Minggu, 21 Februari 2010

Pandangan Orang Luar.


Sesekali kita perlu juga pandangan orang luar. Janganlah kita berasa bahawa kita sahaja yang betul. Kadang-kadang penilaian orang lain lebih tepat daripada penilaian kita sendiri.

Sepanjang cuti Tahun Baru Cina ini saya sempat membaca ‘Max Havelaar’ karya Multatuli, yang diterjemahkan oleh H.B Jasin . Karya yang dihasilkan pada tahun 1840-an ini cuba memberikan gambaran yang jelas tentang wajah bumiputera (Melayu/Jawa) di Indonesia semasa dalam penjajahan Belanda. Max Havelaar adalah wajah dunia Melayu/Jawa yang menderita. Melalui Max Havellar, beliau melihat betapa penderitaan peribumi ketika itu adalah lebih kepada tindakan zalim penjajah dan juga Bupati (pemerintah) sendiri.

Meski Max berada di pihak penjajah, beliau mengakui sistem ‘Rodi-kopi’ yang diperkenalkan menyebabkan rakyat peribumi semakin miskin. Ditambah lagi dengan Bupati yang zalim. Sudahlah cukai yang dikenakan terlalu tinggi, Bupati dan orang-orangnya sewenang-wenang pula merampas apa saja milik rakyat. Kalau ada aduan, pengadu sendiri akan diancam. Bukan setakat itu sahaja, mereka juga akan disiksa, dipenjara dan dituduh sebagai pengkhianat. Luarannya kelihatan Bupati dan orang-orang begitu baik. Memperlihatkan bagaimana mereka bertutur dengan sopan, melayan tetamu dan sentiasa menderma. Mereka juga membina masjid dan menghantar (membiayai) orang naik haji. Tetapi disebalik kebaikan itu, mereka mempunyai satu lagi permukaan duit siling yang kejam.

Max cuba menjadi juara untuk membetulkan keadaan ini. Kompeni sendiri tidak berminat dengan masalah bumiputera ini. Mereka lebih berminat menjaga kepentingan Bupati yang lebih banyak membawa keuntungan kepada Belanda sendiri. Pengajaran kepada Max, ialah , ‘Kita sebagai orang luar, apa peduli hal kezaliman mereka. Tidak ada kena mengena dengan Syarikat Hinda Belanda yang banyak mengaut keuntungan dari sistem yang sedia salah itu.’

7 komentar:

Azhar Salleh mengatakan...

Salam TUAN HAJI,
Ada satu falsafah;Percayailah kata-kata musuhmu kerana lebih banyak terkandung kebenaran. Berwaspadalah dengan kata-kata rakanmu kerana lebih banyak terkandung kepalsuan. Kita jarang-jarang menyalahkan diri sendiri kerana sentiasa mempercayai pendapat orang luar selalunya tidak lebih baik daripada pendapat diri sendiri. Demikianlah antara sifat kebanyakan kita, mungkinkah seperti penjajah Belanda...

Melihat Kesunyataan mengatakan...

Azhar,
Apabila kita membaca buku-buku sarjana dari luar yang kebanyakannya dari barat secara tidak langsung sebenarnya kita membaca pandangan mereka. Malah banyak kita belajar dari mereka. Meniru sesetengah pemikiran mereka. Hingga dasar pendidikan pun kita perolehi dari mereka.Ada ketikanya kita lantik penasihat dari luar, terutama dalam bidang ekonomi.

Rusdi Abd Rahman mengatakan...

Tuan Haji Shapiai,
Teruskan memaparkan penulisan yang memangkinkan minda serta mencambahkan pemikiran yang penuh manfaat sebegini.
Ya... kadang-kadang menegur serta memberikan pandangan membuatkan sesebuah organisasi atau individu melabelkan Si Penegur sebagai 'aliran pembangkang'... itulah yang menyukarkan bagi membetulkan keadaan...

Melihat Kesunyataan mengatakan...

Rusdi,
Biasalah, kalau kita sentiasa menegur kita akan dicap sebagai pembangkang.

Md Nizar Parman mengatakan...

Salam Tuan Haji,
Pandangan dan sudut fikir insan yang berpengalaman seperti Tuan Haji sangat berguna untuk generasi seperti saya. Saya masih tidak faham, mengapakah pendapat ahli fikir luar negara (sebahagiannya berbangsa Yahudi) masih diguna secara meluas dalam kebanyakan buku yang berkaitan dengan pedagogi pendidikan. Walhal, sebagai sebuah negara yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi sepatutnya menggunakan pendapat ilmuan Islam yang tersohor sebagai bahan rujukan utama. Amat malang sebenarnya apabila pelajar-pelajar kita lebih mengenali ilmuan Barat berbanding ilmuan Islam.

Melihat Kesunyataan mengatakan...

Md. Nizar,
Membaca pandangan siapa sahaja dalam bidang apa sahaja sebenarnya perlu digalakkan. Sarjana Islam dulu pun merujuk kepada ilmuan Yunani dan Greek. Kelebihan orang barat mereka banyak membuat kajian. Malah mereka juga merujuk Al Quran. Cuma bezanya mereka tidak mendapat hidayah dan tidak beriman.

Unknown mengatakan...

Tuan,
Setelah lama mendengar nama Multatuli & Max Havellar, saya baru memiliki novel ini yang saya beli di Jakarta awal bulan ini. Buku ini dikatakan jadi perangsang untuk Pramoedya menulis Kuartet Buru.

Saya mencari versi yang tuan baca tetapi hanya berjumpa yang berbahasa inggeris