Selasa, 27 Maret 2012

Kantata Malam Mahrajan

Senyampangan pertemuan. Wangian pandan persahabatan. Malam mahrajan di Membakut dengan aroma udang, ikan dan sotong. Binsuluk yang bersusila. Menyapa dengan gerimis mesra. Rumah-rumah bertiang tinggi menyalakan lampu ramah. Tiang-tiang ukhuwah tertambatnya perahu percaya. Pimping yang peramah. Halaman dihias dengan deretan pelita bersiduga dengan manggar mesra. Manifestasi emosi. Mereka yang kaya budaya kaya susila. Brunai di pinggir pantai dengan purdah hidup sederhana dengan paluan kompang selamat datang. Mereka berselawat, berpantun dan bergurindam tentang wadah hidayah. Kantata malam mahrajan tiga malam di Membakut. Membakut, Sabah. (Tersiar di MM 18 Mac 2012)

Selasa, 06 Maret 2012

Jika di seberang ada kebenaran, mari kita menyeberang

Kebenaran bukan seperti pohon yang berbuah yang boleh mengiurkan kancil. Sehingga kancil terpaksa menipu buaya untuk menyeberang.

Kebenaran hanya boleh diterjemahkan oleh sesiapa sahaja yang celik hatinya. Setiap hari media menyuguhkan kepada kita macam-macam isu. Terpulang kepada kita untuk mentafsir dan memikirkannya. Bagi yang sudah punya warna tersendiri, sukar untuk berfikir secara matang.

Kebenaran tidak perlu dibohongi dengan retorik politik, kerana kebenaran politik tidak sama dengan kebenaran intelektual.

Di seberang sana mungkin tidak ada kemewahan, jauh sekali menjanjikan kesenangan hidup. Biasanya begitulah dengan kebenaran. Kebenaran tidak menjanjikan apa-apa, malah kadang-kadang kita terpaksa pula berkorban demi kebenaran.

Hanya ada satu kebenaran, iaitu kebenaran kaabah. Kebenaran kaabah bermakna kita akan melihat warna yang sama meski di sudut mana pun kita berada. Kebenaran kaabah juga memerlukan kita untuk tawaf badani, fikiran dan pandangan. Barulah kita menemui diri kita yang sebenarnya. Kaabah sebagai pusat menyatukan ummat. Begitulah kebenaran seharusnya dapat menyatukan kita.