Kini kita sudah pun mengetahui apa yang telah berlaku kepada dunia politik Melayu. Lebih dari itu ada yang menyangsikan masa hadapan orang-orang Melayu. Akhbar UM setiap hari menyiarkan ratapan, kekesalan dan rintihan daripada beberapa orang pembaca yang rata-rata berasa kesal terhadap kekalahan teruk BN (Meski pun sebenarnya masih menang), cuma lima buah negeri terlepas ke tangan pembangkang. Benarkah akan berlaku seperti apa yang dikhuatiri oleh mereka? Bahawa orang Melayu akan hilang semuanya, bahkan akan hilang hak keistemewaan bumiputera?
Apakah selepas ini orang Melayu akan terus jatuh miskin? Akan tidak dibela lagi? Akan terus mundur dalam semua aspek termasuk pendidikan dan ekonomi. Seharusnya orang Melayu janganlah berasa gentar. Selama ini pun bila dikaitkan dengan Melayu semuanya adalah yang berbentuk negetif. Tidak ada suatu pun yang Melayu boleh buat. Kalau menyentuh politik, politik Melayu memang teruk. Penuh dengan hasad dengki, fitnah dan jatuh-menjatuhkan. Kalau menyentuh tentang ekonomi Melayu. Nak mencapai 30% DEB pun sakit. Begitu juga tentang pelajaran, Melayu masih lemah jika dibandingkan dengan kaum-kaum lain seperti Cina dan India. Ada seorang dua yang mencapai 18A dan kini 21A bukan bermakna orang Melayu sudah boleh menandingi orang Cina dalam pelajaran.. Dari segi peratusan kita masih kalah berbanding dengan mereka. Begitu juga dalam aspek lain, orang-orang Cina sebenarnya sudah jauh meninggalkan kita.
Orang Melayu mestilah mengubah sikap kalau ingin maju. Janganlah masih berharap kepada kerajaan semata. Apa yang penting ialah orang Melayu yang di atas mestilah ada usaha untuk menolong orang Melayu di bawah. Misalnya, orang Melayu yang Berjaya dalam ekonomi, perlulah membantu peniaga-peniaga Melayu yang ingin bersaing, bukan cuba membolot dan memenopoli kejayaannya sendiri sahaja. Banyak cara untuk membantu rakan-rakan Melayu yang berniaga. Bimbingan dan pembahagian kek ekonomi yang sama rata perlu diusahakan. Jangan hendak bolot sesama kroni sahaja.
Dalam pendidikan juga begitu. Pensyarah-pensyarah di pusat pengajian tinggi ramai Melayu. Apakah peranan mereka? Seharusnya mereka bertanggungjawa memastikan anak-anak Melayu berjaya di peringkat universiti. Budaya membimbing dan mendedahkan anak-anak Melayu dalam arus pendidikan tinggi harus diusahakan. Kita dapati didekasi pensyarah Melayu masih kurang. Tidak sama dengan orang-orang Cina dan India. Mereka bersama-sama memastikan pelajar mereka berupaya menghadapi kepesatan ilmu teknologi terkini. Kita masih membiarkan anak-anak Melayu terkontang-konteng tanpa bimbingan. Dibiarkan bersendirian untuk memajukan diri. Ramai pelajar Melayu yang gagal semasa di pusat pengajian tinggi, jika dibandingkan dengan anak-anak bangsa lain. Kenapa? Adakah mereka memang tidak pandai?
Pemimpin-pemimpin kita nampaknya masih gagal dalam menangani banyak masalah orang Melayu. Hatta dalam membasmi penagihan dadah yang kita sendiri akui bahawa orang melayulah yang paling ramai. Hingga sekarang masih belum ada tanda-tanda kita berjaya mengatasinya. Masalah sosial juga sering menghantui kita. Anak-anak Melayu terlibat dalam kegiatan merempit, meragut dan buang bayi. Bilakah masalah ini akan dapat diatasi. Sudah 50 tahun kita merdeka. Masalah kemiskinan orang Melayu sendiri masih tidak dapat diselesaikan hingga kini. Sedangkan kuasa politik ditangan kita. Sepatutnya dengan ‘kuasa’ itu kita boleh buat macam-macam. Sepatutnya orang Melayu sudah kaya-raya. Lihatlah di taman-taman perumahan, kita masih belum dapat tinggal di rumah-rumah mahal, orang Melayu masih ramai yang tinggal di rumah-rumah murah dan flet murah. Kalau di kampung pula, lihatlah rumah-rumah orang Melayu, masih daif.
Kini sudah sampai masanya kita sedar. Bangunlah wahai orang Melayu. Janganlah kita iri hati kepada kaum lain, yang kini bukan sahaja sudah mula menguasai ekonomi bahkan sudah mula menguasai kuasa politik. Janganlah selepas ini satu-satu terlepas dari tangan kita. Orang Cina boleh, seharusnya orang Melayu pun boleh. Janganlah berharap kepada kerajaan sahaja. Kita harus mengubah diri kita sendiri. Belajarlah dari rakan kita orang-orang Cina. Bukan memusuhi mereka. Bukan masanya lagi untuk kita meratap.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar