Selasa, 27 April 2010

Jika Menyemai Benih Prasangka

Jika menyemai benih prasangka
Kita akan menuai padi sengketa
nasi perkauman yang kita kunyah
kita hazam tidak pernah kenyang kepuasan
mempersoal siapakah pendatang
mempersoal bumi ini milik siapa

Kalau kita merapikan diri
selepas mandi di sungai jati diri
berpakaian Melayu dan menyisip keris
berarak ke istana menyatakan setia
membawa sepanduk benar
apakah kita tersasar?

Pernah sekali kita merdeka
penjajah telah pergi
kenapa masih ada mengarak sepanduk benci
di padang-padang, di jalan-jalan
sampai ke parlimen
menjulang perkauman
sedangkan baju amanah yang kaupakai
sering dipertikai

Jika menyemai benih prasangka
kelak menuai padi sengketa


Shapiai Muhammad Ramly
Seri Wangsa, Batu Pahat.
5 Mac 2009.
(Dewan Sastera, April 2010)

Senin, 26 April 2010

Tentang Hidup

Lepas keluar U, semangatnya berkobar-kobar. Untuk memandaikan murid, dia ada cara tersendiri, ada falsafah tersendiri. Pelajar mesti diajar bagaimana harus berfikir. Kamu mesti berfikir. Sentiasa berfikir. Latih diri berfikir. Sampai-sampai pelajarnya memberi jolokan kepadanya, 'Cikgu Fikir'.

Kadang-kadang semasa dia lalu depan kelas masih terdengar usikan nakal, 'Lu pikirlah sendiri!'. Biarlah mereka mengejeknya. Untuk menyedarkan pelajar memang susah. Dia akan terus berusaha.

Bila masuk kelas, perkara pertama yang diucapkannya,adalah berupa soalan-soalan yang menyebabkan pelajarnya berfikir. Tengok di luar sana, kenapa pokok itu hijau? Mengapa langit biru? Mengapa laut berombak? Mengapa sekolah ini ramai perempuan? Macam-macamlah pertanyaanya.

Suatu hari dia kena relief kelas baru. Pelajarnya pun tidak ramai. Kalau guru lain sudah tentu suruh pelajarnya buat kerja sendiri. Dia tidak mahu buang masa begitu. Elok ajak mereka berfikir.

Dia pun tulis perkataan ‘HIDUP’ di papan tulis dengan huruf besar.. Ada pelajar yang terpinga-pinga dan ada yang kelihatan berbisik sesama sendiri.
Cuba kamu terangkan apakah erti HIDUP? Dia bersuara.

‘Kamu!’ soalnya kepada seraoang pelajar lelaki.
Seluruh kelas tertawa. Apa yang pelik? Apa yang melucukan?
‘Saya hidup…er.’ Kata pelajar itu
Seluruh kelas pecah ketawa.

‘Saya tahulah awak hidup. Tapi berikan saya erti Hidup. Erti hidup, tahu tak?’ Dia mula tidak tahan bila dipermainkan begitu.
‘Er…er ayah saya pernah bercerita. Saya dilahirkan tidak cukup bulan. Kemungkinan hidup amat tipis..’ kata pelajar itu lagi.

‘Sudahlah, kamu pula?’ dia menyoal pelajar lain.
‘Memang dia hidup Cikgu!’
Mereka ketawa lagi.
‘Kamu?’ dia beralih ke pelajar lain pula.
‘Saya kawan hidup!’
‘Kamu?’ kepada pelajar perempuan pula.
‘Saya tidak suka hidup!’

Apa ni? Dia perlu serius. Ini bukan main-main. Sebagai makhluk Tuhan kita perlu tahu kenapa kita dihidupkan? Kenapa dilahirkan? Dia pun bersyarah panjang. Sampai teori Darwin yang menyatakan kita hidup secara evolusi. Sampai menyebut Socretes, Plato, tokoh-tokoh Islam seperti Al Ghazali dan lain-lain.
Hinggalah dia kembali bertanya.

‘Apakah Erti H I D U P?’
Pelajar yang mula-mula ditanya bangun.
‘Memang saya hidup Cikgu! Nama saya Hidup bin Hanafiah!’ katanya bersahaja.
Ketika itulah loceng berbunyi. Ketika melangkah keluar kelas, dia berasa pada kali inilah dia dipermainkan oleh Hidup.

Senin, 19 April 2010

Begitu Pintu Kelekaan Terbuka

Setiap pilihan raya, biasanya kita melupakan amanah pada setiap undi kita. Kita sibuk membuka pintu-pintu kelekaan demi apa yang dikatakan kemenangan. Seharusnya media berperanan untuk memberi kesedaran kepada massa, supaya mereka bijak menggunakan setiap undi. Untuk itu kita harus memilih baju kempen yang bersih.

Bukan waktunya untuk membuka pintu kemaafan. Kadang-kadang kita salah piantan. Ketika setiap orang sibuk mengasah pisau masalah. Mencari-cari keburukan dan kesalahan orang lain. Kita pun membuka pintu kemaafan seluas-luasnya, sehingga terlupa memetik terang. Terlupa membuka jendela kearifan. Terlupa bahawa baju benar yang tercarik, terlempar ke telaga batil.

Untuk mempersahajakan kelekaan,biar motifnya kemenangan. Sepemakaian, tetapi tak sepadanan. Licin kerana minyak berminta, elok kerana kain berselang. Lentingan api terasa panasnya, lentingan fitnah, terasa nanarnya.

Setiap hari kita membasuh baju resah di sungai cemar fitnah. Setiap hari kita membasuh baju resah di sungai amarah. Merajahambakan nafsu ingin berkuasa. Memberhalamuliakan leka dunia. Kita sering mencabar rahmat, semata-mata merebut nikmat yang sementara.

Siapakah yang mengenakan baju carik amanah yang dibasuh di sungai fitnah?

Jumat, 09 April 2010

Guru Oh Guru!

Semasa saya bertugas di Institut Perguruan, saya pernah terlibat dalam satu program lawatan ‘benchmark’ atau ‘penanda aras’ ke Pusat latihan Penerbangan di Melaka. Apa kaitannya dengan bidang perguruan?. Masing-masing tertanya-tanya, apakah hubungannya dunia penerbangan dengan dunia guru.

Selesai lawatan itu barulah kami sedar bahawa bidang guru sama penting dengan bidang penerbangan. Guru boleh diibaratkan sebagai juruterbang. Di tangannya terletak keselamatan semua penumpang. Begitulah dengan ‘guru’. Di tangan guru juga terletaknya keselamatan semua anak muridnya. Selamat 6 tahun di sekolah rendah, ibarat selama enam tahun dalam penerbangan. Mungkinkah mereka selamat mendarat ke destinasi untuk penerbangan seterusnya. Jika guru gagal, bermakna semua anak muridnya akan kecundang dalam hidup mereka. Begitulah pentingnya tugas guru.

Sebagai ‘pilot’ atau juruterbang, tugas guru tidak seharusnya dibebani dengan pelbagai tanggungjawab lain. Sekarang ini kita sering mendengar keluhan demi keluhan guru kerana dibebani dengan tugas yang semakin banyak. Sebagai juruterbang, kalau ada perkara lain yang mengganggu tumpuannya, sudah tentu membahayakan penumpangnya. Begitulah dengan guru, elok tugas guru diberikan tumpuan sepenuhnya kepada tugas mendidik. Sekarang ini kita dapati guru dibebani dengan tugas-tugas perkeranian seperti mengisi bermacam-macam borang seperti borang kesihatan pelajar, borang iso, borang markah, borang pemakanan, borang kebersihan kelas dan macam-macamlah lagi borang. Di samping itu guru terpaksa menulis pelbagai laporan. Seorang guru biasa memegang beberapa panatia. Setiap panatia mesti ada laporan, mesti ada minit mesyuarat, mesti ada perancangan tahunan.

Meskipun kelihatannya tugas guru biasanya berakhir selepas tengahari. Tetapi sebenarnya tidak. Kebanyakan guru terpaksa datang semula ke sekolah untuk tugas-tugas lain seperti tugas mengendalikan rumah sukan, persatuan dan juga kelab. Sesudah itu balik ke rumah bawa pula buku-buku dan tugasan murid untuk diperiksa. Persediaan untuk mengajar esok pula perlu juga disiapkan. Biasanya tugas guru tidak akan berkahir biarpun selepas menjelang jam 12 malam.

Saya pernah menjadi guru. Satu ketika dulu saya bertugas 7 hari seminggu. Tidak ada cuti. Hari jumaat (ketika itu Johor cuti), saya ke sekolah kerana menjadi penasihat unit beruniform (Bulan Sabit). Hari sabtu datang lagi ke sekolah kerana menjadi penasihat kelab lukisan. Sudah menjadi kebiasaan pula bagi guru tidur di sekolah kalau ada aktiviti yang melibatkan motivasi pelajar dan juga latihan sukan berpusat.

Sekarang saya berpeluang pula bertugas di pejabat selepas bersara. Selama tiga tahun lebih saya bertugas dari jam 9 pagi hingga 6 petang. Tetapi selepas pulang pejabat saya tidak dibebani dengan tugas-tugas pejabat. Fikiran saya lapang. Cuti sabtu dan ahad tidak langsung diganggu dengan tugas-tugas pejabat.

Oleh itu kasihanilah guru. Hargailah mereka. Fahamilah mereka. Mereka tidak minta anugerah seperti anugerah artis atau anugerah ‘Datuk’. Cukuplah dengan mengembalikan rasa hormat masyarakat terhadap kaum guru.

Selasa, 06 April 2010

Rasuah itu Kuasa.

Syed Hussein Alatas menyatakan bahawa rasuah berkembang pesat dalam masyarakat di mana ‘Kekuatan itu kebenaran’. Kekuatan di sini bermaksud, ‘Kuasa’. Biasanya orang yang mempunyai kuasa lebih cenderung untuk melakukan rasuah. Bagi mereka pula kebenaran berada di pihak mereka.

Sejarah rasuah boleh dikesan sejak bermulanya kehidupan bermasyarakat. Rasuah sudah ada sejak kerajaan Babylon, Mesir kuno dan Romawi kuno lagi. Begitu juga sejak pemerintahan awal India, Cina, Yunani dan Ibrani lagi. Meskipun begitu modus oprandinya tetap sama. Orang yang punya kuasa menggunakan rasuah untuk mencipta kesenangan hidup.

Murujuk kepada kita di Malaysia, siapakah orang yang berkuasa itu?. Sudah tentulah orang politik yang memegang tampuk pemerintah. Selain itu, terdapat juga orang yang berkuasa yang mempunyai autoriti dalam pentadbiran, seperti Ketua Pengarah, Pengarah, Ketua Jabatan hinggalah kepada orang yang berkuasa menguatkan undang-undang seperti di jalan raya. Mereka inilah yang lebih terdedah kepada rasuah.

Kita sering keliru antara hadiah yang berupa sogokan (rasuah) dengan hadiah yang ikhlas. Syed Hussein Alatas memberikan contoh seorang wanita penjual makanan di sebuah warung. Anaknya datang dan dia menghidangkannya. Ini adalah pemberian keibuan. Seorang pelanggan datang dan dia menghidangkannya, selepas itu dia menerima bayarannya sebagai balasan perkhidmatannya itu. Tetapi datang pula Inspektor Kesihatan dan dia menghidangkannya makanan serta menolak pembayaran. Ini adalah sogokan. Katalah Inspektor Kesihatan itu memang pelanggannya. Wanita peniaga itu pula selama ini memang menjaga kualiti kebersihahan warungnya. Sesekali dia menolak pembayaran daripada Inspektor Kesihatan itu atas alasan bahawa dia tidak ada apa-apa kepentingan. Ini bukanlah sogokan.

Begitulah sogokan yang berunsur rasuah dengan hadiah kadang-kadang agar sukar untuk ditentukan oleh mata kasar kita. Bila wanita warung itu menolak pembayaran Inspektor Kesihatan itu, mungkin ada pelanggan lain yang beranggapan itu sudah jadi ‘rasuah’. Pada hal Inspektor Kesihatan itu adalah pelanggan biasannya.

Dalam kes politik pula, kita mengambil contoh seorang wakil rakyat yang kononnya berkhidmat untuk rakyat/masyarakat. Katalah, di kawasannya dia memang dikenali sebagai wakil rakyat yang berjiwa rakyat. Sering turun padang. Banyak menghabiskan wang ringgit, bukan wang peruntukan pembangunan sahaja yang dicurahkannya, wang elaunya sebagai wakil rakyat pun digunakannya untuk membantu rakyat miskin. Tiba-tiba beliau ini terlibat dalam membantu seseorang untuk mendapatkan projek yang bernilai berjuta-juta ringgit. Dengan jasa baik dan kuasa politik yang ada padanya orang yang dibantunya itu dapat projek itu dan dapat melaksanakannya dengan jayanya. Setelah projek itu selesai dan mendapat bayaran, dia terus menemui wakil rakyat itu sambil menyerahkan wang sagu hati sebagai hadiah ikhlas. Apakah ini juga dikatakan sogokan. Bagi wakil rakyat itu dia menerimanya kerana beranggapan bahawa hadiah itu tidak ada kena mengena dengan bantuan yang ulurkannya sebelum ini. Wang hadiah itu pun digunakannya bagi menguruskan parti.

Sogokan yang berbentuk rasuah akan berlaku sekiranya:

1. Sebelum mendapatkan projek itu Wakil Rakyat dan orang itu sudah ada perjanjian baik secara lisan atau bertulis.
2. Bagi projek seterusnya, bila wakil rakyat itu akan membantu lagi orang itu mendaapatkan projek kerana berharap akan mendapat hadiah.
3. Orang yang mendapat projek itu ada kaitan kekeluargaan.

Dalam kehidupan moden ini, rasuah sebenarnya berlaku bukan dalam konteks gambaran pengusaha warung wanita dan seorang wakil rakyat itu sahaja. Rasuah sekarang telah menjadi lebih sukar dan berbelit-belit bila sogokan dan habuan adalah dalam bentuk nilai yang lebih besar. Di sinilah rasuah itu adalah KUASA.

Sabtu, 03 April 2010

Bersyukur Saya Lahir di Sini.

Anak sulung saya kebetulan telah mendapat arahan untuk bertugas di New Delhi, India selama seminggu, bersama beberapa orang staf di syarikatnya. Dalam rombongan itu termasuk dua orang temannya berbangsa India. Sejak mereka sampai di Lapangan Terbang di New Delhi lagi, mereka telah mengalami kesukaran kerana karenah birokrasi hinggalah menempuh pelbagai kepayahan semasa dalam perjalanan ke hotel. Meskipun hotel lima bintang tetapi, perjalanan yang memakan masa hampir dua jam itu terpaksa melalui pelbagai rintangan.
Ada ketikanya van yang mereka sewa itu ditahan oleh sekumpulan samseng, siap dengan kayu dan pelbagai senjata, semata-mata untuk minta wang. Pemandangan sepanjang perjalanan pula penuh dengan manusia-manusia gelandangan. Satu ketika mereka tersesat masuk ke sebuah perkampungan setingan. Mereka terus dikerumuni dengan pandangan dn kata-kata yang penuh ancaman.
Jalan raya di India tidak terurus dengan baik seperti di Malaysia. Meskipun ada lebuhraya, awas, di tengah-tengahnya (bukan di pembahagi jalan), tetapi di tengah jalan ada pokok. Kerajaan tidak menebangnya kerana pokok ini adalah pokok sembahan.
Pondok tol pula cukup daif, tidak seperti di sini yang cantik dan hebat. Sebenarnya benarlah seperti dalam filem yang kita lihat tentang India, polis sendiri pun tidak berani berbuat apa-apa jika kita tiba-tiba dikerumuni dan diserang oleh sekumpulan samseng.
Melihat semua ini memberi keinsafan kepada kita betapa hidup di Malaysia sepuluh kali lebih baik jika dibandingkan dengan negara lain. Sampaikan kedua-dua orang India (Malaysia) itu melahirkan rasa syukur yang amat sangat. Salah seorang daripada mereka sampai berkata, ‘Kalau datuk-neneknya tak datang ke Malaysia, mungkin nasibnya tak sebaik sekarang ini. Syukur kerana dia lahir sebagai anak Malaysia.’