Ada ketikanya kita mengalami blackout dan terpaksa bergelap. Malam-malam yang terang akan menjadi gelap, malah segala aktiviti seperti menonton tv, membaca buku, membuat kerja rumah atau mengaji (membaca Al-Quran) akan terbantut. Mungkin kita akan memasang lilin atau bagi yang berkemampuan akan bersedia dengan lampu kecemasan.
Biasanya kita akan mengeluh dan merunggut-runggut menyalahkan keadaan. Kenapalah selalu sangat berlaku blackout begini? Mengapalah TEN lembab sangat?. Macam-macam lagilah kutukan, yang kadang-kadang dilemparkan entah kepada siapa.
Bagi saya sesekali berlaku situasi begini akan menguntungkan kami, terutama ketika anak-anak masih kecil dan masih bersekolah. Bila berlaku blackout, mereka akan berkumpul berdekatan kami, ibubapa mereka. Kegelapan itu menyebabkan mereka berasa takut. Kami akan memasang lilin dan anak-anak akan berkumpul di sekeliling kami. Pada waktu beginilah aku mula bercerita. Aku akan bercerita tentang peristiwa semasa kecil, peristiwa dalam keluarga, bersama atuk, masa persekolahan dan pelbagai peristiwa yang sudah tentu tidak sama dengan apa yang anak-anakku alami.
Ketika inilah aku menyelitkan pesanan-pesanan, nasihat dan tunjuk ajar dalam cerita-ceritaku itu. Aku dapat bercerita tentang kegigihan Atuk yang berjuang gigih untuk keluar dari lingkungan kemiskinan. Daripada tujuh orang adik beradiknya, dialah sahaja yang berjaya kerana percayakan kepada kekuatan ‘ilmu’. Dia suka belajar, dan banyak membaca. Adik beradiknya yang lain masih di takuk lama, masih miskin, masih tinggal di pedalaman. Akhirnya dia disegani dan dijadikan contoh sebagai seorang yang berjaya dalam hidupnya.
Bagiku pula, aku menceritakan bagaimana disiplin atuk mendidik kami adik beradik. Semua anak-anaknya termasuk aku boleh dikatakan berjaya dalam pelajaran. Apa yang penting baginya ialah, belajar! Belajar! Membaca! dan terus membaca!.
Sebagai bapa, dia cukup perihatin terhadap masa depan kami, anak-anaknya. Dia sering meluangkan masanya dengan kami. Biasanya lepas asar, selepas balik dari bendang, kami akan berkumpul mendengar dia membaca buku kisah nabi. Pada waktu malam pula (selepas mengaji)dia sering bercerita kepada kami tentang masa kecilnya. Dia juga banyak bercerita tentang kisah-kisah binatang seperti kisah Sang Kancil yang sentiasa menang bila berurusan dengan harimau.Dia juga berkisah tentang kisah-kisah dongeng, tentang puteri raja yang di bawa kembara dan dimasukkan ke dalam 'cembul'.Pada waktu itu hanya cerita ayah yang menjadi tumpuan kami kerana radio dan tv belum ada lagi. Kami sendiri masih menggunakan pelita ayan.
Di kampung itu ayah dikira sebagai seorang yang terpelajar. Dia juga seorang iman di kampung itu. Atas usahanya dia membina sebuah pondok untuk pelajar-pelajar dewasa belajar, dan dia dilantik menjadi guru kelas dewasa. Ibu adalah salah seorang muridnya.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar