Selasa, 22 Juni 2010
Singgah di Negeri Mabok, Marsli.
Berdasarkan pengakuan Marsli sendiri, 45 sajak-sajak gelisah ini ditulis sebagai reaksinya terhadap pelbagai peristiwa yang mewarnai kehidupan kita rakyat Malaysia.
Beliau dengan berani meletakkan kesalahan ini pada ahli politik. Apa saja kebejatan, apa saja kesalahan, apa saja onar semuanya ada kaitan dengan politik kita yang semakin membusuk. Dari kesalahan mengabaikan ‘bahasa’ sampai kepada kesalahan rasuah, tidak terlepas dari sindiran tajam Marsli.
Negara kita sudah sampai kepada tahap tenat. Malah nazak akibat politik yang songsang.Dalam pengakuan Marsli sendiri, beliau secara jujur menyatakan, ‘Sebagai seorang penyair, dia tidak ingin melihat dan membiarkan terus negeri tercinta miliknya menjadi segumpal kertas yang direnyok-renyok oleh tangan para algojo mabuk bernama politikus.’
Bagi Marsli para politikus inilah yang bertanggungjawab, seperti dalam bait puisinya,’Negeri Ini akan Membusuk’
Negeri ini akan membusuk
Menjadi negeri sarap dan sampah
Segala haloba
Manusia yang hilang cinta.
Bagi Marsli juga dunia mabok ini juga dunia untuk si haloba. Sudah tentulah ditujukan juga kepada ahli politik yang tamak dan tidak jujur;
Inilah dunia untuk si haloba
Menghunus hasad di sebalik puji
Bertopeng senyum berselindung iri
- Sajak Politik Cemburu.
Sebagai seorang penyair, saya mengenali Marsli N.O. ketika beliau bersama-sama terlibat dalam siri Kembara Puisi Darul Ta’zim, 2002 lagi, di beberapa tempat seperti di Johor Bahru, Kota Tinggi dan Kluang.
Kemudian saya berpeluang lagi sekali bertemu semasa Pertemuan Penyair Nusantara di Kuala Lumpur pada tahun 2009.Dalam beberapa kali pertemuan itu, saya dapati beliau seorang yang mudah mesra, meskipun beliau mengakui sendiri bahawa beliau kadang-kadang tidak dapat berkompromi dengan beberapa orang di sekitarnya yang tidak jujur. Marsli N. O nampaknya meletakkan ‘kejujuran’ dalam apa juga perkara. Dari persahabatan, politik, pekerjaan hatta kepimpinan. Sebab itulah beliau mudah tersentuh bila ada orang yang suka mengambil kesempatan terhadap persahabatan yang dihulurkannya.
Marsli mengakui sendiri dengan jujur;
Walau aku lelaki pemarah
Tapi tidak akan mudah melatah
-Ketika Kau Memilih Buta.
Itulah sikap sebenar Marsli N.O yang saya kenal.Sesungguhnya singgah sebentar di Negeri Mabok, Marsli; kita didedahkan dengan pelbagai karenah manusia yang hidup penuh kepura-puraan.
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
4 komentar:
Ulasan ringkas sdr pada 'di negeri Mabok' Marsli memada untuk memahami lirik hatinya. Mabok adalah satu nama khas bagi sebuah negeri ciptaan sdr Marsli. Atau gelaran bagi sebuah negeri...macam Malaysia kini yang ditadbir oleh pemimpin mabuk (kuasa dan RM) dan rakyat jadi mabuk/lalai hiburan, maksiat dan jenayah!.
Ustaz,
Marsli cerdik dalam menterjemahkan keadaan politik di negara kita ini.
Sdr Tuan Haji Shapiai: Saya datang membaca dengan cermat dan melihat sebuah cermin.
MARSLI N.O
Marsli N.O,
Terima kasih kerana sudi datang. Tahniah kerana tersenarai dalam pemenang Hadiah Sastera Utusan yang berprestej itu.
Posting Komentar