Syed Hussein Alatas menyatakan bahawa rasuah berkembang pesat dalam masyarakat di mana ‘Kekuatan itu kebenaran’. Kekuatan di sini bermaksud, ‘Kuasa’. Biasanya orang yang mempunyai kuasa lebih cenderung untuk melakukan rasuah. Bagi mereka pula kebenaran berada di pihak mereka.
Sejarah rasuah boleh dikesan sejak bermulanya kehidupan bermasyarakat. Rasuah sudah ada sejak kerajaan Babylon, Mesir kuno dan Romawi kuno lagi. Begitu juga sejak pemerintahan awal India, Cina, Yunani dan Ibrani lagi. Meskipun begitu modus oprandinya tetap sama. Orang yang punya kuasa menggunakan rasuah untuk mencipta kesenangan hidup.
Murujuk kepada kita di Malaysia, siapakah orang yang berkuasa itu?. Sudah tentulah orang politik yang memegang tampuk pemerintah. Selain itu, terdapat juga orang yang berkuasa yang mempunyai autoriti dalam pentadbiran, seperti Ketua Pengarah, Pengarah, Ketua Jabatan hinggalah kepada orang yang berkuasa menguatkan undang-undang seperti di jalan raya. Mereka inilah yang lebih terdedah kepada rasuah.
Kita sering keliru antara hadiah yang berupa sogokan (rasuah) dengan hadiah yang ikhlas. Syed Hussein Alatas memberikan contoh seorang wanita penjual makanan di sebuah warung. Anaknya datang dan dia menghidangkannya. Ini adalah pemberian keibuan. Seorang pelanggan datang dan dia menghidangkannya, selepas itu dia menerima bayarannya sebagai balasan perkhidmatannya itu. Tetapi datang pula Inspektor Kesihatan dan dia menghidangkannya makanan serta menolak pembayaran. Ini adalah sogokan. Katalah Inspektor Kesihatan itu memang pelanggannya. Wanita peniaga itu pula selama ini memang menjaga kualiti kebersihahan warungnya. Sesekali dia menolak pembayaran daripada Inspektor Kesihatan itu atas alasan bahawa dia tidak ada apa-apa kepentingan. Ini bukanlah sogokan.
Begitulah sogokan yang berunsur rasuah dengan hadiah kadang-kadang agar sukar untuk ditentukan oleh mata kasar kita. Bila wanita warung itu menolak pembayaran Inspektor Kesihatan itu, mungkin ada pelanggan lain yang beranggapan itu sudah jadi ‘rasuah’. Pada hal Inspektor Kesihatan itu adalah pelanggan biasannya.
Dalam kes politik pula, kita mengambil contoh seorang wakil rakyat yang kononnya berkhidmat untuk rakyat/masyarakat. Katalah, di kawasannya dia memang dikenali sebagai wakil rakyat yang berjiwa rakyat. Sering turun padang. Banyak menghabiskan wang ringgit, bukan wang peruntukan pembangunan sahaja yang dicurahkannya, wang elaunya sebagai wakil rakyat pun digunakannya untuk membantu rakyat miskin. Tiba-tiba beliau ini terlibat dalam membantu seseorang untuk mendapatkan projek yang bernilai berjuta-juta ringgit. Dengan jasa baik dan kuasa politik yang ada padanya orang yang dibantunya itu dapat projek itu dan dapat melaksanakannya dengan jayanya. Setelah projek itu selesai dan mendapat bayaran, dia terus menemui wakil rakyat itu sambil menyerahkan wang sagu hati sebagai hadiah ikhlas. Apakah ini juga dikatakan sogokan. Bagi wakil rakyat itu dia menerimanya kerana beranggapan bahawa hadiah itu tidak ada kena mengena dengan bantuan yang ulurkannya sebelum ini. Wang hadiah itu pun digunakannya bagi menguruskan parti.
Sogokan yang berbentuk rasuah akan berlaku sekiranya:
1. Sebelum mendapatkan projek itu Wakil Rakyat dan orang itu sudah ada perjanjian baik secara lisan atau bertulis.
2. Bagi projek seterusnya, bila wakil rakyat itu akan membantu lagi orang itu mendaapatkan projek kerana berharap akan mendapat hadiah.
3. Orang yang mendapat projek itu ada kaitan kekeluargaan.
Dalam kehidupan moden ini, rasuah sebenarnya berlaku bukan dalam konteks gambaran pengusaha warung wanita dan seorang wakil rakyat itu sahaja. Rasuah sekarang telah menjadi lebih sukar dan berbelit-belit bila sogokan dan habuan adalah dalam bentuk nilai yang lebih besar. Di sinilah rasuah itu adalah KUASA.
2 komentar:
Salam TUAN HAJI,
Rasuah ada di mana-mana. Sukar untuk menanggap seseorang itu terlibat dengan rasuah atau tidak kerana bergantung pada niat. Namun, walaupun niat wanita dan wakil rakyat itu mungkin ikhlas, tetapi'matlamat tidak menghalalkan cara'. Saya kurang bersetuju jika dikatakan kita boleh menerima pemberian kerana dalam konteks yang dibincangkan, terdapat kepentingan. Mengapa wanita itu tidak memberikan makanan percuma kepada orang lain, dan begitu juga dengan kes wakil rakyat itu? Selagi ada kepentingan, sukar untuk dinyatakan keikhlasan kerana hal ini tidak boleh diukur. Robin Hood tidak boleh merompak hanya untuk memberikan makanan kepada fakir miskin. Dan saya sangat bersetuju bahawa rasuah itu kuasa.
Azhar Sifu,
Memang sukar untuk kita menangani rasuah. Tulisan saya itu sebenarnya berdasarkan bacaan saya terhadap buku Syed Hussein Alatas berjudul, 'Rasuah, sifat, sebab dan fungsi'. Buku setebal 300 halaman ini tidak pula cuba memberi jalan penyelesaian bagaimana untuk mencegah rasuah. Tentang pemberian seperti dalam contoh itu juga sebenarnya adalah contoh yang diberikan oleh penulisnya. Saya cuba pula mengaitkan pemberian yang sering diperolehi oleh wakil rakyat. Mereka inilah yang paling dekat dengan pemberian berbentuk rasuah. Lainlah guru. Biasanya pemberian berupa hadiah kepada guru seperti semasa sambutan 'hari guru' tidak memungkinkan guru dikatakan menerima rasuah.
Posting Komentar