Berbual-bual dengan seorang cikgu veteran (sudah bersara) yang banyak pengalaman, malah banyak menulis dan membuat kajian terasa seronok pula. Dia bercerita tentang seorang guru yang didapati bersalah dan sabit kesalahannya kerana rasuah, telah dijatuhi hukuman dua tahun penjara. Hendak dijadikan cerita, tiba-tiba dia dibebaskan sebelum habis tempoh hukuman dan dibayar segala pampasan, kebetulan sudah tiba masa bersara, diberi pula ganjaran persaraan sebagai seorang pesara kerajaan. Hal ini berlaku kerana masjisterit atau hakim yang menjatuhkan hukumannya dulu telah didapati menyalah guna kuasa dan menghilangkan diri bila kesnya hendak dibawa ke mahkamah. Rupanya dalam perundangan bila hakim sendiri didapati terlibat dalam kes rasuah atau salah guna kuasa, segala kes dan hukuman yang melibatkan dirinya adalah terbatal. Termasuklah kes guru itu tadi yang telah pun menjalani hukuman. Kini guru itu masih menikmati ganjaran persaraannya.
Berbanding dengan kisah seorang lagi guru yang berjuang dalam politik dan persatuan. Hendak dijadikan cerita tokoh ini di ambang umur persaraannya (Cuma dalam beberapa bulan sahaja lagi mencapai umur 55 tahun ) dia diminta bertanding dalam pilihan raya. Kerana dia bertanding atas tiket parti kerajaan, tidaklah dia ragu-ragu lagi untuk melepaskan jawatannya sebagai guru (dengan janji dia juga akan diberikan nikmat gaji bersara). Malangnya dia tewas dalam pilihan raya tersebut. Sudahlah tewas, jawatan gurunya juga terlepas, janji untuk memberikan ganjaran bersara pun terlepas. Hinggalah beliau meninggal dunia, tokoh ini terus dilupakan. Kebetulan baru-baru ini saya ada bertandang ke rumah balunya untuk berziarah. Mujurlah balu tokoh yang dilupakan ini pandai menjahit. Dapatlah dia menampung hidup dengan seorang lagi anak yang masih dalam tanggungannya. Suaminya dulu seorang tokoh yang terkenal. Ramai yang meminta bantuan dan pertolongan, maklumlah orang nombor dua selepas Yang Berhormat di kawasannya. Tetapi kini dia telah dilupai. Sebagai guru yang hampir mencecah umur bersara, dia tidak mendapat apa-apa . Kalau dibandingkan dengan guru yang pernah ditahan dan didapati bersalah… rasanya itulah yang dikatakan takdir.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar