Senin, 09 November 2009

Kebenaran Intelektual

Penonton Kelantan merusuh. Penonton Kelantan membakar kerusi stadium. Penonton Kelantan membaling mercun dan botol air ke kawasan padang. Ini kebenaran. Akhbar perdana pun ada menyiarkan berita tersebut. Sebenarnya hanya sebilangan kecil penonton yang merusuh, tapi nama baik negeri Kelantan tercemar. Menteri Besar, Datuk Nik Aziz sendiri melahirkan rasa kesalnya atas kejadian tersebut. Lalu kita pun bersetuju bahawa penonton Kelantan tidaklah begitu fanatik. Ini juga kebenaran. Kita di pihak mana?
Begitu juga bila menyentuh tentang isu penangkapan Dr. Asri (mantan Mufti Perlis), kita terperangkap dengan dua kebenaran. Satu pihak menyatakan tangkapan dibuat kerana Dr. Asri beri ceramah tanpa tauliah. Nampaknya tauliah untuk ceramah agama ikut budi bicara negeri. Kenapa tidak ada satu tauliah untuk kita 1 Malaysia? Kita semakin bingung bila membaca dua artikel dalam Mingguan Malaysia 8 November lepas. Di bahagian atas menyiarkan pandangan Dr. Asri, sedangkan di bawa pula sebuah rencana mempersoalkan segala tindakan Dr. Asri. Ada dua kebenaran yang saling berbenturan.
Lagi sekali di mana kita?
Bila timbul pula kisah pemimpin PAS yang berbai’ah talak tiga, timbul pelbagai reaksi. Sampai mengundang beberapa orang mufti memberikan pendapat dan fatwa. Adakah ini benar? Sampaikan pemimpin PAS sendiri ingin menyiasat kebenaran kisah itu. Mempercayai atau tidak mempercayai. Di manakah kita?
Nampaknya kebenaran semakin kabur. Saya ingin berkongsi sebuah andaian. Dalam Islam apakah hukumnya berpelukan bagi yang bukan muhrim? Sudah tentu berdosa. Apakah tindakan kita? Sudah tentu cuba menegahnya. Tapi lihatlah dalam drama dan filem Melayu. Terang-terang lelaki dan perempuan bukan muhrim berpelukan. Konon ikut skrip, kerana hendak menunjukkan bagaimana kehidupan sebenar sepasang suami-isteri atau sepasang kekasih (sedangkan kita tahu mereka hanya pelakon). Mereka pun berpeluk di hadapan krew. Lakonan itu kemudian ditayangkan. Semua orang 1 Malaysia menyaksikannya. Kita pula menerimanya sebagai biasa. Apa salahnya… itu hanyalah lakonan. Lalu ramailah orang Melayu ingin mencebur diri dalam dunia lakonan kerana di sini sahajalah mereka dapat berpelukan tanpa ada apa-apa tindakan dari pihak yang berwajib.
Lalu di mana kita? Sifat baik intelektual dalam mencari kebenaran ialah ‘berfikir’. Bagi Aristotle mustahil untuk melihat kebenaran tanpa kebijaksanan praktikal. Oleh itu berfikirlah. Kata Wardina (pengacara TV 3) dalam MHI pagi tadi ,’ Berfikir dan berzikirlah.’
Kebenaran intelektual perlukan kebijaksanaan fikir.

5 komentar:

Azhar Salleh mengatakan...

Salam TUAN HAJI,
Di Malaysia, masih adakah kebenaran intelektual yang benar-benar tulus dan telus? Untuk mencapai kebenaran intelektual, kita haruslah bersyukur kerana dihadapkan dengan dua senario dan dua hakikat untuk diri kita menjana pemikiran dan memperoleh kebenaran intelektual. Kalau hanya baca Berita Harian, kita akan menjadi lalang yang goyang, dan jikalau membaca Harakah, mungkinkah kita akan menjadi menderung yang jumud? Wallahualam...

Md Nizar Parman mengatakan...
Komentar ini telah dihapus oleh pengarang.
Md Nizar Parman mengatakan...

Salam Tuan Haji,
Dalam 2 senario yang Tuan Haji berikan, kita tidak mungkin dapat mencari kebenaran yang hakiki jika sekadar membuat pemerhatian menggunakan kedua-dua belah mata kasar sahaja. Persoalannya ialah mengapakah penyokong dari negeri Pantai Timur ini bersikap demikian walaupun negeri berkenaan dilabelkan sebagai "Serambi Mekah"? Angkara sebiji bola yang bulat, maka keadaan harmoni yang diharapkan menjadi sebaliknya. Inilah masalahnya jika kita hanya melihat "bola itu bulat" tetapi tidak melihat dan memikirkan "mengapa bola itu bulat?". Persoalan yang kedua, masalah ini sebenarnya telah lama berlaku di negara kita. Dalam hal nikah kahwin pun setiap jabatan agama negeri mempunyai peraturan yang berbeza. Soalnya mengapa? Baru-baru ini kita dikejutkan pula bai'ah oleh sebuah parti siasah. Dan selepas ini apakah perlu kita mengisytiharkan parti politik yang kita ikuti dalam borang permohonan nikah jika mahu berkahwin? Jika senario ini benar-benar berlaku, apakah kesannya untuk suatu jangka masa panjang?

Melihat Kesunyataan mengatakan...

Azhar,
Kadang-kadang sukar juga untuk membuat pertimbangan yang wajar terhadap sesuatu isu.

Md. Nizar,
Bola membentuk budaya atau budaya membentuk bola. Bola di serambi Mekah, tetap sama di mana-mana. Kadang-kadang agama juga dijadikan macam bola oleh sesetengah golongan.
Saya tak suka sangat tengok permainan bola.

FadzliAbuBakar mengatakan...

ukuran betul ataupun salah itu terletak pada norma dan agama... apabila semua orang boleh membuat ukuran sesuka hati, maka yang salah boleh jadi betul dan yang betul boleh jadi salah...

itu yg berlaku apabila 'berlakon' dijadikan sebab yang membolehkan segalanya... 'supporting' (disebut sporting dalam sebutan kita) juga kini menjadi ukuran untuk menghalalkan segalanya... contoh ayat: sporting la sikit beb...