Kamis, 29 Oktober 2009

Anggukan Universal

Dalam politik tidak ada anggukan universal. Kebenaran politik biasanya bias kepada fahaman politik tertentu. Kalau ada seorang wakil rakyat keluar parti dan menyatakan bahawa dia sudah hilang kepercayaan kepada parti tersebut, apakah secara universal kita akan menganggap perkara itu benar.
Begitu juga dalam menanggapi peperangan. Amerika memerangi Iraq kerana ancaman loji nuklearnya. Ternyata kesamaan suara hati manusia menidakkan alasan Amerika itu. Guantinamo membuktikan bahawa perang itu kezaliman, bukan mencegah teroris.
Kesilapan manusia kerana sering menyangah ‘anggukan universal’ ini. Ini disebabkan suara hati kita tertutup dan buta.
Ary Ginanjar Agustian dalam bukunya ESQ (2005) menyatakan terdapat faktor belenggu yang menyebabkan manusia menjadi buta kepada kebenaran. Belenggu tersebut adalah; prasangka, prinsip hidup, pengalaman, kepentingan, sudut pandangan, pembanding dan juga literatur.
Tentang prasangka misalnya, bila berlakunya tragedi jambatan gantung runtuh seperti yang berlaku di Perak itu, lantas di hati kita lekas-lekas mengaitkannya dengan ‘rasuah’. Kenapa? Selama ini kita didedahkan dengan berita-berita stadium runtuh, masjid runtuh dan beberapa bangunan yang runtuh kerana ada berlakunya unsur-unsur ‘rasuah’ itu. Jadi bila berlakunya ‘jambatan runtuh’ dan ada yang menyatakannya sebagai adanya unsur ‘rasuah’ kita cepat-cepat mengangguk. Ini bukan anggukan universal.

Sabtu, 24 Oktober 2009

Belanjawan: Bai'ah Baru bagi Pengetua dan Guru Besar

Setiap tahun kita dapati belanjawan kerajaan biasanya memperuntukan sejumlah wang yang banyak untuk pendidikan. Tahun ini 30 bilion disediakan untuk pendidikan sahaja. Salah satu insentif yang menarik ialah tawaran ‘Bai’ah Baru’ (New Deal) kepada Pengetua dan Guru Besar yang menunjukan prestasi yang baik. Mereka akan mendapat ganjaran berbentuk intensif kewangan dan bukan kewangan (mungkin kenaikan pangkat). Perlu diingat peranan guru di sesebuah sekolah juga penting diberi perhatian. Prestasi sekolah biasanya bergantung juga kepada kerjasama semua pihak yang terlibat. Lebih-lebih lagi peranan guru. Sepatutnya pencapian sesebuah sekolah diukur secara kolektif, bukan secara individu. Pengetua atau Guru Besar yang cemerlang biasanya bergantung kepada guru-gurunya yang juga cemerlang.
Apa yang dikhuatiri ada Pengetua atau Guru Besar yang akan memberi tekanan kepada guru-guru di bawah mereka semata-mata untuk mengejar habuan. Sedangkan selama ini pun kita dapati guru cukup tertekan dengan lambakan tugas yang begitu banyak. Guru bukan setakat mengajar sahaja. Guru juga dibebankan dengan tugas-tugas perkeranian. Malah ada guru yang dibebankan dengan tugas-tugas tukang kebun, tukang sapu, juru latih sukan, merekodkan kesihatan pelajar dan banyak lagi.

Belanjawan Rumah tangga

Pernahkah kita menyediakan sejumlah peruntukan yang besar untuk pendidikan anak-anak kita. Selain daripada peruntukan yuran sekolah, buku-buku, tuisyen dan peralatan sekolah anak-anak, berapa banyakkah peruntukan untuk membeli buku-buku tambahan untuk bahan bacaan .keluarga di rumah.
Saya kira tidak ramai ibubapa yang sanggup memperuntukan sejumlah gaji mereka untuk pendidikan anak-anak. Terutama membelikan mereka buku-buku cerita atau novel. Bagi ibu bapa lebih baik menghantar anak mereka ke pusat-pusat tuisyen, kerana ini lebih berguna bagi masa depan mereka. Ibu bapa juga sanggup membeli buku-buku kerja dan ramalan peperiksaan demi memastikan anak-anak mereka mencapai markah tertinggi dalam peperiksaan. Mereka lupa dengan perkembangan emosi anak-anak mereka. Bagi si anak pila senggang akan diisi dengan permainan-permain dalam komputer. Mereka tidak gemar membaca buku selain buku teks.
Jadilah mereka manusia robot. Kalau mereka jadi ketua, mereka akan memastikan hidup ini mengikut aturan-aturan yang telah ditetapkan. Begitu juga kalau mereka jadi Pengetua, mereka akan menjadikan guru-guru di bawah mereka robot-robot yang patut mengikut arahan dan peraturan. Tidak ada budi bicara. Pencapaian diutamakan. Janji habuan untuk kecemerlangan demi melahirkan generasi hari muka yang cemerlang.

Kamis, 22 Oktober 2009

PAGE Yang Keliru

Masih ada lagi manusia yang tidak percaya kepada bahasa Melayu boleh menjadi bahasa ilmu. Sebab itulah kumpulan PAGE ini bertindak supaya beberapa buah sekolah di Lembah Kelang diberi kebebasan untuk meneruskan PPSMI dengan alasan mendapat sokongan majoriti PIBG di tujuh buah sekolah tersebut.
Nampaklah muka-muka Melayu sendiri yang muncul dalam TV menunjukkan peratusan hasil daripada undian dalam mesyuarat PIBG di sekolah mereka. Semuanya sekolah kebangsaan. Tak nampak pula sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) atau SJK(T).
Mujurlah permohonan PAGE ini mendapat bantahan dari Dr. Mohamad Ali Hassan, Presiden PIBGN yang menyatakan kumpulan tersebut mengambil tindakan langkah ke belakang dengan menentang keputusan yang telah dibuat.
Kita sudah lebih 50 tahun merdeka. Ada lagi manusia yang mentalnya masih dijajah. Masih tidak percaya kepada kemampuan bahasa Melayu.

Selasa, 20 Oktober 2009

Seloka tentang Melayu

Secara kebetulan saya bertemu dengan seseorang. Namanya Abdul Samat Kimin berasal dari Singapura. Saya panggil Pak Samat sahaja. Pertemuan di kedai kopi itu rupanya menyerlahkan ketokohan Pak Samat sebagai seorang pengamal sastera Melayu tradisi. Beliau bijak berpantun, bergurindam dan berseloka. Saya sempat mencatat sebuah selokanya yang menarik tentang Melayu.

‘Orang Melayu’.

Orang Melayu tak inginkan untung
orang asing kepenuhan kantung
orang Melayu dua puluh empat jam memukul kentung
beriman kuat, tanpa akal untuk mengira
untuk menghitung
hanya akhirat dunia kena kelentong
orang asing meraih untung
Kelentung! Kelentung!
bawah tempurung si katak bentung
hidup mati kepada orang asing terus bergantung
kerana berabad-abad lama mengamal hidupnya sotong
emas saduran berpeti-peti, bertong-tong

ii
Tenung-tenung makrifat
imiliahnya memang tepat
kaum bumiputera kelas empat
andai di negeri sendiri setinggan merempat
memang nyata bukan menghina bukan mengupat
mengapa kaum lain tersedia tempat.

Melayu malu
Melayu malas
Melayu menadah-nadah
menunggu emas turun dari langit
akhirnya yang ditunggu-tunggu
umbat di dalam batu

Menari bersajak Cik Tahir
tari di sambut oleh Pak Sabtu
Pendekar Tahir satu ibunya
mencari jejak di dalam air
mencari umbut di dalam batu
membakar air ambil abunya

iii
Beratnya tikaman Melayu
bengkok melanggar syarak
nyah pepas (mata kail) mesti di parak (pisah)
rasa-rasa ke tandas tak bisa berak
andai berdiri najis berserak
nyata hampa kalah sabung menang sorak
yang anehnya sang labi-labi
ketinggalan ratusan kilometer jauhnya jarak
andai kata di takuk lama tak bergerak.

