Kamis, 21 Januari 2010

Terlihat Lukamu di Tasik Takdir


Kupilih tahun yang terdekat
waktu yang jauh
musim yang tak menentu
menduga-hajat, pilih-kelu
keruh tujuan keruh alasan
cemar tasik takdirnya

Kupilih meja masalah
di kerajaan kebendaan
menakung wajah geruh
sepanjang garis di langit resah
sepanjang arus di laut payah

Terlihat lukamu di tasik takdir
darah kemajuan tersasar-hadir
kumuntahkan kembali
menjadi sungai kesalan
sesekali melimpah guram
kenyang dengan harapan
yang sering sebu
berkongsi gementar.


Tasik Bukit Merah, Semanggol, Perak.
Mingguan Malaysia, 17 Januari 2010

5 komentar:

MOHD SHAH IBRAHIM mengatakan...

Salam Haji,
alangkah bagus kalau saya boleh menulis puisi..

Azhar Salleh mengatakan...

Salam TUAN HAJI,
Kali ini, sajaknya tersirat makna yang lebih mendalam. Menduga pemikiran tuan, sesuatu yang menghadirkan falsafahnya. Dalam melankoliknya bicara, terkandung segaris makna. Saya membaca puisi ini dengan mata hati. Tahniah.

Ilham Ainol mengatakan...

Salam pagi Isnin Tuan Haji,

Tahniah. Sajak yang sarat membawa bumbu untuk direnungi dan diiktibari.Sajak bertambah manis terilhm kala mengunjungi Tasik Bukit Merah di Semanggol nih...

Melihat Kesunyataan mengatakan...

Mohd. Shah yang dihormati,
Saya mengikuti setiap entri dalam blog tuan. Saya dapati memang tuan seorang seniman. Ciri-ciri ini sebenarnya boleh menjadikan tuan seorang penyair.
Percayalah tuan juga boleh menulis sajak.

Azhar Salleh,
Saya harap begitulah. Saya ini terilham setelah berkunjung sebentar di Tasik Bukit Merah. Saya dapati airnya sudah tidak jernih lagi. Akibat pembangunan di sekitarnya.

Ilham Ainol,
Salam pada Tuan,
Memang benar sajak ini tentang Tasik Bukit Merah. Gambar yang tertera adalah gambar Taman Tasik Taiping. Tasik ini masih seperti saya kecil-kecil dulu, masih jernih dan indah.

Md Nizar Parman mengatakan...

Salam Tuan Haji,
Tahniah atas tersiarnya puisi ini dalam MM. Ternyata sentuhan halus Tuan Haji amat mengesankan. Bahasa yang Tuan Haji lakarkan dalam puisi ini lembut namun berjiwa.