Rabu, 24 Maret 2010

Abang Saya Seorang Polis Biasa.

(Sempena Sambutan Hari Polis ke-203)

Sejak dulu kita bersikap bias terhadap tugas polis. Apa-apa sahaja yang dikaitkan dengan polis kita lebih dahulu mengaitkannya rasuah. Mengapa ‘rasuah’ dekat benar dengan tugas polis. Ini kerana kerja mereka sendiri begitu terdedah dengan rasuah.

Begitulah bila Abang saya juga seorang polis, saya menjadi cemas dan ragu. Apakah abang saya juga tidak terlepas dari gejala ini. Sejak kecil saya tahu benar tentang kenakalan abang saya itu. Dialah yang paling banyak kena pukul kerana kenakalannya. Memang ayah mendidik kami dengan keras. Kebetulan abang saya bukan jenis anak yang berjaya dalam pelajarannya, meskipun dia cerdas orangnya. Selepas PMR/LCE dia terus bekerja. Macam-macam pekerjaan dicubanya. Akhirnya dia menjadi polis hutan. Dari polis hutan dia bertukar menjadi polis biasa dan ditempatkan di sebuah balai Polis di tengah bandaraya.

Sebagai adik saya sering bertandang ke rumahnya. Melihat keadaan dirinya dan keluarganya, saya berpendapat abang saya ini bukanlah dari jenis polis yang mudah untuk terlibat dengan rasuah. Abang saya hidup dalam keadaan sederhana dengan empat anaknya. Isterinya mengajar mengaji, membantu menjaga anak-anak jiran dan mengambil upah membuat kerja-kerja dari kilang di rumah. Bila dia bersara, wang persaraanya itu hanya cukup-cukup buat mereka suami isteri mengerjakan haji. Mereka sendiri kini tinggal bersama anak sulungnya. Abang saya memang tidak ada wang untuk membeli rumah sendiri. Sebagai polis biasa, berapa banyak sangatlah wang persaraan yang diperolehinya itu. Tapi saya melihat abang saya itu sentiasa bahagia. Dikurniai empat orang anak yang semua berjaya.

Abang saya ini jenis orang yang tidak banyak bercakap, tapi suka membantu sesiapa sahaja. Banyak kenalannya terdiri daripada orang-orang yang pernah dibantunya, tanpa apa-apa ganjaran. Pernah suatu ketika abang saya berjaya menumpaskan dua orang perompak, sehingga ramai di kalangan temannya datang untuk menuntut ilmu. Dia sendiri dengan rendah hati menyatakan bahawa, ilmunya itu hanyalah satu, sama ada dia yang tumpas atau perompak itu.(Tapi saya sendiri tahu dia pernah menuntut ilmu dari Pak Ngah saya). Kebetulan ketika itu anggota polis tidak dibenarkan membawa senjata.

Semasa bertugas pula dia sentiasa bertugas dengan jujur. Kerana kejujurannya itu menyebabkan pegawai atasan kadang-kadang sukar untuk menerimanya. Akhirnya dia ditugaskan untuk bekerja di balai sahaja, iaitu menjaga stok senjata sahaja. Hinggalah abang saya bersara wajib.

Saya mengenali abang saya ini kerana umur kami berdua tidak jauh berbeza. Sejak kecil pun kami sering bermain bersama. Bila remaja juga saya sering dibawanya berjumpa dengan teman-temannya dan juga keluarga angkatnya. Pernah suatu ketika dia mengajak saya ke rumah ibu angkatnya di bandar. Saya begitu terharu dan terperanjat kerana ibu angkatnya hanya tinggal menyewa di garaj sebuah keluarga Cina.. Saya tahu dia kenal baik dengan anak ibu angkatnya itu. Mungkin mereka bercinta.

Setelah abang saya bekerja sebagai polis, atuk saya terus menikahkan abang saya dengan isterinya sekarang, seorang janda beranak satu yang ditinggalkan suami. Abang saya bukan jenis orang yang menentang, dia nampaknya akur dengan pilihan atuk kami itu. Pada hal saya tahu dia sudah ada pilihan hatinya sendiri. Ternyata pula jodoh mereka berkekalan hingga kini.

