tenaga bagi anak-anak mudanya untuk dihantar ke Vietnam, seorang pemuda melanggar takdir arahan pemerintah dengan mencacatkan dirinya, iaitu dengan memotong satu jari tangannya (kerana kecacatan saja boleh mengelakkan dia dari arahan itu). Kini dalam usia 50-an, dia tidak menyesal bahkan berasa beruntung kerana kehilangan satu jari itu tidak memungkinkan dia kehilangan nyawanya dalam perang di Vietnam.

Begitulah takdir yang sebenarnya ada lebuh rayanya sendiri. Sebagai orang Islam kita percaya kepada Qada’ dan Qadar. Jawapannya masih ada pada takdir, kata Maskiah.

Rabu, 26 Mei 2010

Susahnya nak Kahwin.

Dua anak lelaki saya akan menamatkan zaman bujangnya pada bulan jun ini. Seorang dengan orang Terangganu dan seorang lagi dengan orang Kelantan. Semuanya jauh-jauh. Bila memikirkan bab kahwin ini, mak bapak nampaknya terpaksa dilibatkan. Mula dulu pergi meminang dan menetapkan hari. Hantarannya pula, waduh!(kalau di Terangganu dan Kelantan tak ada hantaran) tapi Mas Kahwinnya, tidak kurang dari RM8,000.00. Fikirkanlah kalau budak baru kerja pun nak kumpul sampai lapan-sepuluh ribu makan masa 5-6 tahun juga. Itu belum bab buat majlis lagi. Gedebag-gedebuk habis juga RM20,000.00.

Kesian budak-budak zaman sekarang. Nak kahwin pun susah. Ibubapa pula kalau boleh nak buat kenduri besar-besaran. Maklumlah kawan ramai. Kalau tak jemput marah dan merajuk pula. Tapi anak-anak juga yang terpaksa beri sumbangan dan tanggung perbelanjaan.

Memikir hal-hal beginilah saya terpaksa buat beberapa keputusan untuk meringankan beban anak-anak. Biar lepas kahwin mereka tidak terikat dengan beban hutang. Saya sudah beritahu mereka yang penting ialah akad nikah dan hal-hal selepas perkahwinan. Persiapan rumahtangga sudah sediakah? Jangan nati semuanya berhutang. Nanti sampai dapat anak lima hutang belum langsai.

Untuk itu saya telah membuat keputusan agar kami di pihak lelaki tidak akan buat kenduri. Wang yang ada sikit-sikit tu, akan diberikan kepada mereka untuk membeli keperluan rumahtangga selepas perkahwinan.

Syukurlah mereka faham. Ayah dulu pun tak buat kenduri sebelah lelaki. Yang penting ayah sudah siapkan dulu semua keperluan rumah. Walaupun rumah sewa, tapi ayah dah siapkan set katil, kerusi set tamu, dapur, karpet dan semualah sehingga selepas kahwin, isteri saya masuk rumah semuanya sudah tersedia. Lebih bergaya lagi ayah tak berhutang dengan koperasi pun, walaupun ada masuk koperasi guru..

Selasa, 25 Mei 2010

Melihat Kesunyataan

(Terima kasih kepada Marsli N.O kerana memberi pandangan dan mengulas 'Melihat Kesunyataan' yang telah disiarkan di akhbar Mingguan Malaysia)

Ahad, Mei 23, 2010
MELIHAT KESUNYATAAN DARI PERSPEKTIF SHAPIAI
Oleh MARSLI N.O

BANCUHAN pendidikan sekular dan keagamaan serta pengalaman hidup yang ditempuh tidak boleh tidak menjadi titik tolak atau pembentukan sikap dan falsafah kehidupan seorang manusia.

Demikian juga seorang sasterawan. Dalam proses pematangan karyanya, pendidikan, ilmu dan kesedaran sosial serta keagamaannya turut berperanan sebagai pembentuk yang menjadi hala tuju pengkaryaannya. Bertolak dari asas-asas pemikiran dan keperibadian yang kukuh ini jugalah seorang sasterawan membentuk falsafah dan keyakinan seninya.

Falsafah dan keyakinan seni inilah yang secara jelas dinyatakan dengan yakin oleh penyair Shapiai Muhammad Ramly dalam pengantar kumpulan sajak beliau “Melihat Kesunyataan” yang diterbitkan Biro Penerbitan, Persatuan Penulis Johor (PPJ) tahun 2000.

Dalam pengantar yang dijudulkannya sebagai “Puisi adalah nasi yang kusuap setiap hari” ini Shapiai Muhammad Ramly menegaskan: “Sastera seharusnya mendidik. Puisi juga seharusnya dapat menjadi alat untuk tujuan murni. Begitulah dengan sajak.”

Sementara sebuah puisi, tegas Shapiai, perbezaan di antara sebuah puisi yang baik dengan yang tidak adalah di segi peranan atau tujuannya. Tegas Shapiai: “Puisi yang baik itu seharusnya juga bukan setakat menjadi alat untuk tujuan pendidikan, malah juga berupaya menyembuhkan.”

Menghayati maksud dan makna yang dilontarkan di dalam pengantar ringkas kumpulan sajaknya ini jelas memperlihatkan sosok dan pendirian Shapiai Muhammad Ramly sebagai seorang penyair.

Tanpa berselindung, Shapiai memperlihatkan sikap sebagai seorang penyair yang ingin menjadikan sajaknya sebagai wadah menyampaikan pesan dan dakwah.

Untuk dan lantaran itu jugalah melalui kumpulan yang memuatkan 40 sajak ini, Shapiai mengaku “Melihat Kesunyataan” sebagai suatu introspeksi diri dalam menterjemah matlamat dan pencarian hidup.

Ditinjau dari aspek makna, judul “kesunyataan” bagi kumpulan sajak ini memang padanan bagi “kenyataan”. Hanya yang berbeza, makna kenyataan bagi kesunyataan lebih kepada menjurus kepada aspek agama atau ilmu tasawuf (Kamus Dewan: Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1970, halaman 1142).

Sebagai sifatnya sesuatu yang berhubung kait dengan aspek agama dan tasawuf, memang terkesan sebahagian besar sajak di dalam kumpulan ini bernada bening, tidak membentak dan lebih cenderung menghening.

Malah tidak berlebihan juga kiranya dikatakan betapa Shapiai melalui sajak-sajak di dalam kumpulan ini, sentiasa meletakkan posisi dirinya sebagai seorang pemerhati yang peka dan selalu berusaha memberikan tafsirnya sendiri terhadap segala sesuatu yang ditemuinya di dalam hidup.

Membuktikan kesungguhan maksud serta niatnya untuk melakukan suatu introspeksi diri melalui kumpulan sajak “Melihat Kesunyataan” ini, sajak “Langkah” di halaman satu bermula sebagai peringatan yang mengirimkan isyarat sebuah perjalanan menghampiri suatu destinasi.

Sebagai seorang manusia matang, cara pentafsiran Shapiai terhadap sesuatu persoalan yang hadir ke benak pemikirannya tidak dirungkaikannya kembali dengan jawapan yang polos. Sebaliknya, pertanyaan dilontarkannya kembali sebagai refleksi dirinya melalui metafora yang kadang-kala agak mengejutkan.

Refleksi melalui metafora inilah yang dipaparkan Shapiai ketika misalnya mentafsirkan makna kebahagian. Memang agak mengejutkan bila kebahagian dinyatakan Shapiai dengan metafora: “ia hanya kulit/ dengan tulisan emas/ tiada tanda harga.”

Kehadiran hujan yang datang bersama musim dan menghadirkan cemas dimetaforakan sebagai “Pedih Musim Hujan” (halaman 39) dilukiskan sebagai: “...menghela nafas resah/ erangan angin, menyeberangi musim-musim yang lalu/ sepanjang hari asyik merenung tembok diri/ suara hati tak pernah menjelmakan emas/ kita hanya segumpal cemas....”

Dengan metafora yang kadang-kala agak mengejutkan dalam kebanyakan sajaknya, semakin memperjelaskan bagaimana Shapiai mempunyai tanggapannya sendiri mengenai manusia.

Misalnya, ketika di dalam sajak berjudul “Rumah” (halaman 30) Shapiai menyebutkan “Manusia membina rumah daripada batubata prasangka/ menjadi gua-gua peribadi asing sekali”.

Atau di dalam “Survival” (31) tanpa selindung Shapiai menyatakan: “Tiap manusia memandu arahnya / keluar masuk gua yang dibina dari rasa curiga/ kota kini menjadikan aku siap/ awas, kita akan terperangkap/ mau hidup atau mati!”

Seorang ibu pula di mata Shapiai hatinya adalah sungai berliku yang tidak pernah bersua muara (Ibu, 32) dan seorang ayah (Ayahku, 40), setelah ketiadannya disedari Shapiai betapa dia telah: “..kehilangan seseorang/ yang begitu ramah mengatur kehdupanku.”

Perlumbaan sesama manusia untuk mendapatkan segala sesuatu yang dinginkannya diumpamakan Shapiai seperti melepaskan singa yang berkeliaran di dalam diri (Melepaskan Singa, halaman 35) dan tatkala terlepas: “..ke dunia lapar benda/ mengaumkan kesombongan ke seluruh kota/ di sekelilingnya manusia rakus/ menebang hutan amanahnya.”

Di dalam kumpulan “Melihat Kesunyataan” ini Shapiai tetap tidak melupakan untuk turut menyatakan hasrat atau keinginan peribadinya seperti di dalam sajak “Ingin Aku” (34) atau dalam sajak “Puisi dan Nasi” (3) Shapiai menyatakan betapa puisi baginya: “adalah nasi/ yang kusuap setiap hari/ dari padi fikiran yang ditampi/ mengupas kemanusiaan ini.”

Menjengah peristiwa sejarah seperti pertikaman Tuah dan Jebat atau percintaan Tuah dan Teja, Shapiai melihat dan mentafsirkannya dengan pertimbangan kritikal. Jika dalam sajak “Pertikaman Tuah dan Jebat” (9) dihadirkan seorang dalang, sajak “Tuah dan Teja” (22) pula, lewat suara Teja disindir perilaku Tuah konon: “tidak mengerti erti cinta/ kerana engkau terlalu setia/ aku telah berkorban/ hanya untuk raja kemenanganmu/ hanya untuk gelar laksamanamu/ hanya untuk anak sungai kemewahanmu!”

Perenungan Shapiai terhadap kesunyataan dalam erti kata yang lebih menepati maknanya banyak dituangkan dalam sajak-sajaknya yang bersifat perenungan seperti “Perhentian 1” (4), “Perhentian II” (5), “Hotel” (7), “Menjelang Malam” (11), “Lagu Larut Malam” (15) atau “Perjalanan di Waktu Subuh” (17).

Malah lewat sajak-sajak kategori ini, terserlah kepasrahan Shapiai yang diungkap lewat metafora dan juga personafikasi yang memukau seperti “aku pengembara memburu restu”, “menghapus kenangan yang tercalar”, “memulangkan kunci amanah”, “dunia jaga yang keras dan meminta”, “Kugulung segala hasrat” atau “kabut khuatir menyentuh kulit keraguanku.”

Dari aspek biografi pengkaryaannya, Shapiai yang juga menggunakan nama samaran Syafiq SH dan Abdul Arif SH ini berasal dari Gunung Semanggol, Perak dan lahir pada 26 Ogos 1950. Selain menulis sajak, beliau juga menulis cerpen, rencana dan novel. Kerana itu jugalah, keberadaan Shapiai sebagai pengarang dan penyair sering disebut secara seiringan.

Ini bukanlah hal yang menghairankan kerana sebagai pengarang, Shapiai pernah memenangi Hadiah Ketiga Peraduan Mengarang Cerpen ESSO-GAPENA 1983, tahun 1984 memenangi Hadiah Kedua Peraduan Mengarang Cerpen ESSO-GAPENA VI dan hadiah saguhati dengan cerpen “Suamiku” pada tahun 1991 dan cerpen “Menunggu Kemajuan” pada tahun 1986.

Pendikan awal beliau ialah di Sekolah Kebangsaan Gunung Semanggol, Perak dan Sekolah Menengah King Edward VII, Taiping. Kemudian mengikuti kursus perguruan di Maktab Perguruan Sultan Idris di Tanjung Malim (1969-1970), kursus perguruan khas dalam bidang Pendidikan Seni di Maktab Perguruan Ilmu Khas, Cheras pada tahun 1976. Tahun 1988 melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah di Universiti Pertanian Malaysia (UPM) hingga selesai.

Sebagai guru beliau pernah mengajar di Sekolah Kebangsaan Felda Sungai Sayong dan Sekolah Menengah Sultan Ibrahim di Kulai. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Maktab Perguruan Mohd Khalid, Johor Bharu (1984-1998) dan kemudian di Maktab Perguruan Batu Pahat, Johor.

Shapiai mula menulis pada tahun 1971 dengan penyiaran cerpen pertamanya berjudul “Akrylazam” di Mingguan Malaysia. Karyanya, selain berupa puisi, juga cerpen dan rencana termuat dalam pelbagai media seperti Berita Minggu, Utusan Zaman, Dewan Sastera, Dewan Budaya, Berita Harian dan lain-lain.

Kumpulan cerpen perseorangan beliau yang telah diterbitkan ialah “Perjalanan Ke Z” (DBP:) dan sebuah novel berjudul “Gerimis Perkahwinan” (Marwilis Publisher:). Pada 1993 memenangi salah satu Hadiah Puisi Kebangsaan Shapadu-Gapena dengan puisinya “Membina Taman” dan sebelumnya untuk anugerah yang sama pada tahun 1989. Anugerah untuk Sayembara Cerpen Esso-Gapena pula diraih pada tahun 1983 dengan cerpen berjudul “Pak Su”, tahun 1984 hadiah kedua, 1986 dengan cerpen “Menunggu Kemajuan” dan hadiah saguhati pada tahun 1991 dengan cerpen “Suamiku”.

Di genre puisi, karyanya termuat dalam beberapa antologi bersama. Shapiai memenangi hadiah khas Berita Harian 1985 dengan puisi berjudul “Pertikaman Tuah dan Jebat”, tahun 1989 antara pemenang hadiah puisi Hari Kemerdekaan dengan puisi berjudul “Di Atas Mimbar Merdeka”, antara pemenang hadiah puisi Hari Kebangsaan 1991 dengan puisi “Membina Taman”. Tahun 1991 beliau juga meraih anugerah Hadiah Puisi Alam Sekitar. Tahun 1997 memenangi hadiah Utusan_Public Bank bagi kategori puisi dengan puisinya “Hujan Melebat Dalam Dirimu”. Tahun 1995 dan 1999 memenangi Anugerah Sastera Negeri Johor Darul Ta’zim kategori puisi.

Sejak 1971 hingga kini menetap di Johor dan bergiat cergas dalam Persatuan Penulis Johor (PPJ) sejak tahun 1974, sebagai Setiausaha Dua (1977-1998) dan kini sebagai Setiausaha Satu. Pada tahun 1991 beliau menyertai Program Penataran Sastera di Indonesian tajaan DBP. Tahun 1997 mengikuti Perkampungan Penulis GAPENA selama dua belas hari di Riau dan menyertai Seminar Persuratan Nusantara ke-IX di Padang, Sumatera.

Sumber siaran: Mingguan Malaysia, 23 Mei 2010

Sesabar Unta


Mutawil kami Ustaz Ridhowi menyatakan kita harus bersabar sesabar unta. Unta dalam bahasa arab disebut sebagai ‘Jamal’. Jamal juga bererti indah, cantik atau elok. Apa yang pasti unta pernah menjadi kenderaan di padang pasir. Lambang kesabaran unta berkontrakdik dengan suasana latar belakang padang pasir yang berbatu dan kering kontang.

Begitulah kebesaran Allah. Di tanah tandus kita dapati masyarakatnya tidaklah tandus moral. Bagi kita di sini, yang penuh kehijauan rupanya ketandusan moral. Di sini tidak ada unta, yang ada ‘lembu’. Gambaran lembu yang lembab dengan khasiat susunya yang baik, tidak memungkinkan masyarakat di sini cergas atau sabar seperti lembu. Malah kita berhadapan dengan pelbagai masalah sosial.

