Rabu, 07 Juli 2010
Bahtera Perkahwinan.
(Buat anak-anakku)
Sampai masanya (kalau ada jodoh) kita akan melangkah ke alam rumah tangga.Tiga puluh tahun lalu saya memasuki alam rumah tangga dengan hati yang berdebar-debar. Memilih seorang isteri, yang akan berkongsi dengan kita selagi hayat di kandung badan. Apakah perkongsian hidup ini akan berkekalan? Apakah akan mendapat zuriat seperti yang diimpikan? Apakah bahagia? Bermacam persoalan datang menerjah di minda dan sanubari.
Tanpa disedari masa terus berlalu. Alhamdulillah saya dikurniai 6 orang cahaya mata, 5 lelaki dan seorang perempuan (bongsu). Kini mereka sudah dewasa. Masing-masing telah membawa diri, selepas berhempas pulas di universiti. Tinggal yang bongsu sahaja lagi masuk tahun kedua di UTM.
Begitulah akhirnya mereka pula yang akan mengikuti jejak kita. Mereka akan berkeluarga. Dua daripada mereka telahpun berkahwin, masing-masing telah mendapat seorang anak.
Kini dua lagi anak lelaki saya melangkah ke alam rumah tangga. Saya mendapat dua lagi anak menantu sekali gus.. Seorang mendapat jodohnya dengan orang Kelantan dan seorang lagi dengan orang Terangganu. Pada 7 Jun lalu, saya berserta keluarga bertolak ke pantai timur untuk urusan berkenaan.
Sebagai bapa, saya mempunyai harapan yang besar terhadap kehidupan baru anak-anak saya ini. Alam rumah tangga yang mereka tempuh, bagai sebuah bahtera yang mengharungi lautan kehidupan.Kadang-kadang akan ada gelombang besar memukul bahtera. Apakah sebagai nakhoda kita mampu mengendalikan bahtera dengan selamat.Melihat begitu banyak bahtera perkahwinan tidak dapat diselamatkan dari gelombang maslah rumah tangga, saya sebagai bapa agak khuatir dan sentiasa berdoa demi kebahagiaan anak-anak.
Wahai anak-anakku. Sesungguhnya perkahwinan itu suatu amanah. Jagalah amanah perkahwinan itu sehingga dapat melahirkan zuriat anak-anak soleh dan solehah. Sesungguhnya hidup di dunia ini sementara, hidup ini ujian, hidup ini adalah persediaan untuk hidup yang lebih kekal di akhirat kelak.
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
4 komentar:
Salam Tuan Haji,
Tahniah cerpen "SAMPAH" tersiar dalam BH Sabtu, 10 Julai 2010. Teruskan Tuan Haji...
salam Tn. Haji,
" Bahtera Perkahwinan" boleh satu novel yang menarik, tentu dalam perancangan Tuan Haji agaknya, walaupun begitu saya ucapan tahniah kerana menerima sekali gus dua menantu perempuan.
Md. Nizar,
Terima kasih. Sama-samalah kita menyemarakkan sastera di Darul Ta'zim ini.
Tuan Citra,
Terima kasih kerana sanggup berkongsi idea. Dulu novel saya berjudul 'Gerimis Perkahwinan'..Sesungguhnya tentang rumah tangga sahaja terlalu banyak untuk diceritakan.
Posting Komentar