Senin, 23 Juli 2012

Surau

Masuk sahaja bulan ramadan surau tiba-tiba menjadi sasaran makmum. Terutama pada malam-malamnya. Jelas surau menjadi tumpuan kepada umat Islam untuk beribadah. Memang surau begitu penting menjelang tibanya ramadan. Solat terawih penuh surau. Sehingga ustaz yang kebetulan menjadi imam rasa terharu dan sempat bertazkirah mengelu-elukan kehadiran mereka. Sambil menyatakan kesyukurannya beliau terus berharap agar para jemaah akan terus istiqamah biar pun selepas ramadan. Sayangnya harapan Pak Imam itu hanya dapat dilihat pada malam-malam pertama dan kedua sahaja. Masuk malam ke tiga surau sudah mula kehilangan jemaahnya. Ke mana perginya mereka? Sehingga tiba waktu memberi salam pada akhir solat terawih, yang tinggal cuma satu saf lebih sikit sahaja. Nampak benar ibadah kita ini hanya dalam bentuk 'bermusim'. Nampak benar kita masih hangat-hangat tahi ayam dalam beridabah. Tiada kesungguhan, tidak istiqamah seperti kata ustaz. Malah beliau khuatir pada minggu terakhir ramadan surau akan kembali seperti biasa. Yang tinggal hanyalah mereka yang biasa datang ke surau. Itulah sekitar 16- 20 orang sahaja. Begitulah suasana surau di tempat saya. Sebuah surau indah di sebuah Taman Perumahan. Tetapi keindahan surau tidak menggambarkan keindahan ibadah penduduk-penduduk taman yang kira-kira 170 rumah penduduk beragama Islam itu.

Tidak ada komentar: