Minggu, 18 September 2011

Islah Melayu

Semangatmu,
telah terjun ke kutub-kutub
belayar mengelilingi dunia
merenangi selat Inggeris
mengharung angkasa
menawan everest
siapa tidak kenal Melayu!
politiknya berpupurkan resah
bagimana menjatuhkan lawan
bukan bagaimana memerintah

Benarlah,
yang membunuh Hang Nadim bukan raja
tetapi Melayu!
yang membunuh Jebat bukan Tuah,
tetapi Melayu!
kerismu itu
pamor bisa hasadnya
membunuh Melayu sendiri.

Bahasamu itu
hanyalah bahasa perpaduan
bukan lagi bahasa ilmu

Sasteramu itu,
tersembunyi di bawah lipatan
malu-malu

Tanahmu itu
bukan lagi tanah ketuanan Melayu
kini sudah diratakan
‘untuk dijual’

Pesiaran Citra, Johor Bahru.
9 April 2008
(Dewan Sastera Ogos 2011)

Rabu, 14 September 2011

Manusia Makin Hilang Pertimbangan

Bila membaca berita-berita yang tersiar di akhbar, terutama berita bunuh dan perkelahian puncanya kadang-kadang tidak masuk akal. Baru-baru ini hanya kerana tersenggol bahu secara tidak sengaja seseorang itu sanggup mengamuk dan menikam orang yang datang majlis kenduri hingga ada yang luka parah. Ada lagi berita seorang anak menikam ibu-bapanya hingga mati kerana tidak bersetuju dengan cadangan si anak untuk menjual tanah.

Apakah manusia sekarang sudah hilang pertimbangan? Kenapa hal-hal yang sedikit kadang-kadang boleh menyebabkan pembunuhan?

Sikap. Sikap manusia sudah berubah. Berubah kerana suasana hari ini lebih menekankan hal-hal keduniaan. Agama hanya dalam bentuk luaran. Orang Islam sendiri kelihatan dari segi luarannya tidak tinggal solat , puasa dan ibadat-ibadat lain. Tetapi dari segi penghayatan mereka agak lemah. Tanyalah mereka yang solat, adakah mereka faham ayat-ayat yang mereka baca semasa solat. Saya percaya mereka membaca tetapi mereka tidak faham, lalu mereka tidak dapat menghayatinya.

Di sinilah kelemahan kita. Sehingga apa yang kita lakukan seharian biasanya bertentangan dengan kehendak Islam. Sikap mudah marah, mudah melenting dan membuat keputusan di luar jangka sering berlaku dalam kehidupan kita. Sebab itulah hingga sekarang kita tidak dapat mengubah sikap kita bila berada di jalan raya. Setiap hari perayaan, kemalangan jiwa semakin meningkat kerana sikap manusia sendiri.
.

Minggu, 11 September 2011

Membuat pertimbangan dengan saksama

Kita sering membuat kesilapan apabila membuat pertimbangan. Kerana kesilapan itu kita tidak dapat pula membuat keputusan dengan betul. Hasilnya boleh menyebabkan sesuatu perkara itu tidak berlaku dengan sewajarnya.
Lebih-lebih lagi setelah kita membaca sesebuah berita atau rencana, pernahkah kita berfikir kebenarannya atau kita terus percaya.
Pemberita juga manusia. Sebagai manusia mereka juga tidak terhindar daripada membuat kesilapan. Malah kadang-kadang mereka terpaksa membuat kesilapan demi sesuatu tujuan. Sebab itulah kita dapati ada akhbar yang begitu bias kepada sesebuah parti politik, kerana parti tersebut ada kepentingan dalam akhbar berkenaan. Jadi kita tidak akan dapat sebuah berita atau rencana yang benar-benar bebas.
Kita juga sebagai pembaca seharusnya tidak terikat dengan mana-mana fahaman politik, barulah kita dapat membuat pertimbangan dengan saksama.
Takutlah dengan dosa memperpanjangkan berita palsu. Takutlah dengan dosa mengupat dan memfitnah.
Sesungguhnya medan media banyak menyumbangkan dosa, jika tidak berdiri di atas paksi kebenaran.
.

Rabu, 07 September 2011

Mencari Wira

Persoalan siapakah wira kini menjadi hangat. Angkara Mat Sabu yang cuba mengangkat Mat Indera sebagai wira. Alasannya Mat Indera menyerang rumah pasong di Bukit Kepung pada zaman British. Jadi Mat Indera sebenarnya menyerang tali barut British. Macam juga Pak Janggut yang menentang British di Kelantan tetapi dikatakan sebagai penderhaka oleh Inggeris.

Wira merdeka seharusnya adalah mereka yang terlibat dalam menentang penjajah Inggeris sehingga Tanah Melayu mencapai kemerdekaannya pada 31 Ogos 1957. Siapakah mereka? Tanyalah ahli sejarah. Mereka boleh memberikan jawapannya. Bukan orang politik. Orang politik perlu merujuk buku sejarah. Sejarah perlu ditulis oleh ahli akademik, bukan oleh ahli politik yang minat sejarah. Mereka tentu bias kepada fahaman masing-masing.

Sebenarnya kita juga boleh menjadi wira. Wira muncul setiap hari. Orang yang amanah dengan tanggungjawab yang diberi adalah wira. Berjuang mempertahankan kebenaran berlandaskan Islam adalah wira. Bercakap benar meskipun tidak menguntungkan adalah wira. Berani mengaku bersalah dan bersedia meminta maaf juga adalah wira.

Jalan raya atau lebuh raya tidak akan melahirkan wira. Padang atau stadium tidak akan melahirkan wira. Laut dan langit juga tidak akan melahirkan wira. Wira lahir di lebuh raya keadilan. Wira lahir di padang dan stadium yang menjulang kebenaran. Wira lahir di laut dan di langit yang mempertahankan agama Islam sebagai agama kebenaran.

Kamis, 01 September 2011

Sambut Hari Raya Secara Sederhana.



Ketika takbir raya bergema di masjid-masjid dan di surau-surau hati terasa sayu kerana ramadan telah berlalu. Meski telah sebulan berpuasa, tapi terasa masa begitu pantas bergerak. Rasa macam baru saja berpuasa, tahu-tahu hari ini kita sudah menyambut syawal.
Apa yang terfikir di dalam hati, adakah kita dapat bertemu kembali ramadan tahun akan datang? Bulan yang penuh keberkatan itu. Bulan di mana al-Quran diturunkan. Bulan di mana ada satu malam menyerupai seribu tahun beribadat.
Oleh itu sudah semestinya kita umat Islam, apabila tibanya syawal harus memeriksa diri, adakah kita telah berjaya melakukan ibadah dalam bulan magfirah itu dengan sempurna?
‘Hari Raya’ adalah menifestasi kepada ibadah yang telah kita lakukan dalam bulan puasa itu. Memang kita harus merayakannya jika kita berjaya memenangi segala cubaan dan dugaan selama berpuasa itu. Ketika semua iblis dipasung, kita sebenarnya tidak mempunyai masalah untuk beribadah. Tetapi kenapa masih ada lagi manusia Melayu yang melakukan kemungkaran? Yang rasuah tetap rasuah, yang berjudi tetap berjudi, yang meragut tetap meragut, yang membunuh, merompak, menipu tetap berjalan seperti biasa. Bacalah akhbar, setiap hari ada saja kejadian jenayah dilaporkan.
Oleh itu bersederhanalah ketika merayakan hari raya aidil fitri. Menyambut hari raya secara berlebih-lebihan dengan mengadakan rumah terbuka, misalnya memang sesuatu yang digalakkan kerana boleh menghubungkan dan mengeratkan silaturrahmi, tetapi janganlah bermusim. Silaturrahmi seharusnya dijaga sepanjang masa, sepanjang tahun dengan pelbagai cara.
Ketika kecil dulu saya melihat Hari Raya sebagai hari bergembira secara total. Hari melepaskan diri daripada beban berpuasa. Tidak ada yang memberitahu secara pasti mengapa kita umat Islam mesti berpuasa. Kita melaksanakannya hanya kerana ibadah itu adalah salah satu daripada rukun Islam.
Jadi bila tiba hari raya, anak-anak akan membakar mercun dan bermain meriam tanda gembira. Kita ke rumah-rumah jiran dan saudara mara kerana dapat mengumpulkan wang.
Hari raya kedua, berduyun-duyunlah masyarakat Islam mengunjungi panggung wayang untuk berhibur. Ketika ini filem-filem baru ditayangkan di panggung-panggung wayang seluruh negara. Maka berpestalah kita untuk merayakannya hari raya aidil fitri.
Itulah konsep hari raya. Tidak lebih dari itu. Kini segala-galanya sudah berubah. Umat Islam sudah sedar bahawa hari raya bukan bermakna bebas makan dan minum sahaja. Hari raya bukan bermakna boleh mengenakan baju baru sahaja. Hari raya bukan bermakna untuk bersilaturrahmi sahaja. Lebih daripada itu hari raya aidil fitri dan syawal yang menjelang adalah introspeksi diri, adalah bulan itu menambahkan azam untuk kita lebih gigih beramal, untuk lebih bertakwa dan mengabdikan diri kepada Allah Azzawajalla.