Kamis, 29 Desember 2011

Kebahagiaan

Ramai yang tertipu dengan kebahagiaan ‘pelangi’. Kebahagiaan pelangi ialah kebahagian sementara, kerana berlakunya fenomena hidup yang kita kecapi selepas hujan. Fenomena hujan dan cahaya mataharilah yang memungkinkan adanya pelangi. Seperti yang kita ketahui pelangi itu hanya bersifat sementara. Begitulah kebahagiaan sentiasa menjadi cahaya bagi kita manusia kelkatu. Siapa yang tidak mahu bahagia? Semua manusia yang hidup sudah tentu akan mengejar kebahagiaan. Malah kebahagiaan seseornag itu diterjemahkan mengikut kehendak dan pemikirannya sendiri. Ada yang berasa bahagia bila banyak wang. Ada yang berasa bahagia mempunyai rumah besar, mempunyai pendapatan yang cukup, mempunya beberapa orang anak dan sesekali dapat melancong. Ada pula yang meletakkan nikmat bahagia itu pada pangkat dan kuasa. Malah ada orang berasa bahagia atas penderitaan orang lain.
Kebahagiaan sebenar ialah kebahagiaan akhirat. Kita melihat betapa ramai yang menderita di dunia. Mungkin kerana peperangan, kerana akibat gempa bumi, banjir dan malapetaka alam. Apakah mereka yang ditimpa musibah ini tidak bahagia? Begitu juga dengan manusia yang dianiaya, dibunuh, diseksa dan dizalimi. Jelas kelihatan pada mata kasar mereka tidak akan beroleh kebahagiaan di dunia ini. Jadi apakah makna ‘kebahagiaan’ bagi mereka itu?
Ada pula yang kelihatan hidup senang, mewah, ke sana-sini di sambut dan diraikan. Ada pembantu, ada saja yang akan menolong jika dia mengalami kesusahan. Apakah insan itu boleh dikatakan sudah mencapai tahap ‘kebahagiaan’? Mungkin saja tidak. Betapa ramai mereka yang hidup mewah, terkenal, semuanya cukup tiba-tiba membunuh diri.
Begitulah Islam mengajar kita tentang apa itu bahagia. Kebahagiaan itu bila kita dapat menghayati sepenuhnya ajaran Islam. Dapat menjadi insan yang takwa, yang menyerahkan bulat-bulat nasib kita kepada Allah-Azzawajalla. Percaya bahawa dunia ini hanyalah sementara, akhirat jugalah yang kekal. Percaya qada’ dan qadar. Sentiasa mengasah iman, sentiasa beramal kerana kasihkan Allah. Itulah kebahagiaan yang sebenar.

Minggu, 11 Desember 2011

Melayu

Seorang teman saya berkali-kali menyatakan bahawa ‘Melayu’ akan rugi jika UMNO atau BN kalah dalam pilihan raya kali ini. Begitulah, saya kira ramai orang Melayu yang akan berasa gerun jika pembangkang memenangi pilihan raya. Mereka sering merujuk Pulau Pinang yang dikuasai DAP kerana DAP adalah parti orang-orang Cina. Sebelum ini Pulau Pinang di kuasai Gerakan,juga adalah parti orang Cina tetapi orang Melayu tidak berasa khuatir kerana Gerakan adalah rakan UMNO dalam Barisan.
Saya tidak berhajat untuk menjejerkan keburukan yang sering dilaungkan terhadap kerajaan Pulau Pinang itu yang dikatakan tidak menyebelahi Melayu. Orang Melayu semakin terpinggir di Pulau Pinang. Malah ada yang berkata Pulau Pinang akan jadi Singgapura kedua.
Persoalannya benarkah Melayu akan terbela di tangan Melayu sendiri? Kita melihat bagaimana survival orang Melayu sejak merdeka terutama dalam perjuangan untuk membaiki tabung ekonomi dan juga kecemerlangan dalam pendidikan. Memang ada usaha kerajaan untuk membantu bumiputera Melayu, tetapi peratusnya masih di bawah 30%. Hakikatnya Melayu masih ketinggalan. Tanah-tanah orang Melayu semakin banyak terjual, perniagaan orang-orang Melayu banyak yang kecundang dan gulung tikar. Lihat sahaja bangunan-bangunan perniagaan, berapa banyakkah bangunan perniagaan orang Melayu?
Melayu juga kalah dalam pendidikan. Anak-anak Melayu ramai yang tercicir. Mereka juga tidak mendapat pekerjaan yang baik. Kalau di kilang hanya menjadi buruh sahaja. Jadi ramailah yang mengganggur. Ramailah yang terlibat dalam gejala sosial. Sebab itu lebih ramai nak-anak Melayu yang terlibat dalam gejala penagihan dadah, merempit, meragut dan mencuri. Anak-anak Melayu juga sering dikaitkan dengan dunia hiburan dan melepak.
Orang Melayu hanya terselamat kerana masih memegang tampuk pemerintah. Mereka juga banyak memegang pelbagai jawatan dalam perkhidmatan awam. Daripada Pengarah, Pegawai Kanan dan penjawat awam sampailah kepada jawatan sekecil-kecilnya adalah terdiri daripada orang Melayu. Mereka inilah yang masih kelihatan tinggal di rumah-rumah mewah dan sederhana. Selain itu, terdapat juga sebilangan orang Melayu yang mendapat habuan kerana projek-projek kerajaan yang banyak memberikan keutamaan kepada kontrekter Melayu. Mereka inilah yang berasa bahawa jika UMNO kalah peluang-peluang ini lambat laun akan terhakis daripada ribaan orang Melayu. Sedangkan sekarang ini pun, baik MCA, Gerakan dan DAP tidak henti-henti mendesak kerajaan agar terus membuka peluang yang selama ini hanya diberikan kepada orang Melayu.
Kesilapan kita kerana terlalu ‘melayu’. Kita harus bijaksana dalam menghuraikan siapakah ‘melayu’ dalam sebuah negara pelbagai kaum. Melayu bukan sebagai salah satu unit kaum di negara ini. Melayu mempunyai sejarah pemunya/pemilik kepada tanah yang dulu dikenali sebagai Tanah Melayu. Melayu bukanlah pendatang. Kita bukan pendatang dari Indonesia, seperti Cina yang datang dari negara Cina dan India pendatang dari negara India. Ketika Indonesia, termasuk Jawa dan Sumatera ada pemerintah sebelum kuasa barat mengganas, Tanah Melayu juga sudah ada kerajaan seperti di Melaka, Johor, Pahang, Perak, Kedah, Kelantan, terangganu dan Patani. Kita kaum Melayu seperti kaum Ansar di Madinah yang merelakan kaum muhajirin dari Makah untuk sama-sama membangun Madinah. Begitulah kita berharap orang Cina dan India akan sama-sama membangun Malaysia. Malangnya muhajirin di Madinah adalah orang-orang Islam, sedangkan muhajirin di Malaysia adalah orang Cina dan India yang masih kuat berpegang kepada fikir dan budaya asal mereka.
Sudah seharusnya Melayu ini menjadi teras dalam semua kehidupan baru di Malaysia. Kita sanggup membuang Tanah Melayu lalu menggantikannya dengan Malaysia. Banyak yang berkaitan ‘Melayu’ telah dipadam untuk memberi kesan kesepakatan kepada kaum-kaum lain. Hingga hak-hak bumiputera juga akhirnya hanya tinggal nama. Melayu seperti tidak punya hak lagi di bumi sendiri. Apakah kerana selama ini Melayu terlalu pemurah. Melayu terlalu bertolak ansur.

Rabu, 07 Desember 2011

Bangsa Malaysia

Nampaknya kita masih terkurung dalam kandang ras. Orang Melayu sendiri masih bercakap tentang Melayu. Jagalah kepentingan Melayu. Jangan jual Melayu. Jangan gadai Melayu. Hal ini jelas dalam perhimpunan UMNO baru-baru ini. Suara-surara orang Melayu jelas memperkatakan tentang bahawa orang Melayu ‘akan’ tidak dapat dibela jika UMNO kalah.
Saya kira begitu juga dengan kaum lain seperti Cina dan India. Mereka juga akan bercakap tentang kepentingan kaum masing-masing. Nampaknya tidak ada yang cuba bercakap tentang kita sebagai satu bangsa Malaysia.
Cukuplah selama lebih 50 tahun kita membina tembok prasangka perkauman. Tidak bolehkah kita berhenti bercakap tentang satu-satu kaum sahaja. Dalam ucapan pemimpin pun kita dapati mereka tidak lepas daripada bercakap tentang ‘kaum’ mereka sahaja. Sampai bila kita boleh mewujudkan suatu bangsa harmoni, iaitu bangsa Malaysia.
Sebagai suatu bangsa, kita perlukan satu identiti atau jati diri. Sebagai satu bangsa kita perlukan satu budaya. Dalam hal ini pengenalan pada sesuatu kaum haruslah jangan ditonjolkan. Kita boleh menyerapkan mana-mana budaya kaum lain yang sesuai untuk dijadikan budaya Malaysia. Bila kita mempersembahkannya ke dunia luar mereka tidak mengaitkan budaya itu dengan budaya Indonesia, budaya Cina dan budaya India. Untuk itu kita harus mencipta satu budaya tersendiri.
Orang Melayu sendiri jangan asyik-asyik melihat ke Indonesia. Sudah banyak kali kita dimalukan dengan pernyatan bahawa kita sebagai ‘maling’ yang mencuri budaya mereka dan mengaku sebagai budaya Malaysia. Apa kata kita sesuaikan budaya Cina dan India yang telah lama berada di sini dan digubah menjadi satu budaya kita sendiri. Kita juga boleh mengangkat mana-mana budaya suku kaum yang banyak di Sabah dan Sarawak yang sesuai untuk dijadikan teras kepada budaya malaysia. Sudah tentu kita mempunyai pakar budaya kita sendiri.
Kita tidak mahu juga mengambil budaya Cina secara bulat-bulat kerana jika kita persembahkan kepada dunia luar, sudah tentu mereka akan merujuknya kepada budaya negara Cina atau Taiwan. Begitu juga dengan budaya India. Lima puluh tahun adalah suatu jangka masa yang lama yang sudah seharusnya daripada percampuran ini kita sudah ada satu jati diri tentang budaya Malaysia. Mengapa kita tidak mahu menciptanya?

Selasa, 06 Desember 2011

Berilah Anak-anak Makanan yang Halal

Khutbah minggu ini di masjid Kampung Parit Besar, Batu Pahat ialah tentang anak sebagai amanah Allah kepada kita. Dalam khutbah tersebut memberi penekanan tentang pemakanan anak-anak semasa kecil.Berilah mereka makanan daripada pendapatan yang halal. Makanan haram bukan sahaja kerana makanan itu terdiri daripada benda-benda haram seperti daging haram khinzir, daging yang tidak disembelih tetapi juga bagaimana punca makanan itu diperolehi.
Jika dilihat situsi sekarang ini kenapa begitu banyak masalah yang dikaitkan dengan remaja Melayu. Mereka adalah hasil kesilapan ibu bapa. Sudah tentu salah satunya berpunca daripada punca makanan hasil daripada pendapatan haram seperti rasuah, tidak amanah dan penipuan. Memang orang Melayu begitu berhati-hati dengan benda atau maknan haram yang berpunca daripada khinzir atau babi, tetapi mereka lupa makanan halal yang mereka berikan kepada anak-anak jika didapati secara rasuah, riba’ , pecah amanah dan penipuan juga akan memberi kesan kepada perkembangan rohani anak-anak. Sebab itulah statistik jenayah dan salah laku moral sering dikaitkan dengan remaja Melayu. Padahal kita juga tahu orang-orang bukan Islam bukan mengira sangat tentang halal-haram pada makanan mereka. Tetapi sekurang-kurangnya mereka lebih jujur jika berkhidmat, menepati masa, bersungguh-sungguh dalam bekerja.

Rabu, 30 November 2011

Surat Keberuntungan

Adakah surat keberuntungan hari ini?
yang dibawa posmen ketidakpastian
dari ribaan Ilahi

Ketika menyirat benang-benang tahlil
di rumah takwa
ketika menegakkan saf-saf subuh
di menara insaf
memeriksa pohon ibadah
di ladang pahala
ketika itulah singa skeptikal
melompat keluar
dari kurungan sabar
mempersoalkan amal maaruf
nahi mungkar.

Setiap hari engkau tertunggu-tunggu
surat keberuntungan
yang datang hanya bil-bil obsesi
dan amaran tunggakan dosa

Terlalu banyak amal tertangguh
dek kesibukan mengatur domino duniawi

Adakah surat keberuntungan hari ini?
yang dibawa malaikat rahmat
atau surat jemputan malaikat maut.


26 Oktober 2011.
Tersiar di MM: 20 November 2011.

Minggu, 27 November 2011

Hijrah

Hijrah adalah perjalanan panjang seorang mukmin menuju akhirat. Semangat hijrah adalah perubahan. Kita mesti berhijrah untuk berubah. Nabi Muhammad saw berhijrah dari Mekkah ke Madinah telah membuka suatu era baru yang bermakna dalam misinya menyebarkan agama Islam hingga ke seluruh dunia Arab, Parsi dan Rom dan juga sebahagian Eropah.
Betapa hijrah mampu mengubah sejarah. Islam bangkit menggalahkan keboborakan. Islam menjadi penerang sepanjang jalan kebenaran. Islam terus diterima kerana kebenarannya.
Bagaimanakah sinar Islam di negara ini yang sejak dulu telah dinobatkan sebagai sebuah negara Islam? Benarkah kemajuan yang kita capai atas kesedaran Islam yang membudaya dalam jiwa kita umat Melayu. Selepas kejatuhan Empayar Islam Melayu Melaka, kita terus dibungkus dengan kemunduran. Hinggalah datang kuasa Inggeris yang menjajah. Mereka jugalah yang memperkenalkan ‘kemajuan’ (dunia) kepada kita. Serentak dengan perubahan di Eropah bilamana mereka berjaya dengan revolusi industri, mereka telah memanipulasinya ke negara-negara lemah di seluruh dunia, termasuklah negara kita.
Kita pun mulalah mengenal kemajuan. Kita mengenal jalan raya ke arah meterialisme. Kilang-kilang tumbuh melata. Kita pun menjadi manusia kebendaan. Sedikit demi sedikit kita semakin jauh daripada roh Islam. Bila kita merdeka, kita hanya merdeka fizikal tanpa kemerdekaan rohani. Penjajah berjaya memisahkan agama dengan kemajuan. Sebab itulah masyarakat kita semakin teruk dilanda gejala sosial. Kita maju tapi kita mundur. Kita maju dari segi kebendaan, tetapi miskin fikiran, miskin perasaan, miskin moral dan mundur ethika.
Sempena hijrah tahun 1433 ini, eloklah kita berhijrah memperbaiki sikap kita dalam beragama.

Rabu, 09 November 2011

Benar dan Batil.

Sekarang ini kita sudah keliru dengan apa yang dikatakan ‘benar’ dan apa yang dikatakan ‘batil’. Meskipun kebenaran dan kebatilan itu sudah jelas, malah dalam al-Quran dan sunnah juga sudah jelas yang mana benar dan batil, tetapi ada juga kekeliruan timbul bila minda kita sering diasak dengan sesuatu isu sehingga kita sanggup mengenepikan ‘kebenaran’.
Lebih-lebih lagi bila kita berfikir secara ‘Melayu’. Untuk kepentingan Melayu kita ada ketikanya terpaksa menolak ‘kebenaran’. Untuk kepentingan ‘Melayu’ kebatilan sudah menjadi kebenaran. Di sinilah politik mengambil tempatnya.
Dalam politik semua perkara yang datang daripada seteru mereka adalah tidak benar. Kebenaran hanyalah bagi pihak mereka sahaja. Tidak kira parti politik mana, bagi mereka, mereka sahaja yang betul. Begitulah dengan politik Melayu yang satu ini. Asal namanya ‘Melayu’ semuanya benar belaka.
Islam memang agama benar. Memang tidak boleh dinafikan lagi. Tetapi orang-orang Islam tidak semuanya benar. Begitu juga orang Melayu kebanyakannya beragama Islam. Tetapi orang Melayu beragama Islam tidak semuanya benar. Samalah denan kenyataan tidak semua orang Melayu baik. Ramai juga orang Melayu yang nama sahaja Islam tetapi tidak solat, tidak puasa, tidak berzakat malah ada yang tidak beriman. Tapi jangan dikata kepada mereka ini yang mereka ‘kafir’ atau ‘tidak Islam’, mereka akan melenting. Malah jangan ada pihak-pihak lain yang memperlekeh Islam, mereka ini sanggup mati mempertahankan Islam (harap begitulah).
Sebagai contoh bila isu ‘Seksualiti Merdeka’ dihangatkan oleh media, ramailah orang Melayu yang sanggup berkumpul untuk mengutuk program tersebut. Mereka sendiri nampaknya tidak tahu apakah sebenarnya ‘seksualiti merdeka’ itu. Pada mereka seksualiti merdeka itu menganjurkan pesta bebas lesbian, gay dan seks bebas. Lebih-lebih lagi personaliti yang terkenal dengan ‘Bersih’ akan datang merasmikan program tersebut, riuhlah mereka. Hingga berpuluh-puluh laporan polis dibuat. Polis pun terpaksa bertindak menghentikan program tersebut.
Maka tampillah pula beberapa orang individu yang mempertahankan program tersebut yang katanya sudah beberapa kali diadakan, tetapi mengapa kali ini sahaja ada tindakan larangan kerajaan. Dulu dia sendiri (anak seorang pembesar negara), yang kita tahu seorang Islam telah merasmikan program seumpama ini tetapi tidak ada sesiapa pun yang menentangnya.
Di sinilah konflik ‘benar’ dan ‘batil’ itu semakin dikelirukan. Apakah mereka yang menentang 'seksualiti merdeka' itu benar-benar menentang kemungkaran? Berapa banyak kemungkaran di depan mata tetapi mereka tidak pernah pun berusaha untuk menentangnya. Lihatlah kemungkaran yang diberi lesen untuk ditayangkan dalam media, seperti filem-filem hollywood yang banyak mempromosi konsep seks bebas ini, tetapi tidak ada yang berani menyatakan perkara itu 'salah' atau 'batil'. Dalam media kita juga setiap hari berita dan rencana hiburan yang berbentuk pergaulan bebas 'hedonism' disiarkan secara leluasa, tapi kita menganggap hal itu tidak salah. Malah macam 'membenarkan' pula.

Rabu, 02 November 2011

Zalim kepada Diri.

Selama ini kita menghubungkan ‘kezaliman’ dan ‘ketidakadilan’ hanya berlaku antara individu dengan individu lain. Biasa juga kita melihat sesebuah pemerintahan dikatakan zalim dan tidak adil kepada rakyatnya.
Pernahkah kita bertanya, ‘Apakah kita sendiri tidak pernah berlaku zalim dan tidak adil kepada diri kita sendiri?’ Inilah pertanyaan yang diajukan oleh penceramah di surau As-Syakirin baru-baru ini, Ustaz Haji Adam bin Haji Said. Beliau adalah pendakwah bebas dari Pusat Tarbiah Nur Iman, Besut, terangganu.
Beliau memetik nasihat Umar Abdul Aziz kepada seorang Gabenor yang meminta bantuan kepadanya setelah ditimpa musibah. Surat Umar Abdul aziz yang pendek itu berbunyi, ‘Tegakkan keadilan, hapuskan kezaliman’.
Semasa mengulas tentang ‘keadilan’ ini Ustaz Haji Adam berkata selama ini kita hanya mengaitkan keadilan dan kezaliman bila menghubungkannya dengan kita sesama manusia. Pernahkah kita berfikir, bagaimana yang dikatakan zalim terhadap diri sendiri dan juga zalim terhadap Allah.
Bila kita hanya memikirkan hak-hak diri untuk nikmat duniawi seperti bertungkus lumus dalam mencari nafkah, menyediakan rumah mewah, kereta mewah, makan minum yang sedap-sedap tetapi kita lupa menyediakan hak rohani dan jiwa untuk diri kita untuk akhirat, maka kita telah berlaku zalim kepada diri kita sendiri.
Hak Allah terhadap diri kita juga perlu kita tunaikan. Kita akan berlaku zalim kepada Allah bila kita mengabaikan amanah-Nya. Dia mengamanahkan ‘jasad’ kepada kita, tetapi kita tidak menggunakan jasad seperti ‘tangan’ dan ‘kaki’ untuk kerja-kerja kebaiakan dan amal, bermakna kita juga berlaku zalim dan tidak adil kepada Allah. Wallahualam.

Rabu, 26 Oktober 2011

Tentang Politik.

Saya bukan orang politik. Saya hanyalah seorang guru dan bersara guru. Pernah juga pada mulanya bergiat dalam politik UMNO, kerana bapa dan kakak saya orang kuat UMNO. Ketika itu perjuangan mereka berpaksikan ‘Hidup Melayu’.
Pada pendapat saya politik bukanlah sesuatu yang kotor, seperti yang sering diperkatakan oleh sesetengah pihak. Bila bercakap tentang ‘agama’ ada saja yang menyanggah, jangan dipolitikkan. Pada mereka politik dan agama sesuatu yang tidak boleh digandingkan.
Bagi saya kalau kita sudah beranggapan ‘politik’ itu kotor, eloklah kita tinggalkan saja politik. Mengapa harus berpolitik kalau berpolitik akan menyebabkan kita sentiasa berdosa.
Bila kita berpolitik kita harus juga berpolitik dengan panduan agama. Islam sebagai ad-din sudah lengkap dalam semua aspek kehidupan. Dalam Islam sudah ada politik, ekonomi, pendidikan, pertanian, hukuman, perniagaan,kekeluargaan dan juga cara mentadbir negara. Jadi kepada parti politik, berpolitiklah dengan garis panduan Islam yang boleh dirujuk dalam al-Quran dan sunnah.
Mungkin kita ada sedikit berbeza pendapat tentang bagaimana hendak menguruskan negara dan rakyat. Rujuklah al-Quran dan hadith. Sudah tentu kita tidak akan berbeza pendapat terutama bila membicarakan ‘kebenaran’ dalam Islam.

Selasa, 11 Oktober 2011

Kiri dan Kanan

Allah mencipta manusia cukup lengkap. Ada dua tangan, iaitu kiri dan kanan. Ada dua kaki, iaitu kiri dan kanan. Segalanya berpasangan. Otak juga ada otak kiri dan kanan. Tetapi kenapa hati hanya satu.
Allah menyuruh kita berfikir.
Ketika kaki kiriku sakit kerana diserang gaut, barulah aku menyedari betapa kiri dan kanan saling perlu memerlukan. Sukarnya berjalan dengan sebelah kaki sahaja. Terpaksa pula mendapat bantuan tongkat. Itu pun bukan boleh menyelesaikan masalah. Segala-galanya menyebabkan pergerakan kita terhad. Hendak ke bilik air, hendak solat dan hendak memandu juga ada masalah.
Tubuh manusia ibarat sebuah kerajaan. Hati ibarat perlembagaan. Kaki kiri dan kaki kanan, tangan kiri dan tangan kanan, mata kiri dan mata kanan, telinga kiri dan telinga kanan, jantung kiri dan jantung kanan adalah ibarat rakyat yang dapat membantu pergerakan tubuh kita. Kiri dan kanan saling membantu bukan saling bertingkah. Tangan kanan tidak boleh menidakkan peranan tangan kanan. Ada beberapa pekerjaan yang perlukan bantuan kedua-dua tangan seperti mengangkat batu yang berat hanya boleh dilakukan dengan kedua-dua belah tangan.
Peranan kaki pula untuk bergerak. Kita mungkin ingin menuju ke suatu destinasi atas arahan otak dan hati. Oleh itu kaki kiri dan kanan akan melangkah. Dengan sebelah kaki sahaja mungkin kita akan menghadapi masalah untuk mencapai tujuan.
Begitulah pentingnya kiri dan kanan. Soalnya mengapa kita tidak pernah mengambil iktibar dari wujudnya diri kita sendiri?

Minggu, 18 September 2011

Islah Melayu

Semangatmu,
telah terjun ke kutub-kutub
belayar mengelilingi dunia
merenangi selat Inggeris
mengharung angkasa
menawan everest
siapa tidak kenal Melayu!
politiknya berpupurkan resah
bagimana menjatuhkan lawan
bukan bagaimana memerintah

Benarlah,
yang membunuh Hang Nadim bukan raja
tetapi Melayu!
yang membunuh Jebat bukan Tuah,
tetapi Melayu!
kerismu itu
pamor bisa hasadnya
membunuh Melayu sendiri.

Bahasamu itu
hanyalah bahasa perpaduan
bukan lagi bahasa ilmu

Sasteramu itu,
tersembunyi di bawah lipatan
malu-malu

Tanahmu itu
bukan lagi tanah ketuanan Melayu
kini sudah diratakan
‘untuk dijual’

Pesiaran Citra, Johor Bahru.
9 April 2008
(Dewan Sastera Ogos 2011)

Rabu, 14 September 2011

Manusia Makin Hilang Pertimbangan

Bila membaca berita-berita yang tersiar di akhbar, terutama berita bunuh dan perkelahian puncanya kadang-kadang tidak masuk akal. Baru-baru ini hanya kerana tersenggol bahu secara tidak sengaja seseorang itu sanggup mengamuk dan menikam orang yang datang majlis kenduri hingga ada yang luka parah. Ada lagi berita seorang anak menikam ibu-bapanya hingga mati kerana tidak bersetuju dengan cadangan si anak untuk menjual tanah.

Apakah manusia sekarang sudah hilang pertimbangan? Kenapa hal-hal yang sedikit kadang-kadang boleh menyebabkan pembunuhan?

Sikap. Sikap manusia sudah berubah. Berubah kerana suasana hari ini lebih menekankan hal-hal keduniaan. Agama hanya dalam bentuk luaran. Orang Islam sendiri kelihatan dari segi luarannya tidak tinggal solat , puasa dan ibadat-ibadat lain. Tetapi dari segi penghayatan mereka agak lemah. Tanyalah mereka yang solat, adakah mereka faham ayat-ayat yang mereka baca semasa solat. Saya percaya mereka membaca tetapi mereka tidak faham, lalu mereka tidak dapat menghayatinya.

Di sinilah kelemahan kita. Sehingga apa yang kita lakukan seharian biasanya bertentangan dengan kehendak Islam. Sikap mudah marah, mudah melenting dan membuat keputusan di luar jangka sering berlaku dalam kehidupan kita. Sebab itulah hingga sekarang kita tidak dapat mengubah sikap kita bila berada di jalan raya. Setiap hari perayaan, kemalangan jiwa semakin meningkat kerana sikap manusia sendiri.
.

Minggu, 11 September 2011

Membuat pertimbangan dengan saksama

Kita sering membuat kesilapan apabila membuat pertimbangan. Kerana kesilapan itu kita tidak dapat pula membuat keputusan dengan betul. Hasilnya boleh menyebabkan sesuatu perkara itu tidak berlaku dengan sewajarnya.
Lebih-lebih lagi setelah kita membaca sesebuah berita atau rencana, pernahkah kita berfikir kebenarannya atau kita terus percaya.
Pemberita juga manusia. Sebagai manusia mereka juga tidak terhindar daripada membuat kesilapan. Malah kadang-kadang mereka terpaksa membuat kesilapan demi sesuatu tujuan. Sebab itulah kita dapati ada akhbar yang begitu bias kepada sesebuah parti politik, kerana parti tersebut ada kepentingan dalam akhbar berkenaan. Jadi kita tidak akan dapat sebuah berita atau rencana yang benar-benar bebas.
Kita juga sebagai pembaca seharusnya tidak terikat dengan mana-mana fahaman politik, barulah kita dapat membuat pertimbangan dengan saksama.
Takutlah dengan dosa memperpanjangkan berita palsu. Takutlah dengan dosa mengupat dan memfitnah.
Sesungguhnya medan media banyak menyumbangkan dosa, jika tidak berdiri di atas paksi kebenaran.
.

Rabu, 07 September 2011

Mencari Wira

Persoalan siapakah wira kini menjadi hangat. Angkara Mat Sabu yang cuba mengangkat Mat Indera sebagai wira. Alasannya Mat Indera menyerang rumah pasong di Bukit Kepung pada zaman British. Jadi Mat Indera sebenarnya menyerang tali barut British. Macam juga Pak Janggut yang menentang British di Kelantan tetapi dikatakan sebagai penderhaka oleh Inggeris.

Wira merdeka seharusnya adalah mereka yang terlibat dalam menentang penjajah Inggeris sehingga Tanah Melayu mencapai kemerdekaannya pada 31 Ogos 1957. Siapakah mereka? Tanyalah ahli sejarah. Mereka boleh memberikan jawapannya. Bukan orang politik. Orang politik perlu merujuk buku sejarah. Sejarah perlu ditulis oleh ahli akademik, bukan oleh ahli politik yang minat sejarah. Mereka tentu bias kepada fahaman masing-masing.

Sebenarnya kita juga boleh menjadi wira. Wira muncul setiap hari. Orang yang amanah dengan tanggungjawab yang diberi adalah wira. Berjuang mempertahankan kebenaran berlandaskan Islam adalah wira. Bercakap benar meskipun tidak menguntungkan adalah wira. Berani mengaku bersalah dan bersedia meminta maaf juga adalah wira.

Jalan raya atau lebuh raya tidak akan melahirkan wira. Padang atau stadium tidak akan melahirkan wira. Laut dan langit juga tidak akan melahirkan wira. Wira lahir di lebuh raya keadilan. Wira lahir di padang dan stadium yang menjulang kebenaran. Wira lahir di laut dan di langit yang mempertahankan agama Islam sebagai agama kebenaran.

Kamis, 01 September 2011

Sambut Hari Raya Secara Sederhana.



Ketika takbir raya bergema di masjid-masjid dan di surau-surau hati terasa sayu kerana ramadan telah berlalu. Meski telah sebulan berpuasa, tapi terasa masa begitu pantas bergerak. Rasa macam baru saja berpuasa, tahu-tahu hari ini kita sudah menyambut syawal.
Apa yang terfikir di dalam hati, adakah kita dapat bertemu kembali ramadan tahun akan datang? Bulan yang penuh keberkatan itu. Bulan di mana al-Quran diturunkan. Bulan di mana ada satu malam menyerupai seribu tahun beribadat.
Oleh itu sudah semestinya kita umat Islam, apabila tibanya syawal harus memeriksa diri, adakah kita telah berjaya melakukan ibadah dalam bulan magfirah itu dengan sempurna?
‘Hari Raya’ adalah menifestasi kepada ibadah yang telah kita lakukan dalam bulan puasa itu. Memang kita harus merayakannya jika kita berjaya memenangi segala cubaan dan dugaan selama berpuasa itu. Ketika semua iblis dipasung, kita sebenarnya tidak mempunyai masalah untuk beribadah. Tetapi kenapa masih ada lagi manusia Melayu yang melakukan kemungkaran? Yang rasuah tetap rasuah, yang berjudi tetap berjudi, yang meragut tetap meragut, yang membunuh, merompak, menipu tetap berjalan seperti biasa. Bacalah akhbar, setiap hari ada saja kejadian jenayah dilaporkan.
Oleh itu bersederhanalah ketika merayakan hari raya aidil fitri. Menyambut hari raya secara berlebih-lebihan dengan mengadakan rumah terbuka, misalnya memang sesuatu yang digalakkan kerana boleh menghubungkan dan mengeratkan silaturrahmi, tetapi janganlah bermusim. Silaturrahmi seharusnya dijaga sepanjang masa, sepanjang tahun dengan pelbagai cara.
Ketika kecil dulu saya melihat Hari Raya sebagai hari bergembira secara total. Hari melepaskan diri daripada beban berpuasa. Tidak ada yang memberitahu secara pasti mengapa kita umat Islam mesti berpuasa. Kita melaksanakannya hanya kerana ibadah itu adalah salah satu daripada rukun Islam.
Jadi bila tiba hari raya, anak-anak akan membakar mercun dan bermain meriam tanda gembira. Kita ke rumah-rumah jiran dan saudara mara kerana dapat mengumpulkan wang.
Hari raya kedua, berduyun-duyunlah masyarakat Islam mengunjungi panggung wayang untuk berhibur. Ketika ini filem-filem baru ditayangkan di panggung-panggung wayang seluruh negara. Maka berpestalah kita untuk merayakannya hari raya aidil fitri.
Itulah konsep hari raya. Tidak lebih dari itu. Kini segala-galanya sudah berubah. Umat Islam sudah sedar bahawa hari raya bukan bermakna bebas makan dan minum sahaja. Hari raya bukan bermakna boleh mengenakan baju baru sahaja. Hari raya bukan bermakna untuk bersilaturrahmi sahaja. Lebih daripada itu hari raya aidil fitri dan syawal yang menjelang adalah introspeksi diri, adalah bulan itu menambahkan azam untuk kita lebih gigih beramal, untuk lebih bertakwa dan mengabdikan diri kepada Allah Azzawajalla.



Selasa, 23 Agustus 2011

Harga Sebutir Batu Kecil

Seketul batu di pinggir jalan hanyalah seketul batu, tidak lebih dari itu. Sebutir batu yang tidak berharga. Mungkin kita yang berkenderaan atau berjalan kaki tidak akan terkesan dengan kehadirannya. Mungkin seketul batu tidak mampu untuk mengusir seekor anjing liar pun. Apa lagi membaling ke arah pohon yang berbuah ranum. Pohon tidak peduli, buah tidak gugur.
Begitulah, seketul batu kecil tiba-tiba terpelanting dan menghentam cermin kereta kita. Lalu cermin kehidupan kita meretak. Retak pada cermin itu semakin membesar dan mungkin keseluruhan cermin akan pecah berderai.
Cermin perlu diganti. Gara-gara seketul batul kecil kita terpaksa merujuk pada doktor cermin. Kosnya agak lumayan, RM660.
Pagi tadi seketul batu menyebabkan cermin kereta saya pecah. Kena ganti.

Jumat, 19 Agustus 2011

Al-Quran dan Melayu

Semalam sempat meluangkan masa mendengar baca kitab tentang al-Quran oleh Zainal selepas solat zohor. Malamnya ada tazkirah oleh Ustaz Rizal, juga menyentuh tentang al-Quran. Khutbah hari ini juga menyentuh tentang al-Quran.
Boleh dikatakan budaya membaca al-Quran di kalangan orang Melayu sudah menjadi suatu budaya yang biasa. Amatlah memalukan jika kita sebagai orang melayu tidak tahu membaca al-Quran. Sekurang-kurangnya orang Melayu boleh dan lancar membaca surah Yassin.
Soalnya benarkah kita sudah menghayati al-Quran. Membaca al-Quran tanpa mengetahui makna isi al-Quran, itulah yang diamalkan oleh kita orang Melayu. Kita begitu patuh dengan membaca surah Yasin pada malam jumaat, atau membaca surah al-Kaffi. Ramai juga di kalangan kita yang menghafal surah-surah al-Mulk, ar-Rahman, As-Sajadah, al-Waqiah dan al-Insan. Lalu seringlah kita mendengar mereka membacanya ketika solat.
Setahun sekali kita dapat mendengar wakil-wakil daripada pelbagai negeri dan negara dalam tilawah al-Quran. Dalam majlis-majlis tertentu seperti majlis sambutan Maulidur-Rasul, bacaan al-Quran menjadi acara mesti. Begitu juga dengan sambutan Maal-Hijrah. Mesti ada Qari atau Qariah yang dijemput untuk memperdengarkan bacaan mereka. Kita pun duduk tersengguk khusuk mendengar bacaan al-Quran. Begitulah orang kita dengan al-Quran.
Setakat itulah sahaja. Kata untuk menghayati isi al-Quran jauh sekali. Kita akan kembali meletakkan al-Quran di suatu tempat yang tinggi, dan hanya akan membacanya bila ada waktu-waktu tertentu sahaja.
Cubalah kita ubah taradisi membaca al-Quran dengan membaca dan memahami isinya sekali. Hal ini pernah dibuat di negeri Johor dalam konsep, ‘Membudayakan al-Quran’. Tapi nampaknya sudah semakin lenyap dan semakin hilang. Penghayatan dalam pentadbiran kerajaan negeri nampaknya tidak berlaku. Orang Melayu tetap macam dulu juga. Kalau pergi ke pejabat-pejabat kerajaan, orang Melayu tetap bermalas-malas, lambat atau lewat datang ke pejabat, tidak amanah, rasuah masih berlaku dan bermacam-macam lagilah perkara negetif yang nampaknya tidak selari dengan apa yang kita baca dalam al-Quran.



Senin, 15 Agustus 2011

Madrasah Ramadan

Ramadan adalah madrasah bagi kita untuk memperkukuhkan keimanan dan ketakwaan. Pada bulan ini Allah telah menjanjikan maghfirah dan pahala yang berganda. Oleh itu rebutlah peluang ini. Ustaz Rizal dalam tazkirah ramadannya baru-baru ini menyatakan ‘aktiviti’ yang disediakan kepada kita sepanjang bulan ramadan ini pantas buat kita melaksanakannya bagi mendapatkan pahala berganda itu. Sejak kita berniat, kemudian bersahur, bersolat subuh berjemaah, bersolat sunat doha, membaca al-quran, solat zohor dan asar berjemaah, berbuka pada waktunya dengan bersederhana, bersolat maghrib berjemaah, solat isyak dan tarawikh berjemaah, kemudian tadarus, berqiamullail. Inilah aktiviti-aktiviti sepanjang ramadan yang perlu dibuat secara terus-menerus dan ikhlas.
Seharusnya bulan ramadan ini menjadi pemangkin kepada aktiviti kita pada bulan-bulan berikutnya. Ada di antara kita yang begitu patuh beribadah dan mengikuti pantang larang di bulan ramadan. Pada bulan ini semua aktiviti seperti hiburan, berjudi, merempit, merokok, mengupat dan pelbagai lagi aktiviti negetif dapat dibendung. Tetapi selepas bulan ramadan mereka akan kembali kepada kegiatan-kegiatan tersebut, seolah-olah hanya bulan ramadan sahaja bulan ibadah. Pada bulan-bulan lain kita bebas melakukan apa saja.
Begitu jugalah sikap kita dengan beribadah di masjid dan surau. Bila berada di surau atau masjid kita boleh bertukar menjadi manusia penuh takwa dan beradab. Tetapi bila keluar masjid dan surau kita mulalah membuka aurat (bagi wanita), berjudi, rasuah, mengupat, fitnah..dan banyak lagi kegiatan yang bercanggah dengan Islam. Seolah-olah kebaikan kita itu hanyalah semasa berada di masjid dan surau sahaja. Bila keluar institusi tersebut kita boleh berbuat apa saja.
Samalah dengan bulan ramadan. Seolah-olah pada bulan ini sahaja kita perlu mematuhi syariat Islam, sedangkan pada bulan-bulan lain kita boleh bebas berbuat apa sahaja.
Inilah stail kita umat Melayu dalam menterjemahkan ibadah.

Jumat, 05 Agustus 2011

Kaca Kebenaran

Menggengam kaca
kebenaran tiada
ketajamannya
menghiris bahagia

Gelas fikiran
kupecahkan
cermin perkiraan
kauhancurkan
seribu wajah keliru

Kaca kebenaran
berbicara lantang
hati terluka
retak resah
menunggu pecah.

Menggenggam kaca
membisikkan cinta amarah
pada tangan berdarah
pada wajah bersalah

Kebenaran berkaca
tegas melukakan
darah muhasabah


Shapiai Muhammad Ramly
Seri Wangsa, Batu Pahat.
(Berita Minggu 24 Julai 2011)

Kamis, 28 Juli 2011

Sampai Bila?

Dulu saya sering berulang alik ke surau naik kereta. Tapi sekarang sudah buat keputusan utuk berjalan kaki sahaja. Sekurang-kurangnya dapat ‘exercise’ dengan cara berjalan sehari lebih kurang lima kali.
Subuh-subuh sudah keluar, kemudian waktu zohor, waktu asar, waktu maghrib dan juga waktu isyak. Memang jarak rumah dengan surau tidaklah jauh sangat, lebih kurang 100 meter sahaja. Melewati rumah teres kejiranan Taman Sri Wangsa. Kalau pada waktu subuh akan berpapasan dengan beberapa orang jiran Cina yang hendak pergi kerja. Begitu juga seorang dua orang melayu yang sudah sedia untuk pergi kerja. Ada seroang Cina yang sudah berumur nampaknya sudah memulakan exercise dengan berjalan kaki.
Ketika balik bersubuh begitu juga, sudah ramai yang bangun. Anak-anak sekolah menunggu bas menjemput mereka ke sekolah. Ada juga yang dihantar oleh ibu bapa. Ketika ini sempat juga bertegur sapa dengan mereka.
Begitulah saya merasakan bahawa dengan berjalan kaki setiap hari rupanya saya makin menambahkan kenalan baik di kalangan jiran Cina dan juga Melayu. Mereka sentiasa menegur saya. Kadang-kadang ketika balik solat asar saya berpapasan dengan anak-anak yang sedang bermian badminton. Ada ketikanya saya berhenti sekejap untuk membantu mereka mengait bulu tangkis yang tersangkut di bumbung. Ada ketikanya saya berbual-bual dengan seorang lelaki Cina yang berjogging. Katanya dia berjogging 5 kali setiap hari..Umurnya sudah 63 tahun. Dia juga sempat bertanya saya tentang solat, berapa kali ke surau. Kata saya, 5 kali juga..
Semasa ke surau pada waktu maghrib pula kadang-kadang saya terserempak dengan isteri kawan-kawan sejemaah. Mereka tetap menegur saya dengan panggilan mesra, ‘Pak Aji!’.
Ada juga jiran perempuan cina yang berborak-borak waktu petang, menegur saya setiap kali saya ingin bergerak ke surau. Meskipun teguran mereka sama sahaja setiap kali, iaitu, ‘Pegi Sembahyang?’ dan saya akan mengangguk. Malah kadang-kadang saya berhenti sebentar untuk bertanya khabar mereka.
Rupa-rupanya inilah kehidupan saya sekarang ini. Mengisi hari-hari terakhir dengan berulang-alik ke surau dan meramahi jiran-jiran.
Sampai Bila?

Senin, 25 Juli 2011

Puisi adalah Nasi yang Kusuap Tiap hari.

Memang aku bukan penulis. Bukan juga penyair, tetapi aku begitu berminat dengan karya sastera terutama sajak, cerpen dan novel. Memang aku meratah puisi sejak di Tingkatan Lima lagi. Hingga berjaya masuk Maktab Perguruan, menjadi guru, seterusnya menyambung belajar di universiti, aku tetap menjadikan puisi/sajak sebagai makan rohaniku setiap hari. Banyak sudah buku puisi, atau kumpulan puisi yang menjadi koleksiku. Aku suka membaca sajak-sajak Chairil Anwar, Amir Hamzah, W.S Rendra, Sitor Situmorang, Sutardji, Kasim Ahmad, Usman Awang, A.Samad Said, T. Alias Taib, Latif Mohidin, Muhammad Haji Salleh, Suhaimi Haji Muhammad, Kemala dan banyak lagi.
Sebelum tidur biasanya aku akan mencapai buku sajak dan membaca beberapa buah sambil menikmati kenyamanan rasa dan ilmu dari sajak-sajak yang indah itu.

Sesungguhnya aku bukan penyair atau penulis. Aku hanyalah guru yang suka menulis dan membaca karya sastera.

Selasa, 19 Juli 2011

Wahai Orang Yang Beriman!

Ayat 59, Surah An-Nisa’ sering diulang-ulang setiap minggu ketika khatib membacanya dalam khutbah Jumaat. Bunyinya begini:
‘Wahai orang beriman, taatlah kepada Allah, taatlah kepada Rasulullah dan kepada Ulil al-Amr daripada kalangan kamu. Kemudiian jika kamu berselisih dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada Allah dan rasul-Nya, jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Demikian itu adalah lebih baik dan lebih elok pada kesudahannya.’

Pernahkah kita terfikir atau berfikir kenapa ayat ini begitu penting sehingga dalam khutbah tidak pernah ditinggalkan. Seruan agar taat dan patuh kepada Allah, kepada Rasulallah dan akhirnya kepada Pemerintah.

Taat kepada Allah dan taat kepada Rasulallah sudah tentu kita tidak pernah mempertikaikannya. Bagaimana dengan taat kepada pemerintah?

Dalam tafsir Mubin (hal:392-393) ada dinyatakan bahawa taat kepada pemerintah yang Ulil-al-Amr, iaitu pemerintah yang berpegang teguh kepada syariiat Allah s.w.t. Mereka bukan sekadar Islam pada zahir dan rupa paras sahaja,tetapi benar-benar Islam dalam erti kata yang sebenar. Sebaliknya jika pemerintah tidak taat kepada Allah s.w.t maka tidak wajib taat kepadanya.

Biasanya setiap ayat Al-Quran mempunyai sebab turunnya. Daripada Ibn ‘Abbas r.a. beliau menyatakan bahawa ayat ini berkaitan dengan kisah seorang Islam (munafik) yang bernama Bishr yang berselisih faham dengan seorang Yahudi. Si Yahudi itu mengajak si Munafik ini berjumpa Rasulallah untuk mendapatkan pengadilan. Tetapi si Munafik ini lebih suka merujuk kepada seorang pendita Yahudi yang jelas Taghut. Manakala Si Yahudi ini pula lebih percayakan Rasulallah akan memberikan keadilan kepadanya.

Akhirnya mereka berjumpa Rasulallah. Setelah Nabi mendengar pengaduan si Yahudi tadi, maka Rasulallah telah menyatakan Si Yahudi itu berada di pihak yang benar. Bishr si Munafik itu tidak berpuas hati dengan keputusan Rasulallah, telah berjumpa pula dengan Sayidina Umar. Si Munafik berharap Sayidina Umar akan menyebelahinya.

Setelah mendengar aduan daripada Si Yahudi dan setelah dinyatakan bahawa mereka sebelum ini sudahpun merujuk kepada Rasulallah s.a.w, Sayidina Umar menyatakan, ‘Duduklah di sini dulu sehingga saya keluar.’ Rupanya Sayidina Umar masuk ke biliknya dan keluar semula dengan sebilah pedang, lalu dipenggalnya leher si Munafik itu sehingga mati. Umar berkata, ‘Inilah keputusan hukumanku kepada orang yang tidak reda kepada hukum Allah dan rasul-Nya.’

Daripada peristiwa ini pula, turun ayat 60 yang berbunyi:
‘Tidakkah engkau melihat orang yang mendakwa bahawa mereka telah beriman kepada Al-Quran yang telah diturunkan kepadamu dan kepada kita yang telah diturunkan terdahulu daripadamu? Mereka suka berhakimkan Taghut padahal mereka telah diperintahkan supaya kufur ingkar kepada-Nya. Syaitan pula sentiasa hendak menyesatkan mereka dengan kesesatan yang sejauh-jauhnya.’

Kamis, 14 Juli 2011

Orang Melayu Suka Berhimpun


Berhimpun memang sudah menjadi budaya orang Melayu. Kini ada usaha-usaha untuk menyatakan berhimpun bukan budaya Melayu. Kerana perhimpunan yang terlalu ramai, kata-kata ‘berhimpun’ sudah tidak sesuai, jadilah ‘demonstrasi’. Ada pula istilah ‘demonstrasi jalanan’. Maknanya samalah dengan berhimpun di jalanan.
Sejak dulu kita sudah mula berhimpun di jalanan bila tiba menyambut dan perayaan 31 Ogos. Beraraklah kita seluruh bandar raya, termasuk bandar raya Kuala Lumpur. Berhimpun begini tentu atas restu kerajaan. Begitu juga berhimpun di jalanan semasa menyambut Maulidur-Rasul. Seluruh Umat Islam akan berarak dari Padang ke Masjid Negara, sambil menjulang sepanduk.
Ada ketikanya kita akan berhimpun bila menyatakan rasa kesal terhadap kuasa-kuasa asing yang sewenang-wenangnya membuli negara-negara kecil. Macam Palestine, kita akan turun ke jalan-jalan raya membawa sepanduk menyatakan rasa kesal kita terhadap perbuatan Israel yang membunuh rakyat Palestine dengan kejam.
Biasanya perhimpunan orang melayu akan berlarut hingga ke malam. Misalnya bagi menyambut hari kemerdekaan, orang melayu akan berhimpun di padang-padang. Begitu juga bagi menyambut tahun baru setiap tahun, rakyat Malaysia terutama orang Melayu sanggup bertunggu-tangga merayakannya. Ini juga jenis perhimpunan bagi menunjukkan rasa cinta kita kepada negara.
Ada lagi jenis perhimpunan yang berlaku secara kecil-kecilan di kampung, seperti perhimpunan untuk meraikan perkahwinan. Pengantin akan diarak di jalan hinggalah tiba ke rumah pengantin. Orang Cina juga biasa mengarak jenazah sepanjang jalan hingga ke perkuburan. Orang Hindu juga biasanya akan berarak ketika merayakan perayaan agama mereka seperti pada hari-hari taipusam. Jadi, perhimpunan dan perarakan sebenarnya sudah menjadi budaya orang-orang kita.
Malah Jom Heboh, konsert muzik, konsert AF dan banyak lagi jenis hiburan semuanya berbentuk ‘berhimpun’ untuk menunjukkan rasa suka, riang dan berhibur.
Oleh itu sudah sampai masanya kita memikirkan kembali tujuan dan cara kita berhimpun. Eloklah kerajaan menyekat beberapa budaya berhimpun yang jelas bertentangan dengan agama dan norma masyarakat. Misalnya apabila anak muda berhimpun di jalan raya untuk merempit, sudah tentu tidak sesuai dan berbahaya, malah menggangu ketenteraman orang lain. Begitu juga konsert hiburan yang melampau yang tidak menghormati nialai-nilai budaya dan agama perlu juga dibentras.

Selasa, 05 Juli 2011

Menambat Hidayah



1
Seekor kuda tiba-tiba berada di halaman rumah. Meragut-ragut rumput yang kebetulan sedang tumbuh subur.
‘Bagaimana mungkin ada kuda?’
Itulah yang difikirkan Maulud. Ini bukan negara kuda. Mana mungkin tiba-tiba saja seekor kuda perang bertompok-tompok kehitaman muncul begitu saja. Kalau kambing, lembu atau kerbau munasabah juga. Ini kuda.
Adakah kerana dia sudah sembuh daripada sakit yang lama, kuda muncul untuk menyatakan rasa senangnya. Kuda yang kelihatan begitu jinak. Sehingga Maulud datang hampir, membelai-belai belakangnya, kuda seperti membiarkan saja elusan persahabatan itu. ‘Engkau datang saat aku kesunyian setelah sembuh dari sakit yang lama. Engkau adalah sahabatku kini. Aku namakan kau ‘Hidayah.’
Lalu kuda terus berlari-lari dalam dirinya. Berlari-lari dalam fikirannya. Berlari-lari melompat dari fikiran ke hati, ke dalam urat nadi dan darahnya. Melompat ke padang-padang ragut perasaan yang lebih lapang.
Seperti biasa Maulud akan berada di halaman rumah pusakanya, duduk di bangku kayu sambil memandang ke arah banjaran gunung. Banjaran gunung itu bermula dari tasik Bukit Merah kemudian semakin tinggi bila menganjur ke arah Gunung Semnggol.
Lalu ramailah orang-orang kampung berdatangan untuk melihat kuda di halaman hidupnya ini. Mereka mengkaguminya. Mereka bercakap-cakap tentang kuda yang tiba-tiba muncul itu. Ada yang menyatakan tentulah kuda ini kuda sarkis yang terlepas. Lihatlah ia nampak begitu jinak. Ada juga yang menyatakan bahawa kuda itu kuda lumba berdasarkan faktor bangun tubuhnya yang sasa.
Anak-anak lebih lagi. Mereka cuba menyelidiki kemungkinan kuda itu boleh ditunggangi.
Memang Maulud tidak menambatnya. Bila-bila masa sahaja kalau ia mau boleh saja pergi. Tapi Hidayah tetap di situ, meragut-ragut rumput yang subur di halaman.
Memang ramai yang mencadangkan agar kuda itu ditunggang. ‘Apa perlunya ada kuda kalau bukan untuk ditunggang,’ ujar mereka. ‘Ayuh, tungganglah!’
Kalau tidak biar saja mereka mencubanya. Begitu mereka mencadangkan sesuatu yang di luar kehendak Maulud. Memang kuda wujud untuk diperkuda. Begitukah? Memang manusia ini suka kepada binatang-binatang jenis yang boleh ditunggang.
‘Biarlah Hidayah di situ!’ Dia tidak menyukai saranan mereka.
Satu hari yang lain datang Tok Ketua. Dia beria-ia ingin meminjam Hidayah. Katanya ada tugas penting di kepala bendang sana. Dia ingin menunggang Hidayah.
‘Cubalah kalau ia mau.’ Balas Maulud..
Memang Hidayah menolak. Dia tidak mahu ditunggangi. Dia mencampak Tok Ketua kembali jatuh ke tanah. Hidayah kelihatan tenang tetapi dalam ketenangannya ada keengganan. Sehingga Maulud datang menghampiri dengan hati-hati. Mengusap-usap belakangnya.
‘Hidayah!’ Maulud cuba memujuk.
‘Tok Ketua bermaksud baik. Dia cuma ingin pertolongan.”
Hidayah seolah-olah mengerti. Mengangguk-anggukkan kepala.
Maulud memberi isyarat kepada Tok Ketua. Sambil Tok Ketua naik atas belakang Hidayah, Maulud mengusap-usap lehernya. Hidayah nampaknya merelakan. Malah Hidayah seperti tahu kehendak Tok Ketua. Hidayah terus berlari membawa Tok Ketua ke destinasinya. Melompat ke batas bendang. Merengkek dan terus berlari.
Bila Hidayah hilang dari pandangan, entah kenapa tiba-tiba dia berasa seperti kehilangan sesuatu. Hidayah hilang ditelan keluasan tanah bendang. Pandangannya beralih ke arah barisan gunung yang menjadi latar belakang kampung. Di gunung itukah Hidayah berumah? Gunung itu memang menyimpan banyak rahsia. Sejak dulu ada saja dongeng yang dikaitkan dengan banjaran gunung itu. Memang kisah seorang puteri yang turun setahun sekali untuk memberi restu pada roh padi dengan menunggang kuda coklat bertumpuk hitam telah menjadi mitos. Itu beratus-ratus tahun dulu. Maulud pun tidak mempercayainya. Bagaimana mungkin seorang puteri tinggal di pergunungan. Bagaimana mungkin sang puteri turun berkuda? Maulud pernah juga mendengar kisah puteri Gunung Ledang. Puteri yang menjadi kegilaan sultan Melaka itu. Ah, semuanya dongeng belaka. Tidak masuk akal. Yang ada cuma pohon-pohon mentaruh, meranti, halban, beringin dan manau. Juga pohon-pohon renek seperti dedulang, resam, keduduk, letup-letup, duit-duit, pokok tumbit kayu dan banyak lagi pokok hutan yang akan binasa.
Hinggalah Hidayah muncul dalam hidupnya. Hidayah mengembalikan mitos tuan puteri itu. Kanak-kanak lebih-lebih lagi percaya. Tok Ketua berkali-kali menghidupkan kembali mitos tuan puteri yang turun untuk merestui kehidupan petani. Sebab itulah Tok Ketua ingin menunggang sendiri Hidayah, berkeliling bendang hingga ke baruh, hingga ke kepala bendang.
Anak-anak bertanya, mana puterinya? Maulud hanya menggeleng kepala. Mereka tidak percaya kepadanya apabila menyatakan Tuan Puteri tidak wujud. Tuan Puteri hanya wujud dalam khayalan datuk nenek mereka. Hanya wujud dalam khayalan Tok Ketua.
‘Habis, bagimana kuda itu boleh wujud?’ soal mereka lagi.
‘Bukan sahaja kuda, harimau pun boleh muncul secara tiba-tiba.’ Katanya.
‘Gajah pun?’ soal yang lain pula.
‘Memanglah, lihat sahaja gunung itu, sudah demikian cedera.’ Maulud menyambung. Binatang-binatang yang berumah di sana sudah tentu kehilangan tempat tinggal mereka. Di bendang ini juga sudah kehilangan tempua. Begitulah setiap kali dia hanya mampu membasuh resah di kali berdarah. Dulu kali yang mengalir di sebelah rumahnya membawa air jernih yang mampu diminum dan membasuh muka apabila pulang dari bendang. Kini Maulud hanya mampu melihat gunung yang cedera itu mengalirkan darah keruh ke halaman kehidupannya, malah ke halaman kehidupan orang-orang kampung. Membunuh riak-riak kecil ikan seluang, sepat dan puyu dan ikan tembakul.
Petang itu Tok Ketua pulang dengan sekepuk kepuasan. Dia memuji-muji Hidayah, malah dia ingin menunggang Hidayah lain kali jika perlu. Maulud tidak memberikan apa-apa reaksi, cuma tersenyum pilu. Bermakna Hidayah akan mula sibuk untuk melayani pelbagai kehendak orang-orang kampung. Kata Tok Ketua, misinya kali ini berjaya memujuk penduduk untuk menjual tanah bendang mereka. Ada taukeh dari bandar besar ingin menjadikan tanah bendang sebagai kolam ternak ikan dan udang.
Memang benarlah. Sejak hari itu Hidayah sentiasa ditunggangi. Sentiasa dibawa pergi. Sentiasa cuba memenuhi kehendak orang-orang yang berkeperluan. Bukan sahaja Tok Ketua, Pak Imam juga mempunyai alasan untuk menunggang. Katanya tugasnya menikahkan orang cukup meletihkan. Ramai anak-anak kampung yang terpaksa dinikahkan kerana sudah terlanjur. Kehadiran Hidayah sudah tentu meringankan sedikit tugasnya. Anak-anak muda kampung lebih lagi, mereka merasakan kuda sebagai tunggangan untuk berseronok. Mereka silih berganti untuk menungganginya. Malah kerana kuda seekor itu menimbulkan masalah pula, menimbulkan kontroversi yang menyebabkan kampung terbahagi kepada belahan pendapat. Konvesi kuda yang memang untuk ditunggangi, tetapi ada penduduk yang menyatakan kehadiran kuda akan membawa perpecahan. Ini kuda kroni, kata mereka.

(Sebahagian daripada cerpen Menambat Hidayah
Yang disiarkan dalam 'Dewan Sastera Mei 2011)

Senin, 27 Juni 2011

Anak Muda dan Jalan Raya

Jalan raya dan anak muda adalah dua perkara yang agak sinonim. Ke mana mereka sering melepaskan perasaan gelisah mereka? Ke jalan-jalan raya mereka memecut dengan motosikal. Istilah sekarang ‘Merempit’. Lihatlah pada malam-malam minggu, satu kerja pula bagi polis-polis untuk menahan mereka yang merempit di jalan-jalan raya. Mereka tidak pernah serik. Mereka anak muda, itulah cara mereka.

Jika mereka tidak merempit ke manakah mereka? Mereka tetap membuang masa di kompleks membeli belah. Berdedai duduk memerhatikan orang yang datang dan pergi. Mereka anak muda, itulah cara mereka.

Bagi anak muda yang punya visi, punya cita-cita dan punya semangat juang yang berkobar-kobar mereka akan turun ke padang, ke gelanggang dan ke mana sahaja ruang yang dapat mengisi dan memenuhi cita-cita mereka. Sebab itu mereka menjadi pemain bola, menjadi pemain badminton, squash, bowling dan sebagainya.

Ada pula ada muda yang jiwanya mengalir semangat kepimpinan. Ke manakah mereka? Di sinilah kita sering terlupa menyediakan tempat yang sesuai bagi anak muda jenis ini. Jiawa mereka sentiasa memberontak terhadap ketidakadilan, terhadap peraturan yang sering dilanggar oleh orang dewasa sendiri, yang sudah tentu banyak melibatkan diri dalam politik dan pentadbiran.

Mereka tidak mau diatur oleh orang dewasa dengan pelbagai rancangan yang kebanyakannya berbalik keuntungannya kepada orang dewasa sendiri. Mereka mahu bertindak dengan cara mereka sendiri. Kalau perlu ke jalan-jalan raya, mereka akan pergi. Kalau perlu berarak, mereka akan berarak. Jangan cuba tahan mereka. Mereka anak muda yang penuh semangat, penuh wawasan dan sanggup buat apa saja.

Adakah kita mahu anak kita memilih jalan raya untuk merempit atau untuk demonstrasi?

Rabu, 08 Juni 2011

Akhlak dalam Berpolitik

Politik orang Melayu adalah politik sempit. Politik fitnah-memfitnah untuk mengekalkan kuasa. Politik busuk membusuk, musuh-memusuhi antara satu dengan lain. Tidak ada kematangan langsung. Macam politik budak-budak kampung yang berebut guli.

Dalam berpolitik kita harus juga punya akhlak. Sudah tentu akhlak berlandaskan Al-Quran dan sunnah. Jangan pakai hentam, asalkan boleh terus berkuasa. Belajarlah politik Rasullah, politik Abu Bakar, politik Umar Al-Khattab. Politik khalifah empat yang berjaya membawa Islam ke mercu kegemilangannya.

Orang Melayu adalah juga orang Islam. Sebagai orang Islam sudah tentu akan menegakkan syariat Islam, baik dalam kehidupan atau politik. Sejak merdeka pemerintahan adalah di bawah kekuasaan orang Melayu Islam. Sudah seharusnya kita berusaha untuk menjalankan syariat Islam dalam semua aspik kehidupan.
Ingatlah, kita mempunyai banyak lagi tugas untuk memajukan masyarakat, terutama orang Melayu yang masih ketinggalan dalam semua segi. Kita masih ketinggalan jauh dalam sektor ekonomi. Macam-macam usaha kerajaan untuk membantu bumiputera, tetapi hakikatnya kita masih ketinggalan. Seharusnya kita sudah mempunyai syarikat-syarikat besar di bandar-bandar yang dapat menyaingi JUSCO, Gaint, Carrefour, Tasco dan Econsave. Mana dia supermarket Melayu? Mana dia supermarket Ali, supermarket Awang. Yang ada cuba bersaing cuma Maidin.
Untuk syarikat-syarikat besar berbentuk enterprise pula kita juga nampaknya masih tenggelam dalam lubuk enteprise kaum Cina dan orang asing. Kita masih berharap GLC yang ditubuhkan oleh kerajaan untuk membantu Melayu.

Begitu juga dalam pelajaran, kita masih tidak mampu bersaing dengan pelajar Cina maupun India. Mengapa? Adakah orang melayu memang dilahirkan bodoh?
Politiklah yang dapat membantu mengubah realiti orang Melayu kini. Sekarang kita masih berkuasa. Gunakanlah kuasa untuk mengubah orang Melayu, jangan gunakan kuasa untuk menghancurkan orang Melayu.

Gunakan ‘kuasa’ untuk mengayakan orang Melayu bukan menggunakan kuasa untuk mengayakan kroni.

Gunakanlah kuasa untuk mengubah nasib orang Melayu.

Selasa, 07 Juni 2011

Antara Fakta dan Tanggapan



Fakta biasanya tepat dan tidak boleh diubah. Misalnya tentang tarikh kemerdekaan kita pada tahun 1957. Itu fakta. Tanggapan boleh berubah dan berbeza. Misalnya tentang kemerdekaan itu sendiri, ada yang berkata kita telah merdeka tetapi kita masih dijajah. Itu tanggapan. Inilah yang cuba diterangkan oleh Khalid Salleh semasa kami berbual-bual baru-baru ini, ketika dia berada di Batu Pahat.

Terdapat juga fakta yang silap bila sesuatu fakta itu berbentuk umum, seperti menyatakan bahawa Malaysia diperintah oleh UMNO. Apakah juga Malaysia kini diperintah oleh Barisan Nasional (BN). Kalau Barisan Nasional terdiri daripada parti-parti UMNO, MCA, MIC dan beberapa komponen lagi, itu juga fakta yang benar buat masa kini. Begitu juga parti yang bergabung dalam pakatan ialah Keadilan, PAS dan DAP, juga merupakan fakta yang benar buat masa kini.

Adakah UMNO yang memerintah atau BN yang memerintah? Sebenarnya boleh dipersoalkan. Begitu juga dalam pakatan PAS hanya sebagai pengikut, malah tidak ada suara. Itu juga tanggapan. Boleh jadi benar, boleh jadi salah. Dalam hal ini semua orang bebas untuk membuat tanggapan.

Ada ketikanya tanggapan boleh menjadi fitnah, bila kita mengulas tentang sesuatu keadaan yang berdasarkan syak sahaja. Misalnya apabila terserempak sepasang lelaki dan perempaun di tempat sunyi, kita lantas membuat tanggapan bahawa mereka itu melakukan khalwat atau lebih teruk lagi melakukan zina. Begitu juga bukti-bukti yang tidak kukuh seperti adanya gambar, video, persaksian seseorang yang diragukan juga merupakan tanggapan-tanggapan yang boleh menyebabkan fitnah itu terjadi.

Sabtu, 04 Juni 2011

Kita Tidak Pernah Belajar

Kita tidak pernah belajar
daripada pengalaman
yang banyak berbicara
tentang takdir
dan mungkir

Kita tidak pernah belajar
daripada alam
yang banyak berbicara
tentang resah
dan cemar

Kita tidak pernah belajar
daripada sejarah
yang banyak merungkai
tentang rahsia sengketa
dan bencana

Kita perlu banyak belajar
daripada surah dan sunnah
daripada para mujahadah
jangan asyik menuduh fitnah
jangan asyik mencari salah
carilah mahabbah


SHAPIAI MUHAMMAD RAMLY
Sri Pulai Perdana, Johor Bahru.
(Mingguan Malaysia, 29 Mei 2011)

Selasa, 24 Mei 2011

Bahaya Fitnah

Memang kita semua mengakui fitnah lebih berbahaya daripada sebilah pedang. Sejarah juga telah membuktikan betapa banyak kerajaan yang jatuh hanya kerana angkara fitnah. Tetapi mengapa kita tidak serik-serik dengan pengajaran lampau itu.

Fitnah zaman ini nampaknya lebih cepat dan lebih kerap. Ini kerana media kita lebih cepat dan efisen. Bukan sekadar akhbar dan majalah sahaja, enternet menyumbang bahan yang begitu cepat sampai ke pangkuan kita.

Lalu banyaklah berita dan kisah yang disampaikan kepada pembaca. Terutama yang melibatkan individu penting. Alasan yang diberikan biasanya untuk menyelamatkan negara daripada individu yang nampak baik tetapi sebaliknya tidak boleh dipercayai. Jika dibiarkan dia menjadi pemimpin negara akan hancur.

Soalnya benarkah segala kisah pendedahan yang dibuat oleh mereka ini. Atas nama kebenaran atau atas nama untuk pengekalan kuasa?

Saya sendiri sebenarnya tidak berminat tentang berita-berita yang terlalu diberi keutamaan berhubung dengan seorang ketua pembangkang, seolah-olah ada agenda tertentu. Saya ingin mengambil contoh pemberitaan sebuah akhbar tentang tokoh berkenaan yang dikatakan menyokong gay dan lesbian, hanya berdasarkan pendedahan sebuah blog. Saya sendiri ada membacanya (dan saya petik sepenuhnya). Biar kita fikir dan buat pertimbangan yang saksama:

'MyMassa berjaya mengesan beberapa ‘jawapan’ ikhlas daripada Anwar mengenai dirinya yang menunjukkan wajah sebenar pengkhianat agama, bangsa dan tanah air.
Soalan pada pukul 11.53 daripada Editor Yahoo! Malaysia bertanyakan mengenai hak LESBIAN, GAY, BISEKSUAL DAN ORANG YANG TUKAR JANTINA (LGBTS) jika Si Anwar menjadi PM yang membuatkan Si Anwar ini mengakui bahawa dia menerima golongan ini dan akan MENSEKOLAHKAN PAS UNTUK MENERIMA GOLONGAN INI.
Yela, kalau BISEKSUAL TUA MACAM SI ANWAR NI PUN PAS boleh terima, TAKKAN LA GENG-GENG MAK, ANAK IKAN dan lain-lain PAS tak boleh terima?
'

Sebenarnya jawapan Anwar adalah seperti berikut: (Dipetik sepenuhnya dalam bahasa Inggeris);

11:53: Yahoo! Malaysia Editor: Could Lesbians, Gays, Bi-Sexuals and Transgenders (LGBTs) look forward to a non-discriminatory environment – specific to them and not other minorities- if Pakatan were to take Putrajaya? Would this move be possible with PAS a part of the federal government? (Yahoo! Newsroom (Malaysia))

11:55 Anwar Ibrahim: We recognize importance of family and the institution of marriage. But we should not unduly harass or discriminate others. The answer is through education an PAS accept this view.


Buatlah pertimbangan yang sebaik-baiknya. Ingatlah fitnah itu lebih kejam, lebih buruk akibatnya kerana boleh memecahkan masyarakat, malah menjatuhkan sesebuah negara.

Rabu, 18 Mei 2011

Cikgu Ishak Haji Nor

Sempena Hari Guru ini saya ingin mencatat sebuah tulisan khusus buat Cikgu Ishak Haji Noor (Allahyarham). Saya mengenali beliau semasa sama-sama mengajar di Sekolah Rendah Kebangsaan Felda Sungai Sayong, Kulai, Johor.
Beliau berpindah ke sekolah ini dari Sekolah Rendah di Selama, Perak selepas bertukar suka sama suka dengan Cikgu Wahab. Beliau ketika itu sudah berkahwin dengan Kak Odah, nama panggilan saya kepada isterinya. Sebenarnya beliau bukan sahaja sebagai teman guru sejawatan, tetapi lebih daripada itu beliau dan Kak Odah juga saya anggap sebagai abang angkat saya. Ketika itu beliau sudah mempunyai dua anak, iaitu Rais dan Ayu.
Di Felda Sungai Sayong ini, sesungguhnya hubungan kami antara sesama guru memang sangat baik. Kami macam sebuah keluarga. Kunjung mengunjungi tidak mengira masa.
Sebagai guru kami pernah sama-sama mengajar di darjah satu. Kebetulan pada waktu itu kebanyakan guru tidak suka mengajar darjah satu. Saya dan Cikgu Sehak kebetulan sama-sama menawarkan diri untuk mengajar darjah satu. Kami mengajar di sebelah petang. Kebetulan juga kelas kami sebelah menyebelah sahaja. Kami saling bekerja sama dalam apa juga masalah pengajaran dan pembelajaran. Salah satu cara kami mengatasi masalah lemah dalam membaca ialah dengan mengumpulkan murid yang lambat belajar. Ketika pelajaran Bahasa Melayu, Cikgu Sehak mengambil semua pelajar lemah dan saya mengambil semua pelajar yang sederhana dan pandai. Pada akhir tahun kami dapati tiada seorang pun yang tidak boleh membaca.
Satu lagi yang menarik pada Cikgu Sehak ialah kebolehannya mengajar. Beliau seorang yang berdedikasi. Pernah satu ketika kami membuat perubahan apabila kami mengkelas pelajar mengikut kebolehan mereka. Cikgu Sehak secara sukarela mengambil kelas yang paling bawah. Kebanyakan murid adalah murid yang lambat belajar dan lembam. Tapi kelebihan pada Cikgu Sehak dia dapat memimpin muridnya sehingga mereka berjaya melakukan suatu persembahan yang menarik ketika sukan tahunan sekolah. Mereka membuat persembahan ketika waktu rehat sukan dengan persembahan lakonan berirama dengan pelbagai variasi yang menarik dan melucukan.
Sebelum KBSR diperkenalkan lagi sebenarnya Cikgu Sehak telah menitikberatkan konsep KBSR yang menekankan 3M iaitu Membaca, menulis dan mengira. Bagi beliau murid darjah satu seharus diberi kemahiran tersebut terlebih dahulu, barulah diajar mata pelajaran lain. Ketika itu kami sendiri belum didedahkan dengan konsep KBSR itu.
Sebagai abang angkat pula, beliau bersama Kak Odah banyak membantu saya terutama semasa saya melangsungkan perkahwinan. Kebetulan keluarga saya sendiri jauh di Perak. Kepada beliaulah saya banyak memohon bantuan. Masa saya melangsungkan perkahwinan Kak Odah masih dalam hari. Cikgu Sehaklah yang bertungkus lumus menyediakan itu-ini, termasuk masak untuk rombongan kami yang akan bergerak ke rumah pengantin perempuan. Cikgu Sehak jugalah yang menjadi pengiring saya semasa hari langsung.
Hubungan saya dengan Cikgu Sehak berterusan apabila kami pindah ke Kota Tinggi, Cikgu Sehak sekeluarga juga berpindah di Taman Guru, Kota Tinggi. Kami tidak lupa akan berkunjung ke rumahnya bila ada kesempatan. Kebetulan Isteri saya mengajar di Sekolah Rendah Laksamana, anaknya Fidah pula belajar di situ. Isteri saya Cikgu Hasnah kebetulan mengajar anaknya pula.

Jumat, 13 Mei 2011

Balasan

Biasanya kita percaya setiap apa yang kita lakukan akan ada balasannya. Sebab itulah ada pepatah berbunyi, ‘Buat baik dibalas baik.’
Orang Melayu terlalu percaya tentang balasan sebelum mati. Kalau kita melakukan kesalahan dengan menyakiti, memfitnah dan berbuat jahat terhadap seseorang kita akan menerima balasan Allah di dunia ini lagi. Sebab itu bila berlaku sesuatu yang buruk terhadap seseorang, fikiran jahat kita akan terus menyatakan, ‘Ini tentulah kerana balasan yang diterimanya kerana dulu dia pernah...’ Begitulah fitnah akan dibalas dengan fitnah, pukul akan dibalas dengan pukul, tipu orang akan dibalas dengan dirinya akan juga ditipu. Begitulah, kita terlalu percaya dengan ‘balasan’.
Tidak semua balasan itu berkait dengan apa yang pernah kita lakukan. Misalnya bila ada orang kena rompak, kita tidak akan mengaitkan bahawa dulu dia juga pernah merompak sebab itu rumahnya kena rompak. Kita akan mencari helah balasan lain, dengan menyatakan bahawa dia kena rompak sebab tidak pernah berzakat. Bagaimana pula bagi mereka yang sentiasa berzakat, berderma tetapi tetap kena rompak?
Nabi sendiri pernah dibaling batu oleh penduduk Taif. Baginda juga pernah dikhianati dengan meletakkan kekotoran di belakangnya, iaitu perut unta ketika sedang solat di depan kaabah. Apakah ini bermakna Nabi pernah melakukan hal yang sama, sebab itu dia menerima ‘balasan’ kerana perbuatannya itu?
Memang banyak kisah-kisah orang yang baik sering saja dianiaya oleh orang yang tidak suka kepada kebaikan. Imam Ahmad Hambali dipenjara dan disebat, sedangkan kita tahu beliau tidak pernah menyakiti sesiapapun. Malah beliau adalah ulamak yang terkenal warak dan zuhud.

Minggu, 08 Mei 2011

Kiri dan Kanan

Sakit kakiku menambah sakit hatiku
melihat kanan sering menyalahkan kiri
kiri sebagai pesalah
perlu dihukum untuk mengalah.

Dengan tongkat kekuasaan di kanan
bebas bertindak tanpa menghalang gerak
kanan melangkah kiri menghayun
kiri melangkah kanan menghayun

Kiri dan kanan pada satu tubuh
sakit di kiri sakit di kanan
hati dan fikiran sering berdebat
mendahulukan kanan
bukan bermakna kiri tidak hebat
kanan dan kiri tidak perlu saling mengungkit
kita cuma punya satu tubuh
jagalah tubuh jangan biarkan sakit.


SHAPIAI MUHAMMAD RAMLY
(Berita Minggu, 24 April 2011)

Sabtu, 30 April 2011

Tentang Sumpah

Ramai yang mengaitkan isu sumpah oleh Datuk Eskey dengan ketidakberanian Anwar untuk sama-sama bersumpah. Seolah-olah ‘sumpah’ dapat membuktikan siapa yang benar. Malah kita orang Melayu ( Islam?) pun berasa bila seseorang itu bersumpah, bermakna dialah yang benar. Apakah kebenaran hanya boleh diselesaikan dengan bersumpah?

Ustaz Abu Basyer ada menyentuh tentang isu sumpah ini. Bagi beliau , ‘Di dalam hukum Islam apabila kita membuat tuduhan seseorang itu berzina mestilah membawa 4 orang saksi Islam yang adil bukan sumpah laknat dan vedio seks. Berdasarkan firman Allah SWT maksudnya : "Dan orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik-baik (berbuat zina) dan mereka tidak mendatang 4 orang saksi, maka deralah mereka(yang menuduh itu) delapan puluh kali dera, dan janganlah kamu terima kesaksian mereka buat selama-lama nya. Dan mereka itulah orang-orang yg fasik, kecuali orang yg bertaubat sesudahnya itu dan memperbaiki (dirinya), maka sesungguhnya Allah maha Pengampun lagi Maha Penyayang". (Surah an-Nuur ayat 4-5)’
Dalam kes tuduhan zina kepada seseorang tidak perlu mubahalah kerana telah ada nas yang khusus perlu merujuk kepada surah an-Nuur ayat 4-5) iaitu perlu membawa 4 orang saksi yang adil. Jika gagal mahkamah syariah perlu membuat dakwaan dan menghukum mereka yang membuat dakwaan tanpa membawa saksi dengan hukum qazab.
Ada yang mengaitkan perkara tersebut dengan menyatakan, ‘Berani kerana benar, takut kerana salah.’ Jadi Datuk Eskey telah berani bersumpah, jadi dia berada di pihak yang benar, manakala Anwar tidak bersumpah, lalu kita menghukum dia bersalah.’ Inilah ‘mahkamah’ kita dalam menentukan ‘kebenaran’. Seharusnya sebagai orang Islam kita mesti berani kerana Allah, takut pun biarlah kerana Allah. Kita sebagai orang Islam yang benar-benar cintakan Islam dan persaudaraan Islam seharusnya meletakkan perasaan ‘takut’ ini dalam semua perkara. Kita seharusnya ‘takut’ kerana Allah sentiasa melihat perbuatan kita. Kita seharusnya juga ‘takut’ untuk mengada-adakan sesuatu (terutama yang berkaitan agama) yang tidak ada dalam Al-Quran dan Sunnah. Mencabar seseorang untuk bersumpah bukan bermakna ‘berani’, kerana orang yang paling ‘berani’ ialah orang yang berani mengaku kesalahan dan meminta maaf atas kesalahannya.

Jumat, 22 April 2011

Bagaimana kebenaran sering membisukan diri.

Seorang teman saya sempat bercerita tentang seorang Ustaz yang berceramah di surau. Kata teman saya itu cara Ustaz itu tidak berhemah langsung. Kutukan dan celaan bermain di bibirnya. Apa tidaknya beliau menyatakan orang-orang yang tidak solat, yang suka berbuat maksiat macam babi. Malah mengaitkan wanita-wanita yang tidak menutup aurat macam babi.
Teman saya itu berasa ustaz itu tidak patut bercakap demikian. Ada ketikanya dia menyindir sesetengah pemimpin yang tidak peka langsung tentang suruhan menutup aurat ini. Seharusnya isteri pemimpin berkenaan menunjukkan contoh terlebih dahulu. Jadi ‘membabikan’ pemimpin-pemimpin berkenaan adalah sesuatu yang amat dikesalinya.
Saya bertanya pada teman saya itu, ‘Betulkah dia hadir sama dalam majlis tersebut?’ Kata teman saya itu, orang yang menyampaikan berita itu tidak hadir dalam ceramah tersebut, tapi dapat mendengarnya kerana rumahnya berhampiran surau.
Sebenarnya saya sendiri hadir dalam majlis tersebut. Memang ada Ustaz berkenaan menyebut binatang yang bernama ‘babi’, tapi dia tidak menggelar sesiapa pun macam babi. Dia cuma membuat perbandingan yang lebih kurang begini, ‘Sehina-hina babi, babi tidak masuk neraka.’ Itulah kata-kata Ustaz. Dia membuat perbandingan tersebut dengan manusia yang kadang-kadang bersifat lebih hina daripada binatang. Lalu dia mengambil contoh binatang yang kita sendiri berasa jijik, hingga kalau marah akan memaki dengan berkata, ‘Babi kamu!’.
Saya tahu orang yang menyampaikan cerita itu, sebenarnya tidak dapat mendengar ceramah ustaz itu sepenuhnya kerana dia hanya mendengar dari jauh. Dia tidak hadir sama di surau. Meskipun katanya dia dapat mendengar ceramah ustaz itu, mungkin ada ketikanya suara ustaz itu tenggelam timbul. Intonasi suara ustaz itu kadang-kadang tinggi, ada ketikanya perlahan.
Begitulah biasanya sesuatu berita itu tersebar. Orang yang mendengar berita itu sebenarnya tidak mendengar betul-betul berita yang disampaikan. Jadi bila dia bercakap dia akan menambah-nambah sehingga kebenaran biasanya dilupakan.
Sudah tentu pula teman saya itu akan menyampaikan berita yang salah itu kepada orang lain. Begitulah akhirnya kebenaran sering membisukan diri.Ustaz itu akan dituduh menghina pemimpin kita, menghina isteri pemimpin kita.

Sabtu, 16 April 2011

Pewara Sarawak

Pewara (Pemilihan wakil rakyat) telah berlalu. Kita pun sudah mengetahui siapa yang menang. Begitulah nampaknya sekeping kertas undi dapat menentukan siapakah yang bakal memimpin sesebuah negeri, malah sesebuah negara. Bukan setakat itu sahaja, undi juga akan menentukan ‘kuasa’. Satu undi kita akan menentukan siapa sahaja untuk berkuasa terhadap diri kita. Sama ada kuasa itu mungkin akan kembali menguntungkan atau merugikan. Begitulah dahsyatnya sekeping kertas kepercayaan yang kita berikan kepada seseorang.

Apakah pewara kali ini berlaku dengan adil dan saksama. Kita boleh memikirkannya sendiri. Sesebuah negara yang mengadakan pilihan raya atau pewara untuk memenuhi tuntutan demokrasi, sebenarnya belum tentu mengamalkan kebebasan demokrasi yang sebenarnya. Mungkin ada tekanan terhadap parti-parti lawan sama ada secara terang-terangan atau secara psikologi. Mungkin pelbagai cara dilakukan untuk menang dan terus berkuasa. Rakyat yang bijak akan dapat menilainya.

Sabtu, 09 April 2011

Grafiti

Kami hanya punya dinding
untuk bicara
melepaskan hasrat yang terbuku
marah dan kecewa

Katamu, kami tak punya masa depan
keluar dari gua-gua primitif
menuang emosi remaja
dengan pena perasaan
dan cat-cat cacian

Lahir anak muda
di lorong dan jalanan
menjadi ultimatum kepada kehidupan
beri muka atau beri kebebasan

Grafiti adalah suara kami
yang terbentur di dinding kuasa

Kota pun tahu
suara anak muda
lebih kuat daripada taufan


SHAPIAI MUHAMMAD RAMLY
Parit Besar, Batu Pahat.
25 Februari 2011
(Tersiar dalam Mingguan Malaysia 3 April 2011)

Kamis, 07 April 2011

Bangsa Yang Berkualiti

Manusia Melayu mesti berkualiti. Manusia berkualiti seharusnya memiliki sifat-sifat mampu membawa rahmat kepada diri, pada keluarga, kepada tetangga, masyarakat, bangsa dan negara.
Ingatlah ketika Nabi Muhamamad S.A.W membawa dan menyibarkan risalah Islam kepada penduduk Madinah dan Makkah, perkara pertama yang dilakukan oleh baginada, ialah membentuk umat Islam yang berkualiti. Beliau mempromosikan akhlak Al-Quran. Sehingga beliau berjaya mengalahkan kafir Quraish yang terkenal jahil dan degilnya itu.
Malangnya Melayu hari ini hanya melahirkan para penagih dadah, perasuah, pemfitnah, pengadu domba, peragut, perempit dan macam-macam lagi yang tidak berkualiti.
Ingatlah kalau begini kita akan kalah. Mana mungkin manusia Melayu begini mampu bertanding dengan kaum-kaum lain yang terkenal berdisplin dan kuat mempertahankan tradisi kerajinan mereka.

Minggu, 03 April 2011

Lembayung Senja

Senja tiba gersang di dada
memukul gembereng amaran
tanda keberangkatan raja usia
gentala masa terus melaju
memenjarakan benar di bibir dusta
membebaskan prasangka di lidah fitnah

Di hilir terakhir ini
lembayung senja
bagai kumparan benang masalah
tersadai di muara lalai
terdampar di pantai mungkar

Masih sempatkah
menjahit perca-perca kemaafan terakhir
sebelum maut menjemput angkuh.


SHAPIAI MUHAMMAD RAMLY
Sri Wangsa, Batu Pahat.

(Berita Minggu, 27 Mac 2011)

Senin, 28 Maret 2011

Bertemu Kawan Lama

Seorang kawan lama tiba-tiba menghubungi saya. Mula-mula melalui fb, kemudian memalui telefon. Kami akhirnya dapat berjumpa. Kebetulan dia datang ke Batu Pahat kerana urusan menghantar anaknya praktikum di sebuah syarikat swasta di bandar.
Kami bertemu di sebuah restoran berhampiran Carrefour. Sambil minum kami berbual tentang sastera dan kawan-kawan lama. Sebenarnya kawan lama saya ini adalah seorang Cina yang telah lama memeluk Islam.
Berkali-kali dia meminta maaf kepada saya bila menyentuh tentang keadaan orang Melayu masa kini. Maaflah, katanya. Meskipun dia Islam hubungannya dengan kawan-kawan Cina masih akrab. Mereka orang-orang Cina sebenarnya mentertawakan orang-orang Melayu yang dikatakan Islam itu. Pada mereka Islam itu Melayu. Secara tak langsung mereka melihat Islam itu bercelaru. Islam itu sarang kepada semua kejadian maksiat dan jenayah. Tak perlu merujuk dunia Islam Timur Tengah yang sering dikaitkan dengan keganasan.Di Malaysia pun Islam adalah dadah, adalah gejala sosial seperti buang anak, sumbang mahram, pergaulan bebas, minum arak dan merempit. Islam juga menggalakkan fitnah memfitnah, mengaibkan orang, rasuah, dan macam-macam lagi penyelewangan. Maafkanlah saya, katanya berkali-kali.
Saya menyatakan kepadanya tidak perlu meminta maaf untuk berkata benar begitu. Dia menceritakan satu contoh yang benar-benar memalukan Islam. Katanya, dia mempunyai teman-teman yang berniaga macam-macam. Pada sambutan Tahun Baru yang lalu, teman-temannya membuka gerai tambahan di bandar tempat dia tinggal. Apa yang menyedihkan beberap orang pegawai Majlis Perbandaran datang meminta kepada mereka untuk menyediakan lima mandarin. Bukannya sedikit, tetapi mereka minta jumlah yang begitu banyak iaitu, selori yang nilainya mencecah RM8000.00. Bila sudah dapat, mereka datang lagi minta tambah.

Sabtu, 19 Maret 2011

Begitulah ‘adatnya’...

Adat bermula sebagai peraturan yang dipatuhi kerana mempunyai nilai-nilai yang baik. Adat kadang-kadang menjadi ‘hukum’ yang perlu pula dipatuhi. Hingga ada yang menyatakan, ‘Biar mati anak, jangan mati adat’.
Adat kadang-kadang begitu kejam kepada manusia sendiri. Malangnya, manusia sendirilah yang mencipta ‘adat’. Begitulah hebatnya ‘Melayu’ sanggup bermati-matian menegakkan dan mempertahankan ‘adat’. Sungguhpun mereka sendiri tahu ada ‘adat’ yang tidak sesuai dengan ajaran Islam.
Tidak usahlah jauh-jauh mencari contoh. Adat perkahwinan Melayu sejak dahulu hingga sekarang masih mempertahankan ‘adat bersanding’, berinai, hantaran dan bertepung tawar. Meskipun kita tahu adat itu membazir, membebankan dan ada yang tidak sesuai dengan ajaran Islam, tetapi kedegilan dan kejahilan masih membelenggu masyarakat kita.
Meskipun pada mulanya konsep ‘Biar mati anak, jangan mati adat’ sebenarnya lebih kepada mempertahankan’hukum’ atau undang-undang yang tidak memilih bulu, biar pun anak sendiri yang melakukan kesalahan perlu dihukum mengikut undang-undang sedia ada (sudah tentu undang-undang Islam). Tetapi orang Melayu lebih melihat ‘adat’ sebagai satu peraturan turun-temurun yang telah sebati dengan hidup, meskipun dalam adat itu jelas bertentangan dengan Islam.

Sabtu, 12 Maret 2011

Di Makam Ihsan

Kolong kehidupannya
gersang gagasan
kepedulian terpenjara
kerusi kuasa
bertingkah khutbah
kembali kepada risalah
kepada sunnah.

Para pragmatis
menajisi kemuliaan
raga hidup harmoni
berpakansi
dengan pakaian kepalsuan
jenang-jenang penyisihan
menjelang terjang terakhir
galau orang di pasar politik
memuja arca asap
kesementaraan

Bermujahadah
mencari hidayah
menghampar kebenaran
menyatu hasrat
di makam ihsan.


SHAPIAI MUHAMMAD RAMLY
Parit Besar, Batu Pahat.
(Mingguan Malaysia, 27 Feb 2011)

Kamis, 03 Maret 2011

Siapakah yang lebih cerdik.

Mahathir ketika ditemuramah di Jakarta oleh wartawan Indonesia, menjawab soalan yang dikemukan kepadanya oleh wartawan di sana,’Apa pendapat tuan, jika di sini kami melihat tuan sebagai Sukarno kecil?’ Mahathir menjawab, ‘Di negara saya sendiri, mereka hanya mengenal saya sebagai Mahathir kecil.’
Anwar Ibrahim pula sedang berucap ketika Malaysia dan Indonesia ada krisis tentang jati diri. Soal batik disentuh oleh Anwar. Katanya, ‘Jika saya memakai batik Indonesia, nanti ada yang menyatakan saya memihak kepada Indonesia. Jika memakai batik Malaysia, nampak jelik, jadi lebih baik saya memakai batik Afrika.’ Sambil disambut ketawa oleh audien.
Awang Selamat semasa memberi komen terhadap kenyataan Anwar menyatakan kalau dia ditanya tentang isu batik dia akan menjawab begini, ‘Batik Indonesia bagus, tetapi batik Malaysia juga bagus.’
Tentu kita dapat menilai kenyataan siapakah yang lebih bijak dan cerdik.

Jumat, 18 Februari 2011

Sesuatu yang Mudah Tetapi Terlalu Sukar untuk Dilakukan.

Kesibukan mengikat dan mengikut kita ke mana-mana sahaja. Itulah hakikatnya kehidupan kita ini. Memburu kebahagian. Memburu waktu demi kebahagiaan sampai kita lupa bahawa ada sesuatu yang perlu kita lakukan, tetapi selalu sahaja terlepas begitu sahaja.
Sebenarnya apa yang kita kejar dan kita buru hanyalah kebahagian dunia yang sementara. Ada pepatah menyatakan jika kita mengejar dunia, kita akan terlepas akhirat tetapi jika kita mengejar akhirat kita akan dapat juga dunia?
Kita sebenarnya melihat ‘akhirat’ sebagai akhir sebuah kehidupan. Akhirat bermakna kematian bagi seseorang insan atau manusia. Hakikatnya ‘akhirat’ adalah tujuan hidup kita. Hidup di dunia ini adalah untuk hidup di akhirat nanti. Soalnya bagaimana?
Sebab itulah Nabi sendiri pernah menyatakan orang yang bijak adalah orang yang sentiasa mengingati mati. Menginagati mati di sini bukanlah dalam bentuk negetif. Bila kita ingat mati sebenarnya kita ingat akhirat. Persediaan di akhirat memerlukan persiapan yang rapi. Kita mestilah cukup bersedia. Kita mestilah cukup amal. Amal di sini bukan sahaja ibadat solat sahaja. Bekerja juga amal, kerana dengan bekerja bersungguh-sungguh kita dapat melaksanakan ibadah zakat. Jika umat Islam miskin, bagaimana kita hendak berzakat. Sebab itulah kita mesti membangunkan ekonomi. Untuk membangun ekonomi kita perlukan ilmu. Untuk itu juga kita perlu belajar dan berusaha. Begitu juga untuk menunaikan haji kita perlukan wang dan kesihatan. Kedua-duanya itu perlukan usaha dengan bekerja keras untuk keperluan tambang dan sebagainya. Begitu juga dengan kesihatan kita, kita perlu menjaganya dengan banyak beriadah.
Hal ini saya kira semua orang tahu. Semua orang belajar kerana ada institusi seperti sekolah dan universiti. Semua orang bekerja untuk menyara hidup. Soalnya apakah belajar itu kerana ibadah? Apakah bekerja itu kerana ibadah? Belajarlah untuk hari akhirat. Bekerjalah untuk hari akhirat. Tentu kenyataan ini akan ditertawakan orang. Mana mungkin belajar dan bekerja dikaitkan dengan akhirat, dengan kematian?.
Ada yang menyatakan dengan bekerja bermati-matian mana mungkin untuk kita beribadah? Mereka lupa banyak waktu yang mereka sia-siakan. Sebagai contoh semasa kita bergerak untuk pergi dan balik bekerja kita terlibat dalam kesesakan lalu lintas. Kita terus sahaja membuka radio atau CD. Dengar lagu-lagu untuk menghilangkan kebosanan. Alangkah baiknya jika kita gunakan waktu itu untuk berzikir dan bertasbih. Kalau ada CD Al-Quran kenapa tidak pasang saja. Sekurang-kurangnya kita dapat mendengar bacaan Al-Quran.
Itulah yang saya maksudkan sesuatu yang mudah tetapi sukar untuk dilakukan.

Minggu, 23 Januari 2011

Seulas Nangka Amanah

Kebun kepercayaan adalah amanah kita. Amanah yang kita yakini sejak kita diberi kepercayaan untuk menjadi wakil. Menjadi wakil kepada rakyat yang perlu pembelaan. Menjadi wakil yang setia kepada rakyat, bukan setia kepada nafsu berkuasa. Apatah lagi setia kepada kuasa yang selama ini kita tahu penuh dengan pelbagai masalah. Tetapi di hadapan kita mereka masih berupaya menyapu permukaan mulia mereka dengan bantuan pupur kebaktian. Hakikatnya mereka hidup dalam kebeningan setia melulu dan kabur keberanian. Kita seharusnya menyingkap kembali episod Sang Rajuna Tapa kembali ke pentas mencari Raja Suran yang turun ke laut. Menyingkap persoalan kenapa Tuah kembali bertikam. Titah sentiasa mendahului perintah. Seulas nangka amanah hanya secebis percaya. Raja kekuasaan rasa tercabar bagai jebat mencabar kedaulatan.
Seulas nangka amanah di kebun kebenaran kita, telah lama dibiarkan menjadi persoalan yang tak terjawab. Rasuah dikaburi dengan hadiah-hadiah pembangunan yang seharusnya menjadi kewajipan. Bukan minta ditagih-tagih untuk dikenang dengan sekeping undi. Seulas nangka amanah di Tenang kemudian di Merlimau, mungkin juga di Klang harus menjadikan kita pemikir.
Jangan sampai ada yang turut kecundang.

Minggu, 16 Januari 2011

Membasuh Resah di Sungai Amarah

Siapakah?
membasuh resah
di sungai amarah
menggali-gali gelisah
menghampar fitnah
lemas di sejadah
lapar takwa, sesat fatwa
kenyang rasuah

Siapakah?
membasuh resah
di sungai amarah
merajahambakan nafsu
memberhalamuliakan leka dunia
merebut nikmat sementara
mungkir takdir

Siapakah?
membasuh resah
di sungai amarah
membina mungkar kuasa
di kerajaan kebendaan
derita percaya yang dipaksa
mendakwa dogma

Siapakah?
mengenakan baju resah
yang dibasuh di sungai amarah

SHAPIAI MUHAMMAD RAMLY
Sri Wangsa Batu Pahat, Johor.
(Tersiar dalam PENTAS, Julai-Sept, 2010)

Kamis, 13 Januari 2011

Doa

Allah merindukan suara-suara doa dari makhluk ciptaan-Nya. Doa menandakan kita mencintai-Nya, kita mengagumui-Nya, kita mempercayai-Nya, kita benar-benar bersyahadah dengan-Nya.
Doa bukan sahaja permintaan, tetapi juga pengakuan kita bahawa kita makhluk lemah yang perlukan pertolongan dan kasih sayang-Nya. Doa juga adalah ibadah.
Mengapa kita mesti bersombong diri dengan Allah. Mintalah kepada-Nya. Mintalah bersungguh-sungguh, bukan setakat selepas solat lima kali sehari, tetapi setiap detik, setiap kali kita teringatkan Allah, sertailah dengan doa. Biar doa kita tidak putus.
Sebab itulah dalam setiap urusan kita, mestilah disertai dengan doa. Bila bangun tidur berdoalah, bila hendak berpakaian, berdoalah. Bila keluar rumah berdoalah. Bila naik kenderaan berdoalah.
Dengan berdoa juga kita memperbaharui ketakwaan kita. Dengan berdoa juga kita akan sentiasa ingatkan Rasullah junjungan kita Nabi Muhammad S.A.W.
Jadi mengapa kita lokek dan sukar sangat untuk berdoa.
Allah SWT menggalakkan hamba-Nya berusaha dan berdoa, Firmannya: Berdoalah kepadaKu, pasti Aku akan perkenankan doamu.’ (Al Mukmin: 60)

Rabu, 05 Januari 2011

Rumah Akhirat.

Kita sibuk membina rumah dunia. Mengumpul wang, meminjam bank, memimjam pada kerajaan untuk memiliki sebuah rumah yang selesa. Mungkin ada yang masih menyewa, tetapi tetap akan berusaha untuk memiliki rumah sendiri.
Bagaimana dengan rumah di akhirat. Apakah kita pernah memikirkannya, untuk membina sebuah rumah yang selesa semasa di akhirat. Bagaimanakah caranya untuk membina rumah itu?. Apakah kita perlu pinjam bank?
Ingatlah kita akan meninggalkan juga rumah besar kita di dunia untuk menghuni sebuah lagi rumah di alam kubur nanti. Tubuh kita akan kembali kepelukan tanah perkuburan. Roh kita akan di tempatkan di mana? Sebenarnya roh kita perlukan sebuah rumah sebelum kita dibangkitkan kembali.
Marilah kita membina sebuah rumah di akhirat dengan tidak meninggalkan ibadat yang wajib di samping menambahnya dengan ibadah-ibadah yang dapat menguatkan iman.

Minggu, 02 Januari 2011

Kita Menang tetapi Kalah.



Tentang bola sepak masih terasa bahangnya. Ada saja ulasan dalam akhbar bagaimana kemenangan kita di Stadium Bung Karno, Jakarta itu setelah kita kalah 2 – 1. Kita kalah, tetapi kita menang. Itulah hakikatnya. Bola memukau kita dan juga orang-orang Indonesia. Kebencian mereka kepada kita makin bertambah-tambah. Bagi mereka kekalahan dengan Malaysia, bermakna malu besar. Biar kalah dengan negara lain, tapi jangan dengan Malaysia. Entah kenapa saudara serumpun kita itu, bersikap begini. Nampaknya Malaysia banyak mengalah dan bersabar. Orang-orang kita tetap berduyun-duyun melancong ke Indonesia. Kita tetap membaca karya sastera mereka. Kita tetap mengagumi Amir Hamzah, Chairil Anwar, Pramodeya Ananta Teor, Putu Wijaya dan Gunawan Muhammad.
Begitulah, dalam hidup ini kadang-kadang kita harus kalah untuk menang. Biar kita kalah di dunia, tetapi menang di akhirat.
Permainan bola kehidupan lebih memukau. Kitalah pemainnya. Bola kehidupan mengelecek kehidupan kita dengan bermacam-macam keinginan. Kita terpukau kepada janji-janji kebendaan. Kepada kesenangan dunia seperti pekerjaan berpendapatan tinggi. Semuanya untuk membeli dunia. Hingga kita lupa untuk membeli akhirat.