Minggu, 21 Februari 2010

Pandangan Orang Luar.


Sesekali kita perlu juga pandangan orang luar. Janganlah kita berasa bahawa kita sahaja yang betul. Kadang-kadang penilaian orang lain lebih tepat daripada penilaian kita sendiri.

Sepanjang cuti Tahun Baru Cina ini saya sempat membaca ‘Max Havelaar’ karya Multatuli, yang diterjemahkan oleh H.B Jasin . Karya yang dihasilkan pada tahun 1840-an ini cuba memberikan gambaran yang jelas tentang wajah bumiputera (Melayu/Jawa) di Indonesia semasa dalam penjajahan Belanda. Max Havelaar adalah wajah dunia Melayu/Jawa yang menderita. Melalui Max Havellar, beliau melihat betapa penderitaan peribumi ketika itu adalah lebih kepada tindakan zalim penjajah dan juga Bupati (pemerintah) sendiri.

Meski Max berada di pihak penjajah, beliau mengakui sistem ‘Rodi-kopi’ yang diperkenalkan menyebabkan rakyat peribumi semakin miskin. Ditambah lagi dengan Bupati yang zalim. Sudahlah cukai yang dikenakan terlalu tinggi, Bupati dan orang-orangnya sewenang-wenang pula merampas apa saja milik rakyat. Kalau ada aduan, pengadu sendiri akan diancam. Bukan setakat itu sahaja, mereka juga akan disiksa, dipenjara dan dituduh sebagai pengkhianat. Luarannya kelihatan Bupati dan orang-orang begitu baik. Memperlihatkan bagaimana mereka bertutur dengan sopan, melayan tetamu dan sentiasa menderma. Mereka juga membina masjid dan menghantar (membiayai) orang naik haji. Tetapi disebalik kebaikan itu, mereka mempunyai satu lagi permukaan duit siling yang kejam.

Max cuba menjadi juara untuk membetulkan keadaan ini. Kompeni sendiri tidak berminat dengan masalah bumiputera ini. Mereka lebih berminat menjaga kepentingan Bupati yang lebih banyak membawa keuntungan kepada Belanda sendiri. Pengajaran kepada Max, ialah , ‘Kita sebagai orang luar, apa peduli hal kezaliman mereka. Tidak ada kena mengena dengan Syarikat Hinda Belanda yang banyak mengaut keuntungan dari sistem yang sedia salah itu.’

Senin, 15 Februari 2010

Ceritera Yang Ketiga Puluh Tiga

Tun Fatimah menjadi saksi pada pembunuhan ayah, suami dan saudaranya sendiri. Tragedi ini adalah angkara fitnah yang berleluasa sebelum kejatuhan Melaka.

SN Muhammad Haji Salleh menterjemahkannya dalam sebuah puisi yang indah. Sebahagian kata-katanya cukup menarik:
'Aku melihat orang yang baik dijahatkan, dan orang yang pandai berkata dinobatkan.'

Rupanya kita tidak pernah keluar dari 'botol kecil' kejatuhan Melaka. Bila kuasa boleh dibeli dengan wang. Kemerdekaan semakin berusia, tetapi kita tidak semakin matang. Malah semakin nyanyuk, hingga memejamkan mata pada tangan-tangan rasuah yang merampas peraturan.

Untuk ceritera yang ketiga puluh empat ada bau kekalahan, jika kita tidak melakukan perubahan. Apa akan terjadi pada Melayu?

Kamis, 11 Februari 2010

Dengan Pedang Kata

Mereka sentiasa di hadapan
bila bercakap tentang kemiskinan
berkunjung ke daerah duka
menyelak helaian simpati
membaca rawi retorik politik
‘kenapa masih berselimut
di tilam keselesaan’.

Dengan pedang kata
hunuslah ke leher pengecut
yang menyimpan rahsia tajam lidah
bahagia di pukung mimpi

Di kawah kehidupan ini
kita masih mencipta derita
buat melahirkan seorang wira

Dengan pedang kata
hunuskan ke leher kemalasan
sambil memberikan kata dua
bebas atau terpenjara


SHAPIAI MUHAMMAD RAMLY
Sri Wangsa, Batu Pahat, Johor.
Berita Harian Sabtu, 6 Februari 2010

Senin, 08 Februari 2010

Kami Yang Terlibat

Usman Awang dalam cerpennya ,’Kami yang terlibat’ membawa kisah bagaimana pasukan askar Melayu bertembak-tembakan sesama sendiri. Semuanya kerana salah faham. Tidak ada hubungan yang jelas tentang siapakah musuh mereka yang sebenar. Mereka hanya mengikut arahan secara melulu, tanpa banyak soal jawab. Padahnya mereka membunuh sesama sendiri. Meskipun pada waktu itu musuh mereka yang jelas adalah komunis.

Usman Awang bijak dalam memberikan tanggapan suasana politik waktu itu. Secara halus UA cuba menyampaikan suatu mesej yang sangat baik. Arahan dan Kuasa menyebabkan mereka patuh. Mereka diarahkan bergerak pada waktu malam, ketika semua orang tidur. Masuk ke dalam kegelapan hutan semata-mata untuk mencari musuh yang entah di mana.

Begitulah dengan kita sekarang. Kita sama-sama terlibat dalam apa yang dikata satu konspirasi untuk menyerang musuh yang kita cipta sendiri. Dan seperti dalam ‘Kami yang terlibat’ itu, akhirnya kita menyerang sesama kita. Kerana kita masih terdedah kepada banyak keraguan. Siapakah musuh kita yang sebenarnya? Adakah sesama Melayu sendiri?. Lalu kini kita berhempas pulas, buat apa saja untuk menjatuhkan sesama kita.

Usman Awang menulis, ‘Dengan demikian pertentangan-pertentangan itu berjalan terus meragut seluruh kedamaian yang dicintai. Dan kami yang terlibat ini? Beracah-acah dengan maut…hanya untuk sesuap kuasa (nasi).’

Jumat, 05 Februari 2010

Politik ‘Hujan’.

(Hujah Untuk Jaminan Akhir N(anti).

Agak sudah lama hujan tidak turun padang. Khutbah Khatib juga menyentuh tentang SKTB (Sesal Kemudian Tidak Berguna). Kalungan-kalungan sesal pada saat-saat terakhir hanya merugikan kita. Ketika membuka dan membaca ‘Buku Suratan’ barulah kita sedar bahawa dunia tempat kita bercucuk tanam ibadah ini, tidak akan mengundang kita untuk kali kedua.

Tiba-tiba ‘hujan’ kembali turun padang dengan menghantar guntur amaran dan angin ikhsannya. Ada perkhabaran tentang seseorang yang masih dalam neraca awan hitam. Tentera ‘hujan’ memakai baju simpatinya. Kadang-kadang menaburkan basah kemakmuran yang palsu. Kadang-kadang menghantar banjir kilat peruntukan.

Politik ‘Hujan’ memilih lembah yang sekian lama kering simpati. Membawa bersamanya lagu-lagu leka untuk dijaja. Satu tadahan untuk kita semua. Minum air fahaman yang sama. Mandi di sungai yang sama tetapi memakai baju yang berbeza. Menyanyi rentak hujan yang sama, tetapi menggunakan bahasa yang berbeza.

Politik ‘Hujan’ tidak ada bahtera yang menanti untuk dilepaskan ke samudera kerana langit dan laut tidak pernah bertemu. Di horizon politik Melayu cuma ada satu garis yang memisahkan, iaitu ‘SENGKETA’.

Terlanjur hujan, marilah sama-sama kita mandi politik.

Rabu, 03 Februari 2010

Falasi yang diulang-ulang

Kisah Melayu malas adalah falasi yang diulang-ulang sejak zaman penjajahan lagi. Hingga kini Melayu sendiri sudah selesa dan mengakui bahawa ‘Melayu memang malas’.Datuk saya, ayah saya Melayu. Datuk saya berbendang, ayah saya menoreh getah. Setiap hari mereka tidak pernah culas untuk turun ke sawah atau ke kebun getah. Ayah saya bangun untuk menoreh getah seawal pagi dengan lampu suluh di dahi. Apakah datuk dan ayah saya ini pemalas. Mereka tetap orang melayu miskin yang tidak lupa mengerjakan solat lima waktu, puasa, berzakat dan menunaikan haji.

Waktu itu tahun 50-an dan 60-an. Sesekali saya yang masih kecil mengikut ayah saya berurusan di bandar. Kadang-kadang ke pejabat kerajaan, kadang-kadang ke hospital. Pegawai-pegawainya masih berorientasikan barat. Pegawai Melayu amat sedikit. Kalau adapun cuma peon dan kerani rendah sahaja. Mereka semuanya bercakap orang putih. Seringkali saya melihat ayah saya dilayan dengan kasar dan diherdek. Maklumlah kami orang kampung.

Semasa bersekolah Menengah kebanyakan guru-guru saya masih terdiri daripada pelbagai bangsa. Guru Melayu masih kurang. Falasi Melayu malas sering berkumandang di telinga saya. Sehinggalah guru-guru Melayu lepasan Kerby datang mengajar. Dari mulut mereka juga masih kedengaran tentang metos Melayu malas ini. Bukan itu sahaja Melayu juga dikaitkan dengan ‘tidak pandai’ (bukan bodoh) kerana bawa bekal berlaukkan ikan kering sahaja.

Rupa-rupa selepas lebih 50 tahun merdeka pun falasi ‘Melayu Malas’ dan ‘Melayu Tidak Pandai’, ini terus berkumandang. Malah kini dikaitkan dengan “Melayu Rasuah’, ‘Melayu Dadah’, ‘Melayu Fitnah’ dan macam-macam lagilah tentang Melayu yang tidak enak didengar. Betullah teori falasi yang pernah disampaikan oleh seorang guru motivasi kepada saya beberapa tahun lalu. Beliau memberikan contoh bagaimana seorang tua bernama Pak Mat ditipu oleh beberapa orang pemuda dengan menggunakan kaedah ini. Pada suatu hari Pak Mat membawa seekor lembunya ke pasar untuk dijual. Kebetulan empat orang pemuda telah merancang untuk menipu Pak Mat.

Dalam perjalanan Pak Mat ke pasar, pemuda pertama lebih dulu menunggu Pak Mat di tepi jalan sambil menegur Pak Mat:

‘ Pak Mat bawa anjing tu nak ke mana?’

Mendengar kata-kata pemuda itu Pak Mat menjadi marah dan menyatakan, ‘Buta ke! Inikan lembu saya. Saya nak ke pasar nak jual!’.

Tak berapa lama kemudian jumpa pula pemuda kedua, begitu juga pemuda itu menegur Pak Mat, ‘ Anjing Pak Mat tu kurus sangatlah, beri saya ajale!’

Kali ini Pak Mat sudah mula terfikir. Sudah dua orang menyatakan bahawa apa yang dibawanya adalah seekor anjing. Tapi dia masih bertahan dengan fikirannya.

Hinggalah bila dia berjumpa dengan pemuda ketiga, pemuda itu juga menegur hal yang sama, ‘ Ke mana Pak Mat nak bawa anjing kurus ni?’

Sudah tiga orang bercakap hal yang sama. Pak Mat jadi keliru. Bila dia bertemu dengan pemuda yang keempat, dia akhirnya terus percaya bahawa lembu yang dibawanya itu adalah seekor anjing yang tidak berguna. Akhirnya Pak Mat telah menyerahkan lembu yang disangka anjing itu kepada pemuda keempat itu.

Inilah falasi-falasi yang sudah lama menghantui kita.