Membaca Lentera Mustika


‘Lentera Mustika’ adalah novel terbaru karya Nisah Haron, terbitan PTS. Sebuah novel percintaan pasangan ilmuan. Ainur Mustika seorang pensyarah universiti pada mulanya menghadapi masalah memilih pasangan, selepas putus cinta dengan Syed Amirul Hakim, juga seorang dosen dari Indonesia. Akhirnya Ainur Mustika berkenalan dengan seorang peguam bernama Emir Johan.
Apa yang menarik dalam novel ini Nisah Haron memulakan setiap bab dengan pantun. Kebetulan watak utamanya, iaitu Ainur Mustika adalah seorang pensyarah sastera yang mengkhususkan bidangnya dalam sastera tradisional. Perjuangannya untuk melihat agar pantun, syaer, gurindam, nazam dan seloka (sastera rakyat) tidak dilupakan. Beliau mencadangkan agar papan-papan tanda berupa pantun dipasang di sekitar universiti. Ainur Mustika juga sering dijemput berceramah dan membentangkan kertas kerja dalam bidang sastera tradisional. Bersama sahabat baiknya Badariah, Ainur Mustika menghadiri konferens di Negara Cina. Mereka cuba memperkenalkan sastera Melayu, meskipun perbincangan tersebut lebih menjurus kepada perundangan dan hak cipta.
Nisah Haron seperti yang kita ketahui adalah seorang peguam, beliau juga seorang penulis dan pengamal sastera. Sudah tentu beliau tidak lupa menyelitkan hal-hal perundangan dalam karya-karya beliau. Sekurang-kurangnya dapat memberikan kita maklumat, terutama hal-hal yang berkaitan dengan masalah kekeluargaan jika disorot dari sudut perundagan. Inilah kelebihan Nisah Haron sebagai seorang penulis. Sebagai seorang ibu, seorang isteri beliau nampaknya tetap ulet dalam hal berkarya.

Senin, 19 Oktober 2009

Pemandu Yang Tidak Berfikir

(Gambar halaman utama Berita Minggu)
Dalam akhbar BM Ahad lepas terdapat berita tentang kemalangan yang meragut dua nyawa akibat kecuaian pemandu kereta yang dipandu laju. Pada ketika itu cuaca hujan lebat, ramai penonggang motosikal berhenti berteduh di bawah sebuah jejambat. Kereta yang dipandu laju itu hilang kawalan dan merempuh lapan buah motosikal. Mangsa yang meninggal tercampak beberapa meter dan meninggal di tempat kejadian. Lebih menyayukan mangsa adalah seorang ibu mengandung dan seorang anak kecil yang sedang dipangkunya.
Berdasarkan laporan akhbar tersebut, kita dapati bahawa pemandu itu adalah seorang pelajar yang sedang belajar di sebuah pusat pengajian tinggi di Kuala Lumpur. Sebelum ini pun saya ada menyatakan; betapa orang terpelajar yang berjaya dalam hidup pun tidak semestinya melalui proses berfikir. Kalau dia melakukan sesuatu hanya kerana gerak hati dan mekanisme latihan yang diperolehinya di rumah, di sekolah dan di universiti. Betullah, sekali lagi saya tekankan di sini bahawa seseorang yang mendapat pendidikan tinggi pun tidak semestinya ‘berfikir’. Hidupnya bergerak secara mekanisme, kerana dilatih sejak kecil. Orang yang berfikir tentu akan memperlahankan kenderaan, bila cuaca tidak baik. Orang yang berfikir tentu percaya kepada risiko kemalangan kalau memandu laju, lebih-lebih lagi dalam keadaan cuaca buruk begitu.
Jadi pada saya ramai orang seperti pemandu ini, bila berada di jalan raya. Seharusnya bila melalui kawasan kampung, sudah sepatutnya memperlahan kenderaan. Bila-bila masa sahaja ada kemungkinan kanak-kanak melintas tanpa melihat kiri-kanan. Begitu juga bila melalui kawasan sekolah. Seharusnya kita memperlahankan kenderaan. Saya sungguh kecewa melihat kebanyakan pemandu tidak peduli tentang hal-hal yang saya sebutkan itu. Lebih mendukacitakan bila melihat kenderaan berat seperti lori dan bas, tidak pernah untuk bertimbang rasa, tidak ada usaha uuntuk memperlahankan kenderaan mereka bila melalui tempat-tempat seperti ini. Gambarkanlah, kalau berlaku kemalangan, ada jiwa pula yang terkorban.
Berfikirlah sebentar, mungkin ada nyawa yang dapat kita selamatkan.