Begitulah, abang saya tetap seorang hero bagi saya. Dia pekerja yang jujur, yang merendah diri dan tidak suka menyakiti hati orang lain. Dia ialah tokoh yang tidak didendangkan. Jauh sekali untuk diberi pingat, apa lagi gelaran ‘Datuk’.

6 komentar:

Rusdi Abd Rahman mengatakan...

Tuan Haji Shapiai,
Selaku peminat utama blog ini diri ini 3 kali membaca entri ini, sesuatu yang berkisar soal hati dan pegangan jiwa.
Memang benar ada dalam kalangan pekerja golongan ini dilabelkan negatif, namun tidak kurang pulanya yang boleh diangkat kelas terpuji dalam tugasannya kerana tidak langsung menghampiri hal-hal negatif dalam kerja sehariannya.
Moralnya, kerja bidang apa-apapun sekali kekuatan dalaman diri itu yang utama, ketahanan minda dan naluri seiring dalam diri.

Rahimidin Z mengatakan...

Saya mempunyai seorang kawan polis yang sudah pencen (bekas SB) dan pangkat terakhirnya sebagai Cif Inspektor. Dia pernah ditemuduga 5 kali untuk kenaikan pangkat sebagai ASP tetapi gagal. Dia ada BA dan MA yang diambilnya sendiri, juga memiliki beberapa sijil/diploma -syariah, usuluddin, dan falsafah. Suatu malam beliau memberitahu saya, "Cif Inspektor merupakan pangkat tertinggi untuk polis yang baik. Lebih lagi tak boleh." Beberapa hari sekali dia akan sms dan call saya ajak minum dan percakapan kami hanya sekitar buku. Bahkan selain rumah tempat tinggalnya, dia pernah menyewa sebuah rumah yang lain hanya untuk menyimpan buku-bukunya.

Citra Delima mengatakan...

Tuan Haji,
Anak saya seorang anggota polis. Mudah-mudahan dapat mengikut sepertimana abang Tuan Haji. Kerja dengan jujur dan ikhlas, tidak mengejar pangkat dan harta, sepertiman kutubah Jumaat hari ini.

Md Nizar Parman mengatakan...

Salam Tuan Haji,
Saya seperti RAR juga, berulang kali membaca entri ini - begitu menyentuh perasaan.... Alangkah baiknya jika kisah ini "dicerpenkan"...

Azhar Salleh mengatakan...

Salam AYAHANDA SHAPIAI,
Memang banyak anggota polis yang tidak jujur dan tidak ikhlas, dan terlibat dalam gejala seperti rasuah. Tetapi, yang lebih banyak, berkali-kali ganda jumlahnya ialah anggota polis yang sangat jujur, ikhlas, dan sentiasa bersyukur. Adik ipar saya anggota polis, dan saya amat yakin bahawa dia tidak pernah terlintas untuk berbuat onar. Saya hairan apabila melihat sesetengah orang kita yang sering mengaitkan polis dengan rasuah dan hal negatif, sedangkan saya melihat terlalu banyak anggota polis yang menyanjungi tugasnya dan sentiasa bersyukur walaupun gaji yang diterima tidak setimpal dengan tanggungjawab dan risiko. Semoga kerajaan akan terus menjaga kebajikan anggota polis. Dan, yang terlibat dalam gejala buruk, dibukakan pintu hati mereka...

Melihat Kesunyataan mengatakan...

Rusdi,
Ribuan terima kasih kerana sudi membaca setiap entri yang saya nukilkan. Saya bersetuju dengan apa yang dinayatakan oelh saudara Rusdi, bahawa dalam apa juga pekerjaan memang kita tidak dapat lari dari pandangan negetif begitu.

Rahimidin,
Sebagai Cif Inspektor sudah tentu banyak cerita dan pengalaman yang menarik boleh dikongsi bersama.

Tuan Citra,
Harap anak tuan juga sentiasa bekerja dengan penuh tanggungjawab dan sentiasa diberkati.

Md. Nizar,
Saya memang bercadang untuk menulisnya. Tapi tidak tahu bila akan siap. hehe..
Terima kasih atas cadangan yang baik itu.

Azhar Sifu,
Saya bersetuju apabila kerajaan mengkaji kembali dan menyelaraskan gaji polis. Mereka sudah lama berada pada takuk gaji yang rendah,malah pada saya di bawah paras miskin.