Minggu, 29 Januari 2012

Amanah

Jika setiap kita faham tentang apa yang dikatakan ‘amanah’ dan terus menjaganya sudah tentu hidup kita (masyarakat) akan aman dan tidak akan berlaku (kurang berlaku) perkara-perkara yang melanggar hukum agama. Biasanya orang yang amanah di dalam dirinya ada iman, ada tawakal dan ada sifat-sifat mahmuddah.
Agak sukar untuk mencari manusia amanah pada zaman ini. Sesuai dengan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh abu hurairah, ketika Nabi menjawab pertanyaan seorang badwi yang bertanyakan tentang hari kiamat. Sabda Nabi, ‘Jika amanah sudah disia-siakan, maka tunggulah datangnya kiamat.’ Seterusnya si Badwi itu bertanya lagi, ‘Bagaimanakah terjadinya kesia-siaan itu, wahai rasullallah?’, Nabi menjawab, ‘Iaitu ketika suatu urusan diserahkan bukan kepada ahlinya, maka tunggulah kedatangan kiamat itu.’.
Daripada hadith itu jelas menunjukkan bahawa ‘amanah’ bukan lagi menjadi pilihan kepada orang yang memimpin, iaitu seperti yang dimaksudkan nabi apabila suatu urusan itu tidak serahkan kepada yang bukan ahli.
Bila yang bukan ahli menjadi pemimpin sudah tentulah mereka menjalankan tugas bukan berdasarkan amanah.
Siapakah pemimpin? Seorang bapa ada pemimpin dalam sebuah keluarga. Anak-anak adalah amanah. Jika bapa tidak menjalankan tugasnya sebagai bapa yang bertanggungjawab maka rosaklah sebuah institusi keluarga. Begitu juga seorang pemimpin. Di bahunya ‘amanah’ untuk berlaku adil kepada semua rakyat. Jika seorang pemimpin lebih mementingkan keluarga, kroni dan penyokong-penyokongnya sahaja, maka beliau bukanlah seorang yang boleh dikatakan ‘amanah’.

Tidak ada komentar: