Senin, 23 November 2009

Pertemuan Penyair Nusantara ke-3

(Gambar ihsan Marsli N. O)
Sesekali penyair bertemu banyaklah benih pengalaman yang dapat dikongsi bersama. Begitulah dengan pertemuan Penyair Nusantara ke-3 pada 20- 23 November lalu. Sempat menghadiri pertemuan anjuran PENA itu yang berlangsung di Dewan Bahasa dan Pustaka. Bertemakan ‘Puisi Suara Kemanusiaan’. Perhimpunan seumpama ini penting bukan sahaja dapat mendengar cambahan fikiran beberapa tokoh terkemuka dalam bidang puisi, malah dapat juga berjumpa dengan teman-teman penyair tanah air dan serantau. Begitu juga dapat mengenali beberapa orang lagi penulis baru yang berbakat dan mempunyai masa depan.
Sesi Ucaputama SN Muhammad Haji Salleh cukup menarik untuk direnungkan bukan sahaja oleh bakal penulis malah bagi penulis-penulis yang sudah mapan. Segala pengalaman dan fikiran beliau itu adalah bagai helaian buku yang perlu dibaca. Untuk menjadi penulis yang punya jadi diri, kita seharusnya membaca lebih dulu karya-karya epik Melayu seperti Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah. Kita juga seharusnya bertolak dari keindahan peribahasa dan simpulan bahasa Melayu yang begitu kaya dengan metafora dan perbandingan. Baca dan hayati juga pantun-pantun Melayu, kata beliau. Beliau juga menyatakan bahawa bangsa besar tidak semestinya ada bangunan-bangunan tinggi dan besar sahaja, tetapi juga ada menghasilkan karya sasteranya yang besar.
Bersama Marsli N. O dan W. B. Rendra kami sempat bertukar-tukar fikiran tentang Penyair dan hala tuju. Ini berikutan tentang pertanyaannya dalam majlis forum pada hari pertama seminar. Beliau berpendapat kita seharusnya mempunyai hala tuju yang jelas dalam berkarya. Pendapat beliau ini disanggah oleh M. Ghazali Pk, salah seorang panel forum dengan menyatakan bahawa tidak seharusnya penulis terikat pada satu-satu wawasan dan hala tuju, seperti wawasan 2020 atau 1 Malaysia. Saya setuju dengan pendapat Marsli N. O. Seharusnya pertemuan bermakna ini ada sesi memperkatakan beberapa buah kumpulan sajak dari tiap-tiap negara. Saya ingin mendengar kupasan secara intelek tentang buku ‘Bahasa Senjata’ oleh Shahrunnizam misalnya. Kumpulan sajak ini pernah memenangi Anugerah Sastera Perdana.
Terlepas dari soal-soal pemikiran dalam dunia kepenyairan, dapat juga memperbaharui keyaknan diri setelah dapat berbual-bual dengan sejumlah penyair tanah air seperti Kemala, Ahmad Razali, Muhd. Mansur Abdullah, Lim Swee Tin, Samsuddin Othman, Rahimidin Zahari, Zean Kasturi, Imlan Adabi, Naffi Mat,Aminhad, Shahrunnizam, Nawawee Mohammad, Leo. A.W.S, Ismas Saring, Ahmad Sarju, Jasni Mat Lani, Abizai Abi, SM Zakir, Siti Zainon, Zaiton Ajamain, Salmah Ismail, Jamaliddin D, Mohamad Shahidan, A. Ghafar Abdullah, Ibrahim Ghafar, A. Shukri Abdullah, Ariffin Said, Amiruddin Ali Hanafiah, Selina S.F. Le, Razali Endon, Rusdi A. Rahman, Ainolhasanal dan Nazhatulshima. Juga bertemu dengan penulis-penulis muda yang berbakat seperti Ustaz Azman (Ibnu Ahmad Al Kurauwi), Fairus Padoli, Zul Fadzlan Jumrah, Syafiq Zulkifli, Salman Sulaiman, Nimoiz. T.Y. dan Serunai Fakir.
Sempat juga bertemu penyair-penyair luar seperti Acep Zamzam Noor (Indonesia), Isa Kamari dan Norida Kamari(Singapura)Sheikh Mansor dan Dr. Haji Ibrahim(Brunei).

7 komentar:

Md Nizar Parman mengatakan...

Salam Tuan Haji,
Saya tumpang gembira dengan adanya Pertemuan Penyair Nusantara ke-3 yang diadakan di DBP ini. Walaupun tidak menghadiri program itu, tetapi saya mengikuti perkembangannya. Jika melihat nama-nama penyair tanah air yang Tuan Haji senaraikan, ternyata negara kita tidak ketandusan penulis.

Tarbus Merah mengatakan...

Salam Tuan Haji,

Kita masih lagi beruntung kerana ada pihak yang menghargai kehadiran penyair dan penulis.

Apapun, generasi muda perlu sama-sama membawa gelombang pemikiran sastera generasi baharu ke arah lebih gemilang. Insya-Allah.

Rusdi Abd Rahman mengatakan...

Tn. Hj.,
Walaupun hanya berkesempatan hadir pada malam majlis perasmian (kerana esoknya berangkat ke Kota Bharu atas urusan rasmi) namun kesempatan bertemu ramai penyair mapan dan prolifik serta penyair muda prolifik membuatkan diri ini rasa`kecil lalu terpinggir membayangkan karya-karya hebat dan utuh penyair yang ada pada malam tersebut... Maka layaklah cuma hamba ini menjadi PENGGIAT DAN PENGURUS PROGRAM untuk para penyair yang mapan dan prolifik itu...

Azhar Salleh mengatakan...

Salam TUAN HAJI,
Tuan beroleh banyak manfaat daripada pertemuan ini, untuk saling berkongsi rasa dan jiwa. Namun, saya bersetuju dengan tuan haji bahawa lazimnya, kita lebih banyak membicarakan soal yang sama dalam setiap pertemuan, tanpa mengupas sesuatu yang baru daripada pemikiran penyair.

Melihat Kesunyataan mengatakan...

Md. Nizar,
Begitulah, kadang-kadang dengan pertemuan seumpama ini sekurang-kurangnya dapat menyambung silaturrahmi, di samping memberi semangat kepada kita sendiri.

Syafiq,
Tahniah juga diucapkan kepada Syafiq kerana menjadi salah seorang jawatankuasa yang sama-sama menjayakan pertemuan penting itu.

Rusdi,
Pada saya sdr. Rusdi juga berbakat dalam dunia kepenyairan. Cuma sekarang ini Rusdi mungkin terlalu sibuk sebagai orang penting dalam menentukan perkembangan sastera di selatan,khususnya di negeri Johor.Sebelum ini saya pernah membaca sajak-sajak Rusdi yang sering tersiar di akhbar dan saya dapati Rusdi juga mempunyai sentuhan yang tersendiri/gaya tersendiri. Kadang-kadang kita tidak tahu kita punya bakat besar.Hanya orang lain yang nampak bakat kita. Saya percaya Rusdi juga seorang penulis, khususnya dalam bidang sajak. Sayang kalau tidak diteruskan.

Azhar,
Terima kasih kerana mempunyai pandangan yang sama terhadap perkembangan dunia penulisan khususnya dunia puisi ini. Tuan Sifu sendiri mempunyai pandangan yang bernas dan pengetahuan yang luas dalam bidang ini.

Ibnu Ahmad al-Kurauwi mengatakan...

Ah, Tuan Haji,
Saya hanya penyair kecil yang diminta hadir bertemu untuk mendeklamasi suara-suara rakyat menerusi puisi doa buat Tuhan.

Melihat Kesunyataan mengatakan...

Ustaz Ibu Al-Kurauwi,
Kekuatan Ustaz lebih kepada 'cerpen'. Seperti juga Anwar Ridhwan, beliau juga ada menghasilkan puisi, tetapi nampaknya kekuatannya lebih terserlah dalam genre cerpen.
Ustaz ada kekuatan itu. Teruskan!