Rabu, 29 Februari 2012

Mahrajan Persuratan dan Kesenian Islam Nusantara



(Gambar Ketua Satu PPJ, Amiruddin Ali Hanafiah turut serta dalam adat potong jambul di Dewan Rakyat Pimping, Membakut)
8- 12 Februari 2012.

Ketika pertama kali menjejak negeri Sabah, turun dari pesawat ‘Air Asia’ kami dijemput oleh Ramli Jusuh dan Ruhaini Matdarin. Mereka Urusetia Marhajan yang bertungkus lumus memastikan peserta yang tiba dapat dibawa ke Kem BTN di Resort Eko Lake, Membakut. Peserta PPJ hanya saya, Hamzah Hamdan, Hasnah Hj. Omar dan Fathin Shapiai. Ketua Satu PPJ, Amiruddin Ali Hanafiah tiba dari KL agak lewat kerana hari ini hari bekerja. Perjalanan agak jauh lebih kurang 80 km. Kami singgah dulu untuk makan tengahari di Restoren Taufik Hidayah, kerana jam sudah melebihi 2 petang. Nasib baik juga kami sudah makan dulu di dalam pesawat.

Dalam perjalanan kami sempat berkenalan dengan Ramli Jusuh yang berasal dari Terangganu. Beliau sudah berpuluh tahun tinggal di Sabah, berkahwin dengan orang Sabah. Pesara guru kini menumpukan hidupnya dengan berladang dan menternak lembu dan kambing. Di samping itu bergiat dalam persatuan BAHASA. Kini sebagai Ketua Dua BAHASA. Seorang lagi kenalan baru ialah Sdr. Yatim Ahmad, seorang pemberita di akhbar Borneo Post. Beliau banyak membuat ulasan-ulasan buku. Ruhaini Matdarin pula adalah seorang pengarang muda kelahiran Sabah. Beliau adalah pemenang Sayembara menulis nobel Kerajaan Negeri Sabah siri 1, 2011. Novel beliau berjudul ‘Nisan’.

Ketika kami tiba di Dewan Masyarakat Membakut, perasmian Mahrajan Persuratan dan Kesenian Islam Nusantara telah pun berlangsung. Sepatutnya dirasmikan oleh Menteri Luar Negeri YB Datuk Seri Panglima Haji Anifah Haji Aman, tetapi beliau tidak dapat balik kerana terkandas di London akibat cuaca sejuk yang terlampau. Majlis dirasmikan oleh YB Datuk Haji Mohd. Ariffin bin Mohd. Ariff, iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri N.24 Membakut. Ketika kami sampai hujan turun agak lebat. Kami sempat menyaksikan beberapa persembahan deklamasi sajak dan pantun oleh beberapa tokok sastera dan seniman Sabah.

Dari Dewan Orang ramai kami terus dibawa ke penginapan di Kem BTN yang agak jauh dari bandar. Aku mendaftar dan mendapat bilik bersama tujuh peserta yang lain. Tetapi mereka masih belum sampai. Jadi aku memegang kuncinya, iaitu bilik 504. Hamzah Hamdan terpaksa berpisah denganku, dia ditempatkan di bilik 510 bersama peserta Singapura dan Sabah.

Malamnya kami dibawa ke Kampung Binsuluk untuk mengadakan persembahan. Di sini kampungnya berada di pinggir pantai. Ketika kami berjalan kaki masuk lorong kampung bau ikan dan udang cukup terasa, sehingga Datuk Latif sendiri berkata kepadaku bahawa di sini tentu ada perusahan membuat belacan. Memang benar setiap peserta diberi oleh-oleh belacan.

Persembahan malam itu di Dewan Datu Syahbandar Saleh kampung Binsuluk agak menarik dengan bacaan sajak, lagu puisi dan persembahan tarian dari penari-penari Kesenian LASQI Acheh. Penulis terkenal novel ‘Ayat-ayat Cinta’ Habiburrahman El-Shirazy juga sempat mengadakan pembacaan beberapa buah sajak nukilan beliau sendiri.

Pembentangan kertas kerja dan forum selama dua hari agak padat dengan pembentangan daripada peserta-peserta Malaysia, Berunai, Singapura, Thailand dan Indonesia. PPJ juga diwakili oleh Ketua Satu, Amiruddin Ali Hanafiah yang membentangkan makalahnya tentang, ‘Zapin dari Persepektif Islam’.

