Minggu, 29 Januari 2012

Amanah

Jika setiap kita faham tentang apa yang dikatakan ‘amanah’ dan terus menjaganya sudah tentu hidup kita (masyarakat) akan aman dan tidak akan berlaku (kurang berlaku) perkara-perkara yang melanggar hukum agama. Biasanya orang yang amanah di dalam dirinya ada iman, ada tawakal dan ada sifat-sifat mahmuddah.
Agak sukar untuk mencari manusia amanah pada zaman ini. Sesuai dengan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh abu hurairah, ketika Nabi menjawab pertanyaan seorang badwi yang bertanyakan tentang hari kiamat. Sabda Nabi, ‘Jika amanah sudah disia-siakan, maka tunggulah datangnya kiamat.’ Seterusnya si Badwi itu bertanya lagi, ‘Bagaimanakah terjadinya kesia-siaan itu, wahai rasullallah?’, Nabi menjawab, ‘Iaitu ketika suatu urusan diserahkan bukan kepada ahlinya, maka tunggulah kedatangan kiamat itu.’.
Daripada hadith itu jelas menunjukkan bahawa ‘amanah’ bukan lagi menjadi pilihan kepada orang yang memimpin, iaitu seperti yang dimaksudkan nabi apabila suatu urusan itu tidak serahkan kepada yang bukan ahli.
Bila yang bukan ahli menjadi pemimpin sudah tentulah mereka menjalankan tugas bukan berdasarkan amanah.
Siapakah pemimpin? Seorang bapa ada pemimpin dalam sebuah keluarga. Anak-anak adalah amanah. Jika bapa tidak menjalankan tugasnya sebagai bapa yang bertanggungjawab maka rosaklah sebuah institusi keluarga. Begitu juga seorang pemimpin. Di bahunya ‘amanah’ untuk berlaku adil kepada semua rakyat. Jika seorang pemimpin lebih mementingkan keluarga, kroni dan penyokong-penyokongnya sahaja, maka beliau bukanlah seorang yang boleh dikatakan ‘amanah’.

Minggu, 22 Januari 2012

Yang Memisahkan Kita

Kalau dulu yang memisahkan kita
hanyalah lautan kehidupan
tetapi ikannya, ombaknya, karangnya adalah sama.

Kalau dulu yang memisahkan kita
hanyalah sungai fikiran
tapi tebing persaudaran kita adalah sama
kita sering menyeberang memberi salam

Kalau dulu yang memisahkan kita
adalah gunung keazaman
tapi rimbanya, fauna dan floranya adalah sama
biar saling berburu alamnya tetap terjaga

Kini yang memisahkan kita
adalah dinding perbezaan
yang dibina oleh rasa kekitaan

Kini yang memisahkan kita
adalah pagar-pagar prasangka
yang didirikan oleh rasa curiga

Kini yang memisahkan kita
adalah sempadan, paspot dan kuasa
yang memisahkan fikiran dan rasa kemanusiaan.

Shapiai Muhammad Ramly
Batu Pahat, Johor.
(Berita Minggu 15.1.2012)

Rabu, 11 Januari 2012

Menziarah Rakan-rakan yang sakit

Beberapa hari ini mengambil peluang untuk menziarah dua orang rakan yang sakit. Seorang rakan saya yang bekerja sebagai pensyarah di IPTHO, didapati mengalami cecair di otaknya kerana sistem saraf yang tidak berfungsi di tengkuk, menyebabkan cecair tidak dapat turun ke perut. Beliau telah mendapat rawatan hospital, dan sejenis saluran ditanam di otaknya dan disalurkan melalui leher terus ke perut. Nampaknya kecangihan perubatan kita sudah tidak boleh diragui. Semasa melawat beliau, nampaknya beliau menyatakan bahawa ada sesuatu yang menggangu beliau sebelum ini, beliau sering pening kepala dan sebelum dirawat di hospital beliau mengalami muntah-muntah darah. Umur beliau baru 51 tahun.

Teman saya yang seorang lagi, ialah seorang penulis yang pernah mendapat anugerah Karyawan Johor. Beliau pada mulanya mengalami stroke, tetapi sudah semakin pulih. Cuma kebelakangan ini tidak lagi kuat berjalan. Memang ramai teman-teman yang menziarahi beliau. Nampaknya semasa saya datang, beliau masih dalam keadaan ingat, tetapi selang beberapa ketika, asyik menghulur tangan untuk bersalaman.

Begitulah, kita sebagai manusia akhirnya akan ditimpa sakit. Cuma kadang-kadang sakit seseorang itu berbeza antara satu dengan lain. Kalau sakit kencing manis, gaut, darah tinggi, lemah jantung memang biasa. Sakit barah juga sering membawa kita ke distinasi yang terakhir. Beberapa orang sahabat saya sudah pun berpulang ke rahmatullah kerana sakit yang saya sebutkan tadi. Ada lagi yang masih menerima rawatan. Masih terkedang di rumah pun ada. Begitulah kalau dulu semasa sihat kami tidak terfikirpun bahawa pada suatu hari kelak kami akan saling bertanya khabar, tetapi dalam keadaan masing-masing sedang diuji dengan pelbagai penyakit.

Nampaknya pengajaran kepada saya, ialah tentang ‘masa’ yang sering diingatkan oleh Allah dalam surah ‘Al-asyr’ itu, demi masa manusia sering kerugian, kecuali yang berpesanp-pesan dengan kebaikan dan dengan kesabaran’. Begitulah masa sihat, seharusnya kita manfaatkan dengan pelbagai amal dan kebajikan. Masa senggang kita isikan dengan amal dan kebajikan. Masa muda juga, apalagi jika yang kaya dan berkemampuan sudah tentu gunakanlah kekayaan itu untuk beramal. Sayangnya, kita sering terlupa. Bila sakit barulah penyesalan datang. Kalaulah aku sihat, kalaulah aku sihat....

Minggu, 01 Januari 2012

Tahun Baru

Tahun baru ditandai oleh beberapa insiden yang kurang enak. Meskipun ada yang masih leka dengan sambutan secara berhibur di dataran hingga membawa ke dinihari, ada juga insan yang terpaksa bermalam di lokap, terbaring di katil hospital kerana berdemonstrasi secara haram.
Yang di dataran juga sebenarnya adalah demonstrasi, tetapi dihalalkan kerana gara-gara ada pemimpin yang sanggup bersama-sama merayakannya. Meskipun cara merayakan tahun baru ini sebenarnya tidak sesuai dengan budaya kita orang Islam tetapi nampaknya kita sudah merasakannya bahawa perayaan itu tidak apa-apa masalah dan bukan pula satu dosa untuk bergembira hingga ke pagi.
Berlainan dengan demonstrasi pelajar-pelajar UPSI yang menuntut supaya AUKU dimansuhkan. Nampaknya hal ini lebih menakutkan kerajaan, daripada hal-hal maksiat dan gejala sosial yang bakal berlaku akibat acara sambutan yang mudah menjerumuskan anak-anak muda itu ke arah berzina.
Dalam ucapan PM sempena sambutan tahun baru itu, beliau lagi sekali mengingatkan tentang beberapa usaha kerajaan untuk membuat beberapa perubahan yang terkenal dengan istilah ‘transformasi’, iaitu tentang transformasi politik, transformasi ekonomi dan transformati pentadbiran. Benarkah ada perubahan atau hanya sekadar retorik semata-mata kerana pilihan raya yang semakin hampir itu.