Senin, 04 Oktober 2010
Cikgu Saya
Peranan guru dalam membentuk hidup kita sudah tentu tidak boleh dipertikai. Begitulah dengan dua orang guru saya yang dapat saya temui semasa menghadiri Dialog Membangkitkan Memori Kolektif Kesejarahan Malaysia- Indonesia di Persada, Johor Bahru pada 1 -3 Oktober baru-baru ini.
Ketika sarapan di Coffe-house hotel saya ternampak seseorang. Seseorang yang wajahnya tetap dalam ingatan saya meskipun sudah dimakan usia. Beliau adalah Dato’ Abd. Rahman Yeop, mantan Pengarah Pendidikan Bahagian Asrama Penuh di Kemnterian Pendidikan (Pelajaran). Juga pernah menjadi Pengetua SDAR selama 6 tahun. Sebenarnya beliau juga adalah guru saya semasa mengajar saya di darjah 6 Sekolah Kebangsaan Gunung Semanggol, Perak.
Seorang lagi guru saya yang dapat saya temui semasa persidangan penting itu ialah Cikgu Mohd. Nor Long. Beliau pernah menjadi Pengarah Pendidikan(Pelajaran) di beberapa buah negeri seperti di Sabah dan Pahang. Beliau juga adalah guru saya semasa saya berada di Tingkatan 3 Sek. Men. King Edward VII Taiping.
Apa yang menarik, kedua-dua mereka inilah yang berjaya membentuk minat saya dalam penulisan. Bagi Cikgu Abd. Rahman Yeop, beliau menanamkan minat saya dengan pembacaan bahan sastera. Semasa beliau, perpustakaan atau khutub khanah sekolah belum ada lagi, tetapi dengan inisiatif beliau kami berjaya membentuk khutub khanah darjah dengan pungutan yuran 20 sen setiap minggu. Saya diamanahkan untuk menjadi bendahari dan menjaga buku-buku tersebut. Menulis dan mencatat nama-nama buku dan sesiapa yang meminjamnya. Bermula dari sinilah minat saya dalam bidang sastera bermula. Beliau juga sering membacakan buku novel seperti Musafir karya Hasan Ali dalam kelas.
Cikgu Mohd. Nor Long pula adalah guru Bahasa dan Sejarah semasa di sekolah Menengah. Beliau pula sering meminta kami menghafal puisi-puisi Usman Awang dan Chiril Anwar. Saya masih ingat saya terpaksa menghafal puisi ‘Bunga Popi’ karya Usman Awang dan dibacakan di hadapan kelas. Dengan beliau juga saya sering diamanahkan membawa buku-buku cerita yang beliau kumpul sendiri ke dalam kelas untuk dibaca pada waktu lapang. Beliau tidak mahu kami bermain jika tidak ada guru dalam kelas. Bila habis kelas saya akan mengumpulkan kembali buku-buku tersebut untuk diserahkan kembali kepadanya.
Sudah tentulah kedua-dua mereka ini mempunyai saham yang besar atas minat dan keberhasilan saya dalam bidang penulisan. Sejak itulah saya berminat dalam sastera.
Kepada kedua-dua mereka saya mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga. Sesungguhnya budi cikgu tidak akan mampu saya balas. Cuma doa dari saya, bekas murid yang sentiasa mengingati jasa-jasa guru.
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
3 komentar:
tuan, kadang kita sebagai guru tak tahu mana satu perbuatan atau perkara yang kita lakukan memberi kesan kepada pelajar kita.
bukan penting sebesar mana atau sekecil apa, yang penting impak yang diterima oleh pelajar itu.
saya pasti ketika itu mungkin kedua guru tuan yang sangat beuntung ini tidak menyangka peranan yang diberi kepada tuan sebagai murid membawa kesan yang amat besar akhirnya.
justeru, tidak mustahillah mereka sangat gembira bila tuan menjadi seperti sekarang dan pasti mereka sungguh terharu.
aduhai, manisnya andai bertemu peristiwa begini.inilah antara kenangan terindah manusia bergelar guru..
Comel,
Saya sendiri dapat merasakan keterharuannya bila saya memperkenalkan diri dan mengucapkan kata-kata penghargaan kepadanya. Samalah seperti yang pernah saya alami sendiri bila ada di antara bekas pelajar kita yang datang menegur saya dengan panggilan 'cikgu'.
Salam Haji,
akhirnya bertemu juga dgn Cikgu Rahman Yeop.
Posting Komentar