Bila melihat meriahnya sambutan Hari Raya Korban tahun ini, kita bagai melihat pesta-pestaan. Di mana-mana ada saja binatang yang dikorbankan. Alhamdulilah, nampaknya orang kita sudah semakin faham tentang pengertian ibadah korban itu. Tetapi bila membaca pendapat Dr. Asri Zainal Abidin (mantan mufti Perlis) saya menjadi tertanya-tanya, apakah pengertian korban itu hanya semata-mata kesanggupan kita menghulur wang untuk berkorban. Lalu daging korban itu dibahagi-bahagikan kepada fakir miskin?
‘Apabila kita melakukan korban mencontohi perbuatan Nabi Ibrahim a.s. sedangkan kita gersang jiwa dan kefahaman tentang hakikat perjuangan, maka tujuan pensyariatan itu tidak menuju ke sasarannya. Jadilah kadang-kala majlis korban itu majlis bermegah-megah, atau sekadar memberikan daging dan melupai falsafah perjuangan dan perngorbanan di sebaliknya.
Apabila umat ini meninggalkan tanggungjawabnya sebagai penyampai risalah kebenaran, maka banyaklah syariat yang diturunkan itu hanya ada rupa luaran namun tandus isi dalamannya. Para pejuang itu berkorban haiwan pada hari Aidil Adha, yang bukan pejuang juga melakukan korban. Namun jiwa yang membara, makna yang dihayati dan hakikat yang difahami yang mengalir dalam tubuh setiap mereka tidaklah sama.
Berjuang dan sekadar bercerita tentang perjuangan tidaklah sama. Apabila jiwa tidak sama, rasa pun berbeza. Apabila rasanya berbeza, kelazatan nikmat agama yang dihirup oleh pejuang pastinya tidak sama dengan apa yang dihirup oleh seorang yang bersantai mencerita tentang agama.
Maka, bukan semua yang berkorban binatang pada aidil adha ini dapat menghayati hakikat perjuangan yang disampaikan dalam sejarah Nabi Ibrahim a.s.’
Falsafah ibadah korban itu rupa-rupanya perlu kita hayati. Sebagai ‘pejuang’ kita seharusnya mengutamakan ‘agama’ lebih daripada segala-galanya. Bagi yang mampu eloklah berkorban harta benda. Kita seharusnya mencontohi sahabat nabi yang sanggup mendermakan hartanya kerana kemajuan agama. Contoh yang paling baik ialah Saydina Abu Bakar As Sidiq yang banyak berkorban harta benda. Beliau adalah seorang ahli perniagaan yang terkenal ketika itu. Bila beliau memeluk Islam beliau tidak ragu-ragu lagi menggunakan kekayaannya hanya untuk kemajuan Islam.
Ada lagikah pemimpin Islam seperti ini? Yang banyak kita temui, ramai yang menjadi pemimpin dalam dunia Islam akan menambahkan kekayaan peribadinya semata-mata. Jadi di mana letaknya istilah ‘berkorban’ seperti yang dianjurkan dalam Islam itu. Itu baru ‘berkorban’ harta benda, belum lagi berkorban nyawa demi agama. Meskipun sekarang bukan lagi dunia perang, tetapi peperangan dengan perkara mungkar harus diperhebat. Kita harus berperang dengan segala bentuk hiburan yang tidak sesuai dengan Islam. Terutama yang ditayangkan kepada anak-anak kita setiap hari. Iklan filem ‘Jalang’ yang menunjukkan bagaimana seorang wanita dipeluk oleh seorang lelaki setiap hari kita sasksikan. Tarian-tarian dan adegan yang tidak sesuai saban hari dapat ditonton di tv kita. Sepatutnya dengan kekuatan ‘ekonomi’ kita harus memeranginya. Seniman kita juga boleh berkorban dengan menghasilkan filem-filem yang sesuai dengan keperibadian muslim. Apakah dengan meniadakan adegan suami isteri berpeluk, suami isteri di atas katil akan menyebabkan mutu filem kita rendah?
Sebenarnya inilah bentuk peperangan zaman moden yang digunakan oleh barat bagi mengalahkan kita orang-orang Islam.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar