Setiap pilihan raya, biasanya kita melupakan amanah pada setiap undi kita. Kita sibuk membuka pintu-pintu kelekaan demi apa yang dikatakan kemenangan. Seharusnya media berperanan untuk memberi kesedaran kepada massa, supaya mereka bijak menggunakan setiap undi. Untuk itu kita harus memilih baju kempen yang bersih.
Bukan waktunya untuk membuka pintu kemaafan. Kadang-kadang kita salah piantan. Ketika setiap orang sibuk mengasah pisau masalah. Mencari-cari keburukan dan kesalahan orang lain. Kita pun membuka pintu kemaafan seluas-luasnya, sehingga terlupa memetik terang. Terlupa membuka jendela kearifan. Terlupa bahawa baju benar yang tercarik, terlempar ke telaga batil.
Untuk mempersahajakan kelekaan,biar motifnya kemenangan. Sepemakaian, tetapi tak sepadanan. Licin kerana minyak berminta, elok kerana kain berselang. Lentingan api terasa panasnya, lentingan fitnah, terasa nanarnya.
Setiap hari kita membasuh baju resah di sungai cemar fitnah. Setiap hari kita membasuh baju resah di sungai amarah. Merajahambakan nafsu ingin berkuasa. Memberhalamuliakan leka dunia. Kita sering mencabar rahmat, semata-mata merebut nikmat yang sementara.
Siapakah yang mengenakan baju carik amanah yang dibasuh di sungai fitnah?
3 komentar:
Tuan Haji,
Mendalam makna kata-kata terbaik yang dipilih untuk entri ini; sesuatu yang harus dibaca dua lapis makna dan dua tingkat ilmu. Teruskan Tuan Haji menulis entri sebegini... apatah lagi pemilihan kata-katanya yang bermakna.
saya sangat suka dengan untaian kata-kata encik yang sukar nak difaham.memihak siapa, mengajar yang mana, ish...pening juga kepala nak mentafsir.tapi saya percaya bagaimana sukar pun,hati yang menyintai kebenaran tetap bersama walau jasad nampak tidak sepakat.semoga kita tergolong dalam kalangan pencinta kebenaran.teruskan menulis guruku, sangat memberi inspirasi kepada orang yang suka berfikir.
Rusdi,
Terima kasih kerana Tuan Rusdi masih sanggup membaca apa saja yang saya coretkan. Kadang-kadang terasa terlalu abstrak. Saya ingin berterus terang, tetapi nanti ada yang terus meletakkan kita berada di suatu pihak. Sedangkan kebenaran itu tidak berpihak ke mana-mana (merujuk kepada fahaman politik). Yang benar itu tetap benar, biar pahit. Biar dibenci, biar dicaci.
Norjannah,
Terima kasih kerana ingim membaca dan cuba memahaminya. Tulisn saya ini bukanlah apa-apa. Sekadar menulis apa yang terfikir, tanpa ingin berpihak ke mana-mana. Sebagai penulis kita harus membebaskan diri daripada bias politik.
Posting Komentar