Jumat, 09 April 2010

Guru Oh Guru!

Semasa saya bertugas di Institut Perguruan, saya pernah terlibat dalam satu program lawatan ‘benchmark’ atau ‘penanda aras’ ke Pusat latihan Penerbangan di Melaka. Apa kaitannya dengan bidang perguruan?. Masing-masing tertanya-tanya, apakah hubungannya dunia penerbangan dengan dunia guru.

Selesai lawatan itu barulah kami sedar bahawa bidang guru sama penting dengan bidang penerbangan. Guru boleh diibaratkan sebagai juruterbang. Di tangannya terletak keselamatan semua penumpang. Begitulah dengan ‘guru’. Di tangan guru juga terletaknya keselamatan semua anak muridnya. Selamat 6 tahun di sekolah rendah, ibarat selama enam tahun dalam penerbangan. Mungkinkah mereka selamat mendarat ke destinasi untuk penerbangan seterusnya. Jika guru gagal, bermakna semua anak muridnya akan kecundang dalam hidup mereka. Begitulah pentingnya tugas guru.

Sebagai ‘pilot’ atau juruterbang, tugas guru tidak seharusnya dibebani dengan pelbagai tanggungjawab lain. Sekarang ini kita sering mendengar keluhan demi keluhan guru kerana dibebani dengan tugas yang semakin banyak. Sebagai juruterbang, kalau ada perkara lain yang mengganggu tumpuannya, sudah tentu membahayakan penumpangnya. Begitulah dengan guru, elok tugas guru diberikan tumpuan sepenuhnya kepada tugas mendidik. Sekarang ini kita dapati guru dibebani dengan tugas-tugas perkeranian seperti mengisi bermacam-macam borang seperti borang kesihatan pelajar, borang iso, borang markah, borang pemakanan, borang kebersihan kelas dan macam-macamlah lagi borang. Di samping itu guru terpaksa menulis pelbagai laporan. Seorang guru biasa memegang beberapa panatia. Setiap panatia mesti ada laporan, mesti ada minit mesyuarat, mesti ada perancangan tahunan.

Meskipun kelihatannya tugas guru biasanya berakhir selepas tengahari. Tetapi sebenarnya tidak. Kebanyakan guru terpaksa datang semula ke sekolah untuk tugas-tugas lain seperti tugas mengendalikan rumah sukan, persatuan dan juga kelab. Sesudah itu balik ke rumah bawa pula buku-buku dan tugasan murid untuk diperiksa. Persediaan untuk mengajar esok pula perlu juga disiapkan. Biasanya tugas guru tidak akan berkahir biarpun selepas menjelang jam 12 malam.

Saya pernah menjadi guru. Satu ketika dulu saya bertugas 7 hari seminggu. Tidak ada cuti. Hari jumaat (ketika itu Johor cuti), saya ke sekolah kerana menjadi penasihat unit beruniform (Bulan Sabit). Hari sabtu datang lagi ke sekolah kerana menjadi penasihat kelab lukisan. Sudah menjadi kebiasaan pula bagi guru tidur di sekolah kalau ada aktiviti yang melibatkan motivasi pelajar dan juga latihan sukan berpusat.

Sekarang saya berpeluang pula bertugas di pejabat selepas bersara. Selama tiga tahun lebih saya bertugas dari jam 9 pagi hingga 6 petang. Tetapi selepas pulang pejabat saya tidak dibebani dengan tugas-tugas pejabat. Fikiran saya lapang. Cuti sabtu dan ahad tidak langsung diganggu dengan tugas-tugas pejabat.

Oleh itu kasihanilah guru. Hargailah mereka. Fahamilah mereka. Mereka tidak minta anugerah seperti anugerah artis atau anugerah ‘Datuk’. Cukuplah dengan mengembalikan rasa hormat masyarakat terhadap kaum guru.

10 komentar:

setiakasih mengatakan...

Terima kasih.

Azhar Salleh mengatakan...

