Rabu, 24 Maret 2010

Abang Saya Seorang Polis Biasa.

(Sempena Sambutan Hari Polis ke-203)

Sejak dulu kita bersikap bias terhadap tugas polis. Apa-apa sahaja yang dikaitkan dengan polis kita lebih dahulu mengaitkannya rasuah. Mengapa ‘rasuah’ dekat benar dengan tugas polis. Ini kerana kerja mereka sendiri begitu terdedah dengan rasuah.

Begitulah bila Abang saya juga seorang polis, saya menjadi cemas dan ragu. Apakah abang saya juga tidak terlepas dari gejala ini. Sejak kecil saya tahu benar tentang kenakalan abang saya itu. Dialah yang paling banyak kena pukul kerana kenakalannya. Memang ayah mendidik kami dengan keras. Kebetulan abang saya bukan jenis anak yang berjaya dalam pelajarannya, meskipun dia cerdas orangnya. Selepas PMR/LCE dia terus bekerja. Macam-macam pekerjaan dicubanya. Akhirnya dia menjadi polis hutan. Dari polis hutan dia bertukar menjadi polis biasa dan ditempatkan di sebuah balai Polis di tengah bandaraya.

Sebagai adik saya sering bertandang ke rumahnya. Melihat keadaan dirinya dan keluarganya, saya berpendapat abang saya ini bukanlah dari jenis polis yang mudah untuk terlibat dengan rasuah. Abang saya hidup dalam keadaan sederhana dengan empat anaknya. Isterinya mengajar mengaji, membantu menjaga anak-anak jiran dan mengambil upah membuat kerja-kerja dari kilang di rumah. Bila dia bersara, wang persaraanya itu hanya cukup-cukup buat mereka suami isteri mengerjakan haji. Mereka sendiri kini tinggal bersama anak sulungnya. Abang saya memang tidak ada wang untuk membeli rumah sendiri. Sebagai polis biasa, berapa banyak sangatlah wang persaraan yang diperolehinya itu. Tapi saya melihat abang saya itu sentiasa bahagia. Dikurniai empat orang anak yang semua berjaya.

Abang saya ini jenis orang yang tidak banyak bercakap, tapi suka membantu sesiapa sahaja. Banyak kenalannya terdiri daripada orang-orang yang pernah dibantunya, tanpa apa-apa ganjaran. Pernah suatu ketika abang saya berjaya menumpaskan dua orang perompak, sehingga ramai di kalangan temannya datang untuk menuntut ilmu. Dia sendiri dengan rendah hati menyatakan bahawa, ilmunya itu hanyalah satu, sama ada dia yang tumpas atau perompak itu.(Tapi saya sendiri tahu dia pernah menuntut ilmu dari Pak Ngah saya). Kebetulan ketika itu anggota polis tidak dibenarkan membawa senjata.

Semasa bertugas pula dia sentiasa bertugas dengan jujur. Kerana kejujurannya itu menyebabkan pegawai atasan kadang-kadang sukar untuk menerimanya. Akhirnya dia ditugaskan untuk bekerja di balai sahaja, iaitu menjaga stok senjata sahaja. Hinggalah abang saya bersara wajib.

Saya mengenali abang saya ini kerana umur kami berdua tidak jauh berbeza. Sejak kecil pun kami sering bermain bersama. Bila remaja juga saya sering dibawanya berjumpa dengan teman-temannya dan juga keluarga angkatnya. Pernah suatu ketika dia mengajak saya ke rumah ibu angkatnya di bandar. Saya begitu terharu dan terperanjat kerana ibu angkatnya hanya tinggal menyewa di garaj sebuah keluarga Cina.. Saya tahu dia kenal baik dengan anak ibu angkatnya itu. Mungkin mereka bercinta.

Setelah abang saya bekerja sebagai polis, atuk saya terus menikahkan abang saya dengan isterinya sekarang, seorang janda beranak satu yang ditinggalkan suami. Abang saya bukan jenis orang yang menentang, dia nampaknya akur dengan pilihan atuk kami itu. Pada hal saya tahu dia sudah ada pilihan hatinya sendiri. Ternyata pula jodoh mereka berkekalan hingga kini.

Begitulah, abang saya tetap seorang hero bagi saya. Dia pekerja yang jujur, yang merendah diri dan tidak suka menyakiti hati orang lain. Dia ialah tokoh yang tidak didendangkan. Jauh sekali untuk diberi pingat, apa lagi gelaran ‘Datuk’.

Senin, 22 Maret 2010

Diam Perlu Perkasa Mentafsir Fikir

Begitulah,
diam perlukan perkasa mentafsir fikir
curang sering bertembung curiga
antara helah terbaik dengan kejahatan terbaik
hukum lebih percaya pada penjara

Bagaimana harus membimbit seraga luka
melihat benar berkaca dusta
melihat terang dengan mata terpejam
Siapakah berada pada waktu yang melaju
sehingga diri ditusuk panah seteru
kesal pun menunda-nunda
bergilir menghidu bebal malu

Tentu ada yang kesenjangan
mencarik-carik baju keheningan
mencari batas siang dan malam

Shapiai Muhammad Ramly
Seri Wangsa, Batu Pahat.
(Mingguan Malaysia, 14 Mac 2010)

Kamis, 18 Maret 2010

Untuk Anak-anakku

Memang benarlah apa yang dikatakan bahwa anak-anak adalah ujian bagi kita selain daripada harta benda dan kekayaan.

Sebagai bapa sudah tentu kita berasa bahagia bila anak-anak sudah membesar dan berjaya dalam hidup mereka. Kalau nak diukur dari segi kejayaan dalam pelajaran. Kawan saya pernah berkata, anak-anak yang berjaya dalam pelajaran belum tentu membahagiakan kedua ibu bapa mereka.

Begitulah saya telah menyerahkan keenam-enam anak saya kepada kehidupan di luar rumah tangga kami. Dua daripada mereka telah pun bekeluarga dan membina hidup mereka sendiri. Kini bakal menyusul dua lagi anak lelaki saya. Seorang bakal bertemu jodoh dengan orang Kelantan, seorang lagi orang Terangganu.

Lalu minggu ini sibuklah saya dan isteri menguruskan masa depan mereka itu. Dengan harapan agar jodoh mereka akan berkekalan. Bukan setakat itu sahaja, kami sebagai ibu bapa juga sentiasa mendoakan mereka akan bahagia dan dapat menghadapi segala dugaan pasangan yang baru menempuh alam rumah tangga.

Sebagai bapa saya begitu risau apabila melihat begitu banyak perkahwinan yang berantakan dan biasanya berakhir dengan penceraian. Terfikir di hati, apa kah yang mereka cari dalam kehidupan ini? Kebahagiaan yang bagaimana? Cukupkah mereka bersedia? Pada hal sebelum mendirikan rumah tangga mereka sudah melalui proses kerusus.

Pada saya mereka sebenarnya tidak begitu faham tentang erti berkeluarga. Erti tanggungjawab suami dan isteri. Mereka menganggap perkahwinan cuma untuk melampiaskan rasa cinta sahaja. Seharusnya mereka berfikir bahawa berumah tangga itu adalah suatu kewajipan ummah, untuk melahirkan umat Islam yang benar-benar kuat. Kawinlah dan lahirkan lebih ramai anak-anak yang benar-benar menjiwai Islam. Kita perlukan orang Islam yang kuat dari segi mental dan fizikal. Bukan anak-anak yang bakal menyusahkan masyarakat, yang sentiasa menaburkan fitnah, melebihkan hiburan, mudah terpengaruh dengan budaya luar yang tidak sihat dan juga mudah terpengaruh dengan budaya rasuah semata-mata untuk mengejar kekayaan. Oleh itu kita sebagai ibu bapa mestilah cukup bersedia.

Batu-bata rumah tangga perlulah dibina daripada asas ketakwaan yang kukuh. Tiang-tiangnya daripada tiang rukun Islam, Rukun Iman dan Rukun Ikhsan. Perlu ada jendela yang sentiasa terbuka kepada dunia muhasabah diri. Perlu halaman mental yang luas dan terbuka kepada usaha merubah diri. Perlu atap kesabaran yang teruji. Perlu mengenal jiran keinsafan. Perlu kamar kerukunan yang sentiasa diisi dengan bacaan buku pegangan, iaitu Al-Quran.

Sabtu, 13 Maret 2010

Bola dan Politik

Sesekali menonton bola, saya dapat mempelajari beberapa perkara. Saya tidaklah pandai untuk menikmati keindahan permainan itu, terutama bila ada jaringan-jaringan yang dikatakan cantik.

Rupanya permaianan bola juga sama seperti berpolitik. Contohnya, bila bola berada di kaki musuh, apakah yang perlu dilakukan oleh pihak lawannya. Sudah tentulah cuba mengejar bola dan sekali gus pemain pertahanan akan berwaspada kepada siapakah bola itu akan dihantar. Dalam setiap perlawanan, saya dapati kelemahan pasukan yang kalah adalah kerana tidak dapat membaca ke manakah bola itu akan berada. Seharusnya bila bola berada di pihak lawan, kita sepatutnya menjaga setiap pemain yang lain. Begitu jugalah bila bola berada di pihak kita, seharusnya semua pemain akan cuba melepaskan diri dari pihak lawannya. Bagaimana hendak lari daripada pihak lawan itulah yang paling sukar nampaknya.

