Sebuah perkahwinan bermakna membina sebuah rumah tangga. Sudah tentulah sebuah perkahwinan yang kita bina pada mulanya penuh dengan harapan untuk bahagia. Tetapi tidak semua orang menemuinya. Kebahagiaan yang diharapkan tidak juga kunjung tiba. Malah perjalanan sebuah rumah tangga yang ibarat sebuah bahtera hidup itu terpaksa menghadapi gelora gelombang badai yang sukar ditempuh.
Inilah yang dihadapi oleh seorang sahabat. Baru-baru ini beliau datang sendiri menemui saya dan dengan wajah sedih menceritakan kisah rumah tangganya yang katanya, sudah sampai ke penghujung kemusnahan.
Dia yang saya maksudkan biarlah hanya dikenali sebagai Hariri (Bukan nama sebenar). Sebenarnya perkenalan saya dengan Hariri hanya baru sahaja, tetapi kerana mungkin faktor usia (Saya lebih tua daripadanya), beliau sanggup menceritakan segala kesulitan hidupnya. Katanya, dia tidak ada lagi tempat hendak mengadu. Terpaksa membuang rasa malu diri, kerana kalau tidak diluahkan, terasa membebankan dirinya pula. Dengan cara pendedahan ini dia berharap segala beban yang ditanggungnya akan dapat dikurangkan.
Hariri telah lama mendirikan rumah tangga dengan wanita pilihannya sendiri. Mereka dikurniakan 4 orang anak. Dua lelaki dan seorang perempuan. Anak lelakinya yang sulung telah meninggal dunia kerana kemalangan. Kini anak-anak mereka telah dewasa. Dia pula berniaga dan alhamdulilah perniagaannya semakin maju. Isterinya bekerja dengan kerajaan.
Kehidupan sedihnya bermula bila anak lelakinya terlibat dalam gejala dadah. Pendidikannya tidak seberapa kerana dia tidak berminat belajar. Dia pernah menyediakan modal kepada anak lelakinya itu untuk berniaga, tetapi gagal kerana masalah dadah. Bukan itu sahaja, anaknya juga telah menyebabkan kesusahan kepada masyarakat setempat. Kes-kes kecurian, pecah rumah sudah tentu melibatkan nama buruk anaknya.
Apa yang lebih menyedihkan baru-baru ini anak lelakinya membawa seorang perempuan balik ke rumah. Kebetulan dia jatuh sakit dan lama terlantar di hospital. Setelah itu dia balik ke kampung untuk berubat. Semasa ketiadaanya itu anak lelakinya membawa balik seorang perempuan dan tinggal bersama beberapa hari. Sudah tentulah mereka berzina. Kerana tidak mahu bersubahat dia ingin menghalau wanita itu, tetapi isterinya pula sudah mula menyayanginya. Hingga sekarang wanita itu masih tinggal di rumahnya.
Menurutnya wanita itu sebelum ini pernah melahirkan anak luar nikah, sehingga dihalau dari rumah oleh keluarganya sendiri. Dia ada melaporkan hal itu ke pejabat agama, tetapi pejabat agama juga nampaknya masih belum bertindak. \
Kini anak lelakinya telah ditangkap dan dihantar ke pusat pemulihan. Anak perempuannya yang sulung telah bekerja di KL, manakala anak perempuan yang masih bersekolah juga sudah mula menunjukkan masalah sosial. Bagi mengelakkan berlaku hal yang tidak diingini mereka menghantarnya balik bersekolah ke kampung, di bawah pengawasan neneknya.
Dengan wajah sayu, Hariri juga menyatakan, meskipun kini kesihatannya beransur pulih, tetapi tanpa setahunya wang simpanannya di bank dan Tabung Haji telah dikeluarkan tanpa izinnya oleh seseorang, iaitu isterinya sendiri. Niatnya untuk menunaikan haji dan umrah nampak tak kesampaian. Ketika ini, dia sungguh sedih hingga mengalirkan air mata. Isterinya itu katanya, seperti ingin menghalaunya pula.
Saya hanya dapat menasihatkan supaya dia lebih bersabar. Ingatkan Allah dan mengadulah kepada-Nya. Rajin-rajinlah buat solat hajat, solat tahajut, solat sunat tasbih dan solat doha. Itu saja yang dapat saya nyatakan kepadanya. Saya sendiri pun tidak dapat untuk memberikan jalan keluar kepada kekusutan hidupnya itu.
Sebelum beredar dia menyatakan bahawa selama ini dia lalai. Mungkin ini adalah balasan Allah kepadanya.
6 komentar:
Salam Tuan Haji,
Sungguh sedih cerita yang di paparkan ini. Ini yang dimaksudkan 'bersabarlah' dalam fb. Yang kita tidak mengetahui ceritanya, manyalah anggap cerita lain pula, mudah-mudahan segala permasalahan si pulan dapat di selesaikan dengan sebaik mungkin....satu paparan yang sungguh menyedihkan di bulan mulai ini.
Tuan Haji,
Ini memang kisah benar. Beliau yang saya namakan 'Hariri' datang berjumpa saya. Pada mulanya saya agak sibuk bila dia menyatakan hasrat untuk berjumpa. Sehinggalah dia datang sendiri berjumpa saya bagi kali kedua. Sebak dada saya mendengar pengakuannya. Leboh-lebih lagi bila dia menyebut bahawa duit tabung hajinya habis dikeluarkan tanpa pengetahuannya. Ketika itu dia benar-benar menangis di hadapan saya. Dia belum menunaikan haji.
Salam Tuan Haji: Semoga sahabat kita itu menemukan jalan pencerahan jua. Semoga.
MARSLI N.O
sayu hati membaca kisah ini. lebih sayu mengenang tindakan isteri yang hilang kasih pada suami. padanlah nabi juga berpesan, penghuni neraka ramai wanita.
sebagai wanita, saya malu membaca olah si isteri. perkirakan umur, mustahil belasan, pasti menjangkau usia emas.
apalah diharap pada harta dunia yang sementara itu.
untuk encik hariri, andai kata `bersabar` sudah muak ditelan,maka bertindaklah.apapun keputusannya, Allah pasti membantu hamba yang meminta padaNya..
Tuan haji,
bila orang bercerita kepada kita, maknanya dia mempercayai bahawa kita berkeupayaan mendengar dan boleh dipercayai kan.
bertuahlah andai ramai yang memilih tuan, maknanya tuan memberi manfaat menyebarkan kebaikan. semoga diteruskan usaha yang baik itu.
Assalammualaikum Cikgu yanh dihormati,
Membaca nama Hariri pada awalnya mengejutkan saya kerana ada seorang kenalan yang diurung masalah rumah tangga juga. Namun, nyata Hariri ini lebih derita. Pasti perit untuk dia menanggung rasa. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Barangkali mehnah ini memberi ruang untuk dia menyelidik diri dan asal kepincangannya, memuhasabah untuk dijadikan landasan menuju kebaikan.
Tamat membaca kisah ini mengingatkan saya tentang kata-kata seorang pensyarah saya "Marriage is all about gambling. You never know what will happen in the future ..."
Marsli,Comel dan Wardah,
Semalam saya mendapat khabar "Hariri' yang saya ceritakan itu telah menghembuskan nafasnya yang terakhir. Semoga rohnya ditempatkan bersama-sama orang yang soleh dan sentiasa dirahmati Allah.
Al-Fatihah!
Posting Komentar