Minggu, 24 Oktober 2010

Orang Pencen

Apakah tugas orang pencen? Biasanya gambaran sebenar orang pencen ialah seorang tua yang tidak ada kerja lain lagi, selain berulang alik ke surau atau masjid.
Inilah kesilapan cara berfikir kita orang Melayu. Sehingga bila ada ura-ura untuk melanjutkan umur pencen sampai 60 tahun, ramai yang menentang. Cukuplah.Berilah peluang kepada orang muda. Ramai yang masih menganggur tak dapat kerja. Orang tua biarlah mereka menumpukan pula usia mereka dengan beramal dan pergi ke surau atau masjid.
Berfikir begini adalah suatu kesilapan. Adakah beramal itu hanya untuk orang-orang tua, atau menunggu hari tua baru hendak beramal. Sepatutnya amalan adalah rutin harian kita. Sejak muda hinggalah hari tua isikan hidup kita dengan amalan. Begitu juga dengan pergi ke surau dan masjid, elok dimulakan sejak muda. Jangan tunggu sampai tua. Mana tahu takut umur kita tidak sampai menjamah umur tua, sudah dijemput Allah terlebih dahulu.
Begitulah sejak saya bersara, saya terus bekerja di sebuah penerbitan anak syarikat Yayasan Warisan Johor. Rupanya di sini ramai orang yang telah bersara diambil berkerja kerana biasanya mereka mempunyai pengalaman. Tetapi ada di kalangan anak-anak muda yang bekerja di YWJ tidak berpuas hati kerana mereka ini (Orang pencen)seolah-olah merebut peluang mereka untuk naik pangkat.
Sebab itulah bila saya menyuarakan untuk berhenti kerja, kebanyakan mereka menyuarakan rasa hormat atas keputusan saya itu. Bagi mereka keputusan saya itu sebenarnya memberi isyarat kepada mereka yang lain, yang seolah-olah hendak mati semasa di meja kerja.Bagi saya pula elok saya menulis sepnuh masa, tanpa diganggu oleh beban pekerjaan.
Sekarang saya bebas.Tetapi rutin membaca dan menulis tetap saya utamakan.

Minggu, 17 Oktober 2010

Memperindah Rumah Diri.

Semasa marhaban, saya berpeluang ziarah rumah-rumah orang Melayu di kawasan taman ini. Rata-rata rumah orang Melayu kita biasanya akan mempamerkan siapakah kita, pemikiran dan citarasa, terutama bila melihat apakah yang dipamerkan di ruang tamu. Baik rumah itu rumah kos rendah ataupun rumah mahal, nampaknya pemikiran orang Melayu sama sahaja.Apa yang menjadi perhiasan atau dipamerkan biasanya adalah melambangkan apakah pemikiran mereka. Rata-rata di dinding akan tertera indah beberapa ayat suci yang terukir dan dilingkari bingkai yang cantik dan mahal. Ada perabot mahal di dalamnya terisi pelbagai bahan yang menunjukkan siapakah penghuni rumah itu. Kalau dia seorang guru atau pendidik adalah sebuah dua buku teks yang menjadi rujukannya di sekolah. Kalau dia seorang tentera atau polis akan berbarislah pingat dan sijil kepujian yang diterimanya sepenjang perkhidmatannya.

Tentang buku, nampaknya hanya sebuah rumah sahaja yang kelihatan sebuah rak yang dipenuhi buku-buku. Itupun di rumah seorang pensyarah di sebuah pusat pengajian tinggi. Lain-lain rumah nampaknya kosong dengan buku.
Buku adalah lambang pencarian ilmu. Selain daripada yang kita boleh dapati melalui pembelajaran dan juga pengalaman. Buku tidak boleh tidak adalah sebagai pintu keluar dari dunia ketidaktahuan ke sebuah dunia yang mengajar kita banyak perkara.

Sedihnya orang Melayu kita hanya bergantung kepada media dan akhbar sahaja untuk sesekali menjenguk dunia yang menakjupkan itu, iaitu dunia ilmu. Sebab itulah orang melayu mudah terpengaruh dan dipengaruhi, mudah dibujuk dengan janji-janji manis, mudah terpedaya kerana minda mereka kosong dengan ilmu bantu, terutama ilmu berfikir. Semua orang berfikir, tetapi tidak sama fikiran orang yang banyak membaca dengan fikiran orang tidak suka membaca.kita boleh lihat ketika mereka membuat sesuatu keputusan. Biasanya selain pengalaman, pengetahuan melalui bacaan juga boleh membantu. Orang yang membaca biasanya dapat membuat keputusan dengan tepat berbanding dengan orang yang tidak suka membaca.

Oleh itu perindahkanlah rumah diri dengan buku-buku , bukan dengan hiasan-hiasan palsu.

Selasa, 12 Oktober 2010

Pesan Ayah

Inilah prinsip hidup saya. Alhamdulillah sehingga umur saya mencecah 60 tahun lebih saya tidak mempunyai musuh. Maksudnya, saya tidak pernah mempunyai orang yang menyebabkan kami hilang silaturahmi.

Kadang-kadang kita berbeza pendapat tentang sesuatu perkara. Terutama semasa saya masih bekerja. Bermula menjadi guru di sebuah sekolah pedalaman di Johor hinggalah saya menjadi pensyarah di Institut perguruan.

Bukan tidak ada perkara yang menyebabkan saya menjadi marah dan cuba menjauhkan diri. Tetapi tidaklah sampai tidak bertegur sapa. Saya tetap menjaga silaturrahmi, cuma mungkin tidak akrab.

