Minggu, 19 Agustus 2012

Sambutan Hari Raya

Seharusnya tradisi menyambut hari raya, baik hari raya aidilfitri atau aidiladhar boleh dijadikan titik-tolak kepada perubahan kepada sesuatu yang lebih bermakna. Kemenangan aidilfitri bukan bermakna kita harus memeriahkannya dengan bunga api dan mercun. takbir hari raya mempunyai makna yang lebih kepada ketakwaan dan perjuangan. Bermula dengan perjuangan mengekang nafsu selama sebulan dalam bulan ramadan, seterusnya mempertingkatkan amal siang dan malam, sepatutnya ditutup dengan rasa keinsafan. Sebagai umat Islam kita seharusnya akan bertambah kualiti, bukan sebaliknya. Berdasarkan apa yang kita lihat sekarang, kedatangan 1 syawal nampaknya disambut dengan meriah kerana kita berasa telah bebas daripada kongkongan satu bulan yang amat menyeksakan. Bulan dimana kita terpaksa menahan nafsu makan. Bulan dimana kita terpaksa mempertingkatkan amal. Semuanya dinilai dengan rasa terpaksa. Bukan datang dari hati yang cukup insaf bahawa kita ini hamba Allah yang perlu kepada pengekangan nafsu dan tahu bagaimana amal di bulan ramadan adalah amalan yang berlipat ganda pahalanya. Ketika media tv memaklumkan bahawa hari raya menjelang, maka kedengaranlah bunyi mercun di sana-sini, sedangkan di surau dan masjid ada manusia yang bertakbir. Dua suasana yang berbeza ini menggambarkan betapa kita bertempur antara dua konsep sambutan hari raya. Satu lebih kepada tanda gembira kerana hari raya adalah hari terbebasnya syaitan yang selama ini dibelenggu. Satu lagi adalah sambutan kesedihan bahawa ramadan yang begitu mulia sudah berakhir dan kita akan menghadapi hari-hari yang mendatang yang penuh cabaran. Seterusnya tradisi menziarahi keluarga, sahabat handai dan rumah terbuka akan menjadi penting. Memang tradisi berziarah amat dielu-elukan dalam Islam, tetapi harusnya dibatasi dengan adap dan peraturan Islam. Bermaaf-maafan sudah bukan menjadi perkara utama lagi. Anak-anak lebih kepada berlumba-lumba untuk memgumpulkan duit raya, manakala anak-anak muda pula mengambil kesempatan untuk bertandang ke rumah-rumah teman wanita mereka, kerana sudah tentu alasan hari raya tidak akan dipandang serong. Meski ada tradisi 'marhaban' di setengah tempat, tetapi nampaknya pengisian makan dan jamuan lebih utama sehingga kadang-kadang menjadi pembaziran.Suasana terus dirosakkan oleh siaran tv yang menyiarkan rancangan yang terlalu banyak hiburan. Sudah sampai masa kita memikirkan kembali bagaimanakah cara sambutan hari raya yang benar-benar sesuai untuk kita sebagai umat Islam yang sebenar. Konsep kesederhanaan perlu diterapkan dalam aspek persiapan, seperti hidangan, perhiasan dan pakaian tetapi kita seharusnya lebih mementingkan 'pengisian'. Bermula dengan siaran tv yang boleh diatur agar lebih menekankan konsep hari raya untuk 'kemenangan' dan 'keinsafan' seterusnya membanyakan pengisian di rumah-rumah Allah. Kita lihat hari raya menyebabkan rumah Allah kembali sunyi menjelang selepas solat sunat hari raya.