Kamis, 12 Agustus 2010

Nostalgia Bulan Ramadan.

Bulan puasa yang saya lalui semasa kecil sebenarnya masih menjadi kenangan hingga kini. Puasa biasanya dikaitkan dengan bulan berlapar pada waktu siang. Itu sahaja yang saya tahu semasa kecil dulu. Malamnya kami akan memenuhi masjid di kampung untuk sembahyang terawikh. Kami akan menunggu-nunggu giliran moreh Tok Wa Chikjid, kerana bila gilirannya kami akan dapat juadah yang lain daripada kebiasaan. Kalau malam-malam lain cuma dapat menikmati bubur kacang, tetapi kalau gilirin Wa Cikjid selalunya dia sediakan roti canai. Kadang-kadang nasi lauk udang. Ada saja hidangan yang lain yang sungguh-sungguh menyelerakan tekak kami anak-anak kampung. Kalau Laksa Peneng pun sudah menjadi hidangan yang hebat pada waktu itu.

Ketika menunggu sembahyang Isyak dan seterusnya sembahyang terawikh anak-anak muda kampung sempat bermain galah cuit. Satu permainan yang menarik untuk ditonton.Permainan di halaman masjid itu dijalankan dalam bentuk dua kumpulan. Satu kumpulan akan menjaga garisan dan petak masing-masing, manakala satu kumpulan lain akan cuba berlari melepasi garisan mengikut-petak-petak yang dibuat hinggalah balik semula ke tempat permulaan.

Saya yang masih kecil hanya melihat sahaja dari beranda masjid. Beranda masjid dipenuhi dengan berapa buah lampu gasolin. Lepas maghrib Tok Siak akan datang untuk menyalakan lampu gasolin itu dan mengantungkan di beberapa tempat, termasuk dalam masjid. Jadi terang benderanglah masjid pada malam hari sepanjang bulan puasa itu.

Apabila tiba waktu azan barulah permainan galah itu ditamatkan. Kami anak-anak kecil akan turut berjemaah di bahagian barisan belakang. Ada juga anak-anak yang tidak solat. Mereka menyediakan lastik untuk melastik cicak di siling masjid.

Waktu berbuka adalah waktu yang sangat-sangat ditunggui oleh kami. Ibu akan membuat beberapa juadah berupa kuih-muih. Tugas kami akan berjalan ke beberapa buah rumah jiran untuk menghantar juadah. Sudah tentulah bila pulang pinggan kami akan diisikan pula dengan juadah lain. Jadi pada waktu berbuka kelihatan banyaklah kuih-muih selain daripa- da nasi.

Satu perkara kemestian pula saya akan ditugaskan oleh ibu untuk ke kedai Pak Mail, menunggu ais. Biasanya dalam jam 5 seorang pekerja Pak Mail akan balik dari bandar membawa bungusan air batu yang besar. Dia akan mengergaji ketulan ais yang besar itu mengikut harga yang kita nak beli. Bagi kami sekeluarga cukup seketul ais berharga dua puluh sen. Ketulan ais itu akan ditaburkan dengan abu kayu supaya tidak cepat cair dan dibungkus dengan kertas tebal. Jadi juadah berbuka pada bulan puasa akan lebih lengkap dengan minuman air sirap bercampur ais.

4 komentar:

Wahyu Budiwa Rendra mengatakan...

salam ramadan 1431H tn.hj yang dihormati. ramadan selalunya ada meninggalkan kenangan kepada kita. permainan galah cuit memang cukup terkenal waktu tu. ayah pun ada bercerita, sama dengan cerita tn.hj. kalau tak silap, pemainnya siap letak minyak satu badan, supaya sukar ditangkap.

MARSLI N.O mengatakan...

Sdr Tuan Haji Shapiai: Saya suka dgn design baru blog Sdr ini.

Melihat Kesunyataan mengatakan...

Wahyu,
Sebenarnya saya ingin menekankan bahawa kami dulu hanya tahu puasa itu hanyalah untuk berlapar, berbuka, solat terawikh dan moreh sahaja.

Melihat Kesunyataan mengatakan...

Marsli N.O,
Kunjungan tuan yang amat saya hargai. Terima kasih.