Alhamdulillah, bila bersara saya cukup bersyukur kerana perinsip hidup saya itu menyebabkan hidup saya semakin tenang.
Ada peristiwa yang tidak boleh saya lupakan bila ada teman-teman saya yang begitu hebat memburuk-burukkan saya. Saya diamkan sahaja. Malah saya tetap menjaga persahabatan dengan mereka meskipun di belakang saya mereka mengujing saya. Rasanya pada ketika itu juga saya ingin minta tukar atau berhenti kerja.
Peristiwa ini sudah lama berlalu. Saya pun sudah memaafkan mereka lama dahulu. Cuma cerita ini saya paparkan agar kita ambil iktibar daripadanya.

Sebenarnya selepas kejadian yang menimpa saya itu, Tuhan memberikan balasan yang setimpal kepada teman-teman yang menyakitkan hati saya itu. Tidak perlulah saya jelaskan apa jenis pembalasan itu, tetapi apa yang mereka katakan, mereka gujingkan kembali kepada mereka sendiri.

Saya pula dapat menyaksikannya, meskipun dalam hati saya tidak ada rasa secebis dendampun kepada mereka. Mereka tetap sahabat-sahabat saya. Malah ada yang menulis surat dan menceritakan nasib mereka. Saya pula tidak berhasrat menempelak mereka. Apa lagi untuk bersorak kerana berasa menang. Mereka nampaknya berasa kesal meskipun ada rasa malu untuk menyatakannya kepada saya.

Begitu juga dalam hidup berjiran. Saya sangat menjaga silaturrahmi hidup berjiran. Banyak tempat saya berpindah, dan banyak jiran yang saya temui. Macam-macam karenah. Ada yang tidak boleh bertolak ansur langsung. Saya tetap meminta isteri dan anak-anak saya bersabar. Kebanyakan jiran-jiran saya yang berbangsa asing cukup menghormati kita. Cuma dengan jiran-jiran Melayu sendiri yang menyebabkan kita berasa kecil hati. Masalah anak-anak, masalah kenderaan yang menghalang sering menjadi punca masalah. Saya tetap dengan pendirian jangan memusuhi sesiapa, terutama tentang hal-hal sepele itu. Saya tetap menegur jiran saya, tetap memberi salam, tetap menziarah mereka. Hingga kadang-kadang mereka terasa malu sendiri.

Sebenarnya prinsip hidup ini dibekalkan kepada saya oleh ayah saya sendiri, semasa saya meninggalkan rumah kerana pertama kali bekerja jauh di perantauan.
Kata ayah saya, ‘Pie, dalam hidup ini jangan cari musuh, insya-Allah kita akan selamat dunia- akhirat!”.

Senin, 04 Oktober 2010

Cikgu Saya


Peranan guru dalam membentuk hidup kita sudah tentu tidak boleh dipertikai. Begitulah dengan dua orang guru saya yang dapat saya temui semasa menghadiri Dialog Membangkitkan Memori Kolektif Kesejarahan Malaysia- Indonesia di Persada, Johor Bahru pada 1 -3 Oktober baru-baru ini.

Ketika sarapan di Coffe-house hotel saya ternampak seseorang. Seseorang yang wajahnya tetap dalam ingatan saya meskipun sudah dimakan usia. Beliau adalah Dato’ Abd. Rahman Yeop, mantan Pengarah Pendidikan Bahagian Asrama Penuh di Kemnterian Pendidikan (Pelajaran). Juga pernah menjadi Pengetua SDAR selama 6 tahun. Sebenarnya beliau juga adalah guru saya semasa mengajar saya di darjah 6 Sekolah Kebangsaan Gunung Semanggol, Perak.

Seorang lagi guru saya yang dapat saya temui semasa persidangan penting itu ialah Cikgu Mohd. Nor Long. Beliau pernah menjadi Pengarah Pendidikan(Pelajaran) di beberapa buah negeri seperti di Sabah dan Pahang. Beliau juga adalah guru saya semasa saya berada di Tingkatan 3 Sek. Men. King Edward VII Taiping.

Apa yang menarik, kedua-dua mereka inilah yang berjaya membentuk minat saya dalam penulisan. Bagi Cikgu Abd. Rahman Yeop, beliau menanamkan minat saya dengan pembacaan bahan sastera. Semasa beliau, perpustakaan atau khutub khanah sekolah belum ada lagi, tetapi dengan inisiatif beliau kami berjaya membentuk khutub khanah darjah dengan pungutan yuran 20 sen setiap minggu. Saya diamanahkan untuk menjadi bendahari dan menjaga buku-buku tersebut. Menulis dan mencatat nama-nama buku dan sesiapa yang meminjamnya. Bermula dari sinilah minat saya dalam bidang sastera bermula. Beliau juga sering membacakan buku novel seperti Musafir karya Hasan Ali dalam kelas.

Cikgu Mohd. Nor Long pula adalah guru Bahasa dan Sejarah semasa di sekolah Menengah. Beliau pula sering meminta kami menghafal puisi-puisi Usman Awang dan Chiril Anwar. Saya masih ingat saya terpaksa menghafal puisi ‘Bunga Popi’ karya Usman Awang dan dibacakan di hadapan kelas. Dengan beliau juga saya sering diamanahkan membawa buku-buku cerita yang beliau kumpul sendiri ke dalam kelas untuk dibaca pada waktu lapang. Beliau tidak mahu kami bermain jika tidak ada guru dalam kelas. Bila habis kelas saya akan mengumpulkan kembali buku-buku tersebut untuk diserahkan kembali kepadanya.

Sudah tentulah kedua-dua mereka ini mempunyai saham yang besar atas minat dan keberhasilan saya dalam bidang penulisan. Sejak itulah saya berminat dalam sastera.
Kepada kedua-dua mereka saya mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga. Sesungguhnya budi cikgu tidak akan mampu saya balas. Cuma doa dari saya, bekas murid yang sentiasa mengingati jasa-jasa guru.