Selasa, 27 April 2010

Jika Menyemai Benih Prasangka

Jika menyemai benih prasangka
Kita akan menuai padi sengketa
nasi perkauman yang kita kunyah
kita hazam tidak pernah kenyang kepuasan
mempersoal siapakah pendatang
mempersoal bumi ini milik siapa

Kalau kita merapikan diri
selepas mandi di sungai jati diri
berpakaian Melayu dan menyisip keris
berarak ke istana menyatakan setia
membawa sepanduk benar
apakah kita tersasar?

Pernah sekali kita merdeka
penjajah telah pergi
kenapa masih ada mengarak sepanduk benci
di padang-padang, di jalan-jalan
sampai ke parlimen
menjulang perkauman
sedangkan baju amanah yang kaupakai
sering dipertikai

Jika menyemai benih prasangka
kelak menuai padi sengketa


Shapiai Muhammad Ramly
Seri Wangsa, Batu Pahat.
5 Mac 2009.
(Dewan Sastera, April 2010)

11 komentar:

Comels mengatakan...

betul tu Tuan. kenapa kita harus benci orang yang tak sebangsa dengan kita sedang diselak buku sejarah, kita yang juga meraikan kedatangan mereka.
bagi saya, tugas saya yang paling besar sekarang merapatkan jurang perkauman yang bakal jadi api dalam sekam. saya usahakan supaya anak-anak muda yang masih rebung ini berkasih sayang atas nama manusia, bukan bangsa.semoga saya berjaya.
bukan mudah, tapi kalau tak dicuba, mungkin ini semakin membarah.

Comels mengatakan...

Tuan, saya mohon sajak ini untuk dibaca anak murid saya kalau tiba giliran mereka berucap di perhimpunan. boleh?
saya suka dengan sajak ini sebab kalangan guru juga masih ada rasa prasangka itu saya kira. sedih kerana kenapa kita tak mahu ikut suruhan Allah yg menyuruh kita berkenal-kenal dan berkasih sayang sesama manusia?

Melihat Kesunyataan mengatakan...

Comel,
Terima kasih kerana memahami sajak saya ini. Saya tidak ada masalah kalau Comel dapat membacakannya di hadapan pelajar dan guru-guru. Kita seharusnya membuang segala prasangka dari lubuk hati kita. Biar kita bersangka baik. Benih-benih prasangka itu pasti membuahkan sengketa.

Azhar Salleh mengatakan...

Salam AYAHANDA SHAPIAI,
Tahniah!
Jika menyemai benih sengketa, bangsa kita akan terus terseksa, bangsa kita akan terus menderita, bangsa kita akan terus dilanda kecewa, dan bangsa asing akan bertepuk tangan, bangsa asing akan bergembira sakan, bangsa asing akan meraikan! Puisi ini menampilkan falsafah yang menggugah...

Ilham Ainol mengatakan...

Salam jengah Tn Haji,

tanpa disedari musuh kita dan malangnya termasuk antara kita yang licik menyemai bebenih prasangka di pergentingan sengketa.apa tujuannya? hobi mungkin;busuk hati mungkin;didanai musuh mungkin;pendendam dalam sekam mungkin;mungkin mungkin mungkin;namun kita mampu mengubahnya dengan memulai mengnyahbuang jauh-jauh hasad dan iri ini.

MARSLI N.O mengatakan...

Salam Sdr Shapiai: Saya sedang usahakan memahami Melihat Kesunyataan. Seronok membaca banyak metafora yang segar dan menarik.

Pesanan buku itu mohon maaf kerana saya agak melewatkan sedikit. Seperti pesan kepada WB Rendra tempoh hari.

MARSLI N.O

Melihat Kesunyataan mengatakan...

Anakanda Azhar,
Terima kasih kerana memahami dan menikmati sajak yang tidak seberapa ini.

Melihat Kesunyataan mengatakan...

Ilham Ainol,
Wah, hebat respon dari tuan. Macam berpuisi pula.

Melihat Kesunyataan mengatakan...

Marsli,
Membaca 'Melihat Kesunyataan' seolah-oleh membaca isihati saya.Mungkin ada kekurangnya.
Untuk pengetahuan sdra. saya tidak lagi menjadi editor Citra. W.B Rendra akan mengantikan saya.

MARSLI N.O mengatakan...

Sdr Shapiai: Terima kasih atas makluman. Ya. Saya menemukan diri Sdr di sana. Rasanya lebih indah ketimbang Keris Sebilah Itu. Itu tanggapan awal saya.

Unknown mengatakan...

benih-benih prasangka memang wujud dalam jiwa manusia. masing2 menyemai dengan keegoan dan menyiram dengan baja kerakusan hak milik yang mutlak. mereka bebas berprovokasi, menyalak dan melolong. bahkan tiada rasa insan menggunakan kekerasan dan kekejaman. lebih buruk lagi apabila prasangka ini tumbuh membenci pada kaum sendiri. semua persengketaan hanya boleh dileraikan dengan keperihatinan kita sendiri sama ada mahukan prasangka ini berpanjangan dan berlarutan atau membunuh api dendam dengan rasa tanggungjawab mencipta kedamaian dan keharmonian.-norzahrah mustajap.
jika tersilap, mohon dibetulkan..