Minggu, 18 Oktober 2009

Persidangan Politik Kapak

Suara-suara kapak
masih kedengaran
menumbangkan beribu pohon kebaikan
di dunia politik rimba

Pekik kapak lantang memusnahkan
menumbangkan segala kemungkinan
demi kekuasaan
demi kehormatan

Dengarkan
zikir benih dalam rekah tanah ibadah
zikir labah-labah tabah menenun jaring kehidupan ummah
zikir sehelai daun keinsafan
sedang melayang ke pangkuan bumi Ilahi
Subhanallah!

Suara kapak
lantang menebang
siapakah yang berani menentang?


SHAPIAI MUHAMMAD RAMLY
Sri Pulai, Johor Bahru.
Berita Harian Sabtu 17 Oktober 2009

Rabu, 14 Oktober 2009

Kena rompak?

Baru saja saya sampai pejabat, isteri menelefon menyatakan ada berita kurang baik yang menimpa Pak Uda dan Mak Itam. Rumah mereka kena rompak malam tadi. Selain daripada kehilangan wang dan barang kemas, perompak melarikan juga sebuah kereta. Mujur mereka tidak diapa-apakan. Beberapa minggu lepas rumah anak saudara saya juga kena pecah. Siang-siang buta pulak tu. Jiran sebelah boleh tidak sedar.

Tahun 60-an dulu
Sesekali dapat berkumpul dan berbual-bual tiba-tiba ada seorang menceritakan baru-baru ini jirannya kena rompak. Memang ada beritanya masuk surat khabar. Kesemua mereka yang mendengar dan mendapat tahu berita itu menyatakan rasa simpati dan sama-sama turut bersedih. Memang repot polis telah dibuat dan mereka percaya perompak itu lambat laun akan tertangkap juga akhirnya.

Tahun 2000–an
Semasa bertemu dengan kawan-kawan salah seorang daripadanya menceritakan baru-baru ini rumahnya kena rompak. Kawan yang lain pula menyatakan dia pun pernah kena rompak. Begitu juga ada menyatakan keretanya kena curi, laptopnya kena curi dan ada saja kehilangan dan kerugian yang diceritakan oleh setiap orang. Memang pelik kalau ada diantara mereka yang menyatakan dia tidak pernah dirompak, disamun, pecah rumah, kehilangan kereta dan sebagainya.

Dulu kita berasa pelik kalau ada kawan yang kena rompak. Sekarang kita merasa pelik kalau ada kawan yang belum kena rompak.