Begitu jugalah dalam berpolitik. Bola umpama isu yang penting. Bila ada sesuatu isu, sepatutnya setiap ahli dalam politik itu mesti tahu bagaimana hendak membawa isu itu dan kepada siapa isu itu hendak di hantar. Dalam hal ini semua ahli dalam politik adalah pemain. Kalau ada salah seorang pemain yang belot, dengan merembat ke gol sendiri, maka sudah tentulah pihak musuh akan bersorak.

Apa lagi jika bermain di tempat lawan. Sudah tentu penonton yang diimport juga tidak berpihak kepada kita. Ada juga kemungkinan para pemain dalam pasukan itu diberi rasuah. Rupanya bola dan politik tidak jauh bezanya.

Bagaimana agaknya bila bola dikaitkan dengan puisi?

Selasa, 09 Maret 2010

Bicara Hujung Benua


Persatuan Penulis dan Kebajikan Negeri Selangor (KEMUDI) yang terdiri daripada ahli-ahlinya seramai 40 orang telah membuat lawatan kunjungan ke Johor pada 6-7 Mac yang lalu. Kedatangan mereka ini sebagai kunjungan balas lawatan PPJ ke Selangor pada tahun lepas.

Sempena pertemuan PPJ-KEMUDI itu telah diadakan majlis pengucapan puisi ‘Hujung Benua’ dan juga sesi dialog. Semasa mengelu-elukan kedatangan KEMUDI , Sdr. Amiruddin Ali Hanafiah, Ketua Satu PPJ menyatakan bahawa pertemuan seumpama ini seharusnya dapat membuahkan sesuatu yang bermanfaat kepada perkembangan sastera dan bahasa bagi kedua-dua pihak, khususnya bagi perkembangan sastera tanah air. . Memang benarlah, dalam dialog yang hangat sesekali diselangi jenaka itu ada nada-nada yang masih sinis terhadap beberapa perkembangan yang menimpa nasib bangsa, bahasa dan sastera Melayu. Kehilangan ‘Batu Putih’ masih menjadi isu, kerana kebanyakan peserta dialog merasakan kita seharusnya jangan lagi dihadapkan dengan kehilangan-kehilangan lain seperti kehilangan bahasa dan budaya. Pandangan Dr. Ibrahim Ghafar dan Khalid Salleh begitu jelas terhadap isu tersebut. Sebagai penulis kita harus menjalankan peranan kita. Kita bukan menentang, tetapi tugas kita sentiasa mengingatkan agar kita semua jangan lalai.

Sesungguhnya pertemuan dua hari di Tanjung Piai Resort, hujung benua itu telah mencetuskan inspirasi ‘sedar-budaya’ kepada penulis-penulis Johor- Selangor, untuk terus berperanan secara aktif dan kreatif ketika menyentuh sesuatu isu yang melibatkan kepentingan bersama.

Malam pengucapan puisi ‘Hujung Benua’ pula diisikan dengan bacaan sajak oleh beberapa orang penulis PPJ dan KEMUDI seperti Rosli Bakir, Zulkifli Jamadar, Khalid Salleh, Ria Asmira, Amiruddin Ali , Yahya Suib, Sulaiman Md. Nor, Hamzah Hamdan, Nurzihan Md. Jan, Abu Hassan Ashari, Mohd. Khair Ahmad, Ismail Supandi dan Mahwa Mohamad. Lain-lain penulis KEMUDI yang turut hadir termasuklah Kasajiza A.S dan Hamisal

Apabila Datuk Dr. Hassan Ahmad Mengulas tentang Kegagalan Politik Demokrasi.