Salam AYAHANDA SHAPIAI,
Benar perbandingan yang diberikan. Mungkin pengalaman saya tidak sejenuh tuan, namun saya lebih percaya tugas guru masa ini lebih mencabar berbanding guru masa dahulu. Namun, yang saya lihat sekarang, agak ramai guru yang tidak seharusnya menjadi guru. Saya cadangkan tuan paparkan beberapa kisah suka duka semasa tuan menjadi guru yang dapat memberikan keinsafan dan pengajaran kepada kami, guru-guru yang kekadang hilang arah tujuan.

Melihat Kesunyataan mengatakan...

Setiakasih,
Terima kasih kembali. Juga seorang guru?

Azhar Sifu,
Pada saya beban guru sekarang lebih berat lagi jika dibandingkan dengan beban guru dulu.
Tanggungjawabnya tetap sama.

Comels mengatakan...

encik Shapiai, memang betul sekali. terasa salju menyejuk jiwa andai pengertian ini dikongsi oleh ibu bapa, masyarakat dan pemimpin.guru jadi golongan yang keliru, menegur salah, menghukum payah, mengeluh juga satu dosa.entahlah...berkongsi rasa mengurangkan tekanan.terima kasih. norjannah.anak murid di maktab, pkpg uitm.

Melihat Kesunyataan mengatakan...

Norjannah!
Begitulah penilaian masyarakat terhadap guru. Yang mendukacitakan lagi apabila pihak kementerian pun bukan nak memperjuangkan sangat hal-hal guru. Lihatlah berapa ramai guru yang dapat anugerah Dato'. Dah dapat Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan sepatutnya dah boleh dipertimbangkan.

Comels mengatakan...

ya encik shapiai, artis lebih terhormat dari kita.impak yang buruk banyak datang dari artis tapi anugerah milik mereka.atau memang itukah ukuran ndunia sekarang?
emmm.saya akan war-warkan blog encik kpd kwn-kwn pkpg saya,mesti mereka suka datang bertandang.

aidalie mengatakan...

salam ayahanda shapiai,
Terima kasih buat nurjannah kerana mewar-warkan blog ini.

Buat ayahanda Shapiai terima kasih juga di atas segala ilmu yg pernah dicurahkan semasa menjadi sifu saya ketika di institut perguruan Batu Pahat. Jasa ayahanda tak kan dilupakan terutama ketika belajar melukis portrait walaupun sehingga ke hari ini saya masih tidak dapat melukis potrait tersebut dengan baik.
benar kata pensyarah dulu, potrait bukan subject matter yang mudah.
Saya, Juhaida Bt Md Shahidan,PKPG UiTM 2004

Melihat Kesunyataan mengatakan...

Juhaida,
Terima kasih kerana sudi ziarah blog saya. Harap Juhaida sekeluarga berbahagia dan sentiasa ceria sihat. Saya ada membaca entri dalam blog 'Purnama Merindu' tentang masalah guru seni. Memang begitulah. Tabahkan hati semasa mendidik anak-anak. Seni sebenarnya dapat memupuk kesabaran. Kesabaran guru juga.

aidalie mengatakan...

en.shapiai,
terima kasih juga keran sudi bertandang ke blog saya.

apa yg saya tuliskan tentang dilema guru seni tu sememangnya lahir dari hati kecil saya sendiri yang rasa agak ralat dengan pandangan dan pendapat segelintir masyarakat malah ada dikalangan mereka itu seorang guru yang beranggapan seni cuma subjek pinggiran, sekadar untuk membantu pelajar mendapat jumlah A yang byk.

sedangkan mereka tidak memikirkan tentang dilema guru seni itu dlm memartabatkan seni di mata masyarakat..

apa-apa pun saya akan hadapi dugaan dan cabaran ini dengan tabah dan berazam untuk memastikan pelajar saya tidak memandang sepi tentang subjek pendidikan seni visual ini.

Melihat Kesunyataan mengatakan...

Juhaida,
Teruskan menulis tentang masalah dan permasaalahan Guru Seni. Mungkin satu hari nanti kita boleh bukukan pengalaman guru seni ini.