Sabtu, 22 Mei 2010

Imam Menangis

Menjadi makmum di Masjid-ul Haram memang tidak pernah membosankan. Suara Imamnya yang merdu dan bertenaga tidak mengganggu konsentrasi kita beribadah. Lebih-lebih lagi apabila Kaabah benar-benar berada di hadapan kita.

Ketika sembahyang Isyak tiba-tiba kedengaran suara Imam terhenti, kemudian tersedu-sedu menangis apabila sampai pada ayat yang menyebut ‘Muslimin, kemudian kafirun’ (Saya akan cuba mencarinya dalam Al-Quran). Saya tidak dapat menangkap ayat apa, tetapi sudah tentu ayat tersebut menyentuh hati nurani Pak Imam hingga dia menangis. Begitulah penghayatan Imam kerana dia memahami benar isi Al-Quran. Sedangkan saya tertanya-tanya apakah maksudnya.

Menyentuh soal ‘penghayatan’ semasa beribadah, di Mekkah atau Madinah kita akan dapat melihat bagaimana masyarakat Islam berbondong-bondong ke masjid bila tiba waktunya. Terlalu ramai. Nampak benar Islam begitu berdisiplin dalam memperkukuhkan keimanan.

Benarkah?

Saya melihat sesuatu yang kontradik dengan apa seharusnya berlaku. Sepatutnya disiplin semasa beribadah akan diterjemahkan juga dalam kehidupan kita seharian. Terutama bila menyentuh tentang beberapa tuntutan agama. Saya mengambil contoh yang mudah seperti kebersihan dan kesabaran.

Dua aspek ini memang jelas bertentangan dengan apa yang berlaku di dalam solat. Dalam solat kita dituntut untuk membersihkan diri. Ini jelas dalam falsafah berwuduk dan juga mesti berpakaian bersih. Di dalam solat juga kita seharusnya bersabar untuk mendapatkan kekhusukan. Kita tidak perlu terburu-buru, malah memelihara rukun-rukunnya dan membaca ayat-ayat alam solat sebaik mungkin.

Hakikatnya selepas keluar masjid, selepas solat apa yang berlaku adalah sesuatu yang keterbalikan. Masa keluar masjid ramai jemaah yang meluru keluar , bertolak-tolakan antara satu dengan lain. Ketika itu juga ada yang merempuh arus untuk melakukan tawaf. Saya tidak tahu apakah yang hendak direbutkan.

Mungkin jemaah luar akan bergegas keluar untuk membeli belah, atau ada yang menuju kedai makan. Di sini pemandangan sungguh menyedihkan kerana sepanjang barisan kedai penuh dengan sampah. Tong sampah terlalu banyak disediakan, tetapi tetap kosong kerana sampah-sampah lebih banyak bersepah di mana-mana sahaja hingga ke jalan-jalan raya.

Kalau inilah imej negara Islam, saya sungguh berasa malu. Saya lihat sendiri ada seseorang membuang sisa bungkusan makanannya sesuka hati sedangkan tidak jauh darinya ada tong sampah.

Memang patutlah Imam menangis. Saya sendiri turut sedih melihat masyarakat Islam kita tidak berubah. Hal ini berlaku hinggalah saat saya berada di lapangan terbang untuk berangkat pulang. Ketika sedang beratur di hadapan sekali untuk melepasi pemeriksaan Imegresyen, tiba-tiba sekumpulan Pak Arab (Lelaki-perempuan) menolak kami ke tepi dan terus menuju ke depan. Sayangnya, mereka ditahan oleh pegawai Imengersyen itu kerana borang paspot mereka tidak lengkap. Mereka tidak mahu mengalah malah bertengkar dengan pegawai berkenaan. Pegawai tersebut begitu tenang menerangkan kepada mereka yang nampaknya tidak mahu mengalah. Inilah gambaran Islam yang sering kelihatan, apabila kita sendiri menterjemahkannya secara tidak sihat.

Lalu Imam pun menangis dalam sembahyangnya.