Selasa, 13 Oktober 2009

Berfikir

Kalau setakat untuk hidup di dunia ini tidak perlulah kita berfikir. Untuk hidup senang dan banyak wang pun tidak perlu berfikir. Untuk lulus cemerlang dalam peperiksaan pun kita tidak perlu berfikir. Untuk menjadi cemerlang manusia hanya perlu dilatih. Itu saja. Macam binatang sarkis, mereka boleh buat apa saja kalau kita latih mereka dengan sistematik. Sekarang ini itulah yang banyak kita buat. Kita latih pelajar-pelajar kita bagaimana mahu cemerlang dalam peperiksaan. Hantar mereka tusyien, hantar mereka menghadiri bengkel peperiksaan. Guru-guru, ibu bapa dan masyarakat tentunya juga memberi fokus yang terlalu tinggi kepada pelajar yang berjaya memperolehi 18 A, 21 A. Bukan sedikit ganjaran pula yang diberikan. Hinggalah pelajar itu melanjutkan pelajaran ke Universiti, kita dendangkan dengan harapan yang indah-indah bagi mereka yang berjaya. Lalu ramailah anak-anak kita yang berjaya menamatkan pelajaran mereka hingga ke peringkat Universiti. Mereka mendapat pulangan yang lumayan bila mendapat pekerjaan yang baik. Mendapat gaji yang lumayan dan dapat menikmati hidup yang selesa. Tapi adakah mereka berfikir? Sudah tentu mereka berfikir. Kalau tidak berfikir bagaimana mungkin mereka berjaya dalam peperiksaan mereka, dalam hidup mereka. Sebenarnya ada di antara mereka yang berjaya sebenarnya tidak pula melalui proses berfikir. Mereka berjaya kerana dilatih. Dilatih belajar, dilatih menghafal, dilatih untuk menghadapi peperiksaan. Begitu juga bila mereka bekerja, mereka dilatih untuk bekerja, ditunjukkan cara-cara bekerja mengikut perintah. Ada akta, ada peraturan yang perlu diikuti. Ada pekeliling dan sudah ada prosedur kerja yang menanti sebaik sahaja seseorang itu masuk bekerja di sesebuah pejabat. Kalau ada masalah, sudah ada garis panduan. Ikut sahaja. Masalah akan selesai. Habis perkara. Kalau produksi menurun, cari puncanya. Sudah ada indeks kualiti kerja untuk mengukur prestasi pekerja. Boleh ambil tindakan ketika itu juga. Jadi perlukah kita berfikir?
Mengikut Rajesh Jain dalam bukunya ‘Gods are meeting and You are Invited’ ada menyebutkan bahawa kebanyakan kita menjalani hidup tanpa kita sedari. Kita hidup, berfikir, merasa dan beraksi atau reaksi secara mekanikal, kerana telah dilatih. Mereka ini bila menghadapi sesuatu masalah yang di luar pengalaman dan latihan akan bertindak diluar jangkaan. Sama ada berasa kecewa atau pun bertindak merugikan diri sendiri atau pun orang lain.

Senin, 12 Oktober 2009

Perjalanan Salik Rahimidin


Saya tidak percaya bahawa perjalanan salik Rahimidin akan berhenti setakat ini sahaja, biar pun dia mengistiharkan untuk berhenti menjadi penyair. Berhenti menjadi penyair yang bagaimana? Itulah persoalannya. Sebagai penulis yang ada pendirian, seperti Rahimidin yang terkenal dengan kerendahan diri, selalu melihat ke dalam diri ketika berkarya sudah tentu beliau sedar apa yang dilakukannya.
Ramai orang yang ingin menjadi ‘penyair’, seperti juga ramai yang ingin menjadi artis. Saya rasa di sinilah apa yang dimaksudkan oleh Rahimidin. Kalau sekadar untuk menjadi ‘penyair’ seperti yang digambarkan oleh seorang ahli akademik itu, baiklah dia berhenti menjadi penyair.
Sebagai hamba yang masih dahagakan ilmu, Rahimidin akan terus berkelana seperti dalam sajaknya ini:

Perjalanan Salik
Menuju Khalik

Aku, hamba-Mu
fakir yang dahagakan
setitis air di laut gurun
aku berkelana
dari huruf ke huruf
dari titik ke aksara
merenungi
luas laut-Mu
yang tak bertepi
menyelami
dasar dalamnya
tak terselam

Membaca dengan
seluruh indera
dan kedangkalan
akalku pastinya
tak terbaca,
apalagi
memahami
akan tanda-tanda
dan kesempurnaan-Mu

Perjalanan salik
menuju khalik;
aku debu piatu
di hujung rumput
dan tapak sepatu

Ho Chih Minh City
27 Disember 2007
(Kumpulan Sajak, ‘Perjalanan Salik’- Rahimidin Zahari
Pustaka Nusa, 2009).

Kilau Setitik Sinar- Rosli K. Matari


Saya mengenali Rosli K. Matari secara tidak dirancang. Kebetulan beliau datang ke Johor Baharu kerana ada urusan keluarga. Sebelum ini pun saya sudah mengenali beliau melalui karya-karya beliau yang selalu menghiasi dada-dada akhbar. Jadi sudah semacam ada jalinan kemesraan sesama penulis.
Biasanya begitulah, saya banyak mengenali penulis melalui karya-karya yang saya baca terlebih dahulu. Saya kenal Noor Ihsan Ghazali melalui bacaan kumpulan puisi beliau berjudul ‘Merindu Alam’. Begitu juga penulis-penulis lain seperti Abdul Hadi Muhammad, Ahmad Al-Kurauwi, Md. Nizar Parman, Sahrunizam, Fadh Radzi dan juga Rahimidin (banyak lagi).
Bila sudah kenal, saya tertunggu-tunggu pula karya mereka di media. Kalau karya mereka tersiar saya akan baca terlebih dahulu.
Baru-baru ini saya sempat membaca sajak Rosli K. Matari yang tersiar di Dewan Sastera Oktober 2009 yang berjudul, ‘Kasihku Pada Pattani’. Rahimidin Zahari juga ada memuatkan sajak ini dalam blog beliau. Bila saya menghubungi Rosli, beliau terus mengemail (melalui Haji Abdul Hadi Muhammad) beberapa buah sajak beliau lagi kepada saya. Sebuah sajak beliau yang menarik adalah tentang falsafah kehidupan kita yang begitu kecil jika dibandingkan dengan kekuasaan Allah yang Maha Pencipta itu. Menurut beliau sajak ini pernah tersiar dalam akhbar Berita Minggu dan juga dalam antologi Puisi Gema Membela Gema (GAPENA).

KILAU SETITIK SINAR

Kita tidak dapat mencipta
walau setitik cahaya.

Setitik cahaya
terpercik oleh ribuan titik sinar.

Dalam setitik sinar
terpendam Lautan Makrifat.

Luasnya tidak terjangkau
bumi dan matahari sebesar debu.

Dari setitik Lautan Makrifat
terpencar Nur Hakikat.

Dalam setitik Nur Hakikat
terbentang luas Lautan Wujud.

Dasarnya tidak terjangkau
tenggelam buruj dan langit.

Lautan Wujud itu
tenang jernih dalam qalbumu.

Pernahkah kauselami?

12 Nov 1998

Selasa, 06 Oktober 2009

Mencari Makna Diri Melayu


Prof Dr. Awang Sariyan menyuarakan kebimbangannya tentang nasib bahasa Melayu di tangan orang Melayu sendiri. Dalam buku kecil ini beliau berharap agar kita dapat merenung kembali sifat-sifat diri kita yang mudah alpa, lupa dan keliru dalam memahami makna diri. Akibat kelemahan ini mengacau cara kita berfikir dan membuat keputusan.
Untuk memahami makna diri, kita harus kembali kepada sejarah Melayu itu sendiri. Sejak abad ke-7 lagi sudah ada gerakan memartabatkan bangsa Melayu. Kerajaan Melayu Seriwijaya telah meletakkan asas perjuangan ini. Hinggalah kepada kegemilangan Melayu pada zaman kerajaan Melaka dan Melayu Riau.
Kehadiran Barat (Inggeris dan Belanda) telah melemahkan keupayaan Melayu. Mereka berjaya menjatuhkan kerajaan Melayu dan seterusnya menjajah dan meninggalkan trauma penjajahan sehingga kini. Meskipun kita sudah lebih 50 tahun merdeka, tetapi pemikiran kita masih dijajah. Itulah hakikatnya. Itulah kejayaan Barat semasa menjajah. Mereka bukan sahaja berjaya merampas hasil bumi kita yang kaya, malah berjaya mengubah persepsi kita terhadap barat. Sehingga sanggup mempertidak kepada keupayaan bahasa Melayu sendiri. Orang Melayulah yang menyatakan ‘Taknak’ kepada bahasa Melayu sendiri, bukannya orang lain. Sangat memalukan.

Minggu, 04 Oktober 2009

Tentang Seminar Bahasa Melayu Bahasa Dunia.

Semasa sesi Forum sempena Seminar Bahasa Melayu Bahasa Dunia yang baru lepas saya tertarik dengan pendapat seorang wakil berbangsa Cina, yang juga seorang penulis yang banyak menghasilkan karya sajak dalam bahasa Melayu. Tidak perlulah saya sebutkan namanya di sini. Beliau mempertikaikan pendapat ahli panel yang menyatakan bahawa di Malaysia ini tidak perlu papan tanda empat bahasa. Katanya, sebagai sebuah Negara majmuk kita perlu menghormati kaum lain, apa salahnya dengan penggunaan empat bahasa di papan-papan tanda itu. Lagi pun papan tanda tersebut untuk kemudahan pelancong.
Ada lagi yang tidak faham, malah bagi saya mereka tidak mahu faham. Apa guna bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi. Lainlah kalau kita bersetuju empat bahasa sebagai bahasa rasmi. Untuk menghormati kaum-kaum lain kita sudah sedia berlembut dengan membenarkan bahasa-bahasa lain digunakan sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah. Malah kerajaan bantu pula sekolah-sekolah ini. Kerajaan kita selama ini cukup berlembut dan prihatin terhadap bangsa-bangsa lain di Negara ini. Datuk Zainal Abidin Borhan sendiri memberi contoh di Thailand, baik orang Melayu dan orang Cina Thailand terpaksa akur dengan satu bahasa rasmi Thai. Untuk jadi rakyat Thai mereka mesti mempunyai nama Thai dan juga belajar bahasa Thai sebagai bahasa pertama.
Kalau sekadar untuk kemudahan pelancongan, saya rasa alasan ini tidak munasabah. Elok rasanya kita gunakan tulisan Arab, Jepun dan Rusia juga pada papan-papan tanda kita. Bukan tulisan cina dan Tamil sahaja.
Apa yang kita harapkan ialah agar bahasa Melayu dapat digunakan oleh semua kaum bagi menyatakan fikiran mereka, menulis dalam bahasa Melayu iaitu bahasa Melayu Tinggi dan dapat bercakap bukan sekadar untuk berkomunikasi, tetapi juga sebagai satu cara untuk menyatakan fikiran, pendapat dan digunakan dalam kehidupan seharian.

Prof Wu Zong Yu
Bila Prof Wu menyatakan kecintaannya terhadap bahasa Melayu dan sanggup menjadikan matlamat hidupnya untuk mengembangkan bahasa Melayu di negera Cina, kita tentulah berasa bangga dengan beliau. Untuk itu beliau terus berpegang kepada prinsip dan matlamatnya itu dengan mengajar bahasa Melayu kepada pelajar-pelajar Cina di Beijing Foreign Studies Universiti (BFSU).
Memang ternyata semasa membentangkan kertas kerja beliau yang berjudul ‘Kedegilan Mengembangkan Bahasa Melayu di Negeri Cina’ beliau berpuas hati dengan usahanya itu. Katanya, ramai pelajarnya sudah begitu mantap dalam berbahasa Melayu. Kebetulan bersama beliau hadir juga dua muridnya yang sedang belajar di UM untuk menyiapkan ijazah sarjana dan seorang lagi untuk phd dalam bahasa Melayu.
Saya yakin Prof Dr Wu belajar bahasa Melayu dan kini jatuh cinta dengan bahasa Melayu tidaklah sampai kepada melupakan bahasa Mandarin, iaitu bahasa ibundanya. Mengembangkan bahasa Melayu di Negeri Cina tidaklah sampai kepada membuang bahasa Mandarin. Mereka belajar bahasa- bahasa asing kerana inginkan ilmu yang terdapat dalam bahasa-bahasa tersebut. Tidak lebih daripada itu. Tidallah sampai untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di Negara mereka.
Begitulah kalau ada orang kita yang sudah jatuh cinta dengan bahasa Inggeris, hingga sanggup mengajarkannya kepada anak-anak Melayu dan mengembangkannya, persilakanlah. Kita memang mengakui bahasa Bahasa Inggeris adalah bahasa Ilmu, tetapi janganlah sampai menjatuhkan bahasa Melayu hingga ke taraf bahasa pasar, iaitu hanya boleh digunakan untuk pertuturan seharian tanpa harapan untuk dijadikan bahasa Ilmu.
Kita kekurangan buku-buku ilmiah dalam bahasa Melayu bukanlah satu alasan yang kukuh untuk menidakkan bahasa Melayu dalam pembelajaran sains dan matematik. Rasanya sudah beribu cerdik pandai kita yang telah menguasai bahasa Inggeris dan juga bahasa-bahasa lain. Mereka dihantar belajar ke luar negara dan kembali dengan pelbagai gelaran dan ijazah. Mengapa mereka tidak menulis? Nak kata mereka banyak menulis dalam bahasa Inggeris pun tak juga. Adalah beberapa kerat. Inilah sikap kita. Sikap orang Melayu khususnya. Mereka yang balik dari luar negara lebih gemar mengejar pangkat dan kuasa dalam politik.