Kisah Melayu malas adalah falasi yang diulang-ulang sejak zaman penjajahan lagi. Hingga kini Melayu sendiri sudah selesa dan mengakui bahawa ‘Melayu memang malas’.Datuk saya, ayah saya Melayu. Datuk saya berbendang, ayah saya menoreh getah. Setiap hari mereka tidak pernah culas untuk turun ke sawah atau ke kebun getah. Ayah saya bangun untuk menoreh getah seawal pagi dengan lampu suluh di dahi. Apakah datuk dan ayah saya ini pemalas. Mereka tetap orang melayu miskin yang tidak lupa mengerjakan solat lima waktu, puasa, berzakat dan menunaikan haji.
Waktu itu tahun 50-an dan 60-an. Sesekali saya yang masih kecil mengikut ayah saya berurusan di bandar. Kadang-kadang ke pejabat kerajaan, kadang-kadang ke hospital. Pegawai-pegawainya masih berorientasikan barat. Pegawai Melayu amat sedikit. Kalau adapun cuma peon dan kerani rendah sahaja. Mereka semuanya bercakap orang putih. Seringkali saya melihat ayah saya dilayan dengan kasar dan diherdek. Maklumlah kami orang kampung.
Semasa bersekolah Menengah kebanyakan guru-guru saya masih terdiri daripada pelbagai bangsa. Guru Melayu masih kurang. Falasi Melayu malas sering berkumandang di telinga saya. Sehinggalah guru-guru Melayu lepasan Kerby datang mengajar. Dari mulut mereka juga masih kedengaran tentang metos Melayu malas ini. Bukan itu sahaja Melayu juga dikaitkan dengan ‘tidak pandai’ (bukan bodoh) kerana bawa bekal berlaukkan ikan kering sahaja.
Rupa-rupa selepas lebih 50 tahun merdeka pun falasi ‘Melayu Malas’ dan ‘Melayu Tidak Pandai’, ini terus berkumandang. Malah kini dikaitkan dengan “Melayu Rasuah’, ‘Melayu Dadah’, ‘Melayu Fitnah’ dan macam-macam lagilah tentang Melayu yang tidak enak didengar. Betullah teori falasi yang pernah disampaikan oleh seorang guru motivasi kepada saya beberapa tahun lalu. Beliau memberikan contoh bagaimana seorang tua bernama Pak Mat ditipu oleh beberapa orang pemuda dengan menggunakan kaedah ini. Pada suatu hari Pak Mat membawa seekor lembunya ke pasar untuk dijual. Kebetulan empat orang pemuda telah merancang untuk menipu Pak Mat.
Dalam perjalanan Pak Mat ke pasar, pemuda pertama lebih dulu menunggu Pak Mat di tepi jalan sambil menegur Pak Mat:
‘ Pak Mat bawa anjing tu nak ke mana?’
Mendengar kata-kata pemuda itu Pak Mat menjadi marah dan menyatakan, ‘Buta ke! Inikan lembu saya. Saya nak ke pasar nak jual!’.
Tak berapa lama kemudian jumpa pula pemuda kedua, begitu juga pemuda itu menegur Pak Mat, ‘ Anjing Pak Mat tu kurus sangatlah, beri saya ajale!’
Kali ini Pak Mat sudah mula terfikir. Sudah dua orang menyatakan bahawa apa yang dibawanya adalah seekor anjing. Tapi dia masih bertahan dengan fikirannya.
Hinggalah bila dia berjumpa dengan pemuda ketiga, pemuda itu juga menegur hal yang sama, ‘ Ke mana Pak Mat nak bawa anjing kurus ni?’
Sudah tiga orang bercakap hal yang sama. Pak Mat jadi keliru. Bila dia bertemu dengan pemuda yang keempat, dia akhirnya terus percaya bahawa lembu yang dibawanya itu adalah seekor anjing yang tidak berguna. Akhirnya Pak Mat telah menyerahkan lembu yang disangka anjing itu kepada pemuda keempat itu.
Inilah falasi-falasi yang sudah lama menghantui kita.
9 komentar:
Tuan Haji,
Sewajarnya kita ini hidup mesti ada pendirian, umpamanya meniti dijalan, hamba mesti tahu dirinya mempunyai Tuhan, depannya ada teladan, ditangannya ada kitab suci di hatinya ada cahaya kebenaran dan di nurainya ada pemberi nasihat. Dengan demikian perjalanan kita akan menuju kesenangan dan kearah kebaikan.
Tn. Hj.,
Menarik untuk berfikir pabila membaca entri ini, saya ambil faham dan rujukan tentang 'falasi' ini dalam konteks masa kini (hal-hal terkini).
Ya... pabila diulang-ulang 'skrip lama' seseorang insan itu sudah amat faham dalam pengertian maha tinggi akan kesudahannya nanti...!
Salam TUAN HAJI,
Memang banyak pihak membuat justifikasi begitu. Saya, secara peribadi, tidaklah bersetuju dgn 'falasi' itu. Tetapi, dalam banyak keadaan, kita haruslah melihatnya daripada perspektif yang lebih luas. Ada Melayu malas, ada Melayu rajin. Ada Melayu gagal, dan ada yang sangat berjaya. Rasa-rasanya, semua bangsa memiliki 'falasi' begitu. Bukan semua orang Cina kaya kerana banyak yang miskin. Bukan semua orang India pandai berbahasa Inggeris kerana banyak yang gagal BI. Orang Barat dan orang Arab mencapai tamadun yang tinggi mendahului tamadun lain, tetapi sebahagian besar daripada mereka juga yang kelihatan tidak bertamadun. Jadi, dalam hal yang sebegini, unsur bias perlu dielakkan kerana membincangkan kemalasan orang Melayu terlalu amat subjektif untuk difaktakan. Wallahualam.
Tuan Citra,
Saya setuju dengan pendapat tuan yang menyatakan pendirian sahajalah yang boleh mempertahankan kita dari pengaruh falasi.
Rusdi,
skrip yang diulang-ulang tentu akhirnya mempengaruhi kita, hingga kita kadang-kadang tertipu seperti 'Pak Mat' tu.
Saya juga teringat kisah 'Raja' dengan baju barunya, yang tertipu dengan falasi sehingga sanggup berbogel. Hanya anak kecil yang nampak kenyataan sebenar, kerana anak kecil masih bersih dan belum tahu permainan 'falasi' kotor itu.
Azhar,
Ulasan tuan Sifu memang menarik. Memang selama ini ada unsur-unsur bias bila memperkatakan tentang hal-hal Melayu, sedangkan masyarakat lain pun serupa. Masalahnya kita sendiri yang tidak mahu menyanggah 'falasi' itu. Setiap hari dan setiap ketika kita sendiri mencipta falasi-falasi yang merugikan orang Melayu. Hingga baru-baru ini ada surat? daripada seseorang (bukan Melayu) yang menuduh macam-macam tentang kebobrokan kita orang Melayu, berdasarkan fakta falasi yang kita keluarkan sendiri.
Melayu tak malas...Melayu tak miskin. Percayalaah!
Salam Tuan Haji,
Adakah falasi ini suatu fakta? Saya kurang bersetuju jika falasi yang negatif itu sering dan hanya dikaitkan dengan orang Melayu. Persoalannya, mengapakah keadaan seperti ini berlaku dan mulut siapakah yang begitu ringan membawa cerita dan kisah ini? Tentu kita masih ingat lagi tentang pandangan orang Barat yang mengatakan orang-orang di Tanah Melayu masih tinggal di atas pokok (hingga hari ini mereka masih berpendapat demikian!). Tetapi hakikatnya? Adakah mereka yang masih bermain-main dengan unsur falasi tentang Melayu ini mempunyai agenda yang sebaliknya? Dan, mengapakah hanya falasi tentang Melayu sahaja yang digembar-gemburkan? "Orang" lain bagaimana? Tuan Haji, teruslah menulis entri2 sebegini yang dapat membuka minda dan akal...
Zura,
Saya percaya Melayu tidak malas. Melayu tidak miskin, tetapi Melayu mudah lupa.
Md. Nizar,
Sekarang ini kita tidak memerlukan fakta lagi. Apa lagi kebenaran. Fakta boleh disolek cantik atau dilumur buruk hingga kebenaran tersembunyi di sebalik kabus pemikiran rasional.
Posting Komentar