Senin, 08 Februari 2010

Kami Yang Terlibat

Usman Awang dalam cerpennya ,’Kami yang terlibat’ membawa kisah bagaimana pasukan askar Melayu bertembak-tembakan sesama sendiri. Semuanya kerana salah faham. Tidak ada hubungan yang jelas tentang siapakah musuh mereka yang sebenar. Mereka hanya mengikut arahan secara melulu, tanpa banyak soal jawab. Padahnya mereka membunuh sesama sendiri. Meskipun pada waktu itu musuh mereka yang jelas adalah komunis.

Usman Awang bijak dalam memberikan tanggapan suasana politik waktu itu. Secara halus UA cuba menyampaikan suatu mesej yang sangat baik. Arahan dan Kuasa menyebabkan mereka patuh. Mereka diarahkan bergerak pada waktu malam, ketika semua orang tidur. Masuk ke dalam kegelapan hutan semata-mata untuk mencari musuh yang entah di mana.

Begitulah dengan kita sekarang. Kita sama-sama terlibat dalam apa yang dikata satu konspirasi untuk menyerang musuh yang kita cipta sendiri. Dan seperti dalam ‘Kami yang terlibat’ itu, akhirnya kita menyerang sesama kita. Kerana kita masih terdedah kepada banyak keraguan. Siapakah musuh kita yang sebenarnya? Adakah sesama Melayu sendiri?. Lalu kini kita berhempas pulas, buat apa saja untuk menjatuhkan sesama kita.

Usman Awang menulis, ‘Dengan demikian pertentangan-pertentangan itu berjalan terus meragut seluruh kedamaian yang dicintai. Dan kami yang terlibat ini? Beracah-acah dengan maut…hanya untuk sesuap kuasa (nasi).’

6 komentar:

Rusdi Abd Rahman mengatakan...

Tn. Hj.,
Apakah ini juga satu 'falasi' tentang masyarakat Melayu? atau apakah ini kenyataan yang sememangnya wujud serta sukar dikikis sejak zaman Kesultanan Melaka lagi?

Md Nizar Parman mengatakan...

Salam Tuan Haji,
Mungkin inilah dilema Melayu sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka hingga hari ini. Jika semua "kepala" berasakan mereka adalah yang paling betul, maka akan lebih banyak "kepala" menjadi tidak betul.

Azhar Salleh mengatakan...

Salam TUAN HAJI,
Kadang-kadang hairan juga dengan bangsa yang satu ini. Tidak pernah mengambil iktibar daripada sejarah. Tidak pernah berusaha untuk menggali pemikiran pemikir hebat seperti Usman Awang atau A. Samad Said. Yang disukai, hiburan, hiburan, dan hiburan. Melayu bercakaran dilihat sebagai medan utk menunjukkan kehebatan. Melayu terlalu mengharapkan pujian, sedangkan bangsa lain mengutamakan pencapaian dan kejayaan. Membunuh Melayu oleh orang Melayu menjadi penanda aras yang dibanggakan. Politik yang memualkan...Tuan Haji, teruskan menggali pemikiran sebegini. Saya (dan rakan-rakan) membacanya dengan mata hati untuk kebaikan diri dan masa depan anak-anak.

Melihat Kesunyataan mengatakan...

Rusdi,
Begitulah yang dilihat oleh Usman Awang. Sebab itu lahir sajak-sajaknya 'Pak Utih', "duri dan api','Suara Tujuh' dan sebagainya.

Melihat Kesunyataan mengatakan...

Md. Nizar,
Kita sentiasa mengulangi tragedi dalam 'Sejarah Melayu'.

Melihat Kesunyataan mengatakan...

Azhar Sifu,
Saya begitu terharu dengan ulasan terhadap pandangan saya tentang karya Usman Awang ini. Saya sendiri berasa sedih dengan apa yang berlaku di kalangan orang Melayu. Tak habis-habis dengan sikap dan sifat dengki, fitnah dan suka menjatuhkan satu sama lain.