Malam-malam berikutnya diisi dengan persembahan di Kampung Brunei dan juga pada malam terakhir di Kampung Pimping, Membakut. Sesungguhnya sambutan penduduk-penduduk setempat memang sungguh meriah. Setiap kampung akan menyambut peserta seminar dengan paluan kompang dan bunga manggar.

Dalam ucapan aluan Datuk Haji Mohd. Ariffin bin Haji Mohd. Arif, menyatakan tema seminar kali ini adalah, ‘Transformasi dalam Persuratan dan Kesenian Islam’. Beliau juga berharap acara semumpama ini akan menjadi acara dwitahunan.

Minggu, 05 Februari 2012

Tentang Sikap.

Sikap memalapetakan masalah sering berlaku dalam kalangan orang Melayu. Biasanya masalah itu kecil sahaja, tetapi dijadikan ‘malapetaka’ kerana merasakannya menyentuh tentang sensetiviti Islam dan Melayu khususnya. Misalnya bila seseorang tokoh bercakap tentang yahudi, jangan ada kata-kata yang bermaksud untuk berbaik sangka kerana mereka juga manusia, akan terus menjadi ‘malapetaka’ dikecam dengan hebat. Semuanya akan berbalik kepada Yahudi yang benar-benar dilaknat dalam al-Quran. Bila tentang hal ini banyak pula yang merujuk kepada al-Quran. Masing-masing seolah-olah menjadikan al-Quran rujukan harian mereka, tetapi dalam bab-bab amalan, akidah, iman dan hukum mereka sering terlupa, malah ada yang menyatakan ‘tidak sesuai’ dengan zaman ini. Seperti hukum hudud. Ada yang sampai kepada menyatakan hukum tersebut hanyalah sebahagian kecil dalam perundangan Islam. Kita sebagai umat Islam perlu menumpukan sesuatu yang lebih bersar dan mencabar seperti bagaimana hendak memajukan umat Islam. Begitulah kata mereka, sehingga ada yang menyatakan jika oorang Islam dikenakan hukum hudud seperti potong tangan untuk kes mencuri, bagaimanakah mereka survive dalam hidup mereka kelak, kerana mereka perlukan tangan untuk bekerja.

Mengukur sikap dengan kata-kata sering menjadikan kita lupa siapa kita. Sikap syukur misalnya sering dirujuk kepada pemberian kerajaan kepada rakyatnya. Rakyat tidak tahu bersyukur kerana segala kemudahan yang diberi oleh kerajaan, segala kemewahan yang kita kecapi, segala keamanan yang kita nikmati adalah atas usaha kerajaan. Oleh itu tidak seharusnya rakyat tidak berterima kasih atau bersyukur. Bersyukur harus diterjemahkan dalam pilihan raya, iaitu dengan memberi sokongan kepada calon parti yang memerintah. Inilah sikap yang salah yang sering menjadikan kita serba salah. Kenapa rakyat sahaja yang mesti berterima kasih kepada kerajaan, iaitu parti yang memerintah. Kenapa kerajaan pula tidak berterima kasih kepada rakyat yang selama ini menyokong mereka. Selama berpuluh tahun tentunya. Seharusnya kerajaan yang memerintah tahu bagaimana hendak bersyukur.

Memang kita seharusnya bersyukur. Bersyukur bermakna kita akan lebih patuh kepada perintah Allah, dan terus memperhebatkan amal dan menjaga iman. Itulah tanda keksyukuran kita sebagai hamba Allah. Banyak nikmat yang Allah berikan, sudah tentu kita tidak akan dapat membalasnya kalau hanya dengan ibadah kita yang seciput itu.

Rabu, 01 Februari 2012

Rumah Akhirat

Aku singgah sebentar
di rumah ghairah dunia
membetulkan kiblat
mengejapkan sahadat
mencari rimbun rakaat
di pohonan solat

Aku membajak di bendang bimbang
mandi stimulus di perigi doa
guruh bahagia masih jauh
aku ingin masuk
ke dalam kapas kasih-Mu
terbang di langit ilahi
menyeberang lautan zikir
berkaca di cerminan makna
dosa pahala

Aku hanya singgah sebentar
sebelum mandi di terminal terakhir
sebelum pindah
meninggalkan rumah dunia
ke rumah akhirat
yang kita bina
daripada batu-bata ibadat.



SHAPIAI MOHD. RAMLY
25 Nov. 2010
(Dewan Sastera Jan.2012)