Melalui ruangan ‘Kaca di jendela ‘ (Dewan Masyarakat Mac 2010) Datuk Hassan Ahmad secara tidak berselindung lagi telah menyentuh tentang kegagalan politik demokrasi yang di amalkan di Malaysia. Bagi Datuk Hassan, sebagai Khalifah Allah, manusia ialah pemimpin, bukan hanya sebagai pemerintah. Untuk menjadi pemimpin manusia itu terlebih dahulu harus memimpin dirinya dahulu sebelum dia layak memimpin orang lain atau rakyat di sesebuah negeri atau negara. Pemimpin seharusnya menjadi ‘payung’ yang memayungi dan melindungi rakyat, memimpin secara adil, amanah,jujur, bersih dan beriman yakni taat dan takut kepada Allah untuk melakukan dosa dan kesalahan.
Merujuk kepada pandangan beliau ini, apakah kita cukup kenal siapakah pemimpin kita? Apakah kita berada di bawah ‘payung’ yang selamat. Mungkin ada sesetengah daripada kita sahaja yang mendapat keistemewaan berada di bawah ‘payung’ hikmat itu. Salahnya kerana kita sendiri silap dalam menterjemahkan konsep demokrasi itu. Mengikut tradisi demokrasi, kerajaan yang dilantik oleh parti yang mendapat sokongan majoriti rakyat dalam pilihan raya, sepatutnya dasarnya tidak memihak kepada pengundi yang menyokongnya sahaja. Biasanya kita dapati alamalan di Malaysia, kawasan pengundi yang tidak menyokong parti pemerintah tidak akan diberi layanan yang sama dengan layanan yang diberikan kepad kawasan yang mengundi parti yang memerintah.
Tradisi ini sebenarnya menyalahi konsep moral tentang tanggungjawab pemerintah. Konsep Melayu-Islam juga sudah jelas tentang apa yang dikatakan keadilan itu. Melalui kiasan atau metafora yang cukup jelas konsep kepimpinan itu diumpamakan sebagai ‘Raja itu seumpama pohon, rakyat itu umpama akar. Pohon tiada akan berdiri jikalau tiada akar’. Lihat juga konsep,’ Raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah’. Bagi Datuk Hassan konsep yang cantik dalam kepimpinan Melayu ini, yang jarang-jarang terdapat dalam pemikiran budaya bukan Melayu-Islam.
Sebab itulah, masalah negara dan rakyat tidak boleh diselesaikan melalui slogan, tetapi hendaklah ditangani melalui dasar negara yang diluluskan oleh Parlimen dan yang dapat disaksikan dengan nyata oleh rakyat. Orang yang yang melaksanakan dasar negara itu hendaklah terdiri daripada mereka yang berilmu, amanah, jujur, bersih dan bermoral tinggi.
Hal ini hanya boleh berlaku jika negara ini mempunyai pemimpin yang tedidik melalui konsep raja (di sini bermaksud kerajaan) yang seumpama pohon, rakyat itu umpama akar. Pohon tiada akan berdiri jikalau tiada akar.

Kamis, 04 Maret 2010

Sajak-sajak 1 Malaysia.

Royalti

Tiba-tiba isteriku minta royalti
Katanya selama ini yang kuberi hanya wang ehsan.

Kisah Lompat Parti

Seekor katak melompat
Dan berkata, ‘Demi agama, bangsa dan Negara!’

PTPTN

Kita masuk universiti
Untuk belajar berhutang
Keluar nanti
Untuk menangggung hutang.

Tol

Lebuh raya hidup penuh tol
Kahwin pun kena tol
Kita ini semua tol…….lol

Bahasa

I dan you bahasa Melayu
Gua dan lu bahasa Melayu
Saya dan kamu bahasa Malaysia.

Budaya

Hari ini,
Bukan budaya kami berarak di jalan raya
Dan selamanya,
Jalan raya jem kerana kita kaya.

Politik

Hari ini kata lain
Esok kata lain
Lusa dan lain-lain.

Senin, 01 Maret 2010

Papan Kemajuan


Mohd. Affandi Hassan pernah menghasilkan Cerpen Panjang (Cerpan) yang berjudul ‘Papan Kemajuan’ (Cerpan/cerpen ini pernah ditolak oleh jemaah hakim Peraduan Cerpen GAPENA pada tahun 80-an kerana dikatakan mempunyai unsur-unsur negetif.). Cerpen ini kemudiannya diterbitkan oleh Majalah Sarina (Mac 1984) dalam bentuk siri sisipan tambahan.

Mohd Affandi Hassan juga pernah menghasilkan novel satira ‘Aligupit’, sebenarnya secara sinis menyentuh tentang apa yang dikatakan ‘kemajuan’ yang kita nikmati setelah negara mencapai kemerdekaan. Berkat Ketua Parti yang bijak, semua orang kampung menjadi pandai dan luas pengetahuannya kerana ‘Papan Kemajuan’ itu memaparkan semua projek-projek kerajaan. Orang-orang kampung berasa megah, kerana merasa beruntung mendiami negara kaya di bawah pemimpin yang berani berbelanja besar untuk membina ‘Papan Kemajuan’ itu.

Orang yang paling tahu tentang papan kemajuan itu ialah Pak Leh. Sudah menjadi tabiatnya berpuluh-puluh tahun, sejak dia muda lagi untuk menjenguk memanjangkan lehernya melihat ‘Papan Kemajuan’ itu. Dia sanggup berlama-lama, berdiri di tengah panas atau hujan untuk memastikan dia melihat semua yang terlukis dan tertampal di papan itu. Biar dia tetap miskin, tetapi dengan melihat kemajuan di papan tanda itu semacam memberi kenikmatan kepadanya.

Hinggalah ‘Papan Kemajuan’ ditukar kepada papan yang baru berbentuk digital, yang moden. Perasmiannya dibuat secara besar-besaran oleh YB Menteri. Gambar-gambar di papan kemajuan akan sentiasa berubah dan bertukar setiap minit. Orang-orang kampung semakin kagum.

Inilah tanda kemajuan di negara kita, kata Menteri.