Rabu, 26 Mei 2010

Susahnya nak Kahwin.

Dua anak lelaki saya akan menamatkan zaman bujangnya pada bulan jun ini. Seorang dengan orang Terangganu dan seorang lagi dengan orang Kelantan. Semuanya jauh-jauh. Bila memikirkan bab kahwin ini, mak bapak nampaknya terpaksa dilibatkan. Mula dulu pergi meminang dan menetapkan hari. Hantarannya pula, waduh!(kalau di Terangganu dan Kelantan tak ada hantaran) tapi Mas Kahwinnya, tidak kurang dari RM8,000.00. Fikirkanlah kalau budak baru kerja pun nak kumpul sampai lapan-sepuluh ribu makan masa 5-6 tahun juga. Itu belum bab buat majlis lagi. Gedebag-gedebuk habis juga RM20,000.00.

Kesian budak-budak zaman sekarang. Nak kahwin pun susah. Ibubapa pula kalau boleh nak buat kenduri besar-besaran. Maklumlah kawan ramai. Kalau tak jemput marah dan merajuk pula. Tapi anak-anak juga yang terpaksa beri sumbangan dan tanggung perbelanjaan.

Memikir hal-hal beginilah saya terpaksa buat beberapa keputusan untuk meringankan beban anak-anak. Biar lepas kahwin mereka tidak terikat dengan beban hutang. Saya sudah beritahu mereka yang penting ialah akad nikah dan hal-hal selepas perkahwinan. Persiapan rumahtangga sudah sediakah? Jangan nati semuanya berhutang. Nanti sampai dapat anak lima hutang belum langsai.

Untuk itu saya telah membuat keputusan agar kami di pihak lelaki tidak akan buat kenduri. Wang yang ada sikit-sikit tu, akan diberikan kepada mereka untuk membeli keperluan rumahtangga selepas perkahwinan.

Syukurlah mereka faham. Ayah dulu pun tak buat kenduri sebelah lelaki. Yang penting ayah sudah siapkan dulu semua keperluan rumah. Walaupun rumah sewa, tapi ayah dah siapkan set katil, kerusi set tamu, dapur, karpet dan semualah sehingga selepas kahwin, isteri saya masuk rumah semuanya sudah tersedia. Lebih bergaya lagi ayah tak berhutang dengan koperasi pun, walaupun ada masuk koperasi guru..

17 komentar:

Rusdi Abd Rahman mengatakan...

Tuan Haji Shapiai,
Saya kahwin tahun 1998 ketika ekonomi meleset dan ketika kerja masih tidak menentu iaitu berjawatan kontrak sahaja; buat kerja kahwin (kenduri) secara mudah sahaja serta tidak ada bersanding langsung di rumah saya dan isteri...
Amat setuju dengan Tuan Haji bahawa yang membuatkan perkahwinan itu 'mahal dan susah' kerana 'adat' yang sepatutnya tiada kena mengena kerana kadang kalanya orang bertaraf pendapatan kecil juga mahu ikut cara perkahwinan orang berpendatan besar.

Melihat Kesunyataan mengatakan...

Rusdi,
Salah satu sunnah nabi yang perlu kita ikut ialah dalam bab perkahwinan dan mengadakan majlisnya. Yang ini masyarakat kita belum nampak nak berubah. Sepatutnya tidak kira mampu atau tidak mampu, kita perlu buat sekadarnya sahaja. Tapi siapa yang sanggup memulakannya. Seperti kata Rusdi, Rusdi sendiri melangsungkannya dalam bentuk sederhana. Itulah yang sebaik-baiknya.

Unknown mengatakan...

assalammualaikum encik shapiai...
ada antara kawan-kawan saya terpaksa meminjam bank utk majlis kenduri kahwin. saya pula tak buat majlis kenduri sebab saya bernikah di luar negara. namun rasa rugi sebab tak dapat merasa 'serba satu, dua, duduk, berdiri dan berlari'. hanya sekadar cincin sejalur bertatah permata. bila melihat rakan-rakan memakai set perhiasan barang kemas, rasa cemburu pun datang.

Melihat Kesunyataan mengatakan...

lilikmoss,
Pada saya sdr. perlu bersyukur kerana bernikah di luar negara. Tak perlulah ada rasa cemburu pada teman-teman yang terpaksa meminjam bank untuk melangsungkan perkahwinan yang serba menyusahkan ini. Kita khuatir segala kemeriahan persandingan dan penuh dengan adat itu, takut menyalahi agama. Biarlah bersederhana. Tak perlulah sampai berhutang.

Comels mengatakan...

salam Tuan,
andainya dunia ini dipenuhi orang tua yang berfikir seperti tuan nescaya gejala tidak sihat akibat tak mampu berkahwin kerana kos tinggi mesti dapat diselesaikan.
payahnya membuat anjakan paradigma.adat dah sebati sama macam hukum pula.sungguh menyusahkan.
pengalaman peribadi saya, sangat ringkas.saya ada hanya sehelai baju putih yang digunakan untuk akad nikah, khatam Quran hinggalah hari kenduri.suami pun sama.apa yang ada saja.
kami baru mula nak hidup, gaji saya 750 sebulan, suami pun lebih kurang.

saya tak menyesal pun tak bersanding atau bermewah, yg penting niat saya nak elakkan maksiat dan hidup cepat bersama orang yg saya cintai,serta bersama menjalani hidup yg benar.

alhamdulillah, 12 tahun melayari rumahtangga, seharipun tak pernah saya rasa tidak bahagia.
yg penting, anak muda tahu kenapa dia hendak berkahwin,yg tua pula memudahkan urusan perkahwinan itu.
semoga ramai lagi orang tua kepada anak muda yang berfikir seperti tuan.berkahwin untuk senang, bukan semakin susah!

Melihat Kesunyataan mengatakan...

Comel,
Membaca respon Comel tentang perkahwinan yang pernah dilalui dengan sambutan yang sederhana sangat mengesankan saya. Seharusnya begitulah yang perlu dihayati oleh kita umat Islam. Nampaknya sekarang ini kita jauh terpesong dari hakikat hidup mengikut sunnah yang sebenarnya. Media sentiasa pula memberi liputan yang keterlaluan sehingga kita yang membacanya merasakan bahawa itulah tuntutan dalam agama. Peliknya ulamak kita banyak yang membisu tentang hal-hal begini.

Zulaiha Paikon mengatakan...

Ayahanda,
Saya sokong seratus peratus. Kalau tidak kita memulakan sesuatu yang boleh memecahkan tradisi yang bukan-bukan ni, tradisi ini akan berkekalan dan mungkin menyusahkan generasi akan datang.

Zulaiha Paikon mengatakan...

Ayahanda,
Anakanda sokong seratus peratus. Kalau bukan kita yang memulakan untuk memecahkan tradisi yang bukan-bukan ini, tradisi bukan-bukan ini mungkin akan berterusan dan menyusahkan generasi akan datang.

Melihat Kesunyataan mengatakan...

Zu,
Zu pun ramai anak lelaki. Kalau yang perempuan tu tak ada masalah. Tunggu orang bagi hantaran untuk buat majlis. Kalau tiga anak lelaki, kalau seorang 10 ribu hantaran, termasuk barang-barangan iringan, rasanya makan juga 15 ribu seorang. Dah boleh buat belanja pergi mekah.

Md Nizar Parman mengatakan...

Salam Tuan Haji,
Tahniah atas tersiarnya "Imam Menangis" dalam BH hari ini. Tahniah juga bakal menyambut menantu pada bulan Jun nanti. Majlisnya di mana, ya? Perkahwinan itu perkara yang baik dan dituntut dalam Islam. Mungkin selepas ini Tuan Haji boleh menulis sajak "Syaitan Menangis" pula...

Comels mengatakan...

tuan,
ulama kita bukan membisu dalam hal ini saja.banyak hal yang lebih parah tapi seperti orang yang terpenjara jiwa raga tak berani berkata apa.sudahnya, hancurlah malaysia ini kerana kita meletakkan urusan di tangan yang bukan ahli.ketakutan saya semakin bercambah melihatkan kebejatan sosial yg dibiarkan oleh pemerintah dan pihak berwajib.hanya dalam hal nikah kahwin serta kematian agaknya mahkamah syariah diperlukan.sekarang judi halal, esok lusa pelacuran pula halal, maka tak payahlah berkahwin kerana sangat menyusahkan.langgan saja pusat profesion yg dilesen halalkan itu, selesai masalah nafsu.
ah, emosi pula.tapi, betul tidak apa yang saya fikir ini tuan?

Melihat Kesunyataan mengatakan...

Md. Nizar,
Terima kasih atas ucapan tahniah itu. Bila Imam Menangis, syaitan akan ketawa. Di Malaysia ni saya rasa syaitan akan ketawa sentiasa. Apa tidaknya, kebejatan berleluasa. Jadi rasanya tajuk yang sesuai ialah 'Syaitan Ketawa'. Menarik juga cetusan idea tu, hehe.

Melihat Kesunyataan mengatakan...

Comel,
Saya ada membaca SIASAH. Berdasarkan kajian Malaysia sudah melahirkan anak luar nikah (sepanjang 8 tahun ini) sudah menghapiri 1 juta. Memang sesuatu yang mengerikan. Ada benarnya apa yang dikhuatiri Comel tu. Harap melalui blog dan fb kita semua akan cuba sama-sama memerangi kebejatan itu.

Nur Fatiha Fadila mengatakan...

Assalammualaikum, cikgu.

Memang susah nak kahwin ... lebih baik bersederhana saja dalam walimah. Yang paling pentingnya adalah selepas walimah itu.

Semoga dipermudahkan urusan perkahwinan anak-anak cikgu.

Melihat Kesunyataan mengatakan...

Wardah,
sebagai mewakili golongan muda, apakah pendapat Wardah tentang cara sambutan perkahwinan sekarang ini?. Bentuk 'kesederhanaan' yang bagaimanakah yang dikatakan sederhana itu. Ada orang sederhana itu ikut kemampuan, sampai mencecah puluhan ribu pun masih sederhana katanya.

Nur Fatiha Fadila mengatakan...

Mungkin bukan mewakili golongan muda, cikgu. Sebab cita rasa dan pandangan kita kan berbeza. Cuma bagi saya, ya satu kesederhanaan itu boleh juga ditafsir sebagai mengikut kemampuan individu yang terlibat. Tidak mungkin seorang jutawan akan melakukan perkahwinan secara sederhana sama seperti konteks 'sederhana' golongan sederhana.

Pada saya, sederhana yang dimaksudkan adalah berpada-pada dari segi walimahnya. Yang lebih diutamakan ialah pengisytiharan pernikahan itu. Oleh itu, yang saya fikirkan ialah jamuan untuk tetamu mengikut kemampuan dan keselesaan dan mengelak daripada pembaziran. Dekorasi juga tidak diabaikan kepentingannya namun tidak pula membuatkan kita perlu melaburkan sejumlah wang yang banyak kepadanya.

Barangkali pada akhirnya, tetap sederhana itu mengikut kemampuan diri dan penyimpangan daripada pembaziran kerana yang lebih perlu dipentingkan adalah kemampuan untuk meneruskan pernikahan selepas walimah yang sekali itu.

wallahua'alam.

sekadar pandangan sendiri.

NASSURY IBRAHIM mengatakan...

Awas, jangan sampai jadi pertandingan majlis kahwin

Derita bahagia terletak pada keikhlasan pasangan, bukan glamour.

peribahasa saya, "Kahwin artis" maksudnya kahwin yang mementingkan glamour dan tidak